Home Novel Fantasi Reality Override
BAB 21

SEMANGAT YANG BERKOBAR-KOBAR

Azan subuh yang berkumandang mengejutkan Ilham yang terlena di meja belajarnya. Sedar-sedar sahaja, Ilham dapat lihat buku-buku terbentang di atas meja berserta sebatang pen yang diletakkan bersama. Beberapa helai kertas yang penuh dengan persamaan Fizik dan Matematik turut terselit di celah buku-buku.

Perlahan-lahan Ilham mengangkat kepalanya. Tubuhnya berasa sedikit dek tertidur dengan postur yang tidak betul. Kepalanya turut berasa sakit berdenyut-denyut. Semalaman dia tidak tidur kerana cuba menerbitkan semula beberapa persamaan yang ada di dalam buku. Dia juga cuba menafsirkan teori-teori pelik yang berlegar dalam mindanya.

Sejak akhir-akhir ini, semakin banyak teori pelik yang berlegar dalam mindanya. Dia pun tidak tahu apa sebabnya. Mungkinkah sebab dia mengambil bidang Fizik? Mungkinkah ada sebab lain kenapa keadaannya menjadi sebegitu?

"Pukul berapa dah ni?" gumam Ilham sambil menggaru-garu kepalanya yang tidak gatal. Dia berasa begitu serabut kala ini.

Azan subuh telah habis beberapa saat yang lalu. Ilham bangun dari kerusi. Dia menggeliat malas demi meredakan rasa kantuk yang masih bersarang dalam tubuhnya. Kemudian dia mengerling sekilas ke arah tingkap bilik untuk melihat keadaan di luar.

'Hari ni hari apa ya? Ada kelas ke tak hari ni? Aku pun dah tak ingat dah bila kali terakhir aku datang kuliah,' getus hati Ilham.

Ilham mencapai tuala mandi yang tersidai di ampaian. Dia terus berlalu ke bilik air untuk mengambil wuduk bagi menunaikan solat subuh. Ketika dia berjalan keluar dari biliknya, kelihatan beberapa orang pelajar lain turut berada di bilik air untuk mengambil wuduk.

Langsung dia tiada niat untuk menegur pelajar-pelajar itu. Dia sudah terbiasa begitu. Memang agak sukar baginya untuk bersosial dengan orang lain. Lagi-lagi orang itu bukan rakan sekelasnya. Kebanyakan mereka yang tinggal satu aras dengannya bukan terdiri daripada rakan sekuliahnya. Dia langsung tidak mengenali mereka.

"Amin," ucap Ilham perlahan mengaminkan doanya seusai habis solat subuh.

Ilham bingkas bangun lalu menggantung sejadahnya ke ampaian. Kebiasaannya, selepas solat subuh dia akan menyambung tidurnya semula sampai tengahari. Semuanya gara-gara dia bersengkang mata sebelah malamnya sehingga dia tidak cukup tidur. Akibatnya, jadual hidupnya telah berubah. Siang tidur dan malam berjaga, ibarat burung hantu.

Oleh sebab itulah dia sudah lama tidak hadir ke kuliah. Dia seringkali terlajak tidur sampai ke tengahari. Adakalanya sampai ke petang. Habis kelas-kelasnya terlepas sepanjang hari. Dia hanya akan hadir ke kelas jika ada kuiz dan ujian. Berkat usaha rakan-rakan sekuliahnya yang membuat pengumuman di Facebook, dapatlah Ilham mengetahui serba sedikit tentang tarikh ujian dan kuiz.

Akan tetapi, entah kenapa pada hari ini dia tiba-tiba terasa ingin untuk hadir ke kuliah. Mungkin dia sudah kembali bersemangat. Lagipun, sebuah artikel yang dibacanya pada malam sebelumnya telah memberinya semangat baru. Artikel itu dijumpai Ilham di sebuah laman sesawang yang memperihalkan hal-hal berkaitan Fizik.

'Space-time Superfluidity', tajuk itu menarik perhatian Ilham untuk membacanya. Terbeliak mata Ilham tatkala dia cuba menghadam apa yang disampaikan oleh artikel tersebut. Walaupun model itu masih di peringkat teori, namun itu sudah cukup untuk memberikannya kekuatan untuk menghadapi hari mendatang. Model yang disampaikan itu lebih kurang sama dengan apa yang diperolehinya melalui ilham.

'Sekurang-kurangnya aku boleh pastikan ilham yang aku dapat tu betul. Ini bukan sekadar angan-angan orang gila isim. Ini betul. Ini ... realiti,' bisik Ilham sendiri setelah habis menghadam isi artikel tersebut.

Almari besi berwarna kuning di biliknya dibuka. Baju kemeja biru yang siap tergantung di penyidai diambil bersama sehelai seluar. Tali leher turut dikenakan bersama baju kemejanya. Butang pada kolar dan hujung bajunya dipasang. Rambutnya disikat kemas. Segak betul dia berpakaian pada hari ini. Semangatnya begitu berkobar-kobar.

Akan tetapi, Ilham terlupa sesuatu yang amat penting. Sesuatu yang sepatutnya dia tahu sebagai salah seorang pelajar universiti itu.

***

Ilham melangkah penuh bersahaja untuk menuju ke dewan kuliahnya. Ketika di stesen bas, dan sepanjang perjalanan ke dewan kuliah, semua orang memandang pelik ke arahnya seolah-olah ada sesuatu yang janggal pada dirinya. Sebahagian pelajar lain sudah berbisik-bisik sambil memandangnya. Sebahagian lain pula hanya melemparkan pandangan penuh hairan ke arah Ilham yang kemas berpakaian. Walau bagaimanapun, Ilham langsung tidak mengesyaki apa-apa.

Sesampai sahaja di dewan kuliah, Ilham menguak perlahan pintu dewan untuk memasukinya. Sejurus sahaja dia masuk, Ilham dapat rasakan kesejukan yang datang dari penghawa dingin bilik itu.

'Pagi-pagi dah masuk peti sejuk,' rungut Ilham di dalam hati.

Ilham terus mengambil tempatnya di sebuah tempat yang masih kosong. Pelajar-pelajar lain yang berada berhampiran sudah melemparkan pandangan ke arahnya.

"Kau ni dah kenapa Ilham?" tegur salah seorang pelajar lelaki yang duduk di sebelahnya.

Ilham terus menoleh ke sisi, ke arah si pemilik suara. Pelajar itu kelihatan mengerutkan dahi tatkala berbalas pandang dengan Ilham. Tidak seperti Ilham, dia hanya mengenakan baju-T berkolar berserta seluar jeans.

"Kenapa apanya?" soal Ilham semula tidak mengerti.

Pelajar itu mengeluh kasar seraya menjawab, "Kenapa kau pakai pakaian formal pula ni? Kan hari ni hari Jumaat?"

"Kenapa dengan hari Jumaat? Salah ke?" soal Ilham masih tidak mengerti.

Pelajar itu hanya mampu menepuk dahinya sebelum berkata, "Kenapa kau pakai baju kemeja? Hari ni kan hari Jumaat. Pakaian formal kan pakai hari Isnin je."

Mendengarkan tutur bicara lelaki itu menyebabkan Ilham terus melopong. Patutlah semua orang memandang pelik ke arahnya pada hari ini. Sudah lama sungguh dia tidak hadir ke kuliah sehingga dia boleh terlupa kod etika pemakaian di universiti itu.

Muka Ilham berubah merah padam serta-merta. Sungguh, dia benar-benar berasa malu pada hari ini. Bagaimanalah dia boleh terlupa perkara sepenting itu. Kalau ikutkan, mahu sahaja dia balik ke kuliah pada hari itu juga untuk menukar pakaian.

Akan tetapi, hasratnya itu terpaksa dibatalkan. Jarak antara Fakulti Sains dengan kolej kediamannya agak jauh. Lagipun, kelas akan dimulakan dalam masa beberapa minit sahaja lagi. Sudah tidak sempat untuk kembali ke kolej kediamannya dan menukar pakaiannya. Jadi, hasrat itu dibatalkan sahaja.

'Dah kenapa pula mamat ni? Dahlah lama tak datang kuliah. Sekali muncul, terus jadi skema tak tentu pasal. Dah gila isim ke apa? Nasib baik baju dia tak berkedut,' Pelajar lelaki itu mengulas di dalam hatinya.

'Dah belajar sampai mana ya? Dah lama sangat dah aku tak datang kelas. Sampai aku pun dah complete lost dah dengan apa yang aku tengah belajar sekarang ni,' omel Ilham pula di dalam hati.

Sejurus kemudian, Prof. Zahran masuk ke dewan kuliah. Terus dia menuju ke tengah dewan kuliah untuk memulakan sesi pembelajaran pada hari itu. Matanya meliar ke persekitaran dewan kuliah, memerhatikan setiap wajah yang memunculkan diri pada hari ini. Setelah memastikan kelibat seseorang hadir ke kuliah pada hari itu, dia melirikkan senyuman penuh agenda.

Ilham pula merasakan dirinya diperhatikan Prof. Zahran. Terus dia menekur memandang meja di dewan kuliah itu. Malu tatkala diperhatikan begitu.

'Dia tengok aku ke tadi? Mungkin perasaan aku je kot. Yalah, dah lama kot aku tak datang kuliah ni. Walaupun ni subjek favourite aku,' desis Ilham di dalam hati.

***

Ilham meraup mukanya kasar. Keluhan kasar dilepaskan. Kata-kata Prof. Zahran yang menyinggah di cuping telinga langsung tidak melekat di otaknya. Hanya melintas ibarat angin yang berhembus perlahan pada waktu petang.

'Kenapa aku tak faham satu pun ni? Kenapa semuanya kedengaran pelik? Ini ke kesannya dah lama sangat tak datang kuliah? Tapi ... tapi ... tapi ... aku dan study dulu siap-siap kat bilik. Bab ni pun aku dah study. Kenapa masih tak faham apa-apa?' omel Ilham di dalam hati.

Otaknya berserabut sekarang. Semakin dia cuba memahami apa yang dipelajari, semakin keliru dia dibuatnya. Semuanya kedengaran asing di telinganya. Otaknya terasa kosong sekarang, seperti dia tidak pernah belajar apa-apa pun sebelum ini. Cara professor itu menerangkan konsep-konsep dalam Fizik juga amat berbeza dengan pemahamannya.

'Apa masalah aku ni sebenarnya ni? Kenapa satu benda pun aku tak faham ni? Kenapa satu benda pun aku tak ingat ni?' Bertubi-tubi soalan menerjah benaknya saat ini.

Prof. Zahran yang sedang mengajar di hadapan sesekali melirik pandangan ke arah Ilham. Dalam diam dia memerhatikan pelajar yang dianggap istimewa itu.

Ilham pula semakin tidak keruan. Dia sudah mula hilang fokus. Dia sudah tidak boleh menumpukan lagi akan pelajaran di dalam kelas. Mindanya sudah menerawang ke tempat lain.

'Kenapa? Selama ni aku sangkakan aku faham. Rupanya aku tak faham apa-apa pun. Habis, selama ni apa yang aku faham. Ke aku salah faham selama ni?' Mindanya sudah mula menjana pelbagai persoalan yang tidak enak.

"Ilham!" Panggilan Prof. Zahran itu mengejutkan lamunan Ilham. Spontan dia mendongak ke hadapan.

Dia melihat Prof. Zahran sedang merenung tajam ke arahnya. Pelajar-pelajar lain di kelasnya pula memfokuskan pandangan masing-masing ke arah Ilham. Pandangan itu membuatkan Ilham berasa tidak selesa. Lelaki itu memang amat tidak sukakan perhatian.

Ilham bingkas bangun dari duduknya dalam keadaan terkejut. Air liur yang ditelannya terasa kelat. Pasrah menanti apa yang bakal dibicarakan Prof. Zahran kepadanya.

"Sekarang saya tengah terangkan pasal apa? Cuba kamu terangkan balik?" soal Prof. Zahran senada.

Walaupun nada suara yang dilontarkan Prof. Zahran tidak menunjukkan dia sedang marah, itu sudah cukup untuk menghiris hati Ilham. Manakan tidaknya, maruahnya sebagai pelajar cemerlang di kelas itu telah tercalar. Bahkan, takhtanya sedang dirampas orang lain.

Ilham kehilangan kata. Lidahnya sudah kelu untuk menjawab. Otaknya terasa kosong sekarang. Satu pun dia tidak ingat. Malah, dia langsung tidak dapat menangkap apa yang baru disampaikan Prof. Zahran. Mindanya sudah hilang fokus.

Prof. Zahran yang menantikan jawapan daripada Ilham melepaskan keluhan. Ilham tidak disuruhnya duduk. Sebaliknya dia bertanya pula kepada Nabilah, seorang lagi pelajar cemerlang di kelas itu. Dengan lancarnya gadis itu boleh menjawab soalan Prof. Zahran. Sekali lagi Ilham berasa tercabar. Luka hirisan di hatinya kian mendalam.

Setelah pelajar yang bernama Nabilah itu habis menjawab, Prof. Zahran kembali merenung Ilham yang masih berdiri terpaku di tempatnya. Wajahnya ditundukkan, malu untuk bertentang mata dengan Prof. Zahran. Semua pelajar di kelas itu pula terus memfokuskan pandangan masing-masing ke arah Ilham. Ilham berasa kian lemas dengan renungan yang dilemparkan ke arahnya.

"Baiklah, kamu boleh duduk, Ilham," arah Prof. Zahran. Dalam keadaan teragak-agak dan dirudung rasa malu yang menggunung, Ilham kembali duduk.

"Tapi ... kamu kena jumpa saya lepas habis kelas ni," sambung Prof. Zahran lagi sebelum sempat Ilham melabuhkan punggungnya.

Arahan Prof. Zahran itu menyebabkan Ilham kembali memandang ke hadapan. Menatap wajah pensyarah yang merenung tajam ke arahnya. Ilham menelan liurnya. Entah apalah yang dimahukan pensyarah itu.

Prof. Zahran meneruskan kembali kuliahnya. Tidak mempedulikan Ilham yang sedang dihambat resah kala ini. Setelah itu, Ilham langsung tidak memberikan tumpuan akan apa yang diajarkan di kelas. Bukannya dia lalai, tetapi otaknya langsung tidak boleh menerima butir bicara yang disampaikan professor itu. Tambahan pula, resah yang menghambat jiwa Ilham telah meragut segala tumpuannya.

***

"Ilham, kenapa dengan kamu ni? Sejak akhir-akhir ni kamu semakin kerap ponteng. Kamu juga tak berikan tumpuan sepenuhnya ketika saya mengajar. Result kamu pun dah makin merosot. Langsung tak menunjukkan peningkatan," bebel Prof. Zahran panjang lebar kepada Ilham.

Ilham terus menekur ke arah lantai. Pandangannya ibarat boleh tembus lantai tersebut. Malu bertentangan dengan Prof. Zahran. Walaupun nada yang dilontarkan Prof. Zahran kedengaran mendatar, tetapi itu sudah cukup untuk memberikan kesan mendalam di hati Ilham.

"Kalau kamu berterusan macam ni, nampaknya terpaksalah saya tarik balik tawaran yang saya berikan kepada kamu tempoh hari."


Previous: BAB 20
Next: BAB 22

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.