Home Novel Fantasi Reality Override
BAB 38

DICIPTA ATAU DITEMUI

Zalfa duduk di sebuah bilik khas dan dikelilingi pelbagai jenis sampel tumbuh-tumbuhan. Di dalam tangannya ada sebuah buku nota untuk mencatatkan sesuatu. Maklumat yang berjaya diperolehi melalui suara yang didengarnya, akan dicatatkan dalam buku nota tersebut.

Akan tetapi, buku nota itu bukan buku nota yang sama selalu digunakannya. Buku nota itu telah pun dirampas daripadanya untuk menjadi bahan kajian para saintis. Dia diberikan pula buku nota yang lain.

Pada tubuh badan Zalfa telah dipasang dengan pelbagai jenis alat untuk mengumpulkan data mengenai dirinya. Alat-alat itu tidak disambung dengan wayar sebaliknya hanya bersambung melalui IOT.

Dari luar bilik itu, beberapa orang saintis sedang memerhatikan gerak-geri Zalfa melalui cermin pandang tembus yang memisahkan mereka. Pada cermin pandang tersebut, terdapat beberapa tetingkap yang menunjukkan bacaan tertentu. Salah seorang daripada saintis yang memerhati menekan sesuatu di atas skrin sesentuh pada cermin tersebut.

Dalam ramai-ramai saintis yang memerhati, ada salah seorang daripada mereka berkata sesuatu di dalam hati.

'Kandungan kimia ke? Adakah dia ni boleh mengetahui kandungan kimia dalam tumbuh-tumbuhan? Kalau macam tu ... kuasa dia ni samalah dengan ....'

***

Warna sang mentari bertukar jingga tatkala waktunya hampir tiba untuk berlabuh di ufuk barat. Tidak lama lagi, siang akan melabuhkan tirainya. Memberi ruang kepada sang bulan untuk bertakhta di dada langit.

Nasiblah hari ini Ilham tiada kelas pada waktu petang. Dapatlah dia memenuhi janjinya untuk berjumpa seseorang. Dia telah berjanji untuk berjumpa lagi dengan Alisya di sebuah taman rekreasi kegemaran gadis itu. Taman rekreasi itu terletak berhampiran dengan Tasik Universiti.

Dari jauh, Ilham nampak Alisya sedang duduk seorang diri di sebuah bangku di tepi tasik. Dia sedang melukiskan sesuatu di atas kanvas lukisan di hadapannya.

'Itu pun dia,' getus hati Ilham. Pantas sahaja kakinya melangkah merapati si gadis. Dia mengintai apa yang sedang dilukis Alisya di atas kanvas lukisan itu. Alisya nampaknya sedang melukiskan pemandangan tasik di hadapannya.

'Oh, dia betul-betul melukislah. Ingatkan macam hari tu,' desis Ilham.

Alisya kelihatan terlalu khusyuk dengan lukisannya sehingga tidak menyedari kehadiran Ilham di sisi. Dia ralit mencalitkan pelbagai warna ke atas kanvas putih di hadapannya.

"Awak buat apa tu, Alisya?" soal Ilham memecahkan keheningan. Jika dia tidak memulakan bicara, alamatnya sampai bila-bilalah Alisya tidak akan menyedari kehadiran Ilham.

Walaupun Ilham sudah tahu apa yang sedang dilakukan Alisya, dia tetap ingin bertanya. Dia mahu mendengar sendiri jawapan dari bibir si gadis. Dia pasti, gadis itu akan mengeluarkan jawapan yang amat tidak disangkakan seperti tempoh hari.

Tangan Alisya yang sedari tadi sibuk melakarkan imej sebuah tasik di hadapannya terus dihentikan. Kepalanya menoleh ke arah Ilham di sisi. Renungan kosong dilemparkan ke arah Ilham tanpa secalit senyuman.

"Saya sedang terjemahkan lukisan alam di depan saya ni dalam bentuk persamaan Matematik," balas Alisya senada.

"Hah?" Melongo Ilham mendengar jawapan Alisya.

Alisya memandang semula ke arah lukisannya yang masih belum siap lalu menunjukkan bahagian-bahagian tertentu dengan jari telunjuknya. Sambil-sambil itu, bibirnya menggumam beberapa persamaan Matematik yang tidak difahami Ilham.

Ilham memerhatikan tingkah Alisya dengan mata yang tidak berkelip. Semakin lama dia memerhatikan gadis ini, semakin pelik dia dibuatnya. Sungguh, gadis ini penuh dengan perkara yang tidak boleh dijangkakan.

"Ilham, awak dengar tak ni?" soal Alisya tiba-tiba setelah mendapati Ilham mula tenggelam dalam lamunannya.

"Ha, ha. Saya dengar tapi ... saya tak faham." Ilham menjawab jujur.

"Takpa, lama-lama awak akan faham dan mengerti setiap makna yang tersirat di sebalik setiap persamaan Matematik. Dan awak akan nampak apa persamaan Matematik yang tersembunyi di sebalik lukisan alam."

Ilham mengerutkan dahinya mendengar ucapan Alisya. Sungguh dia memang tidak mengerti akan ucapan gadis itu. Walaupun dia tidak faham apa-apa, tetapi dia tetap ingin terus menyelami jiwa Alisya. Cara dia berfikir dan cara dia melihat dunia memang unik sekali. Dia pasti melihat dunia ini dengan kaca mata yang berbeza daripada manusia lain.

'Yang tersembunyi di sebalik lukisan alam? Apa maksud dia yang tersembunyi tu? Persamaan Matematik ke? Macam yang selalu theoretical physicist buat?' Terdetik beberapa persoalan di benak Ilham.

"Ya, saya rasa bidang Fizik dan Matematik sangat berkait rapat, kan? Tak begitu, Ilham Hakimi." Nada Alisya bertukar serius. Dia merenung tajam ke arah Ilham seperti ingin memaksa Ilham menjawabnya.

"Ya, Fizik dan Matematik memang berkait rapat. Theoretical physicist selalu gunakan persamaan Matematik untuk buktikan dan terangkan model-model yang mereka kemukakan. Gunakan Matematik juga mereka boleh kira apa yang mustahil untuk diukur. Contohnya, jisim bumi, jisim matahari. Malah, Schwarzschild Radius black hole yang kedudukannya beribu-ribu tahun cahaya dari planet bumi pun mereka mampu kira. Amazing, kan Matematik ni?" Ilham bercerita panjang lebar. Teruja.

"Fizik pun amazing juga. Mereka mampu mengkaji dari sehalus-halus partikel, sampailah sebesar-besar objek angkasa. Malah, mereka mampu mengukur dan mengkaji behaviour-nya sekali. So amazing." Alisya pula menyambung.

"Behaviour?" Ilham tiba-tiba menguntum senyum. Kata-kata Alisya itu mengingatkan dia pada sesuatu.

"Cakap pasal behaviour, teringat pula saya pada sesuatu. Awak tahu tak, Alisya? Behaviour partikel pada skala kuantum pelik sangat." Ilham sudah mula membuka topik mengenai Fizik Kuantum.

"Apa yang peliknya? Cuba awak cerita. Saya pun teringin nak tahu," pinta Alisya.

"Pada skala mikroskopik, particle exhibit wave-particle duality. Maksudnya, partikel turut behave seperti gelombang jika saiznya cukup halus dan berada dalam skala kuantum. Saya pun tak berapa faham sangat dengan wave-particle duality ni. Maksudnya, saya susah nak bayangkan. Tapi, sebab behaviour nilah hukum fizik jadi lain dan pelik sangat. Makin banyak belajar, makin pelik saya dibuatnya."

Ilham tiba-tiba berjalan ke arah tasik di hadapannya. Sebuah batu bersaiz kecil yang tergeletak di atas tanah diambilnya lalu dibaling ke dalam tasik. Sebuah gelombang terbentuk di tempat batu yang dicampakkan Ilham tadi pada permukaan tasik.

Ilham mencangkung untuk mengamati permukaan air bergelombang itu dengan lebih dekat. Alisya yang memerhatikan tingkah Ilham sedari tadi turut berjalan menghampiri Ilham, lalu mencangkung di sisinya. Gelombang yang terhasil tadi perlahan-lahan menghilang.

"Apa yang awak tengok?" soal Alisya ingin tahu.

"Gelombang tu," jawab Ilham merujuk kepada gelombang yang terhasil tadi.

"Gelombang? Kenapa dengan gelombang tu?" soal Alisya lagi.

"Saya mahu perhatikan gelombang tu, dan lebih memahami wave-particle duality. Kalau partikel behave seperti gelombang pada skala mikroskopik, macam ni ke rupa dia?" soal Ilham sendiri merujuk kepada kocakan air yang terhasil pada permukaan tasik tadi.

Hujung jari telunjuknya dimasukkan ke dalam air tasik sebelum diangkat semula untuk menghasilkan gelombang.

"y to the function of x and t equal to A cos kx minus omega-t." Alisya tiba-tiba bersuara spontan.

Ilham memandang ke arah Alisya dengan matanya yang terbeliak. Tidak percaya dengan apa yang didengarnya.

"Awak pun belajar juga expression untuk mechanical wave tu ke?"

"Ada. Saya ada belajar aplikasi Matematik dalam Fizik, juga dalam Kimia dan Engineering," jawab Alisya.

"Wah, awak ingat ya." Ilham berasa kagum dengan Alisya.

"Ingat? Ingat apa?" Alisya tiba-tiba mengajukan soalan.

"Expression untuk mechanical wave tulah. Saya pun kadang-kadang ingat-ingat lupa." Ilham ketawa kecil di hujung bicaranya.

Alisya mendiamkan diri sejenak sebelum membalas, "Yang saya sebut tadi tu ke? Tak. Yang tu datang sendiri dalam kepala saya."

Sekali lagi Ilham melopong mendengarnya. Semakin dia berkawan dengan gadis ini, semakin pelik dia dibuatnya. Sungguh Ilham tidak faham akan apa yang dimaksudkan Alisya itu.

"Apa maksud awak dengan equation tu datang sendiri dalam kepala awak?" soal Ilham memohon lebih penjelasan.

"Mathematical equations tu semua, memang datang sendiri kat saya. Saya dapat tahu macam tu je. Saya pun tak tahu macam mana saya boleh dapat tahu tu semua," terang Alisya selamba.

'Datang sendiri?' soal Ilham di dalam hati. Dia menatap wajah Alisya dalam-dalam. Alisya hanya membalas tatapan Ilham dengan renungan kosong.

"Maksud awak ... Mathematical equations tu awak tahu sendiri tanpa perlu susah-susah belajar? Macam tu ke?" soal Ilham inginkan kepastian.

Alisya mengangguk pantas sambil menjawab, "Ya, macam tulah."

"Sejak bila awak mula terima Mathematical equations tu semua?" Ilham bertanya lagi.

"Sejak dari kecil."

"Kecil tu umur berapa?"

"Saya tak berapa ingat secara tepat, tapi ... yang boleh saya ingatlah, saya pernah terima satu equations masa tengah perhatikan gelombang kat permukaan air macam tadi tu. Masa tu saya tak faham sangat. Saya mula faham bila saya tertengok buku rujukan Matematik abang saya. Sebab teruja sangat, saya cerita kat mama dan papa. Mereka terkejut sangat sampai sangkakan saya ni genius."

'Genius?' Perkataan 'genius' itu menarik perhatian Ilham. Dia memang dapat mengagak gadis yang berada di hadapannya ini memang seorang yang genius. Namun, dia langsung tidak menyangka ada kisah luar biasa yang disembunyikan gadis ini.

'Seriously, saya tak sangka betullah. Ada juga orang macam ni. Tapi ... macam pernah dengarlah kes macam ni. Tapi kat mana ek?' getus hati Ilham.

"Ilham, apa pendapat awak?" soal Alisya memecahkan keheningan yang terbentuk seketika.

Ilham memandang kembali wajah Alisya. Memberi fokus kepada apa yang bakal ditanyakan gadis itu.

"Teorem Matematik tu, adakah ia ditemui atau dicipta? Being invented or being discovered?" Alisya memberikan soalan rawak secara tiba-tiba.

"Invented." Ilham menjawab dengan yakin.

"Invented? Kenapa? Awak tahu kan apa perbezaan antara ditemui dengan dicipta?" Kali ini giliran Alisya pula mengajukan soalan bertubi-tubi.

"Tahu. Ditemui itu maksudnya benda tu memang dah sedia ada dalam alam ni, cuma baru diketahui lepas saintis buat kajian mengenainya. Dicipta pula maksudnya benda tu tak wujud sampailah ada orang berjaya mereka sesuatu alat tu." Ilham menjawab dengan penuh keterujaan di hatinya.

"Contoh?"

"Contohnya, Hukum Gerakan Newton yang ditemui Isaac Newton. Hukum ni menceritakan tentang pergerakan setiap objek. Hukum ni memang dah sedia ada dalam alam ni, governs setiap pergerakan objek, cuma diketahui selepas Isaac Newton mengkaji dan menemuinya," cerita Ilham bersungguh-sungguh sambil bermain-main dengan sebiji batu yang berada di atas tanah.

Alisya pula mendengar dengan penuh minat.

"Kalau dicipta pula, macam mentol yang direka oleh Thomas Edison. Sebelum Thomas Edison reka mentol tu, mentol memang tak wujud kan sebelum tu?" sambung Ilham lagi.

"Tahu. Saya tahu pasal tu. Tapi ... kenapa pula awak cakap teorem Matematik ni dicipta bukan ditemui?" Alisya bertanya semula.

"A ... sebab ... teorem Matematik ni lebih kepada aplikasi, kan? Biasanya teorem Matematik ni dibuat untuk selesaikan apa-apa masalah yang timbul, kan?" Ilham jawab teragak-agak.

"Kenapa awak cakap macam tu?" Alisya cuba menduga Ilham.

"Contohnya, algebra dicipta ketika mereka cuba menyelesaikan masalah pembahagian tanah harta pusaka. Biasanya, benda-benda yang dicipta ni dibuat untuk menyelesaikan masalah. Benda yang ditemui pula kerana sifat ingin tahu para ilmuwan untuk mengkaji kejadian alam. Bukan begitu, Alisya?" Ilham menyampaikan hujahnya dengan yakin.

"Memanglah macam tu. Tapi semenjak akhir-akhir ni, saya ada kemusykilanlah mengenai soal ni. Saya rasalah, Ilham, teorem Matematik ni memang ditemui bukan dicipta." Alisya mengutarakan pendapatnya.

"Kenapa awak cakap macam tu?"

"Tadi awak cakap, kan. Benda yang dicipta memang tak wujud selagi ia belum dicipta. Benda yang ditemui pula memang dah ada sejak alam ni diciptakan. Tapi saya rasa teorem Matematik ni memang dah wujud sejak alam ni diciptakan."

"Kenapa?" soal Ilham memohon lebih penjelasan.

"Kalau tak, macam mana saya boleh tahu sendiri je sesuatu teorem tu tanpa perlu melalui proses untuk menerbitkannya. Saya takda masalah yang perlu diselesaikan, tiba-tiba teorem Matematik datang macam tu je kat otak saya, macam ilham. Eh, nama awak." Sempat lagi Alisya berseloroh di hujung bicaranya.

"Ha'ah, betul juga tu. Awak tak tahu kan macam mana cara awak dapatkannya?" Alisya mengangguk laju sebagai jawapan.

"Betul juga tu. Teorem Matematik tu datang dari mana pula? Kecuali memang ia dah ada dalam alam ni." Ilham akhirnya bersetuju dengan pendapat Alisya.

Ilham terlopong sejenak. Kagum dengan gadis yang berada di hadapannya ini. Dia baru mengetahui perkara yang luar biasa mengenai gadis itu.

"Jadi, awak boleh nampak persamaan Matematik yang tersembunyi di sebalik setiap fenomena alamlah, kan?" putus Ilham.

"Exactly, Ilham." Alisya menguntum senyuman penuh bermakna. Dia menatap wajah Ilham dalam-dalam. Ilham menjadi malu pula apabila ditatap sebegitu rupa oleh si gadis manis. Dia memalingkan wajahnya ke arah lain.

"Alisya!" Panggilan seorang lagi gadis mengejutkan Ilham dan Alisya yang sudah tenggelam dalam dunia masing-masing.

Ilham dan Alisya berpaling ke arah punca suara serentak. Seorang gadis berwajah bengis sedang berdiri sambil bercekak pinggang. Dia merupakan Auni, kakak kepada Alisya. Auni terus berjalan merapati Alisya lalu merentap tangan gadis itu dengan kasar. Alisya dipaksanya bangun. Kehadiran Ilham di situ langsung tidak diendahkannya.

"Dah, Alisya! Cepat kemaskan barang-barang kau! Dah lewat petang dah ni," arah Auni.

Tubuh Alisya ditolak ke arah set lukisan yang ditinggalkannya di atas bangku. Terkocoh-kocoh Alisya mengemaskan barang-barangnya. Ilham hanya memerhatikan sahaja tingkah dua-beradik itu terpinga-pinga.

Setelah Alisya mengemaskan barang-barangnya, Auni terus menarik tangan adiknya. Memaksa untuk pulang. Alisya dipaksa untuk mengikuti langkahnya. Langsung tidak memberi dia peluang untuk mengucapkan selamat tinggal kepada Ilham.

Alisya cuba memprotes. Dia ingin mengucapkan selamat tinggal kepada Ilham sebelum pulang.

"Nanti, kak. Saya nak cakap sesuatu pada Ilham dulu," pinta Alisya kedengaran merayu.

"Cepatlah cakap. Dah lewat petang ni!" Auni melepaskan pegangannya ke atas Alisya.

Alisya menoleh semula ke arah Ilham. Ilham pula masih tercegat di tempatnya. Masih terpinga-pinga melihat layanan gadis itu ke atas Alisya.

"Ilham, terima kasih kerana memahami saya," ucap Alisya sebelum menguntum senyum di bibir. Kemudian dia terus berpaling mengikuti langkah kakaknya.

Ilham perhatikan sahaja kedua-dua gadis itu yang mula menghilang dari pandangan. Ilham baru sahaja ingin mengelamun sebelum disapa seseorang.

"Ilham? Apa awak buat kat sini? Awak takda kelas kan petang ni?" Teguran seseorang itu menyebabkan Ilham pantas berpaling ke belakang. Dilihatnya Fizri sedang berdiri di belakangnya dengan senyuman penuh misteri.

"Saya yang patut tanya awak soalan tu, Fizri." Ilham turut berasa hairan dengan kehadiran Fizri di situ. Sejak bila lelaki itu datang? Kenapa Ilham langsung tidak menyedarinya?

"Dah, jom kita balik," ajak Fizri lebih kepada arahan. Tangan Ilham digapainya lalu ditarik untuk mengikutinya bersama. Ilham hanya mampu akur seperti lembu dicucuk hidung.

'Ni lagi seorang. Perangai sebiji macam budak perempuan tadi tu,' kata Ilham di dalam hati merujuk kepada Auni.

"Ha, apa awak cakap tadi?" soal Fizri tiba-tiba. Dia seperti boleh mendengar pula apa yang dituturkan Ilham tadi walaupun hanya suara hatinya.

---

IOT - Internet of Things


Previous: BAB 37
Next: BAB 39

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.