Home Novel Seram/Misteri Fitrah
Fitrah
Hana Mizari
3/3/2018 23:49:01
105,536
Kategori: Novel
Genre: Seram/Misteri
PROLOG

Api pelita meliuk lentok ditiup angin malam sepoi-sepoi bahasa. Asap kemenyan yang dibakar berkepul-kepul memenuhi ruang udara. Kedinginan embun pada malam itu menambahkan lagi suasana seram di rumah kayu milik si pembakar kemenyan.

Kelihatan seorang tua memakai sepersalinan lengkap untuk ritual penyatuan dengan semangat. Pakaian yang dipakai lelaki tua itu serba hitam, lengkap dengan hiasan kepalanya sekali. Dia duduk di tengah ruang sorong rumah kayu itu. Berhampiran dengan lelaki tua tersebut terletak sebuah bekas berisi kemenyan yang dibakar, sebuah mangkuk berisi limau purut berserta garam kasar, sebilah senjata pendek seperti pisau, berserta beberapa barangan logam yang disusun di atas kain berwarna kuning. Mulut lelaki itu terkumat-kamit membaca jampi serapah. Matanya pula terpejam rapat.

Di hadapan lelaki tua itu, seorang lelaki, seorang perempuan dan beberapa orang kanak-kanak duduk bersimpuh dengan begitu tertib. Mereka kelihatan seperti satu keluarga. Sekumpulan kanak-kanak itu langsung tidak menunjukkan tanda takut walaupun mereka semua berhadapan dengan ritual yang menyeramkan. Ibu dan bapa mereka pula terus memerhatikan lelaki tua itu dengan khusyuk.

Selang beberapa minit, akhirnya lelaki tua itu membuka matanya secara mengejut. Matanya terjegil, mukanya pula bengis. Matanya yang terjegil itu melilau memandang semua orang yang berada di teratak kayunya. Akhirnya pandangan matanya terhenti pada seorang lelaki yang merupakan ketua kepada keluarga itu. Dia memberi isyarat kepada bapa mereka untuk menghampirinya.

Lelaki itu akur lalu menghampiri lelaki tua tersebut. Mereka berdua kelihatan sedang membincangkan perkara yang serius. Isterinya pula setia menunggu di tempat duduknya. Setelah beberapa minit berbincang, akhirnya lelaki itu mengangguk tanda setuju dengan permintaan lelaki tua itu. Dia kemudian menoleh untuk memanggil salah seorang daripada anaknya.

"Kemboja!" panggil lelaki itu kepada salah seorang anak perempuannya.

"Ya, bapa," sahut gadis kecil dalam lingkungan tujuh tahun yang sedang ralit bermain bersama adik-beradiknya yang lain.

"Mari sini," arah bapanya ringkas. Kemboja dengan riangnya berjalan ke arah bapanya. Bapanya memandang ibunya dengan pandangan tajam seperti meminta sesuatu. Ibunya mengangguk perlahan.

"Ya, ada apa bapa?" tanya Kemboja yang telah pun duduk di atas riba bapanya.

"Kemboja, lepas abang kamu Kasturi, kini giliran kamu pula untuk menerima penyatuan dengan semangat. Kamu sudah bersedia?" tanya bapanya kepada Kemboja dengan riak wajah serius.

"Hmmm... bapa, apa tujuannya Kemboja terima penyatuan dengan semangat ini? Kalau Kemboja tolak, bagaimana?" tanya gadis kecil itu dengan suara manja.

"Tidak, Kemboja ini memang sudah menjadi adat dalam keturunan kita untuk menerima penyatuan dengan semangat. Ini adalah perjanjian nenek-moyang kita terhadap semangat itu dan tugas Kemboja adalah untuk mewarisinya daripada nenek-moyang kita. Abang-abang dan kakak Kemboja sudah menerimanya. Sekarang giliran Kemboja pula," terang bapanya panjang lebar.

"Oh, macam gitu. Jadi, apa tujuannya nenek-moyang kita dulu membuat perjanjian dengan semangat itu semua bapa?" tanya Kemboja semula.

"Tujuan perjanjian itu dibuat adalah untuk menjadikan keturunan kita ini hebat, kuat, bijaksana, dipandang tinggi masyarakat selain untuk melindungi keluarga kita daripada segala bala bencana yang bakal menimpa. Penyatuan ini juga penting untuk melindungi kamu daripada semangat jahat yang suka mengganggu kamu sebelum ini. Kamu kena ingat pesan Nenek Yan dulu, kamu ini anak istimewa. Jika kamu tidak dilindungi, segala semangat jahat akan cuba mengganggu kamu. Kamu kena ingat tu," sambung bapanya lagi sambil mengusap kepala anak perempuan kesayangannya itu.

Kemboja mengangguk tanda faham akan penerangan bapanya. Kemudian Kemboja diarahkan untuk duduk berhadapan dengan lelaki itu untuk memulakan upacara penyatuan dengan semangat. Sementara itu, adik-beradiknya yang lain hanya memerhatikannya sahaja tanpa sebarang bicara.

***

"Perjanjian ini akan menjadikan kamu kuat."

"Perjanjian ini akan menjadikan kamu hebat."

"Perjanjian ini akan menjadikan kamu cantik dan jelita."

"Perjanjian ini akan menjadikan seluruh keturunan kamu dilindungi daripada segala marabahaya."

"Aku akan setia memegang janjiku selagi mana keturunanmu tidak mengkhianati perjanjian denganku, jika tidak padah akan menimpa!"

"Ingat itu pesanku, wahai manusia yang lemah."

Suara garau lagi menakutkan itu bergema di ruang udara rumah kayu itu. Ibu dan bapa Kemboja menelan liur masing-masing tanda gerun dengan amaran semangat itu. Kemboja pula masih tidak berganjak sedikit pun dari tempatnya walaupun suara garau itu menyergahnya. Kemboja langsung tidak menunjukkan rasa takut, dia masih lagi dalam mood periangnya, sesuai dengan usianya yang masih kanak-kanak.

"Sudikah kamu menerima penyatuanku wahai manusia?" soal suara garau itu.

Dengan berasa begitu yakin tanpa syak wasangka, Kemboja menjawab, "Baiklah semangat. Hamba sudi menerima tawaran darimu."

Next: BAB 1

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.

Karya lain oleh Hana Mizari