Home Novel Seram/Misteri Fitrah
Fitrah
Hana Mizari
3/3/2018 23:49:01
105,359
Kategori: Novel
Genre: Seram/Misteri
BAB 19

ANIMISME

Mata Ilya tertancap di atas skrin tablet miliknya. Dia ralit memerhatikan satu persatu tajuk-tajuk forum yang dibincangkan. Susunan aksara yang membentuk perkataan dibaca setiap satu. Ada beberapa tajuk yang menarik perhatiannya.

'Wah, banyak ni! Nak baca mana satu dulu ya?' Ilya mengetuk hujung jari telunjuk ke pipinya yang gebu. Sebelah matanya menjuling ke atas.

Setelah beberapa ketika berfikir, Ilya membuat keputusan, "Ha, cari maklumat pasal Dark Arts dulu. Aku patut fokus cari maklumat pasal tu dulu."

Di penjuru atas kanan laman sesawang tersebut terdapat bar carian. Ilya menaip kata kekunci 'Dark Arts' di bar carian tersebut. Dalam masa beberapa saat, muncullah beberapa pautan forum yang membincangkan tajuk tersebut. Dia mengamati satu demi satu tajuk forum yang terpampang di atas skrin.

"Hmm...." Ilya menggumam sambil menatal skrin.

Sedang dia sibuk mencari, matanya terhenti pada satu tajuk yang menarik perhatiannya. Tajuknya berbunyi, 'Sejarah asal-usul Dark Arts, sukker, dan adat tradisi lama berkaitan Dark Arts'. Terus Ilya menekan pautan tersebut. Di dalamnya ada perbincangan yang agak panjang mengenai tajuk tersebut. Terdapat dalam 15 muka surat.

Ahli yang mengongsikan artikel tersebut membahagikannya kepada beberapa bahagian. Bahagian-bahagian artikel tersebut turut diselangi dengan perbualan daripada ahli-ahli forum tersebut. Mereka memberi ulasan terhadap artikel tersebut. Ada juga yang sekadar berbual kosong sesama mereka sambil bergurau senda.

"Banyak ni nak kena baca." Ilya yang pada masa itu sedang duduk di atas katil terus bersandar ke dinding untuk menyelesakan dirinya.

Ilya terus memulakan pembacaannya.

Masyarakat dahulu memang terkenal dengan tradisi Dark Arts dan kepercayaan terhadap golongan spirit. Mereka percaya spirit sebagai punca kepada segala fenomena yang berlaku di alam ini. Contohnya, apabila ada pokok bergoyang, masyarakat pada waktu itu percaya bahawa ada spirit yang menghuni pokok tersebut dan menyebabkan fenomena itu berlaku. Spirit dikatakan menghuni di setiap unsur alam semula jadi seperti batu, pokok, gunung-ganang dan sebagainya.

Keadaan ini menyebabkan masyarakat pada waktu itu melakukan ritual pemujaan terhadap pokok, batu, gunung-ganang dan segala unsur semula jadi yang dipercayai mengandungi atau dihuni spirit. Spirit dikatakan mempunyai kuasa sakti. Mereka percaya dengan melakukan pemujaan terhadap golongan spirit, mereka akan mendapat kebaikan. Sebaliknya, malapetaka akan menimpa pula sekiranya mereka gagal berbuat demikian.

Kepercayaan ini dinamakan sebagai animisme.

Artikel itu bersambung di bahagian seterusnya.

'Animisme? Apa pula kaitannya semua tu dengan Dark Arts? Menarik ni. Takpa, teruskan pada pembacaan seterusnya.'

Terdapat segelintir masyarakat zaman dahulu yang mengamalkan satu tradisi lama yang dikenali sebagai Dark Arts.

Terhenti seketika pembacaan Ilya tatkala sampai di perkataan terakhir ayat tersebut.

'Dark Arts? Ini ke yang aku cari selama ni?' Mata Ilya membuntang luas. Ada satu gelora dihasilkan dalam perutnya, tindak balas daripada perasaan teruja yang dihasilkan mindanya.

Ilya menyambung semula pembacaannya.

Dark Arts dikatakan satu ritual yang membolehkan penggunanya melakukan perkara luar biasa yang tidak masuk akal dan bertentangan dengan hukum alam.

'Magic?' Sekali lagi mata Licorice membuntang luas. Bertambah teruja dia dibuatnya.

Namun sejauh mana kebenaran dakwaan ini tidak dapat disahkan sampai sekarang. Perkara ini masih diperdebatkan dalam kalangan para sarjana dan sejarawan sampai hari ini. Ramai dalam kalangan para sarjana melahirkan rasa skeptikal ke atas dakwaan tersebut walaupun terdapat banyak sumber yang memperihalkan tentang Dark Arts ini.

Hal ini disebabkan kebanyakan dakwaan mengenai Dark Arts tidak masuk akal dan bersifat melebih-lebih dakwaannya. Walau bagaimanapun, para sarjana tidak menolak bulat-bulat dakwaan ini. Sebaliknya, mereka cuba membuat pelbagai penafsiran agar kedengaran masuk akal.

Ilya mengeluh berat tatkala membaca ayat ini.

'Hailah, nampak sangat mereka tak percaya dengan Dark Arts ni. Macamlah logik akal mereka tu reliable sangat. Mungkin mereka belum nampak lagi spirit,' rungut Ilya di dalam hati.

Ilya membaca pula komen-komen yang dilontarkan oleh ahli-ahli forum tersebut.

Maya19: Fuh! Tak habis-habis dengan logik akal diorang tu. Empirikal tak habis-habis.

Rayqal288: Bawa bertenang Cik Maya. Biasalah tu. Mereka memang susah nak percaya benda-benda macam ni. Logik akal mereka tu tak mampu terima. Dari kecil lagi mereka telah dididik dengan cara berfikir macam tu. Tak payahlah kau marah sangat. Buang tenaga kau je.

Maya19: Memanglah. Aku tahu tu. Banyak kali dah kau cakap macam tu kat aku. Tapi, aku tetap tak boleh tahan. Paling teruk, kita dituduh penipu. Sengaja reka-reka cerita. Attention seeker. Ingat kita hadap sangat ke nak jadi batak famous macam makcik-makcik bawang tu.

Yana114: Tak kena ke batang hidung sendiri, sedaplah cakap macam tu. Cuba sekali mereka boleh tengok rupa spirit tu. Aku guarantee diorang mesti lari tak cukup tanah punya. Hahaha.

Rayqal288: Eh, Aryana? Kau pun ada kat sini juga. Adik kau mana?

Yana114: Dah tidur dah.

Rayqal288: Oh ya. Dah pukul 12 pun, patutlah. Kau apasal tak tidur lagi?

Yana114: Aku kan spesies nokturnal, macam tak tahu pula.

Maya19: Hai Yana!

Yana114: Hai Kak Maya!

Rayqal288: Tidur awallah. Budak kecil kena tidur awal.

Ahli forum yang menggunakan nama pengguna Yana114 itu menghantar emoji mengejek sebanyak tiga kali kepada ahli bernama Rayqal288 itu. Maya19 pula menghantar emoji ketawa sebagai tanda mengejek kepada Rayqal288.

Rayqal288: Apasal semua pakat buli aku ni. Huhu.

Maya19: Merajuk pula dia ni.

Yana114: Apa lagi, Kak Maya pujuklah.

Maya19: Apasal pula, Yana?

Yana114: Kakak kan girlfriend dia. Hihihi.

Maya19: Mana ada. Pandai-pandai je Yana ni. Budak zaman sekarang ni advanced betul.

Kali ini giliran Maya19 pula menerima emoji mengejek daripada Yana114.

Ilya hanya tersenyum sendiri tatkala membaca semua komen itu. Daripada perbualan itu, mereka kelihatan amat mesra. Mereka mungkin tidak mengenali satu sama lain di alam nyata. Hanya pertemuan di alam maya ini menyatukan mereka.

Sungguh, dia ingin benar untuk berjumpa dengan orang yang boleh melihat spirit seperti dirinya juga. Pertemuannya dengan Arya dan Zahara betul-betul mengubah kehidupannya. Dia tidak lagi berasa sunyi. Sekurang-kurangnya, dapatlah dia berkongsi cerita dengan mereka berdua. Mereka rasa apa yang Ilya rasa selama ini. Mereka faham apa yang Ilya alami.

Pasti mereka bertiga di dalam forum ini sama seperti dia, Arya dan Zahara juga, disatukan atas kebolehan melihat spirit. Seperti yang mereka katakan, orang lain tidak mampu faham apa yang mereka lalui disebabkan mereka tidak pernah merasainya juga. Jadi, amat mudahlah mereka menghukum dan melabel. Oleh sebab itulah, Ilya seboleh-bolehnya ingin berjumpa dengan orang lain seperti dirinya, agar dia mampu berkongsi perasaan dengan mereka.

Atas sebab inilah Ilya mendaftar menjadi ahli. Dia ingin berkenalan dengan mereka.

Ilya meneruskan pembacaannya semula.

Dark Arts dimulakan dengan melakukan satu ritual pemujaan golongan spirit. Hal ini disebabkan manusia biasa memang tidak mampu melakukan perkara luar biasa kecuali dengan pertolongan golongan spirit. Dengan melakukan ritual pemujaan, spirit akan menunaikan apa sahaja permintaan daripada manusia bersesuaian dengan bayaran yang dipinta.

Bacaan Ilya terhenti di situ.

'Eh? Ini bukan ke, yang nenek dan Marionette ceritakan hari tu? Malah, dalam kebanyakan buku-buku fantasi yang aku baca semuanya cakap benda lebih kurang sama.' Ilya mula menyambungkan cebisan-cebisan maklumat yang diterimanya kepada sebuah gambaran yang terlukis di mindanya.

'Tapi ... seriuslah, pemujaan? Pemujaan? Nak puja spirit yang menjengkelkan perangai mereka tu?' Ilya mula teringat akan perangai nakal si Zaf yang tidak habis-habis menyakatnya itu. Matanya disepetkan setiap kali teringatkan perangai nakal spirit itu.

Golongan yang mengamalkan Dark Arts ini akan dipandang tinggi di sisi masyarakat pada suatu ketika dahulu. Kebiasaannya, mereka memegang jawatan sebagai bomoh atau pawang. Peranan pawang atau bomoh terdiri daripada pelbagai aspek iaitu, perubatan, ritual pemujaan, perasmian rumah baru, pembukaan gelanggang, pembuang sial, penolakan bala dan sebagainya.

Selain pawang dan bomoh, mak bidan juga turut mengamalkan Dark Arts. Dark Arts juga turut diamalkan oleh mereka yang ingin melindungi rumah, tanah, ladang, harta benda, serta keluarga mereka daripada sebarang malapetaka. Hal ini disebabkan masyarakat pada ketika itu percaya bahawa jika mereka tidak melakukannya, bad spirit akan membuat onar pada harta benda mereka.

'Bad spirit?' Perkataan itu mengingatkan Ilya pada Zaf.

'Nasib baiklah malam ni dia tak datang,' desis Licorice.

Lirikan mata Ilya beralih pula kepada komen-komen yang terdapat di antara bahagian-bahagian artikel tersebut.

Rayqal288: Terperinci betullah maklumat yang diberikan Kay64 ni. Aku kagum.

Maya19: Kan? Dari manalah dia dapat maklumat tu semua.

Rayqal288: Jangan-jangan dia nilah salah satu akaun yang dimiliki spirit tak? Yalah, mana tahu dia pergi menjelajah ke masa lalu untuk cari maklumat ni semua.

Maya19: Menarik juga teori kau ni kan. Mind Explorer mana? Suruh dia selidik siapa sebenarnya identiti Alex64 ni.

Yani114: Kak Ratna takda malam ni. Dia ada misi.

Yana114: Yani? Bila masa Yani bangun?

Yani114: Dah, mana tak terjaganya. Dah Yana ketawa mengekek seorang-seorang kat sebelah katil Yani. Creepy tahu tak. Nasib baik Yani ni dah terbiasa berhadapan dengan spirit.

Rayqal288: Oh, dia ada misi rupanya.

Maya19: Dah dah. Tak baik gaduh adik-beradik.

Yani114: Mana ada kitorang gaduh Kak Maya. Hihi.

Yana114: Ada apa Kak Maya dan Abang Rayqal nak cari Kak Ratna?

Rayqal288: Kami nak siasat siapa sebenarnya identiti si pemberi artikel ni. Mana tahu dia ni spirit.

Kay64: Pandai-pandai korang je kata aku ni spirit. Aku dapat maklumat ni semua kat library rumah jiran akulah.

Yana114: Untunglah ada sumber maklumat dekat rumah dia.

Maya19: Rumah jiran kau? Kau duduk bandar mana ya? Kau asal Negara Scientia juga kan?

Kay64: Ha'ah. Aku duduk kat Bandar Historia.

Maya19: Wow! Jadi kau samalah dengan Yana dan Yani tu.

Yani114: Kak Maya kenapa? Nak ngurat dia ke?

Yana114: Janganlah curang dengan Abang Rayqal, Kak Maya.

Rayqal288: Mana ada. Kitorang takda apa-apa hubunganlah.

Ilya pun tersenyum simpul seorang diri ketika membaca komen-komen itu semua. Akan tetapi, ada beberapa perkara yang menarik perhatiannya ketika membaca komen mereka. Beberapa persoalan baru terdetik di mindanya. Semakin banyak dia membaca, semakin banyak pula perkara baru yang ingin diketahuinya.

'Misi? Misi apa yang mereka maksudkan? Mereka ni siapa sebenarnya? Siapa pula Mind Explorer yang mereka maksudkan tu? Apa pula kena-mengena dia dengan perbualan ni?'

'Hmmm ... Arya tahu tak pasal semua ni? Mungkin aku patut tanya Arya pasal ni, esok." Ilya mengambil keputusan untuk menanyakan hal ini kepada Arya sahaja.

Sebelum itu, Ilya mahu menghabiskan pembacaannya pada malam itu juga. Maklumat baru yang diterimanya berserta perbualan ahli-ahli forum tersebut telah menambahkan rasa keterujaannya.

Walau bagaimanapun, ada juga segelintir pengamal Dark Arts ini menggunakannya untuk tujuan tidak baik, termasuklah menganiaya orang lain. Malah, ada sesetengah Dark Arts yang mampu membunuh sasarannya dari jarak jauh sahaja.

Sungguh, ini memang melanggar hukum alam.

Rayqal288: Alex, ayat terakhir tu, perlu ke?

Kay64: Kau kenapa? Triggered ke? Aku saja je tu, nak perli golongan belah sana tu.

Maya19: Tadi bukan main suruh orang bertenang.

Rayqal288: Mana ada triggered. Cuma, entahlah. Aku bosan berdebat dengan mereka tu. Mereka tak pernah percaya walau sudah berpuluh kali aku cuba terangkan.

Maya19: Memang macam tulah. Mereka tak alami lagi. Lagipun, mereka takkan percaya selagi ia tak berlaku di depan mata, dan selagi ia tak dibuktikan dengan kaedah saintifik. Melalui pembuktian di dalam makmal, atau melalui pemerhatian.

Yana114: Kenapa ya mereka macam tu? Tak boleh ke mereka percaya sahaja?

Maya19: Luna, kaedah saintifik tu memang penting untuk terangkan tentang fenomena alam. Cuma bukan semua yang berlaku dalam alam ni boleh diterangkan dan dibuktikan dengan kaedah saintifik.

Rayqal288: Tapi tulah masalahnya. Mereka takkan percaya. Sebab syarat sesuatu dakwaan tu boleh diterima dengan kebolehulangan data-data dalam eksperimen atau pemerhatian. Masalahnya macam mana mereka nak buat pemerhatian pada fenomena unik ni?

Kay64: Ya, kebolehulangan memang penting. Jiran aku pun ada sebut berulang kali pasal ni. Pentingnya untuk mendapat result eksperimen yang sama berulang kali untuk menguatkan bukti dakwaan kita tu. Tapi, ia akan menyebabkan kita terlepas pandang akan fenomena unik macam ni.

Maya19: Lagi satu, sebab kita ni golongan minoriti. Suara kita ni tak didengari. Kat mana-mana tempat di dunia ni, golongan majoriti akan sentiasa menindas golongan minoriti, kan?

Yani114: Ya, setuju dengan apa yang Kak Maya cakapkan tu. Tapi, Yani masih tak boleh terima kenapa mereka susah nak percaya akan wujudnya fenomena unik di alam ni?

Rayqal288: Itu ... entahlah, abang pun tak tahu, Lina.

Kay64: Seperti yang jiran aku selalu katakan, bahawa manusia sudah terbiasa dengan realiti yang selalu mereka alami di depan mata mereka, sehingga mereka tak sedar dan tak mahu terima akan kewujudan realiti yang lain.

Maya19: Wow! Deep gila sampai aku tak faham. Apa maksudnya tu?

Kay64: Entah. Aku cuma sampaikan je apa yang jiran aku selalu katakan. Dia selalu sangat cakap sampai aku dah hafal dah.

Rayqal288: Okey.

Sampai perbualan ini, Ilya tiba-tiba menghentikan bacaannya. Entah kenapa Ilya berasa tertarik dengan apa yang disampaikan oleh ahli bernama Kay64 itu.

'Ada banyak sekali realiti yang wujud dalam masa yang sama dan tempat yang sama, wujud dalam kebarangkalian. Realiti yang manusia biasa lihat di hadapan mata adalah sebahagian daripada kebarangkalian kuantum, iaitu realiti objektif.'

Secara tiba-tiba ada suatu suara yang menerjah ke dalam ruang mindanya saat ini. Suara itu seakan-akan suatu bentuk ilham yang diberikan kepadanya. Terbuntang luas mata Ilya saat mendengar suara itu menerjah mindanya secara tiba-tiba. Dadanya pula terasa sesak secara tiba-tiba.

'Tatkala ada sang pemerhati yang memerhati, maka realiti lain akan runtuh dan meninggalkan hanya realiti objektif untuk diperhati. Sedangkan ada banyak lagi realiti lain yang wujud dan tidak mampu diperhatikan manusia.'

Tidak cukup dengan itu, dia menerima lagi ilham dalam bentuk suara di dalam kepalanya. Pada saat itu, tiada bunyi lain yang menyapa gegendang telinganya, hatta bunyi kipas bergerak sekalipun.

'Dan, oleh sebab itulah ramai manusia tak mampu menerima realiti lain selain dari apa yang mereka selalu alami. Sebab mereka takkan nampak realiti yang lain. Sebab, realiti lain takkan exist di depan mata mereka. Sebab, apabila mereka memerhatikan fenomena tu, hanya realiti objektif akan wujud dan realiti lain semuanya ... collapse.' Ilya terus menyambung apa yang dikatakan suara itu secara spontan.

Entah dari mana dia dapat idea untuk menuturkan itu semua. Sebelum ini, Ilya tidak pernah pun membaca mana-mana buku Fizik. Bagaimana dia boleh mengetahui itu semua?


Previous: BAB 18
Next: BAB 20

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.