Home Novel Seram/Misteri Fitrah
Fitrah
Hana Mizari
3/3/2018 23:49:01
104,676
Kategori: Novel
Genre: Seram/Misteri
BAB 17

KELAB PETANI MUDA

Layla bangun dalam keadaan lemah. Dahinya terasa panas sekali. Kepalanya berasa sakit berdenyut-denyut. Layla membuka laci meja yang terletak di sebelah katilnya. Termometer diambilnya untuk mengukur suhu badannya.

38.1 darjah celsius. Itu suhu yang tercatat pada termometer tersebut. Dia menyandar lemah di kepala katil. Nampaknya tidak dapatlah dia hadir ke sekolah hari ini.

"Maaflah, Ilya. Saya tak dapat temankan awak hari ni," gumam Layla sendirian.

Khuatir benar Layla memikirkan sahabat baiknya itu. Dia risau Ilya ditinggalkan seorang diri di sekolah.

***

Ilya melangkah tenang di koridor sekolahnya. Tidak seperti hari-hari yang lain, hari ini dia berasa begitu bersemangat untuk hadirkan diri ke sekolah. Hari ini, dia sudah bertekad untuk berkenalan dengan gadis pelik yang ditemuinya semalam, Zahara Darvisha. Dia pasti ada sesuatu tentang gadis itu yang menarik perhatiannya, terutama sekali mengenai apa yang didengari gadis itu dari dalam semak semalam. Dia tidak sabar-sabar menunggu waktu rehat untuk mencari Zahara.

Langkahan kaki Ilya diatur untuk masuk ke kelasnya, Satu Alpha. Sebaik sahaja kakinya melangkah masuk, ada tiga pasang mata merenung tajam ke arah gadis berambut hitam itu.

Tiga orang pelajar perempuan sedang duduk di penjuru kelas sambil melemparkan pandangan dengan penuh angkuh. Salah seorang daripadanya berambut pendek berwarna merah. Dia merupakan ketua bagi kumpulan tersebut. Namanya Nandhina. Dua orang lagi yang bersamanya merupaka Syasya dan Misya. Mereka berdua merupakan pengikut setia gadis bernama Nandhina itu.

Ilya melabuhkan punggungnya di tempatnya yang terletak di hujung tepi tingkap kelas. Satu keluhan dilepaskannya sebelum melepaskan pandangan ke luar jendela di sebelah. Dia berharap sangat hari ini berlalu dengan cepat tanpa berlaku apa-apa insiden. Dalam masa yang sama, dia menanti kehadiran sahabat baiknya Layla agar dapat menemani perjuangannya menempuh hari ini.

***

"Haah! Tiba juga waktu rehat," rungut Ilya sambil menggeliat malas.

Dia amat tidak menyangka yang Layla tidak hadir ke kelas hari ini. Setahunya, gadis berambut biru itu tidak pernah ponteng sekolahnya walau satu hari pun. Hendak dikata sakit, gadis itu terlebih sihat dan berstamina. Entahlah, mungkin dia terkejut sangat sebab ternampak Mandrake yang menakutkan itu. Bayangan Layla pengsan di hadapannya tatkala ternampak Mandrake itu kembali terimbau di ingatannya.

"Mandrake!" Ilya terus jadi bersemangat secara tiba-tiba tatkala teringatkan tumbuhan yang amat jarang ditemui itu.

Ilya terus bangun dari kerusinya lalu bergegas untuk ke Bilik Kelab Petani Muda seperti yang diberitahu Nyanza. Akan tetapi, dia tidak tahu di mana bilik itu. Mahu dicari, kawasan sekolah ini amat luas untuk diterokanya. Hendak ditanya sesiapa, dia malu untuk bertanya. Dia tidak rapat dengan sesiapa pun melainkan Layla.

Akhirnya Ilya mengambil keputusan untuk mencari lokasi bilik kelab itu melalui aplikasi pengkalan data sekolah di telefon pintar miliknya. Telefon pintarnya dikeluarkan untuk mencari aplikasi itu. Para pelajar jarang menggunakan aplikasi tersebut melainkan ada urusan penting. Ilya tidak menyangka aplikasi itu akan berguna saat ini.

Pada aplikasi tersebut, Ilya mencari pautan yang memperihalkan lokasi tempat-tempat di sekolah itu. Pada bar carian, dia menaip, 'BILIK KELAB PETANI MUDA'. Dalam masa beberapa saat, lokasi bilik kelab itu dipaparkan dalam bentuk peta. Peta itu memudahkan Ilya mencari kedudukan Bilik Kelab Petani Muda.

Bilik Kelab Petani Muda terletak di sebuah kawasan lapang antara dua blok bangunan. Kelihatan sebuah bangunan rumah kaca berbentuk kubah mini di tengah kawasan lapang. Bangunan berbentuk kubah itu berwarna hijau hampir keseluruhannya. Di hadapannya ada label tertulis 'BILIK KELAB PETANI MUDA'. Ada sebuah laluan yang diperbuat daripada batu-bata buatan menuju ke bilik kelab itu.

Ilya mengatur langkahnya melalui jalan untuk ke bilik kelab tersebut. Sampai sahaja di hadapan pintu, pintu itu terus terbuka secara automatik untuk membenarkan Ilya masuk.

Sebaik sahaja dia masuk, pemandangan pelbagai jenis tanaman herba dan bunga-bungaan pelbagai warna menjamu pandangan matanya. Kesemuanya disusun dengan cantik sekali lengkap dengan label masing-masing. Ada yang disusun di dalam pasu dan ada yang ditanam di atas tanah. Sebahagian daripada bunga-bungaan yang ditanam mengeluarkan bau yang semerbak harum. Panahan cahaya matahari yang menembusi bumbung kaca berwarna hijau bilik kelab itu menyebabkan seluruh ruangan dilimpahi warna kehijauan.

Mata Ilya melilau mencari kelibat Zahara.

"Umm, Zahara?" panggil Ilya cuba mencari kelibat gadis pencinta pokok itu.

"Ya! Ilya kan?" sahut Zahara yang tiba-tiba keluar dari celah-celah tanaman herba yang tersusun cantik di suatu sudut.

Rambut gadis itu yang berwarna hijau sama dengan warna daun-daun di situ menjadi penyamaran tidak sengaja baginya. Selalu sahaja orang tidak dapat mencarinya dek tersembunyi di balik tanaman herba di bilik itu.

Tanpa disuruh, Ilya terus berjalan merapati Zahara. Dia ingin melihat apa yang dilakukan oleh gadis itu. Zahara dilihat sedang berdiri dikelilingi beberapa tanaman herba.

"Awak buat apa tu Zahara?" soal Ilya.

"Saya tengah berbual-bual dengan pokok-pokok kat sini. Awak tak dengar ke mereka bercakap ni, Ilya?" soal Zahara selamba.

Ilya menggeleng laju. Tidak pula dia berasa pelik, memandangkan dia pernah mendengar moyangnya mengatakan hal yang sama kepadanya.

Zahara menoleh ke arah Ilya. Dua pasang mata merah itu bertautan.

"Zahara, semalam tu, yang awak dengar dalam semak tu...."

"Saya dengar bunyi Pokok Mandrake tu masa lalu tepi semak tu," potong Zahara.

"Jadi, awak ni ada kebolehan untuk bercakap dengan pokoklah?" soal Ilya mula teruja.

Zahara mengangguk laju. Dia turut merasakan perkara yang sama.

Ilya memegang kedua-dua tangan Zahara lalu digenggamnya. Sekali lagi dua pasang mata merah milik kedua-dua gadis itu bertautan.

"Awak nak tahu? Moyang saya pun ada kebolehan sama macam awak."

"Ya ke?" soal Zahara hampir tidak percaya. Dia mengukir senyuman penuh makna.

"I knew it! Saya dah agak dah. Saya dapat agak dah masa saya mula-mula jumpa awak semalam yang ada sesuatu pada awak. Masa tu saya harap sangat yang kita boleh jadi kawan. Boleh kan?" Anak mata merah Zahara menatap wajah Ilya penuh makna.

"Boleh," balas Ilya pantas.

"Eh, kawan awak mana?" soal Zahara setelah mendapati Layla tiada bersamanya.

"Dia tak datang hari ni." Wajah Ilya berubah sedikit muram.

"Kenapa?" soal Zahara ingin tahu.

"Entahlah. Saya pun tak tahu. Mungkin dia terkejut sangat pasal semalam." Ilya membuat andaian.

"Semalam? Oh, Mandrake ke? Hmm, mungkin sebab suara yang dikeluarkan Mandrake tu?" Zahara mengemukakan teorinya sendiri.

"Tak. Mungkin sebab muka Mandrake tu menakutkan sangat agaknya." Ilya mengutarakan pendapatnya.

"Oh, ya ke? Saya tak fikir pun Mandrake tu menakutkan," balas Zahara selamba.

Ilya menyepetkan matanya. Dalam hatinya terdetik, "Is she lack of common sense?"

Krruong!

Bunyi keroncong yang keluar dari perut Ilya menghentikan perbualan mereka berdua. Ilya dan Zahara terdiam sejenak. Kemudian, tiba-tiba sahaja Zahara ketawa kecil.

Ilya pula hanya menayangkan riak wajah tiada ekspresi. Dia baru teringat yang dia tertinggal bekalnya di kelas. Dek terlampau memikirkan untuk mencari gadis berambut hijau itu, dia terlupa untuk mengambilnya.

"Nampaknya awak dah lapar. Jom, saya dah sediakan makanan untuk awak," pelawa Zahara lalu memimpin Ilya ke tengah ruangan itu.

Di tengah ruangan itu, terdapat sebuah meja bulat bersama empat buah kerusi. Setiap satunya cantik diukir dengan motif flora. Di atas meja itu terdapat sebiji teko, tiga biji cawan berserta sepiring biskut cip coklat.

Ilya dipersilakan duduk di situ. Dia terus melabuhkan punggungnya pada salah satu kerusi yang berada di situ. Zahara pula menuangkan air ke dalam dua biji cawan yang berada di situ.

Sejurus sahaja air dari dalam teko itu dituang ke dalam cawan, aroma harum lagi mengasyikkan menusuk hidung Ilya. Baunya harum sungguh seperti teh yang direneh moyangnya.

"Nyanza, siapa yang buat teh ni? Harumnya! Sama macam moyang saya buat," puji Ilya.

Zahara menguntum senyum.

"Saya yang buat sendiri semalam. Dan untuk pengetahuan awak, teh ni saya buat dari Mandrake yang saya ambil semalam tulah," terang Zahara sambil menghulurkan cawan kepada Ilya.

Ilya yang pada masa itu mahu minum teh tersebut terus membatalkan niatnya.

"Tak beracun ke?" soal Ilya tanpa berlapik.

"Tak, saya dah keluarkan racun dia," tambah Zahara lagi lalu melabuhkan punggungnya di kerusi berhadapan Ilya.

"Keluarkan racun dia? Awak pandai buat?" soal Ilya inginkan kepastian.

Zahara mengangguk laju sambil tersenyum.

"Macam mana awak tahu cara lakukannya?" soal Ilya lagi ingin tahu.

"Saya dapat ilmu ni dari Mandrake tu. Mandrake yang ajarkan macam mana nak keluarkan racun dari badan dia," jelas Zahara tanpa berselindung.

"Mandrake?" Ilya membuntangkan matanya. Pelik sangat baginya tatkala mendengar apa yang diterangkan Zahara. Bagaikan kanibal pula, mempelajari daripada pokok yang sudahnya akan dijadikan makanan buat mereka.

Satu hipotesis terbit di minda Ilya. Kebolehan gadis yang berada di hadapannya ini sama betul dengan kebolehan moyangnya. Dia hanya perlu tanya satu lagi soalan untuk mengesahkan hipotesisnya.

"Zahara, saya nak tanya awak satu soalan. Tapi soalan ni mungkin kedengaran pelik bagi awak." Ilya berasa teragak-agak untuk menanyakan soalan itu.

"Tanya jelah." Zahara bersandar di kerusinya. Kedua-dua belah tangannya direhatkan di atas meja.

"Awak ... awak boleh nampak ... spirit?" soal Ilya teragak-agak. Dia khuatir Zahara akan berasa pelik dengan soalan itu.

"Spirit?" Keluar soalan itu dari mulut Zahara.

"Karina, saya rasa awak boleh keluar sekarang. Tak payahlah malu-malu," ujar Zahara secara tiba-tiba memanggil seseorang.

Sejurus itu, muncul seorang gadis kecil berbadan separa lutsinar keluar dari tempat persembunyiannya di celah-celah tanaman herba. Gadis itu kelihatan malu-malu. Perlahan-lahan dia berjalan menghampiri Zahara lalu menyorok di belakang gadis berambut hijau itu.

Ilya menguntum senyum. Dia berasa gembira tatkala menjumpai seseorang yang mempunyai kebolehan sama sepertinya.

"Karina ni memang takut dengan manusia lain." Zahara membuka cerita.

"Oh, takpalah Karina. Saya bukan macam manusia lain di luar sana tu," bicara Ilya.

"Karina tak perlulah malu. Dia ni kawan saya, Ilya." Zahara memperkenalkan Ilya kepada Karina.

Ilya terus menghulurkan tangan untuk bersalam. Lambat-lambat Karina keluar dari belakang Zahara lalu menyambut tangan yang dihulurkan Ilya. Sejurus sahaja tangannya menyentuh tangan spirit bernama Karina itu, dia dapat rasakan kedinginan luar biasa seperti mula-mula dia bersalam dengan Maria sebelum ini. Karina cuba mengukirkan senyuman. Ilya pula membalas dengan senyuman tipis. Karina kemudiannya duduk di salah satu kerusi yang masih kosong.

"Ilya, kita ni ada banyak persamaan," bicara Zahara memecahkan keheningan.

"Betul tu. Saya gembira mendengarnya."

"Hmm, Zahara. Macam mana awak boleh dapat kebolehan mendengar pokok berbicara tu?" Ilya membuka perbincangan mereka.

"Sejak dari kecil lagi. Masa tu umur saya tujuh tahun. Masa sedang berjalan-jalan dalam kebun nenek saya di kampung, tiba-tiba saja saya dengar ada suara berbicara mengenai khasiat tumbuh-tumbuhan. Mula-mula saya ingat tu cuma mainan perasaan. Sebab suara tu kedengaran seperti datang dari dalam kepala saya je. Lepastu lama-lama suara tu makin kerap kedengaran setiap kali saya berada berhampiran dengan pokok-pokok. Akhirnya saya terfikir, mungkin pokok tu cuba berbicara dengan saya," jelas Zahara dengan panjang lebar.

"Suara? Datang dari dalam kepala?" Minda Ilya menerbitkan rasa ingin tahu tatkala mendengar kata-kata itu.

"Ya. Kenapa?"

Ilya tidak menjawab. Dia teringat beberapa perkara aneh yang terjadi ke atas dirinya sebelum ini. Seperti apa yang diceritakan Zahara, dia turut mengalami masalah yang sama cuma dia tidak mendengarnya daripada pokok. Bukan juga khasiat tumbuh-tumbuhan yang Ilya dengar melalui suara itu, tetapi tentang konsep-konsep yang tidak pernah didengarinya seperti kerelatifan masa.

'Kalau suara tu ada kaitan dengan Dark Arts, tapi adakah Zahara buat perjanjian dengan spirit seperti yang diberitahu mereka? Tapi, dia takda pula cakap macam tu sebaliknya kebolehan tu datang macam tu je. Habis tu kalau bukan Dark Arts, apa? Light Arts ke? Seperti yang dikatakan Arya?' Persoalan demi persoalan terbit di minda Ilya.

"Ilya?" Panggilan itu mematikan lamunan Ilya.

Ilya memandang semula wajah Zahara yang sedang menatapnya saat ini. Karina hanya mendiamkan diri di tempatnya.

"Zahara, awak tahu apa-apa pasal Dark Arts? Atau Light Arts?" Ilya terus pergi kepada pokok persoalan.

"Dark Arts? Light Arts?" Zahara membalas soalan dengan soalan.

"Oh, Dark Arts ke? Maksud awak, perjanjian dengan kami untuk dapatkan kuasa magis?" Tiba-tiba sahaja Karina menyampuk perbualan mereka berdua.

Zahara dan Ilya menoleh ke arah Karina serentak.

"Yep, yang tulah. Tapi, macam mana pula dengan Light Arts? Apa bezanya antara kedua-duanya? Dan dari mana pula datangnya kebolehan pelik awak tu, Zahara?" Bertubi-tubi soalan diajukan Ilya.

"Maaf, kami kurang arif pasal tu," balas Karina.

"Yep. Betul tu. Dan sebenarnya saya baru dengar hari ni pasal Dark Arts dan Light Arts tu," sambung Zahara pula.

Ilya menyandar ke kerusi lalu mengeluh kasar. Puas sudah dia mencari jawapannya. Semakin banyak dia ingin meneroka, semakin banyak pula perkara yang ingin diketahuinya.

Zahara yang melihat Ilya mengeluh memegang tangan rakannya itu lalu berkata, "Ilya, takpa. Kalau awak perlukan jawapannya, saya akan tolong awak. Lagipun, saya sendiri ingin cari jawapannya. Sebelum ni saya tak pernah terfikir pun."

"Terima kasih. Saya menghargainya, Zahara."

"Sama-sama. Itu yang sepatutnya seorang rakan lakukan. Beri pertolongan jika ada apa-apa masalah menimpa rakannya," balas Zahara merendah diri.

'Mungkin, saya patut ajak Arya untuk berbincang bersama lepas ni.' Ilya berkira-kira di dalam hatinya.

"Zahara, boleh saya sertai kelab ni? Ada banyak lagi soalan saya nak tanya awak," pinta Ilya.

"Boleh!" balas Zahara dengan teruja.

"Dan kalau boleh saya nak ajak kawan lagi ke bilik kelab ni, boleh?" pinta Ilya lagi.

"Dah tentu boleh! Lebih ramai lebih meriah!" Bertambah teruja Zahara dibuatnya. Matanya bersinar-sinar.

Gembira rasa hatinya kerana akhirnya dia dapat juga berkawan dengan seseorang buat peneman bicara. Selama ini, hanya Karina sebagai peneman bicara. Dalam kelas, dia disisihkan kerana dikatakan suka bercakap seorang diri terutama sekali tatkala berhampiran dengan pokok-pokok.


Previous: BAB 16
Next: BAB 18

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.