Home Novel Seram/Misteri Fitrah
Fitrah
Hana Mizari
3/3/2018 23:49:01
105,654
Kategori: Novel
Genre: Seram/Misteri
BAB 24

LIPATAN DIMENSI


Ilya menyandar kepenatan di perdu sebuah pohon rendang. Kepalanya mendongak memerhatikan langit malam nan gelap. Cahaya dari bulan dan bintang mengintai dari celah-celah kanopi dedaunan yang meliputi sang langit.

Sang Will O Wisp si nakal yang tidak habis-habis mengusiknya tidak dipedulikan lagi. Sungguh dia sudah malas untuk mengejar entiti aneh itu lagi. Jalan keluar dari dimensi ini juga sudah tidak dipedulikan lagi. Dia sudah mati akal.

Sedang matanya ralit memerhati langit malam, secara tiba-tiba telinganya menangkap bisikan misteri yang datang entah dari mana.

'Ilya!' panggil suara itu. Panggilan itu bergema di ruangan mindanya.

Lamunannya tersentak. Perhatiannya beralih. Matanya melilau ke segenap persekitaran hutan, mencari kelibat si pemanggil. Walau bagaimanapun, dia gagal mengesan kelibat sesiapa pun di hutan itu melainkan dirinya sendiri. Suara misteri itu tidak dipedulikannya. Mungkin itu cuma monolog yang dihasilkan mindanya sendiri dek terlalu penat dan rasa putus asa yang menjengah.

'Ilya!' Suara itu memanggil lagi. Kali ini lebih kuat. Meminta perhatian si gadis kecil molek.

Kepalanya yang disandar ke pohon di belakangnya diangkat. Dia fikir, suara itu bukan datang dari dalam mindanya sendiri. Mungkin juga suara itu datang dari luar. Akan tetapi, dari mana datangnya suara misteri itu? Hairan Ilya dibuatnya.

Adakah dia sudah mula berhalusinasi? Dia pun sudah mula percaya bahawa dirinya gila. Mungkin juga dia sudah menjadi gila akibat tidak tahan dengan pelbagai tekanan yang menimpa dalam hidupnya. Mungkin juga suara ini cumalah halusinasi auditori yang dihasilkan mindanya sahaja.

'Ilya! Dengar tak ni, Ilya!'

Sekali lagi suara itu memanggil. Kali ini semakin kuat daripada sebelum ini. Ilya mula menyedari suara ini seperti suara individu lain, bukan daripada mindanya sendiri. Suara itu kedengaran asing. Dia pasti bukan dia yang menghasilkan suara itu.

'Ilya, ni saya Arya.'

'Arya?' Ilya cuba berkomunikasi dengan suara itu yang memanggil dirinya Arya.

'Ya, Arya. Dengar sini, saya akan cuba tunjukkan cara untuk awak keluar dari dimensi tu. Saya akan cuba tolong awak, okey?' Suara itu menyatakan hasratnya menghubungi Ilya.

'Arya? Apa dah berlaku ni Arya? Dan macam mana awak boleh cakap dengan saya ni? Awak kat mana tu? Saya kat mana ni?' Setelah meyakini suara itu adalah suara Arya, Ilya menyoalnya bertubi-tubi.

'Awak sekarang berada dalam lipatan dimensi yang dihasilkan Darma, spirit yang perangkap awak dalam dimensi ni. Ah, saya rasa awak lebih tahu pasal ni.'

Ilya mengerutkan dahinya. Apa yang dimaksudkan lelaki itu dengan dia lebih mengetahuinya? Sungguh dia sendiri berasa bingung akan situasi yang dihadapinya sekarang.

'Ilya, dengar sini. Api biru yang awak kejar tu namanya Will O Wisp. Menurut lagenda, Will O Wisp tu memang suka ganggu pengembara yang berjalan pada malam hari. Sifatnya memang macam tu, menjauhi bila awak mendekati dan menghampiri bila awak pergi jauh. Tujuannya memang nak sesatkan orang. Nak jauhkan orang daripada melalui jalan yang sebenar,' terang Arya berhati-hati.

'Patutlah. Patut saya makin sesat dibuatnya. Penat kejar.' Ilya memarahi kebodohan dirinya sendiri.

'Habis tu, macam mana saya nak keluar ni?' soal Ilya kepada Arya.

'Kau hanya perlu menjauhi Will O Wisp tu....' Hubungan telepati mereka berdua terputus secara tiba-tiba.

'Arya? Arya? Arya!' panggil Ilya berkali-kali setelah mendapati hubungan telepati mereka berdua terputus secara tiba-tiba.

Ilya melepaskan keluhan kecil. Belum sempat dia berbincang dengan lebih lanjut, hubungan telepati itu sudah terputus pula. Dia bangkit berdiri. Belakang bajunya ditepuk perlahan demi menghilangkan segala debu-debu tanah yang melekat.

Nampaknya, terpaksalah dia mencari sendiri jalan keluarnya sendiri tanpa bantuan daripada Arya. Klu-klu dan maklumat yang diberikan Arya tadi cuba dimanfaatkannya untuk mula mencari keluar.

Sebelum pergi, hatinya terdetik rasa pelik. Dari mana Arya mendapat maklumat tentang Will O Wisp itu? Walau apa-apa pun, Ilya sudah mendapat maklumat baru yang menarik. Baru dia tahu ada lagenda semenarik dan seaneh itu. Mungkin, selepas dia keluar nanti, dia akan cari maklumat lanjut mengenai Will O Wisp itu.

"Nak jauhkan pengembara daripada laluan yang sebenar. Baiklah. Aku cuma perlu counter laluan yang ditunjukkan Will O Wisp itu untuk cari jalan yang sebenar," ujar Ilya sebelum memulakan langkahnya yang pertama untuk mencari jalan keluar.

***

"Kau lupa kau masih ada aku di sini untuk kau uruskan, Arya Shaputra. Kau tak sepatutnya risau pasal orang lain," ucap Darma cuba memberi provokasi kepada Arya yang leka seketika.

Sedikit lagi pedang cahaya yang dihunuskan Darma mengenai rusuk kiri Arya. Namun Arya dengan cekapnya mengelak. Personaliti Arya yang lagi satu ini lebih cekap berbanding personaliti Arya yang asal.

Giliran Arya pula membalas serangan Darma dengan pedang cahayanya. Peluh mula merenik di dahinya. Segala tenaga perlu dikerahkan untuk berhadapan dengan spirit ini.

Semasa dia sedang cuba berhubung dengan Ilya tadi, tumpuannya beralih seketika. Dia menjadi leka. Akibatnya, hampir sahaja serangan Darma mengenai tubuhnya. Setelah menyedari serangan yang datang, dia terpaksa memutuskan hubungan telepatinya dengan Ilya agar dapat mengembalikan fokus kepada pertarungan.

Hubungan tersebut putus serta-merta. Dia amat berharap Ilya dapat mencari jalan keluar dengan klu yang diberikannya.

Arya menghayunkan pedangnya ke arah Darma. Darma menahan serangan itu dengan pedangnya juga. Bergema bunyi dentingan di udara tatkala pedang mereka berlaga. Lama mereka berdua bertahan dalam posisi itu.

Secara tiba-tiba, senyuman sinis terukir di bibir Darma. Arya perasan akan senyuman itu. Melalui firasat Arya, dia tahu apa yang dirancang spirit itu.

Pedang cahaya yang berada di tangan Darma secara tiba-tiba mengeluarkan sinaran yang menyilaukan mata. Arya mengesan perkara buruk akan berlaku jika dia tidak melarikan dirinya dengan segera. Dengan pantasnya, dia cuba melarikan diri tetapi tubuhnya terasa dikunci tiba-tiba. Langsung tidak boleh digerakkan.

Cahaya yang amat menyilaukan itu pula mula menghasilkan letupan. Arya menyedari tubuh Darma sudah menghilang dari pandangan. Dari jauh, Darma tersenyum sinis memerhatikan Arya yang termakan umpannya.

Letupan yang terhasil meninggalkan asap yang berkepul-kepul di ruang udara. Darma fikir, Arya mungkin tidak sempat melarikan dirinya dan terperangkap dalam letupan itu.

Walau bagaimanapun, asap yang mula menipis menampakkan sebuah kubah lutsinar bersaiz kecil menutupi satu susuk tubuh di dalamnya. Arya dengan cekapnya membuat perisai sebagai pelindung tubuhnya.

"Liat juga Arya lagi satu ni nak mati," getus Darma.

Arya perlahan-lahan menghilangkan kubah lutsinar yang melindungi tubuhnya. Belum sempat dia ingin mengatur nafasnya, beberapa pancang keluar dari bawah lantai. Pantas Arya terus melompat ke belakang selangkah demi selangkah, mengelakkan pancang-pancang itu daripada mengenai tubuhnya.

Darma tidak berpuas hati. Dia bertindak menjelmakan lebih banyak pancang di sekeliling tubuh Arya sehingga lelaki itu terkepung di tengah-tengah. Pemandangan terus berubah dalam sekelip mata, daripada sebuah tanah lapang lagi luas kepada sebuah hutan yang dipenuhi pancang.

Beberapa pancang tinggi yang berada di sekeliling Arya dipotong dengan sekali libasan pedangnya. Kepanjangan pedangnya ditambah. Radius serangannya turut bertambah. Walau bagaimanapun, ada beberapa sahaja pancang-pancang yang dipotong di sekelilingnya. Cukuplah sebagai laluannya.

Sengaja Arya tidak mahu memotongnya. Dia menggunakan pancang-pancang tersebut sebagai perisainya pula. Melalui celahan pancang itu, dia melancarkan serangannya ke arah Darma. Beberapa anak panah cahaya keluar dari celahan pancang yang tercacak di sekeliling Arya lalu menuju ke arah Darma.

Darma yang menyangkakan kemenangan berada di pihaknya leka seketika. Sempat lagi dia pada waktu itu memerhatikan Ilya melalui sfera yang dijelmakannya tadi. Sebelah tangannya digenggam kuat sehingga menggigil. Ada sesuatu yang diperhatikannya pada sfera itu sehingga menimbulkan kemarahannya.

"Tak guna! Macam mana dia boleh tahu?" soal Darma marah.

Tanpa disedarinya, beberapa anak panah yang sedang menuju ke arahnya telah pun berada di belakang. Darma yang menyedari hakikat itu ingin bertindak tetapi dia terlambat. Dia cuba memasang perisai demi melindungi tubuhnya. Akan tetapi, Arya menguatkan serangannya dari jauh menyebabkan perisai itu tidak tahan lalu mula retak sedikit.

Daripada celah retakan yang muncul, anak panah itu menyusup masuk lalu mengenai tubuh Darma. Beberapa letupan terhasil dalam perisainya sendiri. Asap yang berkepul-kepul tidak boleh keluar. Hanya terperangkap dalam perisai yang dibuatnya sendiri.

Dalam keadaan kelam-kabut, Darma tidak sempat menghilangkan perisainya sendiri. Darma terbatuk-batuk akibat terhidu banyak asap. Dia berkata, "Aku ingatkan Arya tak mahir buat serangan jarak jauh. Mustahil persona ni lebih mahir daripada tuannya sendiri."

Darma tidak percaya. Sedikit sebanyak, kecederaan pada tubuhnya melemahkan sedikit fizikalnya. Darma menghilangkan perisainya sendiri. Dia cuba pula melancarkan beberapa lembing ke arah Arya yang masih bersembunyi di sebalik hutan pancang tersebut.

Serangan dilancarkan. Lembing itu cuba ditujukan ke arah Arya. Namun satu serangan pun tidak mengena. Arya dengan cekapnya berlari-lari di sebalik pancang-pancang yang tercacak di sekelilingnya. Beberapa lembing hanya tercacak pada pancang-pancang tersebut. Sementara itu, lembing lain hanya mengenai lantai.

Arya menjadikan pancang-pancang itu untuk mengelirukan pihak lawan. Pancang-pancang itu dan perisainya sendiri benar-benar sudah menjadi senjata makan tuan.

***

Ilya memvisualkan laluan-laluan yang pernah dilaluinya tatkala mengejar Will O Wisp itu. Segala laluan yang pernah dijejakinya diingat kembali. Jika Will O Wisp itu bertindak menjauhkan para pengembara daripada kembali ke jalan pulang, pasti jalan yang tidak dilalui lagi itu jalan yang sebenar untuk pulang.

Apa yang perlu Ilya lakukan hanyalah melakukan perkara yang sebaliknya daripada yang ditunjukkan Will O Wisp tersebut. Jika Will O Wisp itu menunjukkan jalan ke kanan, dia hanya perlu ke kiri dan begitulah sebaliknya.

Memandangkan Ilya tidak dapat menggambarkan keseluruhan kawasan hutan belantara nan luas ini, dia hanya mampu melakukan teknik trial and error sahaja untuk menemui jalan pulang.

'Tapi hutan ni nampak peliklah. Macam ... makin aku jalan dalam hutan ni makin luas pula rasa. Memanglah hutan ni luas, tapi aku rasa macam pusing-pusing kat tempat yang sama je dari tadi,' desis Ilya pelik.

'Awak sekarang berada dalam lipatan dimensi yang dihasilkan Darma, spirit yang perangkap awak dalam dimensi ni. Ah, saya rasa awak lebih tahu pasal ni.'

Secara tiba-tiba dia teringatkan kata-kata Arya tadi. Dia seperti dapat menangkap sesuatu melalui kata-katanya itu.

'Lipatan dimensi?'

Mendengarkan sahaja kata-kata itu, menyebabkan Ilya sudah terbayang suatu visual di mindanya. Dengan sendirinya imej lipatan dimensi itu menjelma di dalam mindanya.

Lipatan dimensi. Sebuah dimensi yang tersembunyi di sebalik dimensi yang bergulungan dan berlipat secara berlapis-lapis. Malah, kewujudan dimensi yang tersembunyi di sebalik lipatan dimensi itu bukannya satu, tetapi ada banyak. Jumlahnya tidak terkira.

Pintu untuk ke dimensi itu pula boleh berada di mana-mana sahaja. Ya, minda Ilya sekarang sedang memvisualkan pintu atau portal untuk ke dimensi-dimensi yang lain. Secara tiba-tiba sahaja imej pintu yang berada di mana-mana sahaja itu dilayarkan di mindanya tanpa dipinta. Tanpa disuruh. Tanpa dipaksa.

Pintu. Apabila menyebut soal pintu, orang pasti sudah boleh membayangkan sebuah alat untuk menghubungkan di antara dua ruang atau bilik yang dipisahkan dengan sebuah dinding. Pintu itu digunakan untuk pergi dari satu bilik ke bilik yang lain. Dari satu ruang ke ruang yang lain.

Apabila menyebut soal pintu, pasti ada dua ruang atau bilik dan dinding yang memisahkan keduanya.

Dalam kes pintu ke dimensi lain yang dibayangkan Ilya ini, dua ruang itu ialah dua dimensi itu sendiri. Jadi, di mana pula dinding pemisah itu? Dimensi itu sepatutnya duduk sebelah-menyebelah jikalau pintu dan dinding di antara kedua-duanya wujud.

Akan tetapi, lain pula halnya dengan apa yang divisualisasikan Ilya. Nampaknya seperti tiada dinding pemisah yang wujud di antara dua dimensi tersebut. Malah, kedudukannya bukan sebelah-menyebelah seperti norma kebiasaan. Malah, kedudukan dimensi-dimensi itu sendiri pelik dalam bayangannya.

Dimensi-dimensi itu bukan berada sebelah-menyebelah. Kedudukannya itu amat sukar difahami dengan kemampuan akal Ilya yang masih terbatas. Sungguh dia tidak faham itu semua. Dalam visualisasinya, pintu untuk ke dimensi itu berada di mana-mana sahaja di tengah ruang. Tanpa dinding dan kelihatan tidak berhubung dengan dimensi itu sendiri.

Jadi, di manakah kedudukan dimensi itu? Adakah dimensi itu berada di suatu lokasi yang tidak dapat ditentukan? Yang mana kedudukannya langsung terpisah dengan dimensi ini? Adakah dimensi itu tersembunyi kedudukannya di dalam dimensi ini?

Yang mana satu?

Nampaknya model yang kedua lebih munasabah jikalau mahu menghubungkan pintu ke dimensi itu dengan dimensinya sendiri. Lagipun, barulah padan dengan apa yang diberitahu Arya sebagai 'dimensi yang tersembunyi dalam lipatan dimensi'.

Dimensi yang dimaksudkan Arya itu sebenarnya tersembunyi di sebalik lipatan dimensi. Oleh sebab itulah pintu untuk ke dimensi itu boleh berada di mana-mana sahaja di tengah ruang. Memandangkan kedudukan dimensi-dimensi itu tersembunyi di dalam dimensi ini.

Akan tetapi di mana kedudukannya? Bagaimana pula dimensi itu boleh tersembunyi?

'Dimensi yang tersembunyi di sebalik lipatan dimensi.'

'Atau gulungan.' Ilya menyambung sendiri. Mindanya sudah mula membayangkan kedudukan dimensi itu sendiri.

'Gulungan dimensi? Macam mana tu nak bayangkan?' soal Ilya sendiri.

Otaknya masih tidak mampu membayangkan sepenuhnya. Mindanya harus dibuka lagi seluas-luasnya agar mampu berimaginasi dengan lebih bebas. Sekali lagi llya cuba memvisualisasikan semula imej yang tiba-tiba muncul di layar mindanya.

Imej pintu-pintu untuk ke dimensi lain yang muncul di tengah ruang terlayar di mindanya.

'Kalau aku bayangkan ruang dalam dimensi tu macam biasa, tak dapatlah aku nak tentukan kat mana kedudukan gulungan atau lipatan tu. Apatah lagi kedudukan dimensi tu sendiri. Tapi ... cuba kalau aku bayangkan ruang dalam dimensi tu rupa macam sesuatu yang boleh dilipat atau digulung, mesti lebih senang nak faham, kan?'

Ilya cuba membayangkan ruang itu seperti kertas yang boleh digulung. Dalam gulungan-gulungan kertas itu pasti tersembunyi apa yang tertulis di atas kertas itu sendiri. Begitu juga halnya dengan dimensi yang tersembunyi ini.

Dimensi-dimensi itu semua tersembunyi di sebalik lipatan atau gulungan dimensi. Bayangkan pula ruang ini bukan bersifat berterusan seperti yang mata kasar selalu perhatikan. Sebaliknya ada banyak dimensi-dimensi lain yang tersembunyi di sebalik dimensi ini yang bergulung-gulung sifatnya.

Di dalam dimensi ada dimensi yang lain. Dimensi yang tersembunyi di sebalik lipatan dimensi.

Ilya akhirnya faham dengan apa yang dimaksudkan Arya kepadanya. Dia akhirnya faham di mana kedudukan dimensi ini sekarang dan bagaimana dia boleh berada di sini. Sekarang, masa untuk dia mencari jalan keluar pula dari hutan itu.

Walau bagaimanapun, baru Ilya hendak mengatur langkah, Ilya dapat rasakan satu gegaran yang amat kuat di sekitarnya. Tanah-tanah di sekitarnya mula menghasilkan rekahan yang amat besar. Rekahan itu merebak perlahan-lahan lalu memisahkan tanah tempat Ilya berpijak. Menampakkan sebuah ruang yang gelap hampir keseluruhannya.

Ilya terus terjatuh ke dalam ruang gelap tidak berpenghujung itu. Segalanya berlaku dengan pantas. Ilya langsung tidak sempat untuk berpaut pada apa-apa objek untuk menyelamatkan dirinya.


Previous: BAB 23
Next: BAB 25

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.