Home Novel Fantasi Reality Override
BAB 17

KAWALAN MINDA

Syaurah Farzanah menyandar di dinding sebuah lorong yang memisahkan antara dua buah bangunan. Dia mendongak, memandang langit nan membiru menghampar pemandangan. Dia masih tercungap-cungap kepenatan dek dikejar malam tadi. Tubuhnya melorot ke bawah lalu terduduk di atas jalan.

'Harap mereka tak dapat kejar aku lagi....'

'Aku baru kuasai telepati tu beberapa minggu lepas. Harap-harap menjadi. Dan harap-harap aku tak silap hantar video tu kat orang lain.'

Syaurah mengusap perlahan perutnya. Sudah berhari-hari perutnya tidak diisi. Sudah berhari-hari juga dia berada di jalanan, kerana melarikan diri daripada terus dikejar. Syaurah mendekatkan lutut ke tubuhnya lalu memeluknya. Satu keluhan berat dilepaskan.

'Kenapa mereka kejar aku? Ada sesiapa yang boleh jawab soalan ni?' Gadis itu bertanya sendiri. Pertanyaannya tidak berjawab.

***

Malam menjelang...

Mata Syaurah menatap seorang demi seorang samseng yang berada di sekelilingnya. Tubuhnya dirapatkan ke dinding. Dia sudah terkepung sekarang. Tiada lagi jalan keluar buat dirinya lagi. Samseng-samseng yang berada di sekelilingya pula hanya memerhatikan Syaurah dengan seringai terukir di bibir.

Syaurah fikir dia sudah selamat dengan menyembunyikan dirinya di lorong tersebut. Akan tetapi dia tersilap. Lorong gelap nan sempit itu merupakan tempat persembunyian bagi penjenayah-penjenayah seperti mereka. Syaurah tanpa sedar telah menjerat dirinya sendiri ke dalam sarang penjenayah.

Kedua-dua tangan Syaurah mencakar dinding di belakangnya. Kalau boleh, mahu sahaja dia memanjat dinding di belakangnya untuk melarikan diri. Salah seorang daripada mereka tampil ke hadapan Syaurah. Bahu Syaurah dicengkam erat, lalu ditekan ke dinding, menghalang gadis itu daripada terus melarikan diri.

Syaurah memejam rapat matanya, mengelakkan daripada bertentangan mata dengan lelaki itu. Takut untuk berhadapan dengan orang yang bakal meratah tubuhnya ini.

'Aku dah tak boleh lari. Habislah!' desis Syaurah di dalam hati.

Syaurah sedar akan situasi yang dihadapinya kini. Dalam mindanya sudah terbayang apa yang akan terjadi pada tubuhnya kelak jika dia tidak berjaya untuk melepaskan dirinya. Tubuh badannya terasa panas secara tiba-tiba, walaupun suhu pada malam ini agak dingin.

'Satu je cara aku boleh lepaskan diri. Aku patut guna kuasa aku,' kata Syaurah lagi di dalam hatinya.

Syaurah cuba membuka matanya, menatap wajah lelaki itu, walaupun hatinya memberontak. Dia harus berani. Matanya perlu bertentangan dengan mata lelaki itu, agar kuasanya itu menjadi.

Dengan gerak bibir yang terketar-ketar, Syaurah memberi arahan, "Le... lepaskan aku." Perlahan sahaja nadanya. Dia tiada kekuatan untuk berhadapan dengan lelaki ini.

Lelaki itu hanya menyimpulkan senyuman sinis mendengar apa yang dilafazkan si gadis. Cengkaman di bahu Syaurah semakin dikuatkan. Syaurah berasa amat terkejut memikirkan kuasanya yang tidak menjadi.

'As expected. Tak menjadi. Aku tak pandai sangat kawal kuasa aku ni.' Syaurah bertambah panik memikirkan rancangannya tidak menjadi.

"Lepaskan? Tak boleh. Kau kena temankan aku sepanjang malam ni," lafaz lelaki yang mencengkam bahu Syaurah.

Syaurah tidak berputus asa. Sebelah kakinya cuba menendang tubuh lelaki berbadan tegap di hadapannya ini. Walau bagaimanapun, segala usahanya sia-sia sahaja. Sedikit pun lelaki itu tidak terkesan akan serangan yang dilancarkan Syaurah. Tendangan yang dilancarkan Syaurah dirasakan ibarat angin lalu sahaja yang menyinggah ke tubuhnya. Kudrat Syaurah bukan tandingan lelaki itu.

Melihatkan tendangannya yang tidak menjadi, Syaurah mula meronta sekuat hati. Segala tenaga dalam tubuhnya dikerahkan demi melepaskan diri daripada sang durjana. Lelaki-lelaki yang berada di sekelilingnya hanya ketawa melihat susah-payah Syaurah untuk melepaskan dirinya. Rontaannya menjadi ibarat hiburan pula buat para penonton.

'Apa aku nak buat ni? Apa aku nak buat ni? Apa aku nak buat ni?'

Syaurah semakin panik. Suhu badannya turut meningkat. Dalam mindanya sudah membayangkan berbagai-bagai akibat buruk yang akan menimpa sekiranya dia terus berada dalam cengkaman mereka semua.

"Tolonglah, tolonglah." Dalam keadaan panik, hanya itu sahaja kata-kata yang mampu dilafazkan Syaurah. Kata-katanya itu hanya disambut dengan hilai tawa, seolah-olah ia adalah lawak jenaka.

"Tolonglah siapa selamatkan aku!" jerit Syaurah dengan lontaran suara yang paling kuat mampu dilakukannya, mengharapkan sesiapa datang untuk membantu.

***

Suatu isyarat seperti terlintas di kotak fikiran Aira secara tiba-tiba. Barang-barang yang berada di dalam tangannya terlepas begitu sahaja. Nasib baiklah bukan barangan kaca yang dipegangnya. Jika tidak, pasti habis pecah dibuatnya. Badrina yang ketika itu berada di ruang tamu terus meluru ke bilik Aira tatkala mendengar bunyi barang terjatuh di bilik anak perempuannya. Dia risau sekiranya penyakit Aira itu menyerang secara tiba-tiba.

"Aira? Kenapa ni? Aira okey tak?" soal Badrina mula risau tatkala melihat riak wajah pucat yang dipamerkan Aira.

Mata Aira tertancap ke arah lantai, melihat ke arah barang-barang yang terlepas dari tangannya, tetapi mindanya sudah menerawang ke tempat lain. Bayangan seseorang sedang cuba melepaskan diri melintas sekali lalu dalam pandangannya. Dalam fikirannya, dia seperti boleh mendengar suara seseorang menjerit meminta tolong.

"Aira!" panggil Badrina sekali lagi sambil memegang kedua-dua lengan Aira, meminta perhatian gadis itu. Matanya kelihatan pudar daripada memancarkan sebarang sinar kehidupan.

"Sya... Syaurah!" Nama itu terlintas sekali lalu di mindanya lalu dizahirkan melalui kata-kata.

"Syaurah? Siapa dia tu?" soal Badrina mula hairan. Dia terkejut mendengar nama yang tidak dikenali itu meniti di bibir anak perempuannya. Setahunya, Aira tiada kawan yang mempunyai nama sebegitu.

"Dia... dia perlukan pertolongan...."

***

Syaurah memeluk erat tubuhnya. Sepuluh jarinya mencakar-cakar sendiri lengannya yang digenggam erat. Sebahagian bajunya sudah terkoyak akibat ditarik-tarik dengan rakus sekali oleh sang lelaki durjana. Perlahan-lahan Syaurah mengengsotkan tubuhnya ke belakang, cuba menjauhi daripada terus diratah lelaki-lelaki di sekelilingnya.

'Kenapa? Kenapa boleh jadi macam ni?' rintih Syaurah di dalam hatinya.

Syaurah melemparkan renungan tajam. Berang dengan tindakan rakus mereka.

Kemudian dia melemparkan pandangannya ke bawah, lalu bibirnya mula bergerak ke bawah dan ke atas, melafazkan sesuatu.

"Kamu semua... kamu semua... kamu semua patut mati. Sampah macam kamu semua patut mati."

Kata-kata itu dilepaskannya dengan senada, perlahan sekali, tetapi cukup untuk didengari orang yang berada di hadapannya.

Mata Syaurah yang terbuntang luas, sudah pudar daripada memancarkan sebarang sinar kehidupan.

Secara tidak semena-mena, semua lelaki tersebut terus mengeluarkan pistol yang disisip di pinggang masing-masing lalu diacukan di kepala sendiri. Picu ditarik lalu tembakan dilepaskan hampir serentak. Semuanya berlaku dengan pantas.

Bang!

Seorang demi seorang manusia di hadapan Syaurah tumbang menyembah bumi. Maka, bergelimpanganlah mayat-mayat itu di tengah lorong sempit nan gelap di sebuah kotaraya. Pada saat bunyi tembakan dilepaskan, barulah Syaurah tersedar apa yang dia telah lakukan. Dia menatap mayat yang bergelimpangan di sekelilingnya.

Titis-titis hujan mula turun membasahi bumi lalu mengalir bersama darah merah pekat yang keluar dari tubuh setiap jasad di sekeliling gadis itu.

Syaurah mendongak ke atas, sengaja membiarkan titisan manik jernih membasahi wajahnya. Manik-manik jernih yang menimpa wajahnya turun mengalir bersama linangan air matanya. Tatkala mendongak ke atas, Syaurah dapat lihat satu demi satu manik jernih turun dari langit lalu menyapa lembut pipinya yang gebu.

Mulutnya dibuka untuk merasa sedikit air hujan yang turun. Syaurah tidak peduli, jika dia demam disebabkan itu. Ada sesuatu lebih penting yang perlu dirisaukannya kala ini. Pandangannya yang memerhatikan langit malam nan pekat dikalihkan ke hadapan. Pemandangan mayat bergelimpangan di sekelilingnya kembali menjamu pandangan mata.

"Ah! Apa aku dah lakukan ni?" rintih Syaurah dengan suara lemah dan terketar-ketar lalu menunduk memandang jalan bertar di bawahnya.

Titisan air mengalir turun dari tepi wajahnya ke atas jalan sebaik sahaja dia tunduk. Kedua-dua belah tangannya yang diletakkan di atas lantai digenggam erat sehingga menggigil.

Sungguh, dia takut dengan apa yang dia telah lakukan. Dia takut dengan kebolehannya itu. Kebolehannya itu telah meragut nyawa orang. Adakah dia telah berdosa kerana telah mengambil nyawa manusia dengan tangannya sendiri?

'Hanya ada satu cara sahaja agar aku dapat tebus kesalahan aku ni.' Suatu idea terbit di minda Syaurah.

Syaurah mengangkat wajah, memerhatikan mayat-mayat bergelimpangan yang berada di sekelilingnya. Bukan itu yang diperhatikannya. Akan tetapi, ada objek lain yang diperhatikannya. Perlahan-lahan Syaurah bangkit lalu berjalan menghampiri mayat yang berada paling hampir dengannya.

Dia perhatikan sejenak jasad tidak bernyawa itu. Kemudian matanya melirik ke arah pistol yang masih berada dalam tangan jasad itu. Syaurah melutut lalu mengambil pistol yang berada di dalam tangan jasad itu. Terketar-ketar tangannya ketika mengambil pistol itu. Dia masih teragak-agak untuk melakukannya, tetapi dia sudah nekad. Dia tidak mahu dihantui dengan rasa bersalah, lalu mengambil keputusan untuk mengambil nyawanya sendiri.

Lambat-lambat pistol itu diacu tepat ke kepalanya. Jarinya diletakkan di picu, sedia untuk melepaskan tembakan. Matanya dipejam rapat. Rasa bersalah menghambat diri. Dia tahu bahawa tindakan membunuh diri itu berdosa. Akan tetapi, dia juga rasa bersalah akan perbuatannya itu.

Hatinya berbelah bahagi sekarang, sama ada untuk melepaskan tembakan sekaligus menamatkan riwayatnya, atau meneruskan kehidupan dengan diburu rasa bersalah.

Hujan yang turun semakin lebat, ditemani guruh dan kilat sabung menyabung, seakan faham akan gelojak emosi yang dialami Syaurah sekarang.

'Apa lagi yang kau tunggu? Habisi sajalah riwayat hidup kau sekarang. Kau hidup lagi pun nak buat apa? Kau nak hidup dengan terus dihantui kesilapan lalu?' kata Syaurah kepada dirinya sendiri di dalam hati.

Baru sahaja tembakan hendak dilepaskan, ada tangan yang menahan Syaurah daripada meneruskan niatnya itu.

"Jangan jadi bodoh, Cik Syaurah Farzanah," ucap seseorang yang telah pun berada di belakangnya.

Syaurah membuka matanya, terkejut tatkala ada seseorang yang datang menghentikan perbuatannya. Dia langsung tidak perasan akan kehadiran orang itu. Saat dia membuka mata, dia bertambah terkejut tatkala mendapati beberapa orang yang lengkap memakai uniform Tentera Eurasia sudah pun berada di sekelilingnya. Entah bila mereka berada di sekelilingnya. Dia langsung tidak menyedarinya.

Orang yang berada di belakang Syaurah merampas pistol yang berada di tangan gadis itu. Kemudian dia menyerahkan pistol itu kepada salah seorang askar yang berada berhampiran. Pistol itu bertukar tangan. Askar itu membersihkan kesan cap jari yang terdapat pada pistol tersebut lalu meletakkan semula di kedudukan yang asal, iaitu di dalam tangan salah satu jasad tidak bernyawa itu.

Kedua-dua tangan Syaurah ditangkap dan dibawa ke belakang tubuhnya, mengekang pergerakan gadis itu. Syaurah hanya akur diperlakukan sebegitu. Pasrah dengan nasib yang bakal menimpanya kini.

Datang seorang lelaki berjalan menghampiri Syaurah. Dalam kesamaran cahaya lampu jalan yang menerangi di hujung lorong, dia tidak mampu melihat dengan jelas wajah lelaki itu. Perlahan-lahan lelaki itu merendahkan tubuhnya agar sama paras dengan Syaurah yang masih terduduk di atas lantai.

Lelaki itu kemudiannya membuat isyarat dengan tangannya memanggil seseorang. Datang seorang lagi askar menghampiri membawa sebuah kotak. Kotak itu dibukanya. Syaurah tidak dapat melihat dengan jelas kandungan di dalam kotak itu dek kesamaran cahaya di lorong itu. Dia tidak berminat pun untuk mengetahui isi kandungan di dalam kotak itu.

Tangan lelaki itu mencapai sejenis silinder lutsinar berisi cecair jernih di dalam kotak, lalu diletakkan di bahagian lengan Syaurah yang terdedah, di kawasan bajunya yang terkoyak. Tatkala hujung silinder itu menyentuh kulitnya, Syaurah dapat rasakan tusukan daripada jarum yang terdapat di hujung silinder tersebut. Cecair itu disuntik masuk ke dalam tubuhnya. Kelopak mata Syaurah mula dirasakan berat, lalu perlahan-lahan terkatup.

"Alright, time to sleep." Telinga Syaurah sempat menangkap kata-kata itu menyapa gegendang telinga sebelum kesedaran meninggalkan tubuhnya.

***

Esoknya, berita memaparkan kematian sekumpulan samseng itu di lorong gelap kerana menembak diri sendiri. Khayal kerana dadah dipercayai menjadi punca mereka semua membunuh diri. Hanya itu sahaja yang mampu dipaparkan. Pihak polis sendiri sudah pening memikirkan puncanya. Rakaman kamera litar tertutup memaparkan sekumpulan lelaki itu menembak diri sendiri secara tiba-tiba tanpa sebab yang munasabah betul-betul memeningkan pihak polis yang menjalankan siasatan.

Akan tetapi, insiden itu hanya mengundang pelbagai spekulasi oleh para netizen. Video rakaman kamera litar tertutup itu telah terlebih dahulu ditularkan di media sosial sebelum pihak polis mengumumkan hasil siasatan. Begitulah kuasa media sosial, cepat sahaja maklumat disebarkan, sepantas kilat.

Dalam banyak-banyak spekulasi yang berlegar di alam maya, spekulasi berbentuk teori konspirasi antara yang paling menarik perhatian para netizen. Teorinya berbunyi, itu merupakan sebahagian eksperimen rahsia Kerajaan Eurasia untuk mengawal populasi manusia melalui kawalan minda. Ada juga yang mengatakan itu adalah projek rahsia pihak kerajaan untuk menghasilkan senjata baru.

Pada waktu berita itu disiarkan, Aira dan ahli keluarganya turut menonton. Seperti biasa, bapanya mengambil peranan untuk menganalisis isu tersebut lebih daripada pihak polis sendiri. Manakala ibunya pula mengambil sikap tidak ambil kisah. Biarlah segalanya diuruskan pihak yang berkenaan. Tidak perlulah dia masuk campur. Berlainan pula dengan Kamal. Sejak dari mula dia mendapat berita itu melalui media sosial sampailah sekarang, mulutnya masih tidak henti-henti mengulas mengenai isu tersebut.

"Mereka tak bunuh diri. Ada sesuatu sebenarnya yang menyuruh mereka buat macam tu," lafaz Aira secara tiba-tiba menghentikan ulasan oleh bapanya. Mendatar sahaja lantunan suaranya tetapi kedengaran serius.

Kamal dan Badrina berpandangan serentak, lalu memandang semula Aira dengan riak wajah memohon penjelasan.

"Ha?"

Aira tidak mempedulikan pertanyaan mereka berdua. Dia terus sahaja berjalan meninggalkan ruang tamu rumahnya untuk ke bilik. Dia tidak berminat untuk mengulas lebih lanjut mengenai dakwaannya itu. Dia bukan berspekulasi. Dia cuma ingin menceritakan apa yang berlaku sebenarnya.



Previous: BAB 16
Next: BAB 18

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.