Home Novel Seram/Misteri Fitrah
Fitrah
Hana Mizari
3/3/2018 23:49:01
122,713
Kategori: Novel
Genre: Seram/Misteri
BAB 31

ABNORMAL

Ilya memerhatikan pelik Kayril yang sedang memandang ke atas setelah habis membaca. Lagaknya seperti orang sedang berangan. Arya di sebelahnya pula langsung tidak terkesan dengan tingkah pelik yang dipamerkan Kayril. Dia terus membaca bukunya dengan senyap.

Buku yang baru habis dibaca tadi diletak ke tepi. Buku yang seterusnya pula diambil daripada menara buku di hadapannya. Kayril mengulang lagi tindakan tadi. Membaca dengan laju sekali lalu. Kemudian buku itu ditutup dan buku seterusnya diambil. Dia melakukannya pada kesemua jenis buku yang diambilnya tadi.

Kayril kemudiannya terdiam sejenak sambil memikirkan sesuatu. Baru dia perasan Ilya asyik memerhatikannya sahaja sedari tadi.

"Ada apa-apa ke kat muka saya ke Ilya?" soal Kayril.

"Tak," jawab Ilya ringkas.

"Habis tu?" soal Kayril semula.

"Awak dah habis baca ke? Laju betul," komen Ilya.

"Itulah special attribute dia," sampuk Arya yang senyap sedari tadi. Pembacaannya dihentikan seketika.

"Special attribute? Macam tu ke?" Terkebil-kebil mata Ilya tatkala mendengarnya.

"Ya, kan saya cakap tadi, saya boleh mengingat dengan mudah, kan? Tapi dengan cara yang istimewa," jelas Kayril. Berkerut dahi Ilya mendengarnya.

Sebenarnya, semasa Kayril memandang ke siling tadi, memanglah pada pandangan orang lain tiada apa-apa. Namun, pada pandangan Kayril, apa yang dibaca tadi dari dalam buku menjelma begitu sahaja di udara. Setelah tulisan itu menghilang, secara automatik dia telah mengingat kesemuanya.

Begitulah cara Kayril menghafal apa yang dibacanya. Caranya begitu istimewa. Kebolehan itu bukannya kebijaksanaan, sebaliknya suatu anugerah. Dengan cara ini, dengan mudahnya dia menghafal semua benda.

***

Setelah puas melakukan pencarian mereka di perpustakaan, mereka bertiga terus keluar dari perpustakaan tersebut. Mereka kemudiannya duduk berbincang di sebuah pondok yang terletak di perkarangan perpustakaan itu.

Perpustakaan Bibliotheca Alexandrina memang dikelilingi dengan landskap yang indah. Kawasan perkarangannya penuh dengan pelbagai jenis bunga-bungaan lengkap sebuah taman mini. Sebuah kolam mini lengkap dihiasi bunga teratai dan beberapa buah pondok kecil turut disediakan di taman mini tersebut.

Akibatnya, kawasan perkarangan perpustakaan itu seringkali menjadi tempat para pengunjung untuk mengambil swafoto masing-masing.

"Jadi, apa yang kamu semua dapat?" soal Kayril memulakan perbincangan.

"Saya masih tertanya-tanya pasal special attribute tu. Dari mana datangnya kuasa tu? Kenapa ada pada sesetengah orang je? Agak-agak, manusia secara semula jadinya memang ada kuasa ni tak? Atau ada sebab tertentu yang jadikan kita macam ni?" Ilya meluahkan segala soalan yang terbuku di hatinya.

"Hmm ... tu masih menjadi misteri sampai sekarang. Jangan biarkan diri anda diselubungi misteri ...." Kayril menjawab dengan suara dalam, cuba mengejok gaya percakapan pengacara rancangan misteri di televisyen. Dagunya turut dipegang dengan penuh gaya.

"Auch! Sakitlah Arya!" Arya menepuk belakang badan Kayril tiba-tiba.

"Seriuslah sikit." Arya cuba mengingatkan Kayril. Tersengih-sengih Kayril mendengarnya sambil menggosok belakang badannya perlahan.

"Errr ...." Ilya pula sudah tidak tahu apa reaksi yang harus diberikannya.

Kayril yang sedang menggosok belakang badan tiba-tiba menghentikan perbuatannya. Dia seperti menyedari sesuatu. Meja di pondok itu ditenungnya seperti ingin tembus hingga ke langit ketujuh. Tubuhnya statik sahaja sambil matanya ditumpukan pada permukaan meja tersebut seperti ada sesuatu yang tertulis di situ.

Ilya yang terkejut melihat tingkah drastik Kayril itu ingin menanyakan keadaannya tetapi dihalang oleh Arya.

"Just wait and see," ujar Arya.

Setelah tubuhnya kekal statik dalam keadaan itu selama beberapa saat, barulah dia memandang semula ke arah Ilya dan Arya. Raut wajahnya kembali ceria seperti tadi. Lega Ilya melihatnya. Namun Arya mengekalkan riak selambanya.

"Ya, Ilya. Saya setuju sangat kalau awak katakan Dark Arts tu asalnya daripada ritual pemujaan semangat masyarakat zaman dulu. Pada zaman tu, mereka pecaya yang semangat tu suatu makhluk yang berkuasa dan harus dihormati. Sebab tulah sebenarnya mereka puja semangat tu."

Kayril tiba-tiba sahaja menjadi serius dan ingin memulakan topik perbincangan. Dia seperti sudah arif akan topik perbincangan kali ini.

"Oh, macam tu pula. Tak sangka orang zaman dulu macam tu. Tadi, masa saya baca tadi pun saya jumpa benda yang sama. Maksud saya, tengoklah perangai spirit tu, awak rasa mereka tu layak ke dipuja?" Sekali lagi Ilya teringat akan perangai Zaf di rumah.

"Haha, mereka tak puja semualah. Cuma certain-certain je," sambung Kayril lagi.

"Certain aje? Tak semua? Kenapa mereka buat macam tu?" soal Ilya ingin tahu.

"Sebab bagi mereka ada semangat baik dan semangat jahat. Good spirit dan evil spirit. Yang baik mereka akan puja untuk dapatkan pelbagai manfaat. Yang jahat pula suka buat kacau. Tu kepercayaan merekalah." Kayril menyambung penerangannya yang terhenti separuh jalan tadi.

"Hmm ... good spirit versus evil spirit. Menarik. Ingatkan semua suka buat kacau, kecuali Maria dan Karina-lah. Good spirit versus evil spirit, mereka ni nanti berlawan ke?" Ilya semakin tertarik dengan titik perbincangan mereka.

"Ha'ah, tu kepercayaan mereka. Mereka minta perlindungan daripada semangat baik sebab takut semangat jahat kacau mereka," jawab Kayril.

"Macam cerita fantasi pula." Arya yang diam sedari tadi akhirnya mengusulkan pendapatnya.

"Jangan-jangan ni sumber idea mereka untuk tulis cerita fantasi tu. Pelik juga, dari manalah mereka mendapat sumber inspirasi untuk tulis cerita luar biasa macam tu." Ilya juga mengemukakan pendapatnya.

"Maybe daripada imaginasi mereka? Yalah, jangan perlekehkan kuasa imaginasi manusia." Kayril tiba-tiba terfikirkan sesuatu dengan kata-katanya ini.

"Imaginasi? Mungkin ya juga. Tapi ... bila saya tengok dalam banyak-banyak buku fantasi, kebanyakannya ada paten yang sama bila terangkan tentang kuasa magik. Macam mereka ni pakat pula. Kebanyakannya, kuasa magik tu asal dari makhluk supernatural yang mereka puja atau berdampingan dengan mereka. Persamaan ni tak mungkin kebetulan, kan?" Ilya mengemukakan pendapatnya sekali lagi.

"Jadi?" Kayril memohon lebih penjelasan.

"Saya tertanya-tanya juga, dari mana mereka dapat sumber inspirasi tu. Mungkin dari kepercayaan dan mitologi lama. Dari situ, mereka dapat idea tentang kuasa magik yang boleh dapat dengan cara berdampingan dengan makhluk supernatural macam spirit. Siap guna istilah spirit lagi. Tapi tak percaya pula. Pelik betul," sambung Ilya lagi.

"Betul juga. Kepercayaan dan mitologi lama memang selalu jadi sumber inspirasi penulis cerita fantasi." Kayril bersetuju dengan pendapat Ilya.

"Cakap pasal kepercayaan lama, semangat baik tu bagi perlindungan daripada semangat jahat, kan? Okey ... itu pasal mereka sanggup puja. Jadi, dari semangat baik tu, mereka dapatkan kuasa tu? Dari sinilah datangnya Dark Arts. Tapi ... Light Arts dari mana pula?" Ilya mengajukan soalan seterusnya pula.

"Light Arts tu semula jadi dapat dari lahir." Arya mengulang semula apa yang pernah dikatakannnya kepada Ilya dahulu.

"Tahu, tapi ... macam mana pula boleh ada orang tertentu dapat Light Arts?" Ilya menjelaskan soalannya dengan lebih spesifik.

"Ilya ni memang pandai buat kami jadi pening. Tak tahulah, memang susah nak cari maklumat pasal Light Arts ni. Misteri sangat. Macam tiba-tiba je ada, kan?" Kayril pun buntu untuk menjawab soalan Ilya.

"Hmm ... good versus evil. Light versus dark. Light Arts versus Dark Arts?" Arya tiba-tiba mengajukan soalan rawak.

Soalan rawak daripada Arya itu mengundang perhatian daripada Ilya dan Kayril. Mereka berdua memandang ke arah Arya serentak.

"Aku tak terfikir pun pasal tu, Arya. Kita ni lahir sebab nak lawan mereka ke apa?" Melopong sejenak Kayril mendengar soalan Arya itu.

"Pula. Lawan mereka untuk apa? Kan mereka guna Dark Arts untuk lawan dengan evil spirit tu, kan?" Ilya pun menjadi semakin pening mendengarnya.

"Oh, tak ya juga. Ingatkan Light Arts tu dapat dari good spirit dan sebaliknya. Kan itu lebih sesuai pasangannya." Arya pula mengemukakan pendapatnya.

"Lagi satu, kalaulah semua manusia lahir dengan kuasa secara semula jadi macam pengguna Light Arts macam kita, takdalah manusia beria-ia puja golongan spirit tu," sambung Arya lagi.

"Betul juga tu. Mereka puja tu untuk apa? Macam seolah-olah mereka tak tahu kewujudan kuasa Light Arts ni," balas Ilya pula.

"Mustahil mereka tak tahu," ujar Kayril mendatar. Ilya dan Arya memandang ke arahnya serentak memohon penjelasan.

"Sebab kepercayaan mereka pada benda supernatural ni kuat zaman dulu. Tak mungkinlah mereka tak tahu. Zaman sekarang ni lainlah, siapa yang percaya lagi selain kita yang alami sendiri perkara ni," sambung Kayril lagi.

"Ada kemungkinan tak yang pengguna Light Arts ni sebenarnya muncul kemudian?" Ilya tiba-tiba mengusulkan teori pelik. Kayril dan Arya terus memandang serentak ke arah gadis itu.

"Muncul kemudian? Macam mana pula tu?" Kayril memohon lebih penjelasan akan teori Ilya.

"Maksud saya, manusia secara asalnya memang takda kuasa tu. Sebab tu manusia pergi melakukan ritual pemujaan golongan spirit untuk dapatkan kuasa Dark Arts tu. Tapi, ada sebab tertentu kenapa golongan macam kita ni wujud. Kamu rasa? Macam mana teori saya ni?" jawab Ilya.

Kayril termenung sejenak memikirkan teori pelik yang dikemukakan Ilya. Berkerut dahi dia memikirkannya.

"Maksud awak, kita ni tak normal ke? Kita ni luar daripada kebiasaan manusia normal, macam tu ke?" Arya ingin memastikan kefahamannya betul.

"Ya, kita ni abnormal. Mungkin sebab tu kita disisihkan masyarakat dan hak kita diketepikan. Dan sekarang ni, mereka tak tahu langsung kewujudan kita." Ilya meluahkan apa yang terbuku di hatinya.

Kayril yang diam sambil berfikir sedari tadi terus menghentikan aktiviti otaknya lalu memandang ke arah Ilya terkejut. Matanya membuntang luas memandang Ilya. Dia kemudian memandang ke arah Arya dan Ilya silih berganti.

"A ... ab ... normal? Kita abnormal ke selama ni?" Kayril ingin memikirkan semula kata-kara Ilya tadi. Sukar untuk dia menerimanya. Dilahirkan sebagai manusia abnormal bukan perkara yang boleh dipermainkan.

"Jadi apa kesan manusia lahir abnormal?" Giliran Arya pula mengajukan soalan.

"Mungkin ... kita akan lalui perkara-perkara yang manusia normal tak lalui ...," balas Kayril.

"Memang dah pun. Contohnya boleh tengok spirit atau terperangkap dalam dunia pelik," sampuk Ilya.

"Mungkin ... kita akan jadi tikus makmal kalau mereka tahu kewujudan kita." Kayril membuat suara dalam, sengaja menimbulkan suspens. Akan tetapi, Arya dan Ilya sedikit pun tidak terkesan dengan suasana suspens yang cuba ditimbulkan Kayril.

"Ada kemungkinan juga tu. Sebab kita ni tak normal, kan? Mesti mereka curious pasal kita kalau mereka tahu kewujudan kita. Mungkin ... tubuh kita tak dapat terima sesuatu yang boleh diterima tubuh normal manusia. Sebab tu mereka curious." Ilya mengemukakan teorinya lagi.

Kayril sebenarnya sengaja bergurau tadi untuk mengenakan mereka berdua. Akan tetapi, tidak sangka pula Ilya mengambil serius akan gurauan Kayril tadi.

"Jadi bahan ujikaji ...." Arya ingin mengatakan sesuatu tetapi bicaranya terhenti di tengah ayat. Lidahnya terasa berat sahaja untuk meneruskan pertuturannya. Riak wajahnya bertukar serius. Sebelah tangannya yang diletakkan di atas riba digenggam kuat. Kepalanya menunduk. Dia seperti marahkan sesuatu.

"Arya? Kenapa?" soal Kayril pelik. Ilya turut memandang ke arahnya dengan seribu tanda tanya. Ingin tahu akan apa yang difikirkan Arya.

Menyedari yang dirinya diperhatikan dua orang rakannya, Arya terus menggeleng perlahan sambil tersenyum. Dia berkata, "Takda apalah."

"Kau ni buat aku risau je." Kayril menghela nafas kelegaan, namun Ilya mengesyaki Arya seperti sedang menyembunyikan sesuatu melalui tingkahnya itu.

"Kalau betullah apa yang awak cakap tu Kayril, seram pula saya rasa nak balik Bandar Medici. Rasa macam nak duduk kat Bandar Historia ni je. Bandar ni lagi best," luah Ilya.

"Ya, betul awak cakap tu Ilya. Bandar Medici tu ada mad scientist yang duduk. Tak selamat pun." Arya tiba-tiba bersuara.

"Mad scientist?" Ilya dan Kayril menyoal serentak. Tidak faham apa yang cuba disampaikannya.

"Dahlah, jom kita balik. Mungkin Pakcik Farma dan Makcik Kanon dah lama tunggu kita." Arya tidak menjawab soalan mereka berdua, sebaliknya dia menukar topik perbualan tiba-tiba. Dia seperti mengelak sahaja untuk membincangkan topik ini dengan lebih jauh.

Arya bingkas bangun lalu meninggalkan pondok itu. Ilya dan Kayril yang masih terpinga-pinga turut bangun lalu mengejar langkah Arya. Setelah berjalan ke arah sebuah kawasan tanah lapang yang terdapat di perkarangan perpustakaan itu, Arya menghentikan langkahnya. Ilya dan Kayril turut sama berhenti.

Pada mulanya, Ilya dan Kayril tidak faham kenapa Arya berhenti di situ tiba-tiba. Namun setelah beberapa detik, sebuah dron mendarat di hadapan mereka bertiga. Setelah menyemak dron itu yang ditempahnya sebelum ini, Arya terus mengajak Ilya untuk pergi bersama.

Sebelum keluar dari perpustakaan tadi, dia telah sempat menempah perkhidmatan dron untuk perjalanan pulang pula.

"Ilya, jom balik!" ajak Arya tanpa mempedulikan Kayril. Pintu dron telah pun terbuka. Mereka berdua pun melangkah masuk.

Sejurus dron itu terbang meninggalkan perkarangan itu, barulah Kayril menyedari sesuatu. Sekali lagi dia ditinggalkan seorang diri. Melopong sahaja dia melihat dron itu yang kian menghilang dari pandangannya.

"Takkan kena tinggal lagi?" rintih Kayril seorang diri.


Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.