Home Cerpen Alternatif Pohon Kebenaran
Pohon Kebenaran
Hana Mizari
27/2/2018 12:07:26
5,811
Kategori: Cerpen
Genre: Alternatif

Aku adalah sebuah pohon kebenaran hidup subur di muka bumi yang luas. Akarku kukuh memasak di permukaan bumi, sementara batangku teguh tidak akan bergoyang sedikit pun dek angin yang kencang. Dahan yang tumbuh daripadaku bercabang-cabang dan dari setiap cabang dahan tumbuh pula daun yang lebat merimbun. Daun yang sentiasa hijau tidak kira musim apa pun yang melanda hatta musim luruh sekalipun. Buah yang tumbuh di dahanku pula rasanya manis apabila dimakan dan boleh dijadikan apa-apa sahaja daripada buahnya.

Aku adalah pohon yang memberi manfaat kepada sesiapa sahaja yang sudi menumpang manfaat daripadaku. Aku tidak kisah dan tidak pula meminta balasan. Seluruh tubuh badanku aku serahkan kepada manusia untuk memanfaatkan dengan sebaiknya. Batangku yang teguh menjadi tempat bersandar kepada mereka yang ingin melepaskan lelah setelah penat berkerja.

Daunku yang merimbun menjadi tempat teduhan daripada sinar mentari yang memancar garang. Malah, embun yang menitis daripada dedaunan yang tumbuh daripada dahanku ini menyejukkan suasana dinihari. Buah yang aku hasilkan pula boleh dimanfaatkan dalam apa sahaja cara, boleh dimakan begitu sahaja, dijadikan kuih atau dimasak bergantung kepada kehendak dan keperluan masing-masing.

Aku akan terus memanfaatkan manusia selagi mana akar yang memasak tubuhku di permukaan bumi ini teguh berdiri.

Aku pun tidak ingat sejak bila aku hidup dan memberi kehidupan. Apa yang aku tahu, aku sentiasa dijaga oleh manusia yang ingin terus memanfaatkan aku. Mereka akan menyiram aku supaya aku sentiasa subur. Mereka akan membaja aku supaya aku kekal sihat. Mereka akan hindarkan aku daripada sebarang virus yang akan merosakkan tubuhku. Malah, mereka akan cabut apa-apa sahaja lalang, tumbuhan parasit atau tumbuhan-tumbuhan lain yang hidup berhampiran denganku. Hal ini kerana, tumbuhan-tumbuhan lain akan bersaing untuk mendapatkan air dan nutrien daripada tanah denganku. Segala jenis haiwan perosak yang mengganggu kehidupanku juga turut dihapuskan. Aku tahu ianya kedengaran kejam sebab mereka juga makhluk yang ingin hidup, namun jika serangan mereka tidak ditangkis, mereka semua akan menggangguku dan aku tidak dapat terus hidup dan memberi manfaat kepada manusia.

Apa yang paling penting, mereka perlu pastikan akarku terus kekal memasakku di muka bumi. Hal ini kerana, tanpa akar yang kukuh, batangku yang teguh ini tidak dapat memberi sandaran lagi. Malah, batangku yang teguh ini akan tumbang dan menghempap dan memudaratkan orang pula. Jika akarku tidak kukuh juga, dahanku tidak akan diselimuti dedaunan rimbun yang menjadi teduhan dari cahaya matahari. Tanpa akar yang kukuh juga, aku tidak dapat menyerap nutrien daripada tanah dan menghasilkan buah-buah yang masak ranum.

Apa yang paling penting manusia harus bersabar untuk memastikan aku terus hidup dan memanfaatkan mereka.

Namun begitu, di dalam dunia yang fana ini manusia ada bermacam-macam ragam. Mereka tidak pernah puas dengan apa yang dihidangkan kepada mereka. Mereka sentiasa mahukan lebih. Mereka hanya mengikut kemahuan mereka, mengikut nafsu, mengikut logik akal yang tidak dipandu dengan kebenaran. Ya, kebenaran. Kebenaran yang daripada pohon ini. Kebenaran yang harus mereka dapatkan daripadaku. Mereka tidak boleh mencari kebenaran di pohon-pohon lain, pohon yang tidak menjanjikan kebenaran.

Mereka tidak berpuas hati dengan dedaunan rimbun yang menjadi tempat mereka berteduh. Ada yang mengatakan daun-daunku terlampau lebat sehingga menyukarkan mereka untuk menerima cahaya matahari. Mereka kata cahaya matahari itu penting untuk mereka meneruskan kehidupan, sebab matahari adalah sumber tenaga katanya. Ada juga yang mengeluh bahawa dedaunan yang tumbuh di dahanku ini tidak cukup lebat dan tidak mampu melindungi mereka daripada panahan terik sinar mentari.

Apa yang pasti, kedua-dua pihak bertelagah untuk menentukan siapakah yang lebih benar antara mereka. Masing-masing tidak mahu mengalah dengan pendapatnya. Mereka tidak mahu melihat kebenaran yang berada di hadapan mata mereka. Sebahagian daripada mereka sanggup mencantas sebahagian daun-daun yang tumbuh di dahanku supaya memuaskan kehendak mereka. Mereka tidak tahu bahawa aku amat benci diriku diperlakukan begitu. Ada juga yang sanggup melakukan pengubahsuaian kepadaku supaya jumlah daun-daun yang tumbuh menjadi bertambah lebat.

Namun begitu, usaha mereka untuk menggubah kebenaran mengikut acuan mereka sendiri gagal. Mereka tidak akan berjaya mengurangkan atau menambahkan sedikit pun daun-daun yang tumbuh di dahanku. Jumlahnya tetap sama tidak berubah. Malah sejak mula aku berdiri teguh lagi di muka bumi itulah jumlahnya tidak pernah berubah walau sedikit pun.

Aku adalah pohon kebenaran. Segala apa yang berada di batang tubuhku semuanya adalah kebenaran. Kebenaran tetap sama, tidak akan boleh berubah walau apa sahaja cabaran yang mendatang. Kebenaran tidak boleh ditentukan sesuka hati mengikut kehendak manusia.

Tidak cukup dengan daun, dahanku juga ingin digubah mengikut kehendak mereka. Mereka mahu menambah cabang-cabang yang tumbuh di batangku. Ada juga yang mahu mengurangkan atau membantutkan pertumbuhan cabang-cabang dahan. Malah, ada juga yang mahu menggubah pertumbuhan cabang-cabang dahan mengikut apa yang kelihatan cantik pada pandangan mereka.

Ada yang berkata, dahan-dahan yang tumbuh itu tidak cukup banyak untuk mereka bergayut, lalu mereka cuba mengubahsuaiku untuk menghasilkan dahan-dahan yang baru. Ada pula yang cuba mencantas dahan-dahanku, kerana bagi mereka dahan yang terlampau banyak akan mengganggu mereka. Namun begitu, dahan yang tumbuh di tubuhku tetap sama. Aku menolak segala perubahan yang mereka ingin lakukan ke atasku, dahan-dahan tetap mempunyai cabang yang sama, tidak berubah sedikit pun.

Walaubagaimanapun, dalam aku mengharungi kehidupan dan berjumpa dengan pelbagai kerenah dan ragam, aku masih ketemu juga dengan sekumpulan manusia yang setia berpegang teguh pada diriku yang sebenar. Malah, merekalah yang banyak membantuku untuk mengekalkan pohon kebenaran untuk terus berdiri teguh. Mereka sering dicaci, dimaki, dihina, diejek, dan dilontarkan dengan gelaran yang menjengkelkan. Manusia yang mempertahankanku akan terus diperlakukan sebegitu sehingga mereka mengikut cara mereka iaitu manusia yang ingin menentukan kebenaran mengikut kehendak nafsu mereka.

Mereka tidak berpuas hati lagi walaupun segala usaha mereka gagal. Mereka cuba pula menanam pohon-pohon lain untuk menggantikan kebenaran milikku. Mereka menanam pohon-pohon kebatilan. Pohon-pohon itu terhasil mengikut kehendak hati mereka, kemahuan mereka, lalu menamakan pohon kebatilan mereka itu dengan pohon kebenaran.

Pohon-pohon kebatilan itu cuba bersaing untuk hidup. Pohon-pohon itu bersaing denganku untuk mendapatkan air dan nutrien dalam tanah, gas karbon dioksida malah cahaya matahari juga. Keadaan ini untuk memastikan mereka tumbuh subur sepertiku dan kelak akan mengalahkan aku.

Namun begitu, pohon kebatilan tidak pernah sama dengan pohon kebenaran. Akar mereka tidak kuat memasak di muka bumi tidak seperti akarku. Dahan-dahan mereka hanya mengeluarkan daun-daun kering malah mudah gugur walaupun bukan pada musim luruh. Buah-buah yang tumbuh pada dahan-dahan itu tidak bermanfaat kepada manusia. Ada yang rasanya pahit, ada yang kelat, malah ada yang tidak boleh dimakan kerana beracun. Batang mereka juga tidak teguh berdiri kerana akar mereka yang lemah. Batang pohon kebatilan tidak mampu memberi sandaran yang selesa hatta kepada seorang manusia sekalipun. Batang pohon kebatilan juga mudah tumbang walhal angin yang bertiup cuma sepoi-sepoi bahasa sahaja.

Pengasas-pengasas pohon kebatilan itu berasa dengki dengan kuatnya akarku, dengan teguhnya batangku, dengan lebatnya dedaunan yang tumbuh, dengan malarnya warna hijau di daun-daunku, dan dengan lazatnya buah-buahku yang masak ranum apabila tiba masa untuk memetik buah-buahku. Sudah terang lagi bersuluh, akulah pemenang dalam perlumbaan ini. Mereka sepatutnya akur dengan kekalahan mereka, kekalahan yang amat memalukan itu.

Mereka tidak berputus asa. Mereka bertindak cuba menghapuskan aku pula. Mereka cuba menghapuskan aku supaya pohon-pohon kebatilan yang tinggal akan menjadi pohon kebenaran yang palsu bagi mereka yang tidak berpeluang melihatku kelak.

Pada mulanya, mereka menjadikan penjaga-penjagaku yang setia sebagai sasaran mereka. Mereka diserang daripada pelbagai arah bertujuan untuk melemahkan semangat mereka. Ada yang cuba dibunuh. Ramai yang telah terkorban kerana cuba mempertahankanku. Tujuan pejuang kebatilan cuma satu, mereka mahu pejuang kebenaran berhenti mempertahankanku agar senang mereka ingin menghapuskanku.

Namun begitu, mereka silap percaturan. Mereka tidak akan menghapuskanku dengan hanya membunuhku atau menghapuskan pejuang-pejuangku, kerana sesuatu idea hanya akan boleh dihapuskan dengan idea yang lebih baik. Apakah idea yang lebih baik yang boleh mengatasi kebenaran?

Selang dekad demi dekad, abad demi abad aku tetap teguh berdiri di situ sebagai pohon kebenaran. Suatu hari apabila manusia yang lalu-lalang memerhatikan daku, mereka berasa janggal melihatku. Mereka seolah-olah tidak pernah melihatku ibaratnya bagaikan melihat makhluk daripada planet asing. Manusia yang ingin tahu tentang diriku mengkaji dengan lebih mendalam. Mereka kelihatan kagum dengan diriku lalu cuba memeliharaku daripada pupus ditelan zaman. Mereka cuba memanfaatkanku semula, sesuatu yang telah lama ditinggalkan.

Aku perhatikan mereka tidak lagi sibuk menanam pohon-pohon kebatilan seperti yang telah mereka lakukan pada suatu masa dahulu. Aku lihat pohon-pohon itu kebanyakannya menjadi tunggul kayu yang buruk tidak lagi dipedulikan sesiapa pun. Malah, ada di antara pohon-pohon itu hanya dipamer dalam muzium sahaja, tinggal sejarah.

Pada masa dahulu ada suatu virus yang menyerang kami semua secara besar-besaran, kebanyakan pohon-pohon itu tidak boleh bertahan dan mati. Aku turut menjadi mangsa, malah sebahagian tubuh badanku hampir sahaja dirosakkan virus itu. Namun begitu, aku terus bertahan.

Ironinya, virus itu sendiri telah dicipta kononnya sebagai penawar kepada penyakit yang menyerang salah satu daripada pohon kebatilan. Mereka menggunakan baja turun-temurun ciptaan nenek-moyang mereka sebagai medium penyebaran virus itu. Pada pandangan pencipta 'penawar' itu, virus itu patut disebarkan kepada semua pohon yang ada untuk memulihkan penyakit-penyakit yang melanda kami semua. Akhirnya semua pohon-pohon itu mati dan berubah sifatnya sampai rupa pohon-pohon tidak lagi diketahui apakah fungsinya.

Ironinya aku tidak perlukan pun baja itu. Aku ada baja yang khas untuk diriku sahaja, yang boleh menyuburkan aku. Baja itu sendiri pun telah dihentikan penggunaannya dan diganti dengan baja yang mempunyai virus itu.

Kemajuan teknologi yang dicapai oleh tamadun manusia mendorong manusia untuk menghasilkan sesuatu yang tidak terjangkau sebelum ini. Manusia mula menghasilkan daun-daun sintetik, buah-buah sintetik, dan pohon-pohon sintetik yang tidak memerlukan akar seperti sebelum ini untuk memenuhi keperluan mereka. Mereka seolah-olah telah lupa tentang peranan pohon-pohon yang sebelum ini memberi manfaat mereka. Mereka juga telah lupa bagaimana caranya untuk menanam dan menyuburkan pohon-pohon itu. Malah, mereka lupa tentang kewujudanku sekali.

Aku menjadi asing di bumi tempat kelahiranku sendiri. Kebanyakan daripada manusia tidak mempedulikan aku kecuali bagi mereka yang mahu menggunakan akal dan mencari kebenaran.

Para penyelidik yang mengkaji tentang diriku mula mengetahui apakah fungsi kewujudan aku dalam kehidupan mereka. Mereka telah nekad untuk memperkenalkan diriku dalam masyarakat yang sakit, yang terkapai-kapai mencari kebenaran. Pohon sintetik kebenaran yang mereka hasilkan sendiri tidak mampu menggantikan fungsiku sebagai pohon kebenaran. Mereka telah nekad untuk mempertahankanku, meneruskan legasi pejuang-pejuang kebenaran.

Sesungguahnya kebenaran akan hadir kepada mereka yang menggunakan akal dan mencari kebenaran. Tidakkah kamu menggunakan akal wahai manusia?

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.