Home Novelet Alternatif Anugerah
Anugerah
Hana Mizari
27/3/2018 23:25:43
27,747
Kategori: Novelet
Genre: Alternatif
S232-1

Nama: Rania Humaira Bte Kasim Sahar
Kod: S-232
Umur: 24
TarikhLahir: 23 Februari  2000
BidangPengajian: -
Kuasa: Mengetahui maklumat peribadi seseorang dengan menggunakan nama dan tarikh lahir.

Mungkin tiada siapa yang akan faham masalah aku ini. Mungkin tiada siapa yang akan percaya kepada ceritaku ini. Biarlah masalah ini aku sisip kemas dalam lipatan memori. Biarlah aku tanggung derita ini seorang diri.

Tiada siapa yang akan faham masalah aku melainkan mama, tetapi ... mama sudah lama pergi meninggalkan aku di dunia ini.

Mama tinggalkan aku semasa umur aku mencecah 15 tahun. Mama meninggal dunia sebab sakit. Apa yang aku geram dan terkilan, papa tidak buat apa-apa pun untuk selamatkan mama. Papa biarkan mama menderita seorang diri sampailah mama meninggal dunia.

Dalam keluarga aku, ada enam orang adik-beradik termasuk aku. Aku anak bongsu, dengan tiga orang kakak dan dua orang abang. Kami keluarga yang agak susah. Papa cuma berkerja makan gaji di sebuah syarikat kecil. Mama pula tidak berkerja. Hanya berkerja suri rumah sepenuh masa.

Walaupun gaji papa cukup-cukup makan sahaja untuk menampung kehidupan kami sekeluarga, tetapi kami bahagia. Kami bersyukur dengan rezeki yang dikurniakan kepada kami. Walaupun sedikit tetapi berkat.

Namun begitu, itu semua sudah tinggal kenangan. Segalanya berubah tatkala papa mengetahui tentang anugerahku ini.

Aku dianugerahkan kebolehan istimewa. Aku boleh meneroka dan mengorek maklumat peribadi seseorang. Cukup dengan mengetahui nama dan tarikh lahir sahaja aku boleh mengorek segala maklumat seseorang itu.

Aku pada mulanya tidak sedar dan tidak tahu akan kuasa yang dianugerahkan kepadaku ini. Aku mungkin tidak akan tahu sampai bila-bila pun mengenai kuasaku ini. Aku mengetahuinya pun kerana seseorang telah memberitahu kepadaku.

Semuanya gara-gara papa. Ya, semuanya gara-gara papa. Papalah punca segala-galanya.

Papa sebenarnya seorang yang amat taksub kepada perubatan alternatif, perubatan tradisional dan teori konspirasi yang berlegar di alam maya. Ketaksuban papa itu memang agak melampau. Sampaikan papa sanggup berhabis duit pada produk berasaskan pseudosains dan perubatan alternatif.

Bukan apa, papa jenis orang yang mudah terpengaruh. Rakan-rakan sekerja papa yang banyak mempengaruhi cara berfikir papa. Papa sehinggakan langsung tidak mempercayai perubatan konvensional.

Papa kata, perubatan konvensional penuh konspirasi. Menurut kepercayaan karut papa, pengamal perubatan moden ada suatu konspirasi besar untuk menjahanamkan umat manusia.

Ubat-ubatan moden yang diberikan kepada pesakit adalah racun dan terdiri daripada bahan kimia sintetik yang boleh memudaratkan tubuh manusia. Perubatan moden cuma menjadikan umat manusia sebagai tikus makmal dalam eksperimen besar-besaran yang mereka jalankan.

Suatu eksperimen untuk mencuci otak umat manusia, agar mereka patuh kepada suatu entiti yang mereka gelarkan sebagai 'One-World Government'.

Lihat? Betapa mengarutnya teori papa. Ini semua disebabkan dakyah yang disebarkan pengamal perubatan alternatif. Papa percaya semua dakwaan mereka bulat-bulat. Memandangkan sebahagian besar daripada rakan sekerja papa adalah yang bersubahat menyebarkan dakyah ini kepada papa.

Aku sampai sekarang masih tidak faham kenapa perbezaan pendapat ini boleh berlaku, kenapa wujudnya dua jenis golongan ini dan wujudnya perbezaan pendapat ini. Sebelah pihak mempertahankan perubatan konvensional habis-habisan. Sebelah lagi pihak terus-menerus membenci perubatan konvensional tanpa sebab yang munasabah.

Aku tetap dengan pendirian aku. Aku ingin kekal berada di pihak perubatan konvensional, tidak kisahlah bagaimana papa cuba pengaruhi aku. Bagi aku, tiada sebab untuk aku membenci perubatan konvensional, kerana perubatan ini telah banyak berjasa kepada manusia. Daripada menolong para ibu melahirkan bayi sampailah ke penghasilan vaksin.

Manakala pada sebelah pihak yang satu lagi, teori mereka kedengaran agak tidak logik. Aku agak skeptikal. Lagipun, apa sebenarnya yang perubatan alternatif telah berjaya sumbangkan kepada umat manusia? Setakat ini, aku masih tidak jumpa apa-apa sumbangan yang signifikan daripada mereka.

Maaflah. Mungkin pada anda, pandanganku ini kedengaran berat sebelah. Terpulanglah. Anda mahu percaya atau tidak. Aku tiada niat pun untuk menjadi berat sebelah. Aku cuma ingin mencari kebenaran.

Berbalik kepada cerita aku tadi. Memandangkan rakan sekerja papa terdiri daripada orang yang taksub pada perubatan alternatif, mereka selalu mengesyorkan kepada papa untuk mencuba pelbagai jenis perubatan pseudosains. Berbagai-bagai pusat rawatan papa telah pergi. Pelbagai jenis rawatan papa telah cuba.

Namun begitu, tiada hasil apa pun yang papa dapat. Berhabis duit adalah. Nasib baiklah caj rawatan yang dikenakan tidak mahal. Kalau mahal, papa mungkin fikir dua tiga kali untuk mengeluarkan duitnya. Aku sendiri pun tidak faham. Apa motif papa pergi ke sana? Pada masa itu, papa bukannya sakit kronik pun.

Nasib baiklah kami sekeluarga tidak diheret sama untuk pergi. Kalau tidak, memang aku memberontaklah. Aku peduli apa.

Walau bagaimanapun, papa tiba-tiba sahaja ingin mengajak kami sekeluarga untuk pergi ke sebuah pusat perubatan alternatif yang telah disyorkan oleh rakan sekerjanya sendiri. Papa beria-ia mengajak kami pergi. Berkali-kali papa memuji pusat perubatan itu dalam usahanya untuk memujuk mama yang masih berdegil.

Adik-beradikku yang lain memilih untuk mendiamkan diri sahaja. Mereka tidak mahu mencampuri urusan orang dewasa. Aku turut berdiam sama. Sebagai adik bongsu, aku tidak boleh melebihi kakak-kakak dan abang-abangku. Di dalam hati, aku memanjatkan harapan agar mama terus kekal dengan pendiriannya.

"Bolehlah, Azita ... sekali je. Kita cuba sekali je," rayu papa dengan suara manja.

"Abang ni ... tak usahlah nak diikutkan sangat nasihat kawan-kawan abang tu. Nasihat Azita ni abang langsung taknak dengar." Mama terus kekal dengan pendiriannya.

"Azita bukan apa. Boleh percaya ke cakap kawan abang tu? Lagipun, nak buat apa abang pergi? Abang bukannya sakit pun kan? Kang nanti, tak sakit pun jadi sakit," bebel mama berterusan.

"Tapi ... sayang ... sekali je, okey? Sekali je. Abang yakin sayang mesti rasa nak pergi berkali-kali lepas sayang cuba sekali ni." Papa terus berdegil.

"Duit abang tu banyak sangat ke sampai nak membazir untuk benda-benda macam ni? Baik abang guna duit tu untuk beli barang dapur lagi bagus." Dengan beraninya mama mengemukakan hujahnya.

'Go! Mama, go!' sorakku dalam hati.

"Err ... takpa sayang. Mereka kata untuk first try percuma saja." Papa terus tergagap membalas hujah mama.

Aku semakin cemas menyaksikan perdebatan tidak sudah-sudah di antara papa dan mama. Aku berharap sangat kesudahan perdebatan panjang ini akan berpihak kepada mama.

Setelah berdiam diri selang beberapa detik, mama akhirnya bersuara, "Okeylah. Sekali je kan? Okey, Azita setuju."

Aku tergamam mendengar kata putus yang terpacul dari bibir mama. Aku tidak menyangka yang mama akan bersetuju dengan permintaan papa.

Papa tersenyum puas meraikan kemenangannya. Hatiku pula berasa terkilan mendengar keputusan yang diambil mama. Sakit hati aku melihat senyuman yang tergaris di bibir papa.  Adik-beradikku yang lain pula kelihatan langsung tidak kisah akan keputusan perdebatan ini. Nampaknya hanya aku seorang sahaja yang mengambil kisah tentang ini.

***
Papa memarkir keretanya di perkarangan sebuah rumah satu tingkat. Aku hairan. Papa kata, papa ingin membawa kami ke pusat rawatan itu. Kenapa kami dibawa ke rumah orang ini pula? Siapa pemilik  rumah ini? Kenalan papa ke? Saudara papa ke? Kenapa aku tidak kenal?

"Rania, kau nak duduk dalam kereta je ke?" Pertanyaan Raisya, kakak sulungku mematikan lamunanku.

Pantas aku membuka pintu lalu keluar dari perut kereta. Papa dan tiga orang lagi kakakku sudah berdiri tercegat di luar, menunggu aku. Hari ini hanya aku, tiga orang kakakku dan papa sahaja yang pergi. Dua orang abangku dan mama telah pergi terlebih dahulu. Memandangkan ahli keluargaku ramai, terpaksalah kami pergi secara bergilir-gilir.

Kalau boleh, mahu sahaja aku mengelat daripada turut serta, tetapi aku tidak mahulah adik-beradikku bersangka buruk terhadapku.

Aku melihat ke segenap perkarangan rumah yang luas ini. Aku dapat lihat banyak kereta turut diparkir di kawasan ini. Hatiku terdetik, ramai sungguh tetamu orang ini.

"Dah, jom!" ajak papa. Kami empat beradik terus pergi mengekori langkah papa ke rumah orang itu.

Dari luar, aku dapat lihat ramai orang berada di ruang tamu rumah tersebut. Memang ramai sungguh tetamu yang hadir.

"Papa, rumah siapa ni papa?" soalku.

"Ni bukan rumahlah. Nilah pusat rawatan yang papa cakap tu. Rumah dia kat tempat lain," terang papa kepadaku.

Aku menjawab dengan membuat huruf O sahaja pada mulut. Kami berlima termasuk papa terus melangkah masuk ke dalam rumah tersebut.

Di ruang tamu rumah itu, terdapat sebuah meja dan kerusi yang diduduki seorang lelaki dalam lingkungan umur 50-an. Beberapa buah kerusi kosong turut disediakan untuk para pelanggan yang hadir. Papa mengajak kami untuk duduk di beberapa buah kerusi kosong yang masih ada.

"Nasib baik ada tempat kosong. Kalau lambat betul, alamat kena berdirilah jawabnya. Mungkin sebab hari ni tak ramai orang kot." Papa berkata seorang diri.

Aku malas mahu ambil kisah. Aku langsung tidak bersemangat hari ini dek dipaksa untuk mengikut papa pergi ke pusat perubatan pseudosains mengarut ini.

Aku berkalih pandang ke arah lelaki tua beruban yang duduk di sebuah set meja kerusi persis meja konsultasi di klinik. Dia pasti pengamal perubatan alternatif yang papa ceritakan itu. Dia kelihatan biasa sahaja. Tiada apa yang luar biasa pada dia. Aku turut melihat wajah pelanggan yang sedang dilayannya. Dia nampaknya percaya bulat-bulat dengan penipuan lelaki itu.

Aku melepaskan keluhan. Kasihan melihat pelanggan itu yang kelihatan terlalu berharap.

Setelah menunggu berjam-jam, akhirnya tiba juga giliran kami sekeluarga. Buang masa sungguh. Sepatutnya masa ini aku habiskan untuk menyiapkan kerja sekolah yang menimbun.

"Rania, kamu pergi dulu. Papa dah masa papa pergi dengan mama, Rayyan dan Raihan sebelum ni." Papa menyuruh aku pergi, walaupun aku anak bongsu.

Aku pergi dalam keterpaksaan. Bagi mengelakkan sebarang konflik, lebih baik aku turuti sahaja. Aku mahu cepat habiskan urusanku di sini agar boleh lekas pulang. Aku tidak mahu berlama-lama di sini. Boleh mereng otak aku dibuatnya nanti.

Dengan langkah yang berat, aku berjalan ke arah meja konsultasi pengamal itu. Dalam perjalanan, aku dapat  lihat mata beberapa orang wanita mencerlung tajam ke arahku. Dilihat dari segi penampilan mereka, nampak seperti sekumpulan datin. Dapat dilihat melalui penampilan mereka yang mengenakan beberapa utas gelang emas di kedua-dua belah tangan.

Jikalau mereka mahu datang ke sini, tidak mengapalah. Sekurang-kurangnya mereka ada banyak duit untuk dibazirkan di sini.

Dengan begitu tertib dan penuh debaran di dada, aku labuhkan punggung di atas kerusi di sebelah kanan meja pengamal itu. Papa turut duduk bersama di kerusi di hadapan meja tersebut.

Lelaki tua itu mula terkumat-kamit membaca sesuatu yang aku tidak mampu dengari. Nampaknya, sesi 'pemeriksaan' sedang dilakukannya.

Aku fikir, dia akan mengeluarkan peralatan pelik untuk memeriksaku seperti pengamal perubatan pseudosains yang lain. Yalah, mereka perlu nampak gah dan berteknologi tinggi agar mampu meyakinkan pelanggan mereka.

Namun begitu, pengamal perubatan ini tidak pula mengeluarkan sebarang peralatan pelik. Sebaliknya dia hanya terkumat-kamit di tempatnya dengan mata yang terpejam rapat. Pelik sungguh. Kelakuannya itu lebih persis tok bomoh daripada doktor. Itu pun, masih ada orang ingin mempercayai pengamal ini.

Sudah terang lagi bersuluh penipuannya. Mana mungkin dia mampu mendiagnosis apa-apa penyakit tanpa menggunakan sebarang alat.

Aku hanya senyap di tempatku. Menanti bilakah semua ini akan berakhir. Papa pula turut mendiamkan diri sambil menanti kata putus daripada pengamal itu.

"90, 100, 110, 120!" Barulah aku berjaya mendengar apa yang diungkapkan di bibir lelaki itu.

Aku amat tidak menyangka angka-angka itu yang akan keluar dari bibir lelaki tua itu. Fikirku, dia akan lafazkan mantera dan jampi serapah dalam bahasa yang aku tidak fahami. Apa maksud angka-angka yang disebutkannya?

"Wah, 120. IQ budak ni ... siapa nama dia?" Setelah habis terkumat-kamit, lelaki tua itu akhirnya bersuara.

"Rania," jawab papa bagi pihak aku. Aku malas hendak berkomunikasi dengan penipu ini. Papa yang beria-ia, bukan aku.

"Ha, Rania. IQ kamu 120. Budak pandai rupanya kamu ni. Mesti exam selalu skor, kan?"

Aku malas menjawab pertanyaan lelaki tua itu. Aku hanya mahu cepat menyelesaikan sahaja urusan dengan lelaki ini, agar aku boleh lekas-lekas pulang. Aku sudah tidak tahan duduk dengan si penipu ini. Aku rasa seperti orang bodoh sahaja duduk mendengar celoteh lelaki beruban ini.

"Rania!" panggil papa sambil memandang aku tersenyum. Papa mungkin bangga dengan aku, tetapi aku sedikit pun tidak berasa gembira. Sebaliknya aku berasa semakin meluat dengan papa.

Lelaki tua itu meneruskan celotehnya.  Dia memberitahu segala jenis angka yang diberitahunya sebagai tekanan darah tinggi, nilai gula dalam darah, nilai asid urik dan entah apa lagi yang dimerapukan. Aku malas hendak mengambil kisah.

Bagaimanalah orang-orang yang datang ke sini boleh percaya pada temberang lelaki ini? Sudah tentulah tidak logik dia boleh mengambil semua bacaan itu begitu sahaja tanpa menggunakan sebarang alat. Sekurang-kurangnya, pengamal perubatan pseudosains lain ada juga menggunakan alat untuk mengambil bacaan.

Ini, langsung tiada peralatan tetapi mampu mengambil bacaan-bacaan itu semua. Siap dengan nilai Intelligent Quotient lagi. Apa, dia fikir kebijaksanaan manusia itu boleh diukur ke? Sedangkan ujian IQ pun tidak mampu mengukur kesemua jenis kepintaran manusia. Nasib baiklah dia kira IQ aku 120. Jikalau dia kira IQ aku 10, maksudnya aku bodoh ke selama ini?

Sungguh aku tidak percaya. Boleh jadi dia reka sahaja angka-angka itu dan memberitahu kami semua yang dia mampu mengambil bacaan tanpa sebarang alat.

Setelah habis menghamburkan segala jenis angka yang tiada makna langsung di sisiku, dia meneruskan celotehnya. Dia bercerita tentang penyakit apa yang aku hidapi. Ini lagi satu. Boleh jadi dia mereka sahaja semua penyakit itu lalu mendakwa dia boleh mengesan penyakit di dalam badan.

Aku buat endah tidak endah sahaja akan celotehnya itu. Segala bebelannya hanya masuk telinga kiri dan keluar telinga kanan sahaja bagiku. Walau bagaimanapun, ada sesuatu yang dikatakannya benar-benar mengejutkan aku.

"Budak ni special.  Dia ada kelebihan macam saya juga."


Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.

Karya lain oleh Hana Mizari