Home Novelet Alternatif Anugerah
Anugerah
Hana Mizari
27/3/2018 23:25:43
27,759
Kategori: Novelet
Genre: Alternatif
S201

Nama: Fizri Naufal Bin Ahmad Saufi
Kod: S-201
Umur: 24
TarikhLahir: 20 Januari 2000
BidangPengajian: Fizik
Kuasa: Mengetahui kandungan kimia dalam sesuatu objek.

Mungkin ramai orang yang tidak tahu akan rahsia aku. Rahsia yang aku telah sisip kemas dalam lubuk ingatan sejak sekian lama. Malah sejak aku kanak-kanak lagi. Pada diri aku ada sesuatu yang tiada pada orang lain. Sesuatu yang orang tidak akan faham. Sesuatu yang aku sendiri tertanya-tanya sampailah sekarang.

Aku tidak tahu apa yang patut aku panggil pada apa yang ada dalam diriku ini. Adakah ia anugerah? Kelebihan? Kebolehan? Kuasa? Atau ia cuma halusinasi yang dihasilkan mindaku sahaja?

Sekarang, mari aku ceritakan apa yang aku bebelkan sedari tadi. Situasinya begini. Sejak kecil lagi aku boleh mengetahui bahan apa yang terkandung pada objek-objek yang aku sentuh. Contohnya, jika aku menyentuh barang-barang logam, secara automatiknya minda aku akan menjelmakan imej sebuah ikatan kimia yang aku tidak fahami.

Pada mulanya aku tidak faham apa maksud imej-imej pelik yang menjelma di mindaku ini. Kebolehan ini aku mula perolehi sejak aku kanak-kanak lagi. Pada masa itu, manalah aku tahu apa maksud imej-imej tersebut. Aku masih kanak-kanak dan tidak tahu apa-apa langsung mengenai ilmu kimia.

Ia kelihatan seperti bola yang melekat dan terikat sesama sendiri dalam bentuk-bentuk tertentu. Objek seperti bola itu terdiri daripada pelbagai saiz.

Akan tetapi, ada sesuatu yang memeningkan kepala aku sampai sekarang. Imej itu hanya termanifestasi sendiri setelah aku melihat bagaimana atom digambarkan berbentuk sfera dalam buku teks kimia milik papaku. Sebelum itu, gambaran yang terlukis di minda kelihatan samar-samar sehingga aku tidak dapat mentafsirkannya.

Papa aku merupakan seorang pensyarah dan penyelidik dalam bidang kimia. Jadi, tidak hairanlah jika aku mempunyai akses pada maklumat sebegitu sejak kecil. Buku-buku kimia yang terdiri daripada pelbagai cabang tersusun di rak buku di rumahku.

Semuanya bermula apabila suatu hari aku terlihat isi kandungan buku milik papa. Pada masa itu, aku sedang bermain seorang diri berhampiran meja kerja papa. Meja papa selalu bersepah. Akibatnya, barang-barang milik papa seringkali menjadi bahan permainanku. Hari itu, aku ternampak buku kimia terbentang di atas meja.

Dengan tiba-tiba sahaja aku menjadi tertarik untuk melihat apa yang terkandung dalam buku tersebut. Daya tarikan itu ibarat magnet. Dalam buku itu, aku dapat lihat gambar rajah ikatan kimia di dalam buku tersebut.

Aku dapat lihat beberapa objek berbentuk sfera yang bersambung dan terikat dalam ikatan tertentu. Pada saat itu, imej-imej objek yang seringkali berlegar di mindaku terus termanifestasi dengan jelas. Barulah jelas gambaran-gambaran itu menjelma di mindaku. Pelik bukan?

Walau apa-apa pun, atom yang digambarkan berbentuk sfera hanyalah gambaran para saintis dan teori semata-mata. Sampai sekarang, para saintis tidak dapat mengetahui bentuk atom yang sebenar.

Mungkin, sebab itulah imej-imej itu tidak termanifestasi dengan jelas di mindaku sebelum ini. Imej itu terbentuk menjadi sfera pun sebab aku telah menetapkan di mindaku bahawa bentuknya sfera dek maklumat yang aku terima daripada buku tersebut. Mungkin juga bentuk atom yang sebenar tetap terhijab. Oleh sebab itulah mindaku tidak mampu membentuknya dengan jelas.

"Fizri ... apa Fizri buat tu?" soal papa manja setelah kembali semula ke meja kerjanya.

Aku terkejut. Cepat-cepat aku menutup buku itu dek takut dimarahi papa kerana mengusik barang-barangnya. Papa memang seorang yang tegas. Semakin aku meningkat usia semakin aku nampak imej ketegasan itu terpancar dari dalam dirinya.

Buku itu aku serahkan semula kepada papa sambil menayangkan sengihan di bibir. Buat muka tidak bersalah. Papa ambil buku itu dari tanganku dan diletakkan semula di atas meja. Papa dukung tubuhku lalu diletakkan di atas ribanya. Dia mengusap manja ubun-ubunku. Senyuman manis ditayangkan di bibir sebelum memulakan bicara.

"Fizri nak jadi macam papa juga ke?" usik papa manja.

Aku yang polos dan tidak tahu apa-apa itu mengangguk laju.

"Kalau macam tu, Fizri belajarlah rajin-rajin kalau nak jadi macam papa, okey? Sekarang papa nak buat kerja dulu. Nanti papa main dengan Fizri. Nah, ni ... Fizri lukislah apa-apa kat sini sementara papa siapkan kerja papa. Okey?"

Papa meletakkan aku di atas lantai beralas permaidani dengan lembut. Berhampiran denganku ada sebuah meja persis di ruang tamu. Papa memberikan sehelai kertas dan sebatang pensel untuk aku melukis. Aku tidak merajuk dengan papa. Aku faham papa amat sibuk dengan kerjanya. Dengan tertibnya aku mengikut arahan papa.

Aku mula melukis di atas kertas itu. Imej-imej misteri yang sering menjelma di ruangan minda menjadi pilihan aku untuk diluahkan di atas kertas tersebut. Memandangkan hanya itu sahaja yang terlintas di mindaku saat itu. Setelah siap melukis, aku serahkan kepada papa. Papa mulanya mengambil kertas itu dengan acuh tidak acuh. Mungkin papa terlalu sibuk dan tidak mahu diganggu.

Walau bagaimanapun, aku masih ingat sampai sekarang bagaimana reaksi papa pada waktu itu ketika melihat lukisanku. Aku rakamkan memori itu dalam kotak ingatan. Sampai sekarang peristiwa itu masih segar di ruang ingatanku.

Riak wajah papa terus berubah 360 darjah. Papa kelihatan amat terkejut. Setelah puas menatap lukisanku, papa berkalih pandang ke arah buku kimia yang masih terbentang di atas mejanya. Setelah menatap buku itu selama beberapa saat, papa memandang semula ke arahku dengan riak hairan. Kerutan di dahinya kelihatan jelas sekali.

"Kenapa, papa?" Aku bertanya naif, memohon penjelasan.

Papa terdiam sejenak sebelum mengukir senyuman ke arahku. Aku tidak mengerti apa maksud senyuman itu.

"Takda apalah Fizri," balas papa lembut.

Setelah peristiwa itu, semakin galak imej ikatan-ikatan kimia bertandang di ruangan minda. Pada mulanya aku tidak sedar bagaimana imej-imej itu boleh bertandang ke fikiranku.

Lama-kelamaan, aku mula menyedarinya. Imej itu akan hadir secara automatik tatkala aku menyentuh mana-mana objek. Kadangkala imej itu hadir. Waktu yang lain pula imej itu tidak muncul langsung di ruang fikiran. Aku tidak tahu bagaimana cara hendak mengawalnya. Imej itu datang dan pergi begitu sahaja.

Sejak dari hari itu, aku semakin galak melukiskan imej-imej yang hadir dalam mindaku di atas kertas. Aku tidak terlupa untuk menunjukkannya kepada papa.

Namun begitu, ada sesuatu yang sering merungsingkan fikiran setiap kali aku menunjukkan lukisan itu kepada papa. Papa nampak sangat teruja menerima lukisan itu daripadaku. Dalam masa yang sama, papa sering melontarkan sebuah pandangan penuh makna ke arahku. Pada mulanya aku tidak peduli. Aku cuma tahu lukis, lukis dan lukis.

Setelah aku mula mengenal huruf, aku mula menjadikan buku-buku kimia yang penuh di dalam rak sebagai bahan bacaan harianku. Aku sebenarnya ingin tahu akan apa sebenarnya maksud imej-imej yang sering bertandang di mindaku.

Aku mula belajar mengenal beberapa nama bahan kimia untuk aku padankan dengan imej yang sering hadir di fikiran. Aku mahu berikan ia nama agar mudah untuk aku ingati dan klasifikasikan. Imej-imej yang menjelma setiap kali aku menyentuh mana-mana objek akan aku padankan dengan mana-mana bahan kimia yang sudah aku pelajari.

Mulut aku yang agak becok menyebabkan aku menyebut segala apa yang aku ingati di dalam buku kepada mama dan papa. Terpukau mereka berdua dibuatnya mendengar celotehku. Aku tidak faham pada mulanya. Aku fikir ini biasa dan berlaku juga kepada kanak-kanak lain.

Walau bagaimanapun, aku pelik juga sebenarnya. Aku seringkali disisihkan rakan-rakan setiap kali aku mula bercerita mengenai kebolehanku ini. Jadi, kebiasaannya aku akan bermain seorang diri, atau pun tenggelam dalam dunia ikatan kimia sendiri. Tidak pula aku terfikir kenapa mereka semua menyisihkan aku.

Mama dan papa pula acapkali memuji akan kebijaksanaanku. Walaupun aku tidak fikir aku bijak seperti yang mereka canangkan. Semasa aku berusia lima tahun, papa pernah membawa aku berjumpa rakan penyelidiknya untuk menguji kepandaianku. Aku diberi ujian IQ. Aku diberi pelbagai jenis ujian.

Aku pernah menerima tawaran untuk melanjutkan pelajaran di universiti tempat papa berkerja ketika usiaku tujuh tahun. Walau bagaimanapun, aku tolak tawaran itu kerana merasakan diri ini tidak layak. Papa agak kecewa pada mulanya dengan keputusan aku tetapi dia membenarkan aku membuat pilihan aku sendiri. Papa fikir, mungkin aku ingin terus berseronok seperti kanak-kanak lain.

Semakin aku menginjak dewasa, semakin banyak imej ikatan kimia hadir di ruang fikiran. Setiap kali aku menyentuh apa-apa objek, setiap kali itulah imej itu hadir. Kali ini imej itu hadir terus bersama nama bahan kimia yang telah aku pelajari.

Ada juga imej baru yang aku tidak kenal. Aku tinggalkan begitu sahaja tanpa nama. Aku fikir, mungkin nama bahan kimia itu masih belum ditemui lagi. Jadi, adakah aku telah mengetahui terlebih dahulu tentang kewujudan sesuatu bahan sebelum ditemui para saintis yang lain? Mungkin. Aku tersenyum sendiri memikirkannya.

Sedikit sebanyak, kebolehan istimewa itu menimbulkan minatku dalam bidang kimia. Ramai orang di sekelilingku menyangkakan aku meminati bidang ini kerana dorongan daripada papa. Ada juga yang melabelkan aku sebagai genius. Mereka fikir, aku fikir aku mewarisi kebijaksanaan ini daripada papa. Mungkin.

Semasa aku berada di bangku sekolah menengah, aku mengambil aliran Sains Tulen. Semasa amali kimia di makmal, lagi sekali aku menyedari sesuatu yang aneh tentang diriku.

Aku dapati dengan mudahnya aku tahu campuran bahan kimia apa untuk menghasilkan tindak balas kimia tertentu. Malah, aku tahu apa mangkin yang diperlukan serta keadaan yang perlu dipatuhi untuk mempercepatkan tindak balas kimia.

Rakan-rakan sekelasku memuji aku genius dan cepat belajar. Namun, bagi aku, ia lebih daripada sekadar kepandaian. Aku tidak merasakan diri aku pandai walaupun IQ aku pernah mencecah 210. Aku tidak mahu meninggi diri.

Lagipun, ada suatu fenomena yang aneh berlaku ke atas diriku. Sebenarnya aku mengetahui sendiri kesemua ilmu itu sebelum sempat aku mempelajarinya secara formal atau tidak formal. Maklumat itu hadir sendiri tanpa perlu aku bersusah-payah belajar seperti orang lain.

Pelik bukan?

Namun aku harus belajar juga seperti orang lain. Aku tahu aku tidak boleh sombong dengan anugerahku ini. Lagipun, kebolehan ini terbatas jika melibatkan bahan kimia berserta tindak balasnya.

Kini, aku sudah pun berada di tahun akhir pengajian ijazahku. Anda fikir aku mengambil bidang Kimia?

Jawapannya tidak. Aku sebenarnya mengambil Fizik.

Kenapa?

Aku mahu keluar dari zon selesa. Lagipun, ada sesuatu yang berlaku dalam hidup aku yang menyebabkan aku berubah minat secara tiba-tiba. Aku sebenarnya agak tertarik dengan cabang-cabang dalam Fizik Moden. Relativiti dan Mekanik Kuantum. Kedua-duanya menarik.

Sebenarnya, aku bukan keluar dari zon selesa. Tidak. Jauh sekali. Fizik itulah zon selesa bagiku sebenarnya. Aku sebenarnya risau komuniti saintifik tidak mengalu-alukan kedatanganku. Aku risau mereka tidak akan percaya padaku jika kuasaku ini sampai kepada pengetahuan mereka.

Aku cukup takut mendengar perkataan skeptikal dari mulut mereka. Malah, aku rasa papa sendiri tidak akan percaya kepadaku. Tidak kisahlah sejauh mana ketepatan maklumat yang diterima otakku ini.

Komuniti saintifik tidak akan menerima sesuatu dakwaan selagi tidak dibuktikan secara saintifik. Maksudnya, pemerhatian harus dibuat. Data-data harus dikumpul. Pengukuran harus dibuat melalui instrumen yang sedia ada.

Bagaimana aku harus lakukannya? Tiada pemerhatian yang dapat dibuat. Tiada eksperimen yang mampu dijalankan. Tiada data yang boleh dikumpul. Tiada instrumen yang mampu mengukur.

Sudah tentulah dakwaanku ini akan disangkal bulat-bulat oleh mereka. Paling hampir pun orang akan katakan aku ini genius.

Genius.

Sesuatu yang aku nafikan tidak sudah-sudah. Aku tidak mengatakan aku ini genius, kerana aku ada kebolehan ini untuk membantuku.

Betulkah aku ini ada kuasa? Dianugerahkan kebolehan istimewa ini? Mungkin ya dan mungkin tidak. Mungkin ini cuma sekadar alasan aku untuk menafikan kebijaksanaanku. Untuk apa? Untuk apa aku perlu menafikannya? Tiada sebab.

Memori aku semasa kanak-kanak tentang imej-imej yang diperolehi itu, mungkin cuma memori palsu. Mungkin aku sengaja mereka-reka cerita ini dan mempermainkan anda semua wahai pembaca. Suatu alasan yang seringkali aku reka untuk menolak tahap kecerdasan akal yang dimiliki.

Aku mengambil keputusan untuk mengambil bidang Fizik. Papa tidak kecewa. Papa tidak kisah pun. Papa letakkan keputusan di tanganku untuk memilih. Namun begitu, aku tidak pernah menyesal akan keputusanku ini. Aku malah lebih bahagia sekarang. Dalam bidang ini pun, aku dapat belajar tentang atom serta kandungan di dalamnya.

Malah, baru aku tahu partikel subatomik lebih daripada sekadar proton, neutron dan elektron. Aku belajar tentang quark, iaitu partikel elementari yang terkandung di dalam proton dan neutron dan dari mana nilai-nilai cas itu hadir daripada mana.

Sungguh, ilmu itu baru aku pelajari sendiri. Bukannya melalui maklumat yang diterima otakku. Malah, imej-imej serta gambaran partikel-partikel elementari itu tidak pernah hadir di minda secara misteri.

Kiranya, imej yang aku terima hanyalah terbatas pada atom sahaja. Tidak lebih daripada itu. Apa yang terkandung dalam atom pun aku tidak mampu lihat.

Tidak pernah aku berasa segembira ini tatkala mempelajari benda baru. Inikah rasanya mempelajari perkara baru setiap hari?

Sekarang aku berada di rumah. Ketika mengimbau kenangan lama, aku teringat akan lukisan-lukisan lamaku. Aku terfikir untuk melihat semula lukisan tersebut. Lukisan itu sahajalah yang menjadi bukti akan kuasaku ini. Aku masih ingat yang aku menyimpannya di dalam kotak dan diletakkan di bawah katil. Aku tidak mahu orang lain mengusik hartaku ini.

Walau bagaimanapun, aku tidak jumpa kotak tersebut. Bawah katilku itu kosong. Hampir tiada apa di bawahnya. Aku mula panik. Laju sahaja aku menuruni tangga untuk ke tingkat bawah. Hasratku ingin berjumpa dengan mama untuk bertanyakan mengenai hal ini.

Akan tetapi, kehadiran seseorang yang tidak dikenali membantutkan niatku. Langkahku termati di hujung tangga. Papa dan mama sedang melayan tetamu. Aku tidak kenal siapa lelaki itu. Mungkin dia kenalan papa.

Hatiku berasa tidak sedap tetapi aku cuba usir segala tanggapan buruk jauh-jauh. Aku tidak mahu perkara yang paling aku takuti berlaku lagi. Aku cukup tidak suka sekiranya papa membawa aku berjumpa kenalannya lagi untuk menguji kepandaianku lagi. Tidak. Aku tidak suka. Aku bencikannya.

Aku paling benci orang memanggil aku genius. Bukan aku tidak mahu bersyukur, tetapi aku tidak mahu satu-satunya bukti tentang kelebihanku disangkal kerana kebijaksanaan yang kononnya aku miliki.

Kelebihanku ini adalah keistimewaan. Kelebihanku ini adalah keunikan yang tiada pada orang lain. Kelebihan ini merupakan identiti aku. Aku ada sesuatu yang tiada pada orang lain. Aku istimewa.

Jangan panggil aku genius. Aku tidak layak pun untuk itu.

"Fizri....," panggil papa lembut setelah mendapati aku berdiri tercegat di hujung tangga.

Papa membuat isyarat untuk aku mampir ke arah mereka. Mama turut tersenyum memandangku. Mahu memujukku barangkali. Tetamu itu turut tersenyum.

"Papa ... berapa kali Fizri nak cakap, Fizri dah penat, papa. Fizri dah penat...." Aku meluahkan perasaanku begitu sahaja di hadapan tetamu itu. Aku tidak peduli. Rasa maluku telah berterbangan keluar ditiup angin.

"Fizri ... dengar dulu penjelasan papa." Papa mampir ke arahku sambil memujuk.

Tubuhku didorong untuk duduk ke atas sofa. Aku akur dalam keterpaksaan. Aku mendengus meluah rasa hati. Setelah papa turut duduk di sofa di sisiku, topik perbualan dimulakan.

"Fizri, ni kawan papa, Professor Badrul Zaman." Papa perkenalkan rakannya itu kepadaku. Aku hanya mendengar acuh tidak acuh.

"Fizri, boleh tolong beri kerjasama pada kami? Kami sedang mengkaji tentang suatu fenomena aneh. Reality Override atau biasa kami panggil RO. Kami dapati kamu salah seorang daripada RO yang berpotensi. Kami mahu menjalankan ujian ke atas kamu untuk mengesahkannya. Boleh?"

Terkesima aku mendengar penjelasan panjang-lebar tetamu itu. Perkataan 'Reality Override' itu benar-benar menarik perhatianku.

Aku yang pada awalnya tidak berminat terus menumpukan perhatian untuk mendengar penjelasan selanjutnya. Mungkin ini adalah titik tolak perubahan dalam hidupku. Mungkin inilah penjelasan sebenar kepada fenomena aneh yang telah menemani hidupku sejak aku kanak-kanak lagi.

Previous: PROLOG
Next: S261-1

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.