Home Novel Seram/Misteri Fitrah
Fitrah
Hana Mizari
3/3/2018 23:49:01
104,846
Kategori: Novel
Genre: Seram/Misteri
BAB 14

KEHILANGAN ILYA

Rekahan yang berlaku lebih pantas merebak lalu memecahkan tanah tempat Ilya dan Arya berpijak kepada beberapa bahagian. Secara spontan, mereka berdua mencapai tangan masing-masing untuk memastikan mereka berdua tidak terpisah. Seluruh dimensi itu runtuh dalam sekelip mata menampakkan sebuah ruang yang putih keseluruhannya. Satu cahaya putih menerangi mereka berdua lalu menenggelamkan kedua-duanya dalam lautan cahaya.

Arya dan Ilya masing-masing menguatkan pegangan tangan agar tidak terlepas dan terpisah dari dimensi yang putih keseluruhannya kini. Satu cahaya berwarna putih yang amat menyilaukan mata menerangi seluruh ruang itu.

***

Layla berlari-lari anak di koridor sekolah untuk mencari Rosmaria. Orang pertama yang dia terfikir di kala itu hanyalah guru subjek Biologinya merangkap sepupu Ilya. Dia berlari di seluruh kawasan sekolah untuk mencari kelibat guru itu. Matanya melilau ke kiri dan kanan untuk mencari orang yang diingininya. Dia amat berharap agar Rosmaria masih belum meninggalkan kawasan sekolah.

Masa berlalu dengan pantas. Matahari sudah bersiap-sedia untuk melabuhkan tirainya di ufuk barat. Langit semakin gelap. Entah kenapa dalam kepanikan yang melanda Layla saat ini, dia turut dapat rasakan bulu roma meremang di tengkuknya.

"Kenapa saya rasa tak sedap hati pula ni? Harap-haraplah tak jadi apa-apa pada Ilya," ucap Layla di dalam hati.

Sedang dia berlari, dia ternampak kelibat beberapa orang rakan sekelasnya sedang berbual-bual sesama mereka di suatu sudut di koridor sekolah. Tanpa berfikir panjang, Layla terus mengambil keputusan untuk bertanyakan keberadaan Rosmaria kepada mereka. Dia berlari menghampiri mereka semua.

"Eh, Nana! Kau ada nampak Cikgu Rosmaria tak?" tegur Layla kepada salah seorang daripada mereka. Tercungap-cungap dia dibuatnya kerana berkejaran ke sana ke mari sejak dari tadi.

Pelajar yang dipanggil Nana itu terus menoleh ke arah Layla. Beberapa orang rakannya turut memandang ke arah yang sama secara spontan.

"Eh, Layla! Cikgu Rosmaria ya? Ehm, rasanya dia pergi bilik guru tadi," balas Nana cuba mengingat kedudukan orang yang dicari Layla.

"Oh, bilik guru ya? Terima kasih ye Lala!" balas Layla tergesa-gesa lalu bergegas berjalan menuju ke arah bilik guru.

"Eh, kejap! Layla!" Nana tidak sempat menanyakan sebabnya Layla mencari guru baru mereka itu. Nana dan rakan-rakannya hanya memandang kelibat Layla yang meninggalkan mereka dalam keadaan terpinga-pinga.

Nana terus memandang semula ke arah rakan-rakannya semula lalu bertanya, "Kenapa ya dia tu cari Cikgu Rosmaria tiba-tiba?"

Rakan-rakannya yang lain hanya membalas pertanyaan Nana dengan mengangkat bahu masing-masing tanda tidak tahu jawapannya.

Layla mengatur langkah dengan berhati-hati tetapi pantas ke arah destinasi yang ditujunya. Tangga yang perlu dinaikinya didaki dengan penuh berhati-hati agar tidak terjatuh. Namun begitu, dia perlu cepat agar tidak terlepas peluang untuk berjumpa dengan Rosmaria.

Rosmaria pada ketika itu baru sahaja hendak keluar dari bilik guru. Dia telah bersiap-sedia membimbit beg kerjanya untuk pulang ke rumah. Dia merupakan orang terakhir yang keluar dari bilik itu sebelum dikunci oleh pekerja keselamatan. Selepas itu, barulah seluruh sistem pencahayaan dan pengudaraan di dalam bangunan itu ditutup secara automatik apabila malam menjelang tiba.

Seluruh kawasan Sekolah Menengah Sains GEN-01 mengaplikasikan sistem Bangunan Pintar. Malah, seluruh institusi kerajaan dan bukan kerajaan menggunakan sistem itu dalam bangunan masing-masing. Bangunan Pintar merupakan satu sistem pengawalan sistem pencahayaan, pengudaraan, penghawa dingin, keselamatan dan lain-lain dengan mengaplikasikan teknologi Internet of Things.

Layla yang baru sahaja sampai di aras yang menempatkan bilik guru ternampak kelibat Rosmaria di hadapan pintu bilik.

Dia terus melaung sekuat hati agar didengari Rosmaria, "Cikgu Rosmaria! Tunggu dulu!"

Layla berlari ke arah Rosmaria. Guru-guru lain yang turut berada di koridor itu dan berselisih dengan Layla sudah melemparkan pandangan pelik ke arah gadis berambut biru itu. Layla tidak mempedulikannya. Apa yang bermain di kepalanya sekarang adalah keselamatan sahabat karibnya sahaja.

Rosmaria yang mendengar seseorang memanggil namanya terus menoleh. Langkahnya dimatikan seketika. Layla terus berlari menghampiri Rosmaria. Rosmaria mengalihkan perhatiannya ke arah Layla. Gadis itu masih tercungap-cungap mengatur nafas.

"Layla? Ada apa cari cikgu? Ilya mana?" soal Rosmaria terpinga-pinga.

Layla yang baru sahaja mengatur nafasnya mula membuka mulut untuk bercerita masalah yang sebenarnya.

"Ini yang saya nak bagitahu cikgu. Ilya ... hilang!" beritahu Layla dalam keadaan masih tercungap-cungap. Perasaannya ketika itu bercampur-baur antara takut, panik dan kelam-kabut.

"Ha! Cam, cam mana Ilya boleh hilang?" Mendengarkan kata-kata yang terpacul keluar dari mulut Layla, rahang Rosmaria terjatuh ke bawah dibuatnya dek terlalu terkejut. Berkecamuk hati Rosmaria dibuatnya tatkala mendengar berita itu.

"Tadi, masa saya tengah jalan dengan Ilya nak balik sekolah, tiba-tiba je dia hilang masa saya tengah cakap dengan dia. Saya pun tak sedar masa bila Ilya hilang," tambah Layla lagi yang mula hendak menangis di hujung katanya. Tanpa disedari, manik-manik jernih mula mengalir keluar dari tubir matanya.

"Takpa, takpa. Kita pergi report polis dulu ya?" balas Rosmaria cuba memujuk Layla. Tangannya mengusap air mata yang mula mengalir di pipi gebu Layla.

Layla hanya mengangguk lemah.

Tanpa membuang masa, Rosmaria terus bergegas ke balai polis yang turut diikuti oleh Layla.

***

Cahaya putih yang menyilaukan mata tadi menyebabkan mereka berdua hilang kesedaran. Tubuh Ilya dan Arya terapung-apung dalam ruangan putih berkeluasan infiniti bagai ubur-ubur yang terapung dalam laut dalam. Selepas ditelan cahaya putih itu, Ilya sudah tidak ingat lagi apa yang berlaku ke atas dirinya.

***

Usai membuat laporan polis, Rosmaria dan Layla tidak mahu membuang masa. Mereka tidak mampu berdiam diri lagi. Mereka harus berbuat sesuatu demi meredakan galau yang bersarang di hati. Mereka tidak sanggup lagi untuk terus menunggu polis melakukan pencariannya.

Rosmaria mencadangkan agar mereka berdua berpecah dan bertanya orang lain yang berada di perkarangan sekolah itu untuk mencari sedikit klu. Manalah tahu kalau-kalau ada di antara mereka yang tahu atau ternampak ke mana Ilya pergi.

Layla terus bertanya beberapa orang pelajar yang masih berada di kawasan perkarangan sekolah itu. Layla tiada masalah untuk berkomunikasi dengan semua orang kerana dia memang seorang yang peramah.

Di suatu sudut berhampiran tembok pagar sekolah, Layla ternampak sekumpulan pelajar perempuan sedang bergurau-senda. Tanpa membuang masa, dia terus menghampiri mereka yang asyik berborak.

"Boleh tumpang tanya?" tanya Layla cuba berbasa-basi. Rasa galau yang bersarang di hati cuba disembunyikan agar mereka tidak berasa pelik.

"Ya, ada apa?" balas salah seorang daripada mereka sambil mengalihkan pandangannya ke arah Layla.

Rakan-rakannya yang lain turut melakukan perkara yang sama. Pelajar itu mengukirkan senyuman. Langsung tidak tahu-menahu akan kesusahan yang dihadapi Layla tika ini.

"Ehm, ada nampak tak, seorang budak perempuan pendek-pendek, rambut panjang paras punggung, lurus dan warna hitam dan bermata merah?" soal Layla tanpa berasa kekok. Ciri-ciri fizikal Ilya diterangkan dengan terperinci sekali agar mereka dapat mengenali susuk tubuh gadis itu.

"Budak perempuan pendek berambut hitam bermata merah?" Pelajar itu mengulang semula ciri-ciri yang disebutkan Layla.

Mata pelajar yang bercakap dengan Layla melirik ke atas. Jari telunjuknya diletakkan di hujung bibir. Dia cuba mengingat semula tentang kelibat gadis yang disebutkan Layla.

"Tak pasti pula, banyak sangat orang yang rupa lebih kurang macam tu kat sekolah ni. Yang mana satu y...." Kata-katanya dipotong oleh seorang lagi rakannya yang tiba-tiba teringatkan sesuatu.

"Saya tak pasti yang mana awak maksudkan. Tapi, tadi ada seorang budak pelik cakap sorang-sorang depan pokok, kan?" Dia memohon kawan-kawannya untuk menyokong apa yang dikatakannya.

"Ha'ah, betul! Tadi kita semua nampak. Tiba-tiba je dia pergi kat pokok lepastu cakap sorang-sorang depan pokok. Macam ada orang je kat situ. Tapi tak nampak pun orang lain kat situ selain dia. Mungkin dia yang awak maksudkan?"

Entah kenapa cerita pelajar itu menarik perhatian Layla. Pada saat ini, dia sanggup berharap pada apa sahaja klu asalkan dia boleh mencari sahabatnya itu.

"Macam mana rupa budak tu?" soal Layla mula menunjukkan minatnya.

"Macam yang awak cakap tulah. Pendek-pendek, rambut panjang paras punggung, lurus dan berwarna hitam. Mata dia saya tak perasan pula," terang pelajar itu menceritakan apa yang dilihatnya.

"Lepastu dia pergi mana?" soal Layla tidak berputus asa.

"Ah, dia pergi belakang sana. Maybe dekat kawasan bangunan lama sekolah," sampuk seorang lagi sambil menudingkan jarinya ke arah yang dilalui Ilya.

Kawasan bangunan lama sekolah itu memang terletak di bahagian agak dalam berbanding bangunan lain.

"Terima kasih banyak semua!" Layla menundukkan kepalanya berkali-kali sebagai tanda terima kasih.

"Sama-sama," balas mereka semua hampir serentak.

Layla terus berjalan laju ke arah kawasan yang dimaksudkan pelajar itu tadi. Sekumpulan pelajar itu tadi pula hanya menghantar Lazulee pergi dengan pandangan masing-masing.

"Haih! Ilya, Ilya! Lain kali kalau nak pergi mana-mana cakaplah dengan saya dulu," omel Layla sambil mempercepatkan langkahnya.

Jauh di sudut hatinya, dia amat berharap agar pelajar yang dimaksudkan mereka tadi merupakan Ilya. Lagipun, nalurinya kuat mengatakan bahawa itu adalah Ilya. Dia kenal sangat dengan sikap Ilya yang suka berkelakuan aneh dan bercakap seorang diri. Akan tetapi, tidak pernah tergerak sedikit pun di hatinya untuk menyisihkan Ilya kerana perangai peliknya. Dia sedikit pun tidak kisah, asalkan Ilya tidak membahayakan dirinya dan orang lain.

Layla berjalan di atas rumput yang telah dipotong pendek oleh robot-robot pekerja di kawasan bangunan lama. Walaupun kawasan bangunan lama itu sudah jarang digunakan, tetapi kebersihan di situ tetap dijaga rapi oleh robot-robot pekerja. Robot-robot mana tahu curi tulang.

***

Ilya membuka matanya perlahan-lahan. Dia dapat rasakan tubuhnya sedang berada dalam posisi pelik dan tidak selesa saat dia mula tersedar. Perasaan itu menyebabkan dia tertanya-tanya.

'Apa yang telah terjadi sebelum ini?'

Ilya sudah tidak berapa ingat apa yang berlaku sebelum ini. Semuanya masih samar-samar. Apa yang dia ingat, dia terperangkap di sebuah dunia pelik bersama beberapa orang kanak-kanak yang mengajak dia bermain suatu permainan. Permainan itu pula dia tidak pernah dengar pun sebelum ini. Lagu yang dinyanyikan mereka semua kedengaran begitu asing di telinganya.

Tubuh seorang lelaki menjamu pandangan matanya. Baru Ilya tersedar yang dia sedang tertiarap di atas badan seorang lelaki. Dengan penuh kepayahan, Ilya bangun dari keadaan tertiarapnya.

Lambat-lambat, kelopak mata lelaki itu turut terbuka perlahan-lahan. Ilya turun dari terus berada di atas tubuh lelaki itu. Dia terus duduk di sebelahnya. Wajah pelajar lelaki yang berada di sebelahnya ini ditatap penuh makna. Dia cuba mengingat nama pelajar lelaki itu. Lelaki itu merupakan Arya Shaputra, pelajar yang baru dijumpainya sebelum ini. Pelajar inilah yang baru sahaja menyelamatkannya daripada sekumpulan kanak-kanak menakutkan tadi.

Kemudian, matanya dilirikkan ke kawasan persekitarannya. Beberapa buah bangunan sekolah yang kelihatan lama berada di sekelilingnya. Tidaklah terlampau lama sehingga boleh dikategorikan sebagai usang.

Keadaan bangunan-bangunan itu masih dalam keadaan baik dan terjaga rapi, tidak seperti apa yang dilihatnya sebelum ini. Rumput di persekitarannya juga dipotong pendek, bukannya semak belukar seperti sebelum ini. Sahlah, suasana di persekitarannya telah berubah. Ternyata tempat yang dilalui Ilya sebelum ini merupakan alam lain.

Arya bangun dari posisi tubuhnya yang sedang baring. Dia terus duduk di sisi Ilya yang masih memerhatikannya. Sejak dari tadi, gadis itu hanya senyap, tidak mengeluarkan sebarang bicara.

"A ... Arya!" Ilya memulakan bicaranya.

Arya terus menatap wajah Ilya spontan.

"Ya?" balas Arya pendek.

"Apa yang dah berlaku sebenarnya tadi? Macam mana kita boleh ada kat sini pula?" soal Ilya yang masih lagi tidak mampu menghadam situasi yang baru dihadapinya.

"Tempat yang kita berada tadi mungkin dimensi yang dibuat golongan spirit untuk perangkap manusia. Dan somehow dimensi tu bertindih dengan tempat kita berada sekarang. Lepas saya kalahkan semua spirit tu, dimensi tu runtuh dan membawa kita ke sini semula," terang Arya akan apa yang dia faham.

Ilya mengerutkan dahinya mendengar penjelasan itu. Otaknya masih kabur saat ini.

"Ah, tadi tu...." Ilya tiba-tiba teringatkan sesuatu. Soalan itu belum sempat ditanyakan Ilya sebelum dimensi itu runtuh.

"Tadi tu, apa yang awak lakukan tu Dark Arts ke?" soal Ilya tanpa teragak-agak.

Perasaan ingin tahu membuak-buak dalam dirinya saat ini. Ingin benar Ilya untuk meredakan segala kekusutan dalam mindanya dan merungkai segala persoalan.

"Tadi tu...." Baru sahaja Ilya hendak membuka mulutnya tetapi dia telah dipotong seseorang.

"Ah! Awawawawawawa! I ... Ilya!" Kedengaran suara seseorang memanggil nama Ilya. Nadanya bercampur antara teruja, terkejut dan berbagai-bagai lagi perasaan yang sukar digambarkan.

Serentak, Arya dan Ilya memandang ke arah punca suara itu. Dilihat Layla sedang berdiri di kaki lima sebuah bangunan lama, berhampiran dengan tempat Arya dan Ilya berada. Ilya dan Arya pada waktu itu sedang duduk di atas rumput di sebuah kawasan lapang. Layla pula pada waktu itu sedang memerhatikan mereka berdua dengan riak wajah tidak percaya. Matanya terbuntang luas. Kedua-dua tangannya yang mula sejuk ditekup ke mulutnya yang menganga luas.

Perlahan-lahan Layla mengatur langkahnya untuk menghampiri Ilya dan Arya. Ilya dan Arya pula terus berdiri untuk berhadapan dengan Layla. Kedua-duanya menayangkan muka selamba.

"Ilya! Ke manalah awak pergi? Puas saya cari tau! Awak ni kalau nak date pun tak payahlah malu-malu. Kan saya dah terkejar ke sana ke mari cari awak tadi. Cikgu Rosmaria sampai report polis awak tahu tak?" Layla seperti biasa, membuat andaian tidak berasas. Dia masih menganggap Ilya menyukai Arya.

"Maafkan saya. Saya tak menyangka pula keadaan boleh jadi macam ni. Maafkan saya kerana menyusahkan awak," ucap Ilya mula rasa bersalah.

"Wah, Ilya! Saya tak sangka awak dah maju. Baru berkenalan tak sampai sehari dah ajak date," luah Layla penuh keterujaan dalam hatinya. Rasa galau di hatinya reda serta-merta tatkala ternampak kelibat rakan baiknya itu.

Ilya dan Arya sudah berpandangan sesama sendiri. Kemudian mereka berdua memandang semula Layla.

"Maaflah Cik...." Arya cuba menyebut nama Layla tetapi dia tidak mengenali gadis itu.

"Layla Almyra," sampuk Ilya memberitahu nama rakannya kepada Arya.

"Maaflah Cik Layla Almyra. Saya rasa awak dah salah faham. Kami bukannya dating," ujar Arya cuba menjelaskan salah faham di antara mereka.

"Oh, tak payahlah nak malu-malu! Ini Layla Almyra-lah! Saya ni sporting je. Saya akan support relationship korang berdua," balas Layla tanpa teragak-agak dan penuh keterujaan.

Mendengarkan itu, Arya dan Ilya sudah memandang ke arah yang bertentangan. Muka masing-masing merah padam tatkala dianggap sebagai sepasang kekasih oleh Layla. Apa boleh buat, mereka tidak mampu lagi meredakan salah faham Layla terhadap mereka berdua. Awal-awal lagi Layla sudah menanamkan dalam mindanya mengenai persepsinya itu.

"Dahlah, dahlah. Jom kita balik! Hari dah lewat petang dah ni," kata Ilya secara tiba-tiba untuk mengalih topik perbualan.

Kemudian, mereka bertiga terus berjalan pulang meninggalkan kawasan lama bangunan sekolah itu. Walau bagaimanapun, tidak mereka sedari ada suatu entiti yang memerhatikan sejak dari tadi.

Entiti itu pun berkata, "Hmm, menarik! Yang rambut kelabu dengan rambut hitam tu memang menarik."

Kata-katanya itu disusuli dengan hilai-tawa yang mengerikan. Entiti itu pun menghilangkan diri dalam kepulan asap. Hanya bunyi ketawa yang mengerikan kedengaran. Arya dan Ilya menoleh ke belakang serentak seperti menyedari sesuatu. Kemudian, mereka meneruskan semula perjalanan setelah mendapati tiada apa-apa yang berlaku. Layla pula sudah berjalan jauh di hadapan, tenggelam dalam perasaannya sendiri. 

Previous: BAB 13
Next: BAB 15

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.