Home Novel Seram/Misteri Fitrah
Fitrah
Hana Mizari
3/3/2018 23:49:01
105,284
Kategori: Novel
Genre: Seram/Misteri
BAB 20

SESI PSIKOTERAPI

Dr. Athari menyelak dokumen perubatan milik Ilya. Ilya yang duduk di atas kerusi empuk berhadapan dengan doktor itu hanya diam membatu. Tubuhnya disandarkan di kerusi empuk tersebut. Dia menayangkan wajah kelat sedari tadi, menggambarkan ketidak relaannya dipaksa menghadiri sesi psikoterapi dengan Dr. Athari.

Kalau tidak kerana Airis yang memaksanya, sudah pasti batang hidungnya tidak akan kelihatan pun di hadapan Dr. Athari.

Setelah selesai menyelak dokumen tersebut, Dr. Athari meletakkan dokumen itu di atas meja kerjanya. Kepalanya yang sedang tunduk, diangkat untuk menghadap wajah Ilya yang masih mencuka. Senyuman yang manis terukir di bibir Dr. Athari, ingin menenangkan gadis itu.

"Ilya? Macam mana keadaan awak sejak seminggu ni? Semakin baik?" Soalan diajukan Dr. Athari dengan penuh kelembutan. Wajah putih mulus Ilya ditatap penuh makna.

"Okey." Ilya menjawab ringkas dan mendatar. Pandangannya dilarikan ke arah siling bilik, malas menatap wajah doktor ini.

"Makan tak ubat yang saya bagi?" Dr. Athari mengajukan satu soalan yang amat tidak disukai Ilya.

Ilya mendengus kasar sebelum menjawab dengan malas, "Makan."

Dr. Athari melirikkan senyuman sebelum membalas, "Good. Macam tulah. Ilya jangan miss makan ubat tau, supaya cepat baik." Senang hati dia mendengar jawapan itu daripada pesakitnya.

'Baik? Huh! Orang macam aku ni boleh baik ke dengan makan ubat?' soal Ilya dengan sarkastik di dalam hatinya.

Sakit hati Ilya tatkala mendengar perkataan baik itu daripada Dr. Athari. Cukup-cukuplah memberi harapan palsu kepada ibu dan bapanya yang tidak berjaya disembuhkan dengan rawatan di hospital. Dia tidak mahu terus mengharap akan sesuatu yang tidak pasti. Dia benar-benar sudah hilang kepercayaannya. Lagipun, Ilya percaya bahawa dirinya tidak sakit pun.

"Ilya? Kamu okey tak ni? Kenapa buat muka cemberut macam tu?" soal Dr. Athari setelah mendapati perubahan pada wajah Ilya. Sebagai seorang doktor dalam bidang psikiatris, dia memang pakar untuk membaca perasaan yang disembunyikan melalui mimik muka.

"Takda apa-apalah," jawab Ilya senada.

"Betul ke ni takda apa-apa? Kongsilah dengan doktor. Doktor akan cuba bantu apa yang boleh," pinta Dr. Athari prihatin.

Ilya menegakkan tubuhnya sebelum membuka bicara, "Kalau saya terangkan pun bukannya doktor boleh faham pun. Orang macam doktor ni memang takkan faham masalah kami golongan minoriti ni."

"Golongan minoriti? Apa maksud kamu Ilya?" Dr. Athari mengerutkan dahinya.

"Dalam dunia ni ada dua jenis golongan. Sama ada yang menindas, atau yang ditindas. Tapi biasanya golongan minoritilah yang selalu ditindas, kan? Sebab sebagai golongan minoriti, hak kami sering diketepikan, suara kami tidak didengari." Ilya mula berfalsafah pula.

Semakin jelas kerutan di dahi Dr. Athari tatkala mendengar bicara yang dituturkan Ilya. Sungguh, dia tidak mengerti akan apa yang cuba disampaikan pesakitnya itu.

"Ilya, cuba berterus-terang dengan doktor. Apa masalah sebenarnya? Supaya senang doktor boleh bantu?"

"Doktor pernah rasa tak, mana-mana ahli keluarga doktor atau mana-mana kenalan rapat doktor ditimpa sakit kronik? Lepastu bila hantar hospital, rawatan di hospital tak beri kesan apa-apa. Malah, the worst case jadi makin teruk."

"Hmm ... setakat ni doktor tak pernah alami lagi situasi macam tu. Tapi doktor faham, ibu kamu sekarang sedang menjalani rawatan di hospital lagi, kan?" Dr. Athari mengusap perlahan dagunya, menandakan orang sedang berfikir.

"Dah discharge dah. Saya sendiri yang minta nak discharge mama," terang Ilya dengan selamba.

"Ilya, kenapa buat macam tu?" Terbeliak mata Dr. Athari tatkala mendengar penjelasan selamba daripada Ilya.

"Saya belum habis cerita lagi doktor." Tanpa mempedulikan pertanyaan Dr. Athari, Ilya tetap ingin menyambung ceritanya.

"Sudahnya, mereka semua mati macam tu je. Kalau sekali dua, saya boleh tahan lagi. Kalau banyak kali berlaku macam tu, saya tak boleh tahan lagi dah. Saya rasa saya kena cari jawapannya kenapa keluarga saya je macam tu? Kenapa tak orang lain?" Jelas ketegangan dapat dirasai melalui nada suara yang disampaikan Ilya.

Dr. Athari melepaskan keluhan berat. Dahinya sudah berkerut seribu. Kepalanya yang tidak gatal digaru. Pening memikirkan apa jawapan patut diberikan bagi memujuk Ilya yang kelihatan gundah-gulana dengan luahan perasaan yang disampaikannya. Kata-kata mesti disusun dengan elok, agar tidak mengguris hati si gadis. Dalam masa yang sama, dia tidak mahu Ilya hilang kepercayaannya terhadap sistem perubatan di bandar itu.

"Doktor, salah kami ke keluarga kami jadi macam ni? Saya tahu kami yang bersalah. Takkan sistem perubatan yang sempurna di Bandar Medici ni tak mampu merawat kami, kan? Melainkan kami sendiri yang tak patuh pada rejim rawatan. Yalah, sistem perubatan yang terbaik di dunialah katakan." Dengan sinis sekali Ilya melontarkan bicara.

"Bu ... bukan macam tu, Ilya. Kami tak maksudkan macam tu," tingkah Dr. Athari cuba memujuk.

"Habis tu, kenapa keluarga kami dicemuh setiap kali rawatan tak berkesan pada keluarga kami? Baik di alam nyata atau di alam maya. Memang keluarga kami bersalah, kan?" Ilya terus-menerus cuba berhujah dengan Dr. Athari. Mendatar sahaja lantunan suaranya tetapi cukup tajam sindirannya.

"Kami di bidang perubatan ni tak pernah nak salahkan pesakit kami sekiranya rawatan yang diberikan tak mampu membantu kamu semua. Tapi, dalam masa yang sama kami harapkan kerjasama yang baik antara dua belah pihak. Apa yang kami mahukan cumalah melihat pesakit yang kami rawat kembali sembuh seperti sediakala."

Dr. Athari cuba membalas hujah, namun nada suaranya cuba dikawal agar tidak meninggi. Dia perlu kekal tenang dan profesional tatkala berhadapan dengan pesakitnya yang agak tidak stabil dari segi emosi ini.

"Tak pernah salahkan pesakit? Huh! Setiap kali ahli keluarga kami mati, ada je mulut-mulut sumbang yang kutuk keluarga kami. Macam kami ni sampah masyarakat. Hina sangat ke keluarga kami ni hah? Hina sangat?" Ilya menjadi semakin beremosi.

Dr. Athari menarik nafas sedalam-dalamnya sebelum menghembuskannya semula. Ketenangan cuba dikumpulkan bagi meleraikan perdebatan yang semakin tegang ini. Niat di hatinya ingin menolong sahaja, tetapi entah bagaimana perbualan mereka bertukar menjadi sebuah perdebatan yang serius.

"Ilya, apa yang masyarakat katakan tu, di luar kawalan kami."

Hanya itu sahaja yang mampu dikatakan Dr. Athari untuk membalas hujah Ilya. Dia harus berlaku jujur. Dia tidak mahu bermanis dalam berbicara. Dia tidak mahu menyorokkan kebenaran yang pahit lalu mengatakan yang baik-baik sahaja di permukaan. Dr. Athari ada prinsip. Baginya, berkatalah benar walaupun pahit.

"Luar kawalan? Senang je kan nak lepaskan tanggungjawab! Lepastu kami yang kena tanggung semua. Dahlah, tutup jelah perbincangan kita ni. Saya dah malas nak terangkan lagi. Lantaklah doktor nak percaya atau tak."

Lantas Ilya bangun dari kerusi empuk itu lalu berjalan meninggalkan bilik tersebut dengan perasaan tidak puas hati. Dr. Athari terkejut dengan tindakan Ilya secara tiba-tiba itu.

"Ilya! Kamu nak ke mana tu?" Tatkala tangan Ilya memegang tombol pintu, Dr. Athari memanggilnya untuk menghentikan gadis itu daripada keluar dari bilik.

Langkah Ilya dimatikan lalu berpaling secara drastik. "Saya nak baliklah, nak pergi mana lagi!"

"Ilya, duduk dulu. Sesi terapi masih belum habis lagi," pujuk Dr. Athari dengan lembut sambil berjalan menghampiri Ilya.

Ilya mendengus kasar sebelum dia berjalan semula ke arah kerusi pesakit, akur akan permintaan Dr. Athari dalam penuh keterpaksaan. Dr. Athari turut duduk semula di kerusinya. Bibirnya cuba mengukir senyuman bagi memadamkan api kemarahan yang sedang marak pada Ilya.

Ilya mendongak memandang siling. Nafas ditarik sedalam-dalamnya untuk mengumpulkan ketenangan. Dr. Athari pula hanya membiarkan Ilya bertenang seketika sambil memerhatikan gadis itu.

"Ilya? Dah hilang belum marah tu?" soal Dr. Athari setelah beberapa ketika.

"Dah," balas Ilya malas.

"Okey, kita mulakan balik sesi terapi ya?" Ilya membalasnya dengan anggukan di kepala.

"Okey, kita buka kisah baru pula, ya. Cuba Ilya ceritakan tentang kawan-kawan Ilya tu. Dalam seminggu ni berapa kali mereka cuba nak contact Ilya?" Dengan bersahaja dan tenang Dr. Athari melemparkan soalan.

"Kawan-kawan? Kawan yang mana satu ya? Saya mana ada ramai kawan sangat. Ke yang doktor maksudkan ni, mereka tu?" Nada suara Ilya direndahkan di hujung bicara. Matanya menjeling ke suatu arah, seolah-olah ada sesuatu yang dilihatnya di ekor mata.

"Ya, kawan-kawan istimewa Ilya. Mereka yang hanya mampu dilihat Ilya."

"Istimewa?" Ilya tergelak sebentar sebelum menyambung semula bicaranya, "Tak. They are pretty annoying actually. Kalau mereka tak munculkan diri mereka depan saya lagi bagus."

Melopong Dr. Athari seketika tatkala mendengar jawapan balas daripada Ilya. Jawapannya itu memang tidak disangka-sangka.

'Apa maksud dia cakap macam tu? Adakah keadaan dia dah semakin baik?' Dr. Athari membuat andaian di dalam hatinya.

"Jadi, Ilya, kamu memang taknak mereka muncul, atau kamu memang tak percaya lagi akan kewujudan...." Kata-katanya terputus, dia tidak ingat apakah perkataan yang Ilya selalu gunakan bagi merujuk entiti itu. Entiti yang menurut kepercayaan Dr. Athari tidak wujud dan hanyalah sebahagian halusinasi visual yang dihasilkan minda Ilya.

"Spirit," sambung Ilya tanpa teragak-agak.

"Ya, spirit tu," sambung Dr. Athari semula akan kata-katanya mengulang semula apa yang disebutkan Ilya.

"Doktor, tak kisah sama ada mereka munculkan diri mereka di depan saya atau tak, mereka tetap wujud. Mereka bukan halusinasi. Mereka wujud. Bila saya cakap macam tu, bukannya sebab saya dah tak percaya dah akan kewujudan spirit. Tapi sebab saya cuma agak annoying dengan mereka." Ilya menegaskan pernyataannya.

Bagi Ilya, tiada sebab untuk dia terus berpura-pura dan menafikan kewujudan makhluk bernama spirit itu. Lagipun, spirit memang betul-betul wujud. Untuk apa dia berdusta. Dia akan bertegas dengan kebenaran, tidak kisah walau bagaimana sekalipun semua orang menafikannya.

"Tapi tak semualah." Ilya tiba-tiba teringat akan Maria dan Karina, dua spirit yang baginya amat menyenangkan hatinya, berbeza dengan spirit yang lain.

Dr. Athari melepaskan keluhan. Kedua-dua tangannya meraup muka dengan siku yang ditongkatkan di atas meja.

'Belum lagi rupanya. Nampaknya dia masih berdelusi akan kewujudan entiti tak wujud tu.' Dr. Athari mencatat sesuatu di dalam rekod perubatan milik Ilya.

Ilya hanya memerhatikan Dr. Athari melakukan tugasnya.

"Ilya, ceritakan lagilah pasal kawan-kawan kamu tu," pinta Dr. Athari setelah mendapati Ilya mendiamkan diri buat seketika.

"Panjang lagi ke sesi psikoterapi ni?" Ilya sudah tidak sabar-sabar lagi untuk meninggalkan bilik ini. Dia rimas benar akan pertanyaan demi pertanyaan yang diasak kepadanya.

"Takpa, ceritakan sajalah, Ilya. Panjang lagi sesi psikoterapi ni. Saya sengaja panjangkan sesi ni khas untuk kamu, memandangkan kamu ni special sikit banding dengan pesakit lain." Tangan Dr. Athari masih ralit mencatatkan sesuatu pada rekod perubatan Ilya.

'Ah, sudah!' Ilya menyandarkan badannya secara drastik ke kerusi empuk yang didudukinya. Satu keluhan berat dilepaskan.

Kalau boleh, Ilya mahu cepat-cepat menghabiskan sesi psikoterapi ini, tetapi Dr. Athari pula yang memanjangkan sesi ini.

'Panjangkan? Seriously? Sebelum ni pun aku dah rasa cukup lama. Sampaikan satu minit pun aku rasa macam dah sejam berlalu. Kenapa ya jadi macam tu?'

'Sebab masa tu relatif.' Tiba-tiba ada satu suara lain menyampuk monolog yang dihasilkan mindanya secara tiba-tiba. Suara itu seolah-olah menjawab soalan yang dilemparkannya tadi. Serta-merta riak wajah Ilya menjadi pucat tidak berdarah.

'Ah, suara tu lagi!'

"Ilya?" panggil Dr. Athari setelah mendapati perubahan pada riak wajah Ilya.

"Ah, ya doktor. Saya okey je. Saya takda apa-apa." Ilya cuba menyembunyikan perasaannya. Dia tidak mahu Dr. Athari mengetahui akan simptom baru penyakitnya ini.

Walau bagaimanapun, Dr. Athari tetap mengesyaki sesuatu yang disembunyikan Ilya. Tiada apa yang boleh disembunyikan daripada pandangan seorang doktor psikiatris sepertinya.

Selapas itu, sesi psikoterapi terus berjalan seperti biasa. Ilya pula seperti biasa, merasakan masa berjalan lebih lambat daripada biasa disebabkan ketidak relaannya dipaksa untuk menghadiri sesi ini. Lagipun, masa itu relatif bukan?

***

'Fuh! Habis juga akhirnya,' luah Ilya penuh kelegaan setelah keluar dari bilik Dr. Athari.

Sejurus sahaja dia keluar, datang seorang gadis berambut biru menerpa ke arahnya secara tiba-tiba. Terus sahaja gadis itu memeluk Ilya dengan kuat sekali sambil menggenyehkan pipinya dengan pipi Ilya. Ilya pula hanya mampu terpinga-pinga dengan tingkah gadis itu yang menyerangnya secara tiba-tiba.

"Ilya!" Panggilan penuh keterujaan daripada si gadis sudah cukup untuk membuatkan Ilya kenal akan gerangan yang menerpa ke arahnya secara tiba-tiba.

"Layla? Apa awak buat kat sini?" soal Ilya setelah gadis itu melepaskan pelukannya.

"Nak jemput awak baliklah," balas Layla dengan nada riang persis kanak-kanak berusia lima tahun.

"Ah, takpa! Saya boleh balik sendiri. Menyusahkan awak je Layla."

"Tak menyusahkanlah. Kita kan dah lama jadi kawan. Lagipun, saya nak jemput awak ke rumah saya malam ni." Layla memberitahu tujuan sebenar dia datang bertemu Ilya di hadapan bilik bapanya sendiri iaitu Dr. Athari.

"Malam ni?" soal Ilya memohon lebih penjelasan.

"Ya, malam ni. Abang dan kakak saya balik malam ni sebab cuti semester. Kebetulan papa dan mama pun tak bertugas malam ni. Jadi, kami ingat nak buat special sikit malam ni. Sebab bukan selalu pun dapat keluarga saya dapat berkumpul." Layla menerangkan dengan begitu bersemangat.

"Jadi, apa kena-mengena dengan saya ni?"

"Papa nak jemput Ilya makan malam bersama kami, boleh?"

"Ya, Ilya. Marilah makan bersama kami. Ada banyak yang doktor ingin bincangkan dengan kamu malam ni," sampuk Dr. Athari secara tiba-tiba. Ilya langsung tidak menyedari sejak bila Dr. Athari keluar dari biliknya.

'Ah, another psychotherapy session again? Tak cukup lagi ke?' rungut Ilya di dalam hatinya.

"Eh, papa! Bila papa keluar? Layla tak perasan pun."

"Tadi papa dengar bunyi bising-bising kat luar, jadi papa keluarlah nak tengok apa yang berlaku."

Ilya menjeling tajam gadis berambut biru itu. Layla pula sudah memuncungkan mulutnya sambil memandang ke arah lain, buat-buat tidak bersalah akan tingkahnya sebelum ini.

"Jadi, Ilya setuju tak?" soal Dr. Athari memohon kepastian.

"Jomlah, Ilya!" ajak Layla beria-ia.

Setelah diam sejenak, Ilya menjawab, "Okeylah. Malam ni saya bukannya ada apa-apa pun."

"Hooray!" teriak Layla kegirangan. Ilya pula hanya mampu menyimpulkan senyuman tipis di bibirnya.

Ilya sebenarnya rapat dengan Layla pun disebabkan gadis itu merupakan anak kepada doktor yang merawatnya. Nasib Ilya memang baik kerana mendapat sahabat yang benar-benar memahami seperti Layla.



Previous: BAB 19
Next: BAB 21

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.