Home Novel Seram/Misteri Fitrah
Fitrah
Hana Mizari
3/3/2018 23:49:01
105,782
Kategori: Novel
Genre: Seram/Misteri
BAB 16

MANDRAKE

Ketika perjalanan pulang dari sekolah, Layla mengambil kesempatan untuk menanyakan Ilya mengenai perjumpaannya dengan Arya sewaktu rehat. Kalau ikutkan, sebenarnya dia bukannya bertugas pun pada hari itu, tetapi dia sengaja memberi alasan sebagitu agar dapat memberi peluang kepada Ilya bersendirian bersama Arya.

"Ilya, macam mana dengan date?" soal Layla sambil tersenyum nakal. Daripada riak wajahnya terpancar rasa ingin tahu dalam dirinya akan perkembangan hubungan Ilya dan Arya.

"Takda apa. Kami borak-borak je tadi," balas Ilya acuh tidak acuh.

"Eh, takkan takda apa-apa. Ilya ni malu-malu pula," usik Layla masih teruja.

Ilya yang malas melayan celoteh sahabat baiknya itu terus mempercepatkan langkahnya, meninggalkan Layla dalam dunianya sendiri.

"Eh, Ilya! Tunggu!" Layla yang menyedari dirinya ditinggalkan terus mengejar sahabatnya.

Ilya menghentikan langkahnya secara tiba-tiba. Ada sesuatu yang menarik perhatiannya menyebabkan dia terhenti.

Di tepi semak belukar yang berada di tepi jalan, terdapat seorang gadis berambut pendek berwarna hijau sedang mencangkung. Dia memakai uniform sekolah yang sama seperti Ilya dan Layla. Telinganya dihalakan ke arah semak belukar. Dia kelihatan seperti sedang mendengar sesuatu dari dalam semak.

"Kenapa, Ilya?" soal Layla setelah berada di sisi Ilya. Kemudian matanya dilirikkan ke arah yang sama dipandang Ilya.

"Eh, Zahara Darvisha?" Layla yang sememangnya mulut becok itu tidak dapat menahan mulutnya daripada menyebutkan nama gadis itu.

Ilya menoleh sebentar ke arah Layla dan bertanya, "Tu nama dia ke?"

"Ha'ah. Awak tak kenal ke Ilya? Dia ni famous tau! Macam awak. Kenapa? Awak berminat ke nak berkenalan dengan dia?"

Ilya tidak menjawab soalan Layla. Sebaliknya dia terus berjalan menghampiri gadis bernama Zahara Darvisha itu.

"Apa yang awak buat tu?" soal Ilya ingin tahu akan apa yang didengar Zahara.

Seraya itu, Zahara terus menoleh ke arah Ilya menampakkan iris matanya yang berwarna merah.

"Shhh!" Zahara meletakkan jari telunjuknya di bibir sebagai isyarat senyap.

Telinganya masih difokuskan ke arah semak. Matanya menjeling tajam. Gadis berambut hijau itu kelihatan amat berwaspada. Ilya terus mencangkung di sisi Zahara tanpa disuruh. Layla pula hanya memerhati dari tempat asal dia berdiri tadi.

"Kejap ya. Saya nak tunjukkan awak sesuatu yang special. Awak tunggu sini tau," ujar Zahara secara tiba-tiba.

Zahara mula merangkak masuk ke dalam semak.

"Awak, nanti masa saya bagi isyarat nanti, tutup telinga tau! Encik Mandrake ni akan mengeluarkan bunyi jeritan yang sangat nyaring masa akarnya sedang ditarik. Dan menurut lagenda, orang boleh mati serta-merta jika terdengar bunyi jeritannya yang sangat nyaring," pesan Zahara sebelum dia mula merangkak masuk ke dalam semak.

Zahara terus merangkak senyap-senyap ke dalam semak. Lagaknya seperti seorang askar sedang menjalankan misi. Ilya pula hanya setia menanti. Setelah merangkak selama beberapa minit ke dalam semak, Zahara berhenti di suatu tempat. Dia sudah jumpa apa yang dicarinya.

"Ha, dapat pun jumpa awak, Encik Mandrake!" teriak Zahara penuh keterujaan.

Ilya yang berada tidak jauh dari situ dapat mendengar teriakan Zahara.

Zahara terus berdiri lalu cuba mencabut sejenis tumbuhan yang dijumpainya di dalam semak tersebut. Sebelah telinganya ditutup dengan satu lagi tangannya.

"Saya nak cabut ni. Sedia tutup telinga! Satu! Dua! Tiga!"

Ilya terus menutup telinganya dengan sekuat hati tanpa banyak soal. Layla pula hanya terpinga-pinga. Dia tidak faham kenapa dia harus menutup telinganya.

"Oooooooo!" Bunyi yang nyaring kedengaran semasa Zahara cuba mencabut tumbuhan itu.

Walaupun Ilya telah menutup telinganya, tetapi dia dapat mendengar dengan jelas bunyi itu. Akan tetapi, Layla tidak dapat mendengar apa-apa. Setelah beberapa ketika, bunyi nyaring itu pun terhenti.

"Dapat pun cabut kau Encik Mandrake!" ucap Zahara dengan sebelah tangannya memegang tumbuhan itu. Dia terus berjalan ke arah tempat Ilya berada.

"Tada! Perkenalkan! Ini Encik Mandrake," kata Zahara sambil menunjukkan tumbuhan yang baru dicabutnya tadi kepada Ilya. Tumbuhan itu berhayun ke kiri dan kanan semasa Zahara membawanya kepada Ilya.

Ilya melihat tumbuhan itu dengan perasaan kagum. Dia kemudian berdiri untuk memerhatikan tumbuhan itu dengan lebih dekat.

Rupa tumbuhan itu sangat aneh. Ilya tidak pernah lihat tumbuhan serupa itu sebelum ini. Rupa tumbuhan itu seakan-akan rupa manusia. Bahagian atasnya tumbuh daun. Ada dua unjuran di bahagian tengah tumbuhan itu pada kiri dan kanan membentuk seperti tangan. Akar tumbuhan itu pula terbahagi dua yang membentuk seperti kaki. Pada tumbuhan tersebut terdapat tiga lubang yang menyerupai dua biji mata dan mulut.

Ada bunyi 'O' masih keluar dari lubang berbentuk seperti mulut pada tumbuhan tersebut. Bunyinya sama seperti tadi cuma lebih perlahan.

"Perkenalkan, saya Ilya Harissa." Ilya mula memperkenalkan dirinya.

"Oh, saya Zahara Darvisha. Awak boleh panggil saya Zahara je. Nah, ini Mandrake, sebagai hadiah persahabatan kita." Gadis berambut hijau itu menyerahkan tumbuhan Mandrake itu kepada Ilya.

"Takpa ke? Awak dah susah-susah dapatkannya?" Ilya cuba menolak pemberian Zahara dengan lembut.

"Takpa. Saya boleh dapatkan yang lain. Walaupun tumbuhan ni sangat rare."

Layla yang berdiri tercegat sejak dari tadi terus berjalan menghampiri Ilya dan Zahara.

"Ah, ada lagi sorang rupanya. Takpalah awak berdua kongsi hadiah ni, boleh? Nah, ini Mandrake yang saya baru tangkap tadi." Zahara turut menunjukkan Mandrake yang baru dicabutnya tadi kepada Layla.

Akar Mandrake yang berbentuk seperti kaki berserta kedua-dua unjuran berbentuk tangan meliuk lentok membelit tangan Zahara yang memegangnya. Sekali tengok, Mandrake itu seperti hidup sahaja. Mereka yang tidak biasa melihatnya pasti akan gugur jantungnya dek terkejut dengan rupa tumbuhan yang luar biasa itu.

Layla berasa amat terkejut sehingga mahu gugur jantung dibuatnya. Bunyi 'O' yang tidak henti-henti keluar dari lubang berbentuk mulut pada Mandrake tersebut menambahkan lagi keseraman yang menjalar di segenap tubuh Layla. Wajah Layla yang putih kemerahan menjadi pucat serta-merta tatkala melihat Mandrake tersebut.

"Bi, bi, bi, bi... binatang apa pula ni? Ken... apa saya tak pernah tengok pun?" soal Layla sebelum jatuh pengsan.

Tubuh Layla rebah ke atas tanah.

Melihatkan keadaan Layla yang sudah jatuh pengsan, Ilya dan Zahara berpandangan sesama sendiri lalu bertanya serentak, "Apa kita nak buat ni?"

"Oh, takpa! Biar saya tolong bawa. Awak tahu tak mana alamat rumah dia?" Zahara secara sukarela menghulurkan pertolongannya.

"Tahu." Ilya mengangguk pantas.

"Nah, awak tolong bawakan Encik Mandrake ni. Biar saya dukung kawan awak ni ke rumah dia. Awak tunjukkan jalannya." Mandrake yang dipegangnya dihulurkan kepada Ilya.

Ilya terus mengambil Mandrake itu tanpa banyak soal. Zahara pula mendukung tubuh Layla yang tidak sedarkan diri itu. Nasibnya baik kerana Layla lebih rendah sedikit daripadanya. Akan tetapi, Layla tetap lebih rendah jika dibandingkan dengan Lazulee.

Sepanjang perjalanan ke rumah Layla, semua orang memerhatikan mereka bertiga dengan pelbagai reaksi. Ada yang terkejut. Ada yang berbisik sesama mereka. Malah, ada juga yang hampir pengsan. Manakan tidak, mereka berasa pelik melihat Mandrake yang bagi mereka sangat janggal lagi menyeramkan.

Ilya memegang Mandrake itu pada dedaunan yang tumbuh di atasnya. Sepanjang perjalanan, Mandrake itu berhayun ke kiri dan kanan seolah-olah tumbuhan itu hidup. Struktur yang seperti tangan meliuk-liuk membentuk pelbagai bentuk. Sesekali kedua-dua unjuran tersebut menjalin sesama sendiri menampakkan postur berpeluk tubuh. Akarnya yang terjuntai ke bawah pula turut berhayun ke hadapan dan ke belakang seperti kaki sedang berjalan. Nasib baiklah, mulutnya sudah berhenti mengeluarkan bunyi 'O'.

***

Layla tersedar daripada pengsan. Sedar-sedar sahaja dia sudah berada di tempat yang sangat asing. Dia bingkas bangun lalu memerhatikan persekitaran di sekelilingnya. Semuanya kelihatan berwarna-warni. Cantik sungguh. Langitnya berwarna merah jambu. Tanahnya pula berwarna-warni dan bercorak. Layla dapat rasakan tanah yang dipijaknya begitu lembut ibarat sedang berpijak di atas tilam yang empuk.

Pokok-pokok yang tumbuh di situ pula kelihatan comel sekali. Dedaunannya berwarna-warni dan berkilat. Buah-buahannya pula kelihatan seperti gula-gula dan coklat. Mahu sahaja Layla mengambil salah satu daripadanya untuk dimakan. Bentuknya pula pelbagai. Ada yang berbentuk hati, bentuk seperti tapak sulaiman, bentuk seperti emoji tersenyum dan pelbagai lagi bentuk yang comel.

Layla terus berjalan seorang diri di dunia pelik itu. Dia seperti tidak ingat langsung akan apa-apa sejak dia berada di dunia itu. Dia kelihatan begitu bergembira menikmati pemandangan yang mengasyikkan di sekelilingnya.

Sedang Layla berjalan, dia ternampak sebatang pokok yang kelihatan berbeza sekali berbanding pokok-pokok yang lain. Tidak seperti pokok lain yang berwarna-warni, pokok itu kelihatan seperti pokok biasa dengan dedaunan berwarna hijau. Pada batangnya pula terdapat struktur seperti muka. Ada mata, hidung dan mulut. Matanya sedang terpejam rapat. Pokok itu seolah-olah sedang tidur.

Entah apa yang merasuknya, Layla terus merapati pokok itu. Wajah pokok itu yang kelihatan seperti sedang tidur ditatapnya lama-lama. Batang pokok yang kasar itu diusap permukaannya. Sebaik sahaja dia menyentuh dahan pokok tersebut yang dipenuhi daun, Layla tiba-tiba terasa gatal untuk memetiknya.

Ptik!

Sehelai daunnya dipetik. Sejurus sahaja daunnya dipetik, mata yang terpejam rapat tadi terus terbuka secara drastik. Wajah yang tenang tadi terus berubah bengis dan menakutkan. Alangkah terkejutnya Layla tatkala menyedari keadaan itu.

Apalagi, Layla terus berpusing lalu berlari sekuat hati. Seluruh kudratnya dikerahkan untuk melarikan diri daripada pokok yang menyeramkan itu. Tanah di sekeliling pokok itu merekah perlahan-lahan lalu mengeluarkan dua akar yang besar dari dalam tanah. Dua akar yang menjulur keluar itu perlahan-lahan bergerak dan mengangkat pokok itu. Dua akar itu membentuk kaki untuk bergerak. Pokok itu mula berjalan mengejar Lazulee yang masih berlari.

"Oooooo!" Bunyi itu keluar dari mulut pokok menyeramkan tersebut.

Entah bagaimana, pokok itu membesar saiznya berkali ganda. Salah satu dahan pokok itu yang membentuk tangan cuba menangkap Layla.

Layla terus berlari untuk menyelamatkan dirinya. Akan tetapi, dia tidak berdaya. Semakin lama lariannya semakin perlahan. Dadanya pula terasa sesak tiba-tiba. Kaki dan tangannya mula terasa lenguh. Jarak di antaranya dengan pokok menyeramkan itu menjadi semakin dekat. Akhirnya, kudrat Lazulee mengalah jua. Dia sudah tidak larat berlari. Pokok itu berjaya menangkap tubuh kecilnya.

Sekarang Layla terperangkap dalam tangan pokok itu. Wajah bengis pokok itu menjamu pandangan matanya. Mulut pokok itu menganga sebesar-besarnya lalu menampakkan sebaris giginya yang runcing. Tubuh Layla cuba dimasukkan ke dalam mulutnya untuk menelan gadis itu. Layla cuba melepaskan dirinya tetapi kudrat tubuhnya tidak mampu. Dalam genggaman tangan pokok itu, Layla hanya mampu memejamkan matanya.

"Aaaaaah!" Layla menjerit sekuat hati.

Layla terjaga. Sedar-sedar sahaja dia berada di atas sofa di ruang tamu rumahnya. Dalam keadaan terpinga-pinga, dia memerhatikan keadaan sekelilingnya. Dia masih tercungap-cungap mencari nafas tatkala dia bangun. Peluh merenik di dahinya seolah-olah dia baru lepas berlari marathon.

"Layla? Okey tak?" soal Dr. Safira, ibu kepada Layla yang mula menghampiri anak perempuannya.

Setelah beberapa ketika mendiamkan diri sambil memerhatikan persekitaran rumahnya, Layla mula memberi respons, "Saya, saya, macam mana saya boleh ada kat sini?"

"Tadi kawan kamu kata kamu pengsan masa dalam perjalanan pulang. Diorang yang tolong bawa kamu balik," terang Dr. Safira berhati-hati.

Dr. Safira berkerja sebagai seorang doktor di sebuah hospital. Hari ini dia bercuti kerana hari sebelumnya Dr. Safira sudah berkerja lebih 24 jam.

"Ah! Tadi, tadi kan mama, ada pokok tu pelik sangat! Rupanya macam orang. Lepastu tangan dan kaki dia siap gerak-gerak belit tangan orang lagi. Eiii, seram!" terang Layla dalam keadaan menggigil ketakutan.

Dr. Safira yang mendengar penjelasan Layla terus ketawa geli hati. Layla pula sudah mengembungkan pipinya merenung wajah Dr. Safira. Bengang kerana ceritanya itu tidak diambil serius ibunya.

"Layla, Layla! Kamu mimpi je tu. Dah, tak payah nak fikir sangatlah, okey?" pujuk Dr. Safira lembut sambil mengusap kepala anak perempuannya.

Layla menarik nafas lega. Lega kerana semuanya hanyalah mainan tidur. Layla pun terfikir, bagaimanalah dia boleh mimpi sebegitu.

***

Ilya dan Zahara berhenti di sebuah lorong yang agak sunyi. Di situ, Zahara membuka beg galasnya lalu mengeluarkan Mandrake yang disimpan di dalamnya. Dia ingin menyerahkan Mandrake itu kepada Ilya seperti yang dijanjikan.

Sebelum mereka sampai ke rumah Layla tadi, Ilya meminta Zahara menyorokkan tumbuhan itu. Dia khuatir ahli keluarga Layla akan berasa terkejut sekiranya mereka ternampak Mandrake. Dengan selamba sahaja Zahara menyumbatkan Mandrake itu ke dalam begnya.

"Zahara, awak simpan jelah Mandrake tu. Takpalah saya taknak. Susah payah awak dapatkannya," kata Ilya menolak pemberian Zahara.

"Eh, takpa-takpa, saya boleh cari lain. Saya memang nak bagi awak pun." Zahara berkeras mahu memberi Mandrake itu kepada Ilya.

"Takpalah. Awak ambil je. Kalau saya bawa balik nanti kakak saya marah. Lagipun, saya tak pandai bab-bab tanam pokok ni. Nanti pokok tu mati, membazir je," balas Ilya menjelaskan sebabnya.

"Oh, kalau macam tu takpalah. Tapi saya tetap nak bagi hadiah kat awak. Nanti saya bagi benda lain yang awak suka," balas Zahara semula lalu menguntum senyum.

Mandrake itu disimpan semula dalam beg galasnya. Ilya sendiri pun hairan bagaimana Mandrake sebesar itu boleh muat dalam begnya.

"Oh, ya! Sebelum terlupa. Kalau awak nak cari saya, saya ada kat bilik Kelab Petani Mudasekolah waktu rehat," tambah Zahara lagi.

"Bilik kelab?"

"Yep. Saya Presiden Kelab Petani Muda sekolah kita. Kat bilik tu saya ada banyak tanam pokok." Zahara menceritakan dengan lebih lanjut.

"Oh...," balas Ilya memahami penjelasan Zahara.

Ilya sudah mula berminat untuk menyelidik gadis bernama Zahara ini. Dia sudah tertarik dengan gadis berambut hijau di hadapannya ini. Ada banyak perkara yang ingin ditanyakan kepada Zahara, terutama sekali mengenai bunyi yang didengarnya tadi dari dalam semak.


Previous: BAB 15
Next: BAB 17

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.