Home Novel Fantasi Reality Override
BAB 19

QUANTA RUANG

Ilham duduk termenung di suatu sudut di hujung bilik. Buku-buku teks Fizik miliknya terbentang luas di atas lantai, di hadapannya. Beberapa helaian kertas yang penuh dengan segala persamaan Matematik dan Fizik turut berselerakan di atas lantai, berhampiran dengan buku-buku yang terbentang. Lutut dirapatkan ke dadanya lalu dipeluk erat. Pandangannya ditekur ke arah buku-buku yang terbentang luas di hadapan.

'Boleh ke aku lakukannya?' desis Ilham di dalam hati.

Kata-kata Prof. Zahran tadi tentang tawaran yang diberikan kembali terngiang-ngiang di telinganya.

'Tapi dengan satu syarat, kamu mesti betul-betul tunjukkan potensi kamu. Saya tahu kamu boleh lakukannya.'

'Boleh ke aku lakukannya? Aku tak yakin yang aku mampu penuhi expectation dia. Boleh ke aku penuhinya? Atau mampu ke aku penuhi expectation dia? Kejap! Kejap! Kejap! Sejak bila aku belajar ni sebab nak penuhi expectation dia? Atau sebab nak penuhi expectation orang lain? Aku belajar ni sebab apa ya?'

Ilham menggaru-garu kepalanya yang tidak gatal sehingga habis kusut masai rambutnya dibuatnya. Kelakuannya pada waktu itu saling tidak tumpah seperti orang yang kehilangan akal. Kepalanya berserabut dengan berbagai-bagai persoalan yang menerjah mindanya serta mengganggu ketenteraman jiwanya. Ilham benar-benar tidak keruan sekarang.

Kepala Ilham disandarkan ke dinding bercat putih di belakangnya, lalu mendongak memandang siling. Kipas berpusing dengan kelajuan sederhana menjamah pandangan mata.

'Habis tu apa sebab aku belajar ni sebenarnya?' Soalan itu dibiarkan tergantung tidak berjawab. Tiada sesiapa yang berada di situ untuk menjawab soalannya. Malah, tiada siapa pun di dalam dunia ini mampu memberikan jawapannya melainkan dirinya sendiri. Itu adalah tugas dia untuk mencari jawapannya.

Pandangan Ilham kembali dikalihkan ke arah buku-buku yang terbentang luas di hadapannya. Terdapat buku-buku seperti University Physics, Nuclear Physics, Introduction to Quantum Mechanics dan sebagainya. Kedua-dua belah tangannya menongkat di atas lantai sambil matanya ralit memerhatikan setiap persamaan yang terpampang pada setiap helaian muka surat pada buku tersebut.

Mindanya pula mula menerawang jauh meneroka ke alam memorinya sendiri. Mencari cebisan-cebisan memori yang mampu mengingatkan dia akan sebab kenapa dia boleh berminat untuk mengambil bidang ini.

'Segala apa yang kita lihat di depan mata kita tak sama dengan yang sebenarnya.'

'Ruang dalam dunia ni sebenarnya bukan berterusan sebaliknya ia terbahagi kepada beberapa bahagian kecil, lalu apa yang ada di celah setiap bahagian ruang tu?'

'Apa pula yang akan terjadi kalau bahagian-bahagian ruang tu semakin jauh?'

'Dunia lain wujud di antara celah-celah ruang dalam dunia kita dan pintu untuk ke dunia itu ada kat tengah-tengah ruang. Macam mana tu nak bayangkan?'

'Segala pernyataan dalam sains mesti disokong dengan bukti. Bukti mesti datang dalam bentuk eksperimen untuk menguji betul ke tak pernyataan tu.'

'Jika pernyataan tu dalam bentuk yang tak boleh diuji dalam makmal, bagaimana kita ingin membuktikannya?'

Dalam pencariannya, Ilham menemukan cebisan memorinya semasa dia masih kanak-kanak dahulu. Sesuatu yang datang menerjah ke mindanya secara tiba-tiba, dalam bentuk ilham. Ilham yang datang dalam bentuk persoalan. Persoalan-persoalan yang menambahkan lagi rasa ingin tahunya untuk meneroka dunia Fizik, terutamanya sekali Fizik Kuantum.

'Eh? Biar betul? Aku ada tanya soalan macam tu masa aku kecil dulu? Macam mana aku boleh tanya soalan macam tu? Setahu aku, masa tu aku kecil lagi. Baca pun tak pandai lagi. Boleh pula aku tahu pasal Quantum Mechanics ya masa tu?'

Kerutan seribu muncul di dahi Ilham. Keningnya bercantum di tengah. Berasa hairan lagi pelik dengan memorinya sendiri.

'Dari mana aku tahu semua tu? Kalau nak kata aku tahu ni melalui pembacaan, baca pun aku tak pandai lagi masa tu. Melalui orang kat sekeliling aku? Lagilah, takda orang kat sekeliling aku yang ada pengetahuan tinggi dalam bidang Fizik. Melalui siri dokumentari di tv? Pun bukan. Memang masa kecil dulu aku rajin tengok, tapi tu bukan lepas aku dapat semua ilham tu ke? Hmmm....'

Ilham menolak satu demi satu kemungkinan yang membolehkan dia mencari punca dari mana dia mendapat ilham itu semua.

'Jadi? Kalau semuanya bukan, dari mana aku dapat?'

Ilham mula berasa tidak sedap hati. Mindanya sudah mula menjana teori-teori yang pelik lagi tidak masuk akal. Perutnya dirasakan seperti ada gelora di dalamnya.

'Takkanlah. Takkanlah, selama ni aku dapat ilham tu semua dengan sendirinya? Mustahil!'

Terbuntang luas mata Ilham dibuatnya tatkala menyedari ada sesuatu yang tidak kena dengan dirinya semasa kecil dahulu.

'Tapi, tapi, tapi ... kenapa aku? Kenapa aku yang dapat semua tu? Kenapa tak orang lain yang bersusah-payah melalui proses berfikir yang dapatkan ilham tu? Bukankah saintis lebih layak untuk dapat, berbanding aku yang loser ni? Apa tujuannya aku dapat semua tu? Adakah ianya datang dengan tanggungjawab? Atau cuma bawa bala dalam kehidupan aku?' Berbagai-bagai soalan mula menerjah ruangan mindanya.

Ilham mula bangun lalu berjalan mundar-mandir di sekeliling biliknya.

'Tak! Mesti ada sebab macam mana aku boleh dapat semua ni,' gumam Ilham setelah beberapa langkah berjalan mundar-mandir di dalam biliknya sendiri.

Langkah kakinya dihentikan. Kemudian dia merenung sejenak ke arah kertas-kertas dan buku yang berselerakan di atas lantai. Dia duduk untuk memerhatikan buku-buku tersebut. Kertas-kertas yang bertaburan di atas lantai dikutip satu-persatu lalu diperhatikannya dengan teliti.

'Aku dah sampai sejauh ni. Aku kena teruskan. Mungkin tujuan ilham tu semua aku perolehi supaya aku boleh merungkai persoalan-persoalan yang diberikan dan bentangkan penemuan aku dalam bentuk teori baru dalam Fizik. Mungkin, apa yang aku dapat tu akan merungkai segala kekusutan yang melanda dunia Fizik sejak sekian lama zaman-berzaman. Seperti pertelingkahan antara Fizik Kuantum dan Relativiti yang tak pernah selesai lagi sampai sekarang.'

Buku Introduction to Quantum Mechanics Ilham ambil untuk memulakan proses pembelajaran.

'Tak tahu nak mula dari mana.' Ilham menyoal dirinya sendiri. Kemudian dia berfikir sejenak akan apa yang patut dilakukannya sekarang.

'Ha, aku tahu!' Satu idea terbit di minda Ilham. Dia bingkas bangun lalu berjalan ke arah meja belajarnya. Buku catatan yang tersimpan kemas di dalam rak buku diambil, bersama sebatang pen yang berada di dalam bekas pensel miliknya. Dia kemudian kembali semula ke arah buku-buku yang berselerakan di atas lantai lalu melabuh duduk di tengah buku-buku tersebut.

Segala ilham yang menerjah mindanya dicatat satu demi satu. Setelah dia habis menulis kesemua yang dia mampu ingat, dia tatap satu-persatu persoalan tersebut. Hubung kait di antara kesemuanya cuba dicari. Dia cuba pula kaitkan dengan mana-mana teori yang pernah dijumpainya dan dipelajarinya sebelum ini.

Dalam banyak-banyak teori yang ditulis, ada sesuatu yang menarik perhatiannya.

'Ruang dalam dunia ni sebenarnya bukan berterusan sebaliknya ia terbahagi kepada beberapa bahagian kecil, lalu apa yang ada di celah setiap bahagian ruang tu?'

'Ruang? Bahagian kecil?' Perkataan itu menarik perhatian Ilham. Mindanya cuba membayangkan sebuah imej untuk menggambarkan model itu. Kotak imaginasinya dibuka seluas-luasnya.

Sebatang pen yang terbaring di atas lantai Ilham ambil lalu mula melukis sebuah gambar rajah di atas helaian yang masih kosong dalam buku catatan tersebut. Gambar rajah itu menggambarkan apa yang cuba dibayangkannya tentang konsep ruang.

'Kalau bahagian-bahagian kecil ... maksudnya ... macam ruang tu discrete ke? Macam quanta-quanta? Seperti quanta bagi cahaya adalah foton? Macam tu? Why not, kan? Dulu sebelum Einstein menemui Photoelectric Effect, para saintis percaya yang cahaya atau gelombang elektromagnetik ni continuous . Tapi selepas penemuan tu, Einstein dapat buktikan bahawa gelombang elektromagnetik tu discrete, dan setiap quanta cahaya tu dipanggil foton. Aku pula bayangkan foton tu bulat-bulat macam biji guli ... Entah betul entah tidak apa yang aku bayangkan ni.'

Ilham kemudiannya melukis gambar unit-unit kecil ruang yang diskret itu dalam bentuk bulat-bulat seperti yang dibayangkannya.

'Macam gini ke rupa sebenar ruang yang kita duduki selama ni? Pelik betul. Selama ni kita semua bayangkan ruang tu continuous. Jadi, apa jadi kalau ruang tu sebegini rupa hakikatnya. Mesti akan ada kesan sekurang-kurangnya pada sub-atomic particle yang berskala quantum.'

Partikel sub-atomik  yang berskala kuantum bermaksud partikel yang mempunyai saiz cukup kecil untuk mematuhi hukum gerakan mengikut Mekanik Kuantum.

'Cuba aku kaitkan dengan penemuan atau model yang sedia ada. Diskret ... diskret ... diskret ....' Ilham mengusap dagunya sambil otaknya cuba mengingati akan apa-apa model yang boleh dikaitkan dengan persoalan ini.

'Dalam Quantum Mechanics kan banyak yang macam tu. Banyak yang diskret. Contohnya, quantum particle inside potential well? Tenaga cuma boleh wujud dalam nilai-nilai tertentu je. Maksudnya apa tu? Apa yang diskret? Tenaga? Hmmm ... tenaga ni dia maksudkan di sini tenaga kinetik, kan? Kalau tenaga kinetik, biasanya dikaitkan dengan velocity. Velocity ke? Velocity pula ... arrh!'

Kepala Ilham mula terasa sakit dek terlalu memikirkan akan model yang dijana mindanya sebentar tadi. Jarinya naik ke kepala lalu mula memicit-micit di bahagian yang terasa sakit. Berharap rasa sakitnya akan beransur reda jika dia melakukannya.

Dek rasa sakit yang tiba-tiba menyerang, proses berfikirnya terganggu seketika. Otaknya dirasakan seperti disekat untuk terus berfikir. Ilham mula berasa dia telah berada di batasannya. Dia sudah tidak mampu untuk terus berfikir. Dia sudah tidak mampu untuk meneruskan lagi.

'Ah, pedulikanlah rasa sakit ni! Aku tak boleh berhenti. Kalau tak, sampai bila-bila aku akan terus terperangkap di sini dan tak mampu berubah. Sampai bila-bila aku akan terus diburu ilham-ilham tu.'

Ilham tidak mempedulikan rasa sakit yang menjalar di kepalanya lalu meneruskan proses berfikirnya.

'Kalau ruang terbahagi kepada beberapa quanta macam ni, apa akan jadi pada pergerakan partikel tu? Takkan dia lompat-lompat kot? Ke macam mana? Atau partikel tu bergerak je dalam ruang ... cuma ....'

Pen yang setia berada dalam pegangannya mula menari di atas helaian buku catatannya lagi sekali. Cuba melakarkan apa yang terbayang di mindanya. Kali ini dia melukis pula beberapa bulatan kecil yang merupakan unit kecil ruang menurut imaginasinya dalam satu garisan lurus.

'Eh? Sekali tengok nampak macam unit atom yang membentuk sebuah jirim pula. Jadi, kalau jarak antara atom berubah mempengaruhi keadaan fizikal objek tu, macam mana pula dengan unit ruang ni? Ada beri kesan ke? Apa kesan dia?'

Ilham menambah lukisan yang sama cuma kali ini dia meletakkan jarak antara unit ruang semakin menjauhi di antaranya. Kemudian dia melukiskan pula anak panah di antara jarak setiap quanta ruang yang menunjukkan jaraknya semakin bertambah. Otaknya pula cuba membayangkan apakah kesannya pada partikel yang melalui jarak itu dan bagaimana pergerakan partikel tersebut.

'Jarak antara ruang mungkin sama. Tapi ... ada sesuatu yang sepatutnya bertambah di sini. Tapi ... apa?'

'Arrh! Apa dia ya?' Rasa sakitnya semakin bertambah tatkala dia cuba mencari jawapannya menyebabkan dia mengerang kesakitan. Sekali lagi Ilham memicit-micit kepalanya yang sakit.

'Ruang ... ruang? Space-time continuum? Relativiti! Ya tak ya, ruang dan masa kan relatif menurut teori relativiti.' Minda Ilham berjaya menjana sebuah idea.

Ilham kembali menatap gambar rajah yang dilukisnya. 'Jadi ... ruang dan masa di sini adalah relatif disebabkan ini ke?'

Mendengarkan balik apa yang dimonologkan olehnya, Ilham menjadi terpempan seketika. Jeda.

'Relativiti? Tapi tadi ... Quantum Mechanics. Boleh pula gabung dalam model pelik yang aku buat guna ilham aku tu ya? Tapi bukan ke selama ni Relativiti dengan Quantum Mechanics tu memang tak ngam. Macam teori pasal graviton tu. Tapi ... aku ... aku ....' Ilham tidak sanggup meneruskan kata-katanya.

Ilham berkira-kira di dalam hatinya, sama ada dia telah menghasilkan sebuah teori gila yang mampu menghubung kaitkan antara Relativiti dan Fizik Kuantum, atau dia telah melanggar disiplin ilmu Fizik sehingga boleh mencampur-adukkan sesuatu yang tidak boleh bersatu sampai bila-bila?

Ilham merebahkan dirinya di atas lantai, lalu merenung kipas di siling yang sedang berpusing. Otaknya ligat memikirkan semula model yang berjaya dihasilkannya. Dia hampir tidak percaya dengan apa yang baru dilakukannya.

'Kalau betullah macam tu, maksudnya aku dah berjaya menghasilkan sebuah model yang mampu merungkai kekusutan yang melanda dunia Fizik sejak sekian lama. Tapi tak mungkinlah. Aku mana mampu buat macam tu. Aku bukannya genius pun. Aku cuma bernasib baik sebab dapat ilham tu. Ilham yang aku tak minta pun.'

'Bernasib baik ke? Hmmh! Lagi malang adalah. Kalau aku tak dapat ilham tu semua, takdalah aku struggle nak habiskan bidang ni. Aku sendiri pergi cari nahas. Sebab aku perasan sangat yang aku ni genius selama ni. Padahal sebab ilham tu yang menipu aku selama ni menyebabkan aku sangka aku ni genius,' keluh Ilham penuh kekesalan di dalam hatinya.

Ilham bergolek ke kanan, lalu mengambil buku catatan yang terletak di atas lantai. Dia menatap semula apa yang ditulisnya sebentar tadi.

'Model ni kalau aku bentangkan pun, mana ada sesiapa nak percaya. Aku tak cukup bukti.'


Previous: BAB 18
Next: BAB 20

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.