Home Novel Fantasi Reality Override
BAB 0

LANDSKAP GEOPOLITIK SELEPAS PERANG DUNIA KETIGA

Konflik berpanjangan di Rantau Timur Tengah dan Afrika Utara (Middle East North Africa) mempengaruhi landskap geopolitik dan ekonomi dunia. Harga minyak mentah merosot secara mendadak tanpa ada tanda-tanda menunjukkan ia akan pulih. Semuanya berpunca daripada perang ekonomi antara dua pengeluar minyak terbesar dunia, iaitu Arab Saudi dan Iran. Akibatnya, Petroleum melambak dalam pasaran dan menyebabkan harganya turun.

Kemerosotan harga minyak menjejaskan ekonomi sedunia. Semakin lama semakin banyak negara yang muflis terutama sekali negara-negara Barat. Perang saudara yang berlaku di Syria tidak menunjukkan tanda-tanda akan surut, malah semakin merebak ke negara-negara jiran. Sementara itu, Iran pula semakin galak meluaskan kekuasaannya dalam usaha untuk membentuk empayar baru, Empayar Neo Safavid. Pemerintah boneka Iran dilantik di negara-negara yang tunduk pada kekuasaannya.

Perang saudara yang berpanjangan menyaksikan kebanjiran pelarian di Eropah. Negara-negara Barat dipaksa untuk menerima pelarian dari Timur Tengah. Keadaan ini menimbulkan rasa tidak puas hati dalam kalangan rakyatnya lalu membangkitkan ideologi fasis di negara-negara tersebut. Dengan jumlah pelarian yang bertambah saban waktu, rakyat negara Barat berasa semakin terancam akan kedaulatan dan keselamatan negara mereka.

Keadaan yang sama turut berlaku di Amerika Syarikat. Jumlah imigran dan bangsa kulit berwarna di negara mereka menyebabkan persaingan yang tinggi terutama sekali dalam bidang pekerjaan. Akibatnya, semangat ketuanan kulit putih bangkit dalam kalangan rakyat Amerika.

Tidak cukup dengan itu, ideologi ekstremis haluan kiri seperti komunis turut meningkat popularitinya di Amerika Syarikat. Negara kapitalis terbesar itu sekarang dikuasai dua ideologi bertentangan iaitu fasis di sebelah kanan dan komunis di sebelah kiri.

Apa yang berlaku di negara-negara Barat sekarang merupakan apa yang diinginkan dan diimpikan Russia. Negara-negara Barat dengan ideologi liberalisme tidak lagi mampu memegang tampuk pemerintahan sebagai pemerintah dunia. Sistem kapitalis dan ideologi liberalisme yang didukung oleh Barat tidak lagi mendominasi dunia. Selepas sistem itu tumbang, tampuk kekuasaan dunia dibiarkan kosong tanpa sebarang sistem lain sebagai pengganti. Akibatnya, vakum kuasa berlaku.

Vakum kuasa ini digantikan dengan satu ideologi baru iaitu Fourth Political Theory atau Chetvertaya Politicheskaya Teoriya dalam Bahasa Russia. Suatu ideologi baru yang diasaskan oleh saintis politik dari Russia, Alexander Dugin.

Fourth Political Theory merupakan suatu idea falsafah politik yang baru, di mana ia menentang arus kemodenan yang mengalir mengikut arah liberalisme. Akan tetapi, mereka bukan konservatif. Konservatif hanya akan melambatkan proses pemodenan. Sedangkan apa yang mereka mahukan ialah menentang kemodenan itu sendiri. Tiga teori politik sebelum ini iaitu liberalisme, komunis dan nazi ditolak kerana ketiga-tiganya merupakan sebahagian daripada paradigma kemodenan. Fourth Political Theory menjanjikan sesuatu yang baru, yang bertentangan dengan liberalisme, komunis dan nazi.

Apa yang Russia mahukan ialah dunia multipolar yang menolak segala dominasi mana-mana falsafah politik seperti era Perang Dunia Kedua dan Perang Dingin sebelum ini.

Ideologi Fourth Political Theory mula tersebar di negara-negara barat sebelum akhirnya ia merebak hampir ke seluruh dunia. Keadaan ini menyebabkan satu dunia diheret dalam kancah peperangan. Dengan kata lain, Perang Dunia Ketiga.

Perang Dunia Ketiga menyaksikan perang generasi baru, Fourth Generation Warfare di mana tiada pemisah yang jelas antara orang awam dan pihak tentera, dan antara perang dan politik. Munculnya violent non state actor seperti militia dan kumpulan-kumpulan bersenjata bagai cendawan tumbuh selepas hujan di negara-negara yang bergolak seperti di Iraq, Syria, Libya, Yaman dan sebagainya.

Fourth Generation Warfare mula nampak jelas dipraktikkan ketika perang saudara melanda Syria. Kekacauan yang melanda negara tersebut menjemput negara-negara yang ingin meluaskan kuasa bagi meneruskan agenda masing-masing. Negara-negara tersebut memberi bantuan senjata kepada kumpulan bersenjata sebagai proksi mereka. Militia juga turut dihantar ke barisan hadapan dalam pertempuran. Tujuannya agar negara-negara terbabit dapat menyembunyikan agenda mereka.

Perang zaman kini menyaksikan penjajahan bentuk baru di mana tidak perlu lagi dihantar tentera untuk menguasai sesebuah negara. Cukuplah dengan kumpulan bersenjata yang menjadi proksi mereka dan pemerintah yang menjadi boneka.

Selepas Perang Dunia Ketiga berlanjutan, konsep negara dan sempadan sudah menjadi tidak jelas. Kumpulan bersenjata yang berjaya menawan wilayah masing-masing akan membentuk kerajaan yang merdeka tanpa perlu menunggu pengiktirafan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu atau menawan seluruh negara. Semakin lama semakin banyak kumpulan bersenjata sebegini muncul. Masing-masing memperjuangkan ideologi tertentu. Ideologi tersebut akan membentuk sistem dalam membentuk kerajaan di wilayah yang berjaya ditawan.

Konsep sempadan sudah tidak wujud. Sebaliknya ia digantikan dengan konsep barisan hadapan yang boleh berubah bila-bila masa sahaja. Kesannya, semua orang sudah boleh melalui mana-mana sempadan negara tanpa perlu melalui imigresen, apa-apa sekatan serta tidak perlukan visa atau pun passport.

Beberapa kuasa besar dunia muncul sebagai empayar generasi baru. Empayar generasi baru hanya mengembangkan wilayah dengan melantik proksi dan pemerintah boneka di wilayah lain. Antara kuasa besar baru yang muncul ialah Empayar Neo Safavid, Empayar Neo Roman, **, Eurasia, dan beberapa lagi kuasa besar lain.

Negara Amerika Syarikat pula pada masa itu sudah berpecah dua. Pro-fasis di tengah benua dan pro-komunis di persisiran pantai.

Rantau Asia Tenggara pada waktu itu juga turut tidak terkecuali terlibat dalam penjajahan bentuk baru ini. Kini, tahun 2024, Rantau Asia Tenggara berada di bawah kekuasaan Eurasia. Seperti biasa, pemerintah yang dilantik hanyalah boneka sahaja sekalipun orang tempatan yang melantiknya. Walau bagaimanapun, pemerintah boneka di wilayah tersebut merupakan seorang diktator. Siapa-siapa yang tidak berpuas hati dengan cara pentadbirannya akan dicantas dan dihapuskan.

Keadaan ini menimbulkan rasa tidak puas hati dalam kalangan rakyat terhadap pemerintahan kerajaan tersebut. Maka muncullah kumpulan-kumpulan bersenjata yang memperjuangkan ideologi tertentu ingin menuntut kemerdekaan daripada Eurasia. Atas segala penat lelah dan kerja keras, beberapa wilayah berjaya dibebaskan oleh kumpulan-kumpulan bersenjata tersebut. Walau bagaimanapun, Eurasia tidak akan membiarkan keadaan ini berlaku. Dengan ini, mereka akan cuba menawan semula wilayah yang berjaya dibebaskan. Situasi ini menimbulkan konflik berpanjangan antara kumpulan bersenjata dan Kerajaan Eurasia.

Malaysia pada masa itu sudah terpecah kepada beberapa wilayah. Sebahagian daripada wilayah-wilayah tersebut dikuasai Eurasia manakala sebahagian yang lain dikuasai kumpulan bersenjata. Wilayah bawah jajahan Eurasia dipanggil sebagai Eurasia Wilayah Nusantara. Sementara itu, wilayah yang berada di bawah penguasaan kumpulan bersenjata dipanggil Wilayah Autonomi.

Konsep negara sudah tidak wujud, sebaliknya digantikan dengan konsep wilayah dengan penguasaannya boleh berubah-ubah. Konsep sempadan pula digantikan dengan konsep barisan hadapan yang juga boleh berubah bila-bila masa sahaja.

Previous: PROLOG
Next: BAB 1

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.