Home Novel Fantasi Reality Override
BAB 27

IDEA

'Apalah aku nak buat ni?'

Ilham dipagut kebosanan tidak berpenghujung. Dia bergolek ke kiri dan kanan di atas katilnya. Segala kerja-kerja di dalam rumah telah disiapkannya. Bunyi rintik-rintik hujan di luar menemani Ilham yang dilanda kesunyian dan kebosanan.

Disebabkan dari pagi tadi, langit tidak henti-henti menghamburkan tangisannya, Ilham hanya duduk sahaja di rumah. Dia tidak keluar ke kebun pada hari ini. Telefon pintarnya dari tadi tergeletak sahaja di atas katil di sisi bantalnya.

Ilham sudah puas menggodek akaun Facebook miliknya. Dia juga sudah puas membaca karya-karya di portal penulisan yang dijumpainya tempoh hari. Novel Detektif Psiko pula sudah lama tidak dikemas kini. Dia sudah penat menunggu. Dia hampir berputus asa menunggu pengemas kinian daripada penulis bernama Ayura Shameiryuu.

Ayura Shameiryuu.

Minda Ilham masih tidak dapat mengusir rasa ingin tahunya kepada penulis misteri ini. Dia masih tertanya-tanya. Adakah benar penulis ini mempunyai kuasa itu seperti andaiannya tempoh hari? Boleh jadi juga, kerana hanya dengan pengalaman luar biasa sahaja yang membolehkan seorang penulis mendapat ilham yang luar biasa.

Hati Ilham terasa meronta-ronta untuk mencari penulis misteri ini di luar sana. Dia ingin memastikan kebenaran andaiannya selama ini. Dia ingin meminta si penulis itu menyambung penulisannya yang telah lama tergendala. Dia ingin bertanya berbagai-bagai perkara kepada si penulis.

Kepala Ilham bergolek ke sisi. Melihat ke arah telefon pintar yang tergeletak di sisi bantal. Dengan malas tangannya mencapai telefon pintar itu. Aplikasi enjin carian dibuka. Dia terus menaip nama portal penulisan yang selalu dilihatnya saban hari. Perbuatannya itu sudah menjadi kebiasaannya hampir setiap hari.

Setelah halaman portal penulisan itu terpampang di skrin telefon pintar, jari Ilham menaip nama pena Ayura Shameiryuu di bar carian. Dia mahu mencari karya lain yang turut ditulis penulis tersebut. Jika ada, dia ingin membacanya pula. Sekurang-kurangnya, dapatlah juga Ilham mengusir rasa bosan yang bertandang.

Dalam masa beberapa minit, beberapa karya nukilan Ayura Shameiryuu terpapar di skrin. Internet agak lembab pada masa ini kerana seringkali berlaku gangguan sistem telekomunikasi. Kalau keadaan benar-benar teruk, adakalanya sistem telekomunikasi terus terputus selama berminggu-minggu.

Selain novel Detektif Psiko, ada beberapa cerpen lain yang turut dimuat naik oleh Ayura Shameiryuu. Ilham membuka satu demi satu cerpen yang ditulisnya untuk mula membaca. Kebanyakan cerpen yang ditulis berkisarkan tema yang lebih kurang sama, iaitu DID. Keadaan ini membuatkan Ilham tertanya-tanya kenapa penulisnya suka memilih tema sebegitu dalam cerita yang dikarangnya.

Akan tetapi, ada sebuah karya yang menarik perhatiannya. Karya itu berada dalam kategori 'Untold Story' dan genre alternatif. Untold Story bukan rekaan. Ia kisah benar. Jadi, apa yang tertulis di dalamnya pasti kisah benar yang dilalui sang penulis. Tajuknya 'IDEA'.

***

Aira dibawa berjalan melewati lorong-lorong yang putih hampir keseluruhannya. Segalanya berwarna putih termasuk dinding, lantai dan siling. Di belakang Aira, dua orang askar Eurasia mengiringi perjalanannya. Mereka berdua memegang tubuh Aira dari belakang, mengelakkan daripada si gadis melarikan diri.

Tangan Aira digari dengan sejenis gari elektronik khas. Gari itu hanya boleh dibuka menggunakan kod akses yang hanya diketahui beberapa orang saintis sahaja. Dr. Akmal berjalan di hadapan, membawa Aira ke bilik ujikaji, untuk eksperimen seterusnya.

Saban hari Aira tinggal di sini, dia dibawa menjalani beberapa ujian dan eksperimen. Aira sendiri tidak tahu apa tujuan semua eksperimen itu dijalankan ke atasnya. Setiap hari, ada pegawai yang memakai kot makmal akan melawat biliknya. Dia akan memeriksa tahap kesihatan Aira, dan mengambil sampel darahnya.

Sepanjang dia dikurung di sini, Aira diberi makan tiga kali sehari iaitu pada waktu pagi, tengahari dan malam. Akan tetapi, Aira tiada selera untuk makan. Dia terlampau sibuk memikirkan cara untuk melepaskan diri daripada tempat ini. Suasana bilik tanpa bertingkap itu benar-benar merimaskan Aira.

Sedang Aira berjalan, dia berselisih dengan seorang gadis berambut pendek paras bawah telinga. Kulitnya putih pucat. Ketinggiannya lebih rendah sedikit daripada Aira. Gadis itu bukan berjalan seorang diri. Dia turut diiringi dua orang askar di belakang bersama seorang saintis di hadapan, sama seperti Aira.

Tatkala dua saintis di hadapan mereka berdua berselisih, mereka berbalas sapaan ringkas sebelum meneruskan perjalanan masing-masing. Apabila si gadis itu berjalan di sisi Aira, baru dia menyedari wajahnya yang pucat tidak bermaya. Bibirnya kering dan merekah. Garis hitam terbentuk di bawah matanya, seolah-olah gadis itu sudah tidak tidur selama berhari-hari.

Aira merenung gadis itu dalam-dalam. Dia dapat rasakan ada suatu aura lain mengenai gadis ini. Dia seperti mengenali gadis itu sebelum ini. Langkah Aira terhenti secara spontan tatkala dia sampai di sisi gadis itu.

Menyedari akan tingkah Aira dan si gadis, Dr. Akmal dan seorang lagi saintis turut menghentikan langkah masing-masing. Kedua-duanya merenung subjek bawah jagaan masing-masing.

"Bukan saya yang buat dia macam tu. Dia sendiri yang berdegil taknak beri kerjasama." Seperti memahami akan persoalan di benak Aira, saintis yang berjalan di hadapan si gadis itu bersuara secara tiba-tiba.

Dr. Akmal terus berjalan merapati Aira lalu berkata, "Subjek 179, should we proceed?" Dia menarik tangan Aira yang bergari di hadapan untuk mengikutinya secara paksa.

Aira meneruskan langkahnya, mengikut rentak Dr. Akmal. Gadis itu turut berjalan menjauhi Aira. Walau bagaimanapun, Aira tetap ingin menoleh ke belakang, ingin menatap wajah si gadis dengan lebih lama. Dia hampa. Dia tidak dapat melakukannya. Dua orang askar yang berjalan di belakangnya menghalang pandangan.

'La la la, hari ni permainan apa yang mereka nak suruh aku main. Jawab soalan teka-teki yang hampir tiada jawapannya? Atau jawab soalan periksa yang tahap kesusahannya, adalah mustahil dijawab melainkan seorang super genius?'

Tiba-tiba sahaja suara yang seringkali bermain di benak Aira, bernyanyi riang senang hati. Dia kelihatan tidak sabar untuk menjalani eksperimen yang bakal dilakukan para saintis ke atasnya. Setakat ini, tiada satu pun tugasan yang gagal diselesaikannya.

Aira memicingkan matanya. Rimas pula mendengar suara itu berceloteh di dalam mindanya. Suara itu nampaknya kelihatan bergembira dan senang hati, sedangkan dia hampir separuh gila dikurung di makmal ini selama berhari-hari. Dia sampaikan sudah tidak mengenal siang dan malam. Manakan tidak, tempat ini langsung tiada tingkap sebagai petunjuk kepada waktu semasa.

'Daripada kau buat bising dengan suara yang tak sedap tu, baik kau tolong aku.' Aira cuba berbual dengan suara itu.

'Oh, sorry­-lah, kau nak tidur ke?' Suara itu membuat lawak bodoh tidak kena tempat. Sekali lagi Aira memicingkan matanya.

'Dah, jangan nak merepek. Kau tak nampak aku tengah buat apa ni.'

'Janganlah marah, Cik Aira oi. Nanti cepat tua.' Sekali lagi suara itu berloyar buruk. Aira sudah malas melayan kerenah suara itu.

'Tadi, budak tadi tu yang berselisih dengan aku. Kenapa aku rasa macam familiar dengan dia? Aku kenal dia ke? Kenapa aku tak ingat?' Aira terus kepada pokok persoalan.

'Syaurah Farzanah Binti Zulfaqar. Subjek 1711. Kategori Psikik.' Dengan lancar sekali suara itu memberi maklumat kepada Aira. Dia nampaknya tahu segala maklumat mengenai gadis itu. Nadanya bertukar serius secara tiba-tiba.

'Syaurah ... Farzanah? Eh, siapa tu?' Aira langsung tidak dapat menangkap gerangan yang disebutkan si pemilik suara misteri.

'Dia yang beri mesej kepada kau melalui mimpi kau. Dia juga yang rakam video tu dan bagi pendrive biru tu pada kau. Kau ingat tak?'

'Mimpi? Pendrive biru? Video?' Aira cuba menyelongkar semula kotak memorinya. Klu-klu yang diberikan sang suara cuba dicantumkan untuk mencari cebisan memori yang telah hilang.

"Ah!" Dek terlalu teruja dengan memori yang berjaya ditarik keluar, Aira tidak sengaja mengeluarkan suaranya. Langkahnya turut terbejat secara spontan.

Dr. Akmal mematikan langkah lalu menoleh ke belakang. "Kenapa? Ada sesuatu yang tak kena ke, Subjek 179?"

Tatkala Aira menyedari tingkahnya, dia pantas menutup mulutnya dengan kedua-dua belah tangan yang digari. Kepalanya pantas menggeleng. Tidak mahu Dr. Akmal mengesyaki apa-apa. Dr. Akmal merenung wajah Aira lama, mengesyaki sesuatu. Dia kembali berpaling ke hadapan dan meneruskan perjalanan.

Aira yang masih kaku di tempatnya turut ditolak ke hadapan oleh dua orang askar di belakangnya. Memaksa dia untuk berjalan.

'Kau ni, cover-lah sikit kalau ya pun. Lagi sikit nak kantoi,' marah suara itu kepada Aira.

'Aku excited sangatlah tadi.' Aira cuba membela dirinya.

'Macam mana? Kau dah jumpa siapa dia tu?' Suara itu menyoal kembali.

'Ya, baru aku ingat. Yang bagi pendrive biru tu, kan? Dia ke yang sedang larikan diri dalam mimpi tu?' Giliran Aira pula mengajukan soalan.

'Ya. Apa yang dia lalui tu dia hantar secara direct kepada kau melalui telepati. Dia terlalu takut masa tu. Dia cuba hantar kepada sesiapa secara rambang. Dan kebetulan kita pula yang menerimanya.' Suara itu menerangkan satu-persatu.

'Kenapa? Kenapa kita?' Aira musykil.

'Sebab kita mungkin ada kelebihan ni. Bayangan mimpi. Dengan mudah dia hantar mesej lalu masuk dalam mimpi kau je. Sebab kau jenis senang bermimpi' sambung suara itu lagi.

'Macam mana dia boleh hantar kat aku pula? Aku tak tahu pula aku boleh bertelepati.' Aira menyoal kembali.

'Sebab kau memang boleh bertelepati dengan semua orang yang ada kebolehan macam kau,' jelas suara itu.

Aira sudah mula pening dengan penjelasan suara itu. Sudahlah dia seringkali diburu bayangan mimpi, suara itu pula memberitahu dia boleh bertelepati dengan orang lain. Suara itu sendiri misteri, dari mana asal-usulnya. Bagaimana suara itu boleh mengetahui segala-galanya?

"Subjek 179, kita dah sampai," beritahu Dr. Akmal yang berdiri di muka pintu sebuah bilik. Pemberitahuan itu menghentikan perbualan mereka berdua serta-merta.

Aira dan dua orang askar yang memegang tubuhnya berhenti di sisi Dr. Akmal. Saintis itu mengeluarkan kad matrik miliknya lalu dilalukan di alat pengimbas yang berada di sisi pintu bilik itu.

Teks 'ACCESS GRANTED' terpapar di skrin alat pengimbas tersebut. Pintu bilik itu terus terbuka secara automatik. Dr. Akmal melangkah masuk. Tubuh Aira turut ditolak masuk ke dalam bilik itu.

Beberapa orang saintis lain yang turut mengenakan kot makmal kelihatan sedang menjalankan tugas masing-masing di hadapan sebuah meja panel kawalan. Di hadapan mereka ada sebuah bilik berdindingkan cermin pandang tembus.

Menyedari kehadiran Dr. Akmal, semua saintis di dalam bilik itu terus menyambut kehadirannya. Aira menelan liur melihat pandangan para saintis yang difokuskan ke arahnya.

***

'Jadi betullah. Jadi betullah penulis ni memang alami semua suara tu. Dia sendiri yang dengar macam-macam suara yang beritahu dia segala-galanya. Betullah penulis ni didiagnos sebagai penghidap DID. Patutlah banyak kisah pasal DID je yang dia tulis,' putus Ilham di dalam hati setelah habis membaca IDEA karya nukilan Ayura Shameiryuu.

Usai menghabiskannya, Ilham melepaskan keluhan berat. Ada sensasi yang tidak sedap terbit di perutnya. Ada banyak sangat perkara misteri yang berkisar di sekeliling penulis ini. Pertama, watak-watak dalam cerita yang dia tulis kelihatan hidup, seolah-olah wujud di alam nyata. Cerita dia terlalu realistik.

Kedua, idea untuk cerita dia luar biasa. Benar-benar di luar kotak. Dia juga sangat handal dalam menggarapkan cerita seolah-olah semua perkara yang berlaku di dalam ceritanya dialami sendiri.

Ketiga, dia mendakwa dirinya sering mendengar suara-suara yang memberitahunya mengenai pelbagai perkara. Walau bagaimanapun, ia bukan suara biasa. Ia bukan sekadar halusinasi. Suara yang dialaminya terlalu unik dan aneh. Apa yang diceritakannya kedengaran tidak logik dek akal. Apa yang diberitahu suara itu benar belaka, bukan sekadarandaian tidak berasas yang dibentuk dek set realiti si penulis.


Keempat, dek suara yang seringkali dialaminya, dia didiagnos menghidap DID. Nampaknya dia bukan penulis biasa. Cara berfikirnya pasti luar biasa. Orang yang mengalami masalah psikologi biasanya mempunyai cara berfikir yang luar biasa. Sekurang-kurangnya, sebahagian daripada apa yang diceritakannya adalah betul.

Akan tetapi, bukan soal karyanya sahaja yang menimbulkan persoalan di benak Ilham. Bukan itu yang menarik perhatian Ilham. Apa yang menarik perhatiannya adalah perkara misteri yang berkisar di sekeliling penulis itu.

Dia tertarik tentang dari mana si penulis mendapat idea yang luar biasa itu. Mungkinkah dia sendiri mengalaminya? Setelah membaca karyanya yang bertajuk IDEA, dia mula mendapat sedikit klu akan persoalannya tadi.

Penulis itu nampaknya benar-benar mengalami suara misteri itu. Suara itu benar-benar memberitahu penulis akan segala-galanya. Malah, apa yang dialaminya seakan-akan sama dengan apa yang dialami sang detektif watak utama dalam Detektif Psiko.

Ilham mula menyimpulkan bahawa dia memang mengalami suara itu persis yang diceritakan dalam Detektif Psiko. Akan tetapi, bagaimana suara itu mengetahui kesemuanya? Pelik benar Ilham dengan ciri-ciri suara itu. Dia mengetahuinya tetapi dia tidak tahu bagaimana dia boleh mengetahuinya.

Ada satu sahaja kemungkinan yang bermain di benak Ilham kala ini. Penulis bernama Ayura Shameiryuu ini sememangnya memiliki kuasa psikik. Suara itu adalah manifestasi kuasanya untuk mengetahui pelbagai perkara tanpa perlu menyiasat terlebih dahulu.

'Ya, penulis ni mungkin ada kuasa kot. Tapi tak sangka orang macam tu wujud. Tapi, dia nampak sangat tertekan. Lepastu dia luahkan melalui medium penulisan,' desis Ilham.

'Luahkan? Medium penulisan?' Minda Ilham menerbitkan satu idea.

Ilham terfikir untuk cuba menulis juga. Dia ingin meluahkan perasaannya melalui medium penulisan juga. Dia tahu dia ada bakat menulis. Dia juga pernah cuba menulis sebelum ini, tetapi hanya hangat-hangat tahi ayam. Dia terlalu takut untuk meneruskannya.

Walau bagaimanapun, kali ini dia ingin mencuba. Mana tahu, dia boleh melepaskan tekanannya melalui medium penulisan seperti penulis ini. Dia akan cuba membuka satu akaun di portal penulisan itu. Dia akan cuba menukilkan sebuah karya.

Akan tetapi, apa yang ingin ditulisnya?


Previous: BAB 26
Next: BAB 28

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.

Karya lain oleh Hana Mizari