Home Novel Fantasi Reality Override
BAB 26

AYURA SHAMEIRYUU

"Ilham! Kau buat apa sekarang?" soal Fauzan kedengaran seperti berbasa-basi.

Ilham senyap. Malas untuk menjawab. Dia berasa tidak senang dengan lelaki ini. Manakan tidak, sejak dari dahulu lagi dia memang selalu berselisih pendapat dengan Fauzan tentang ilmu Sains.

"Sejak kau balik ni, tak nampak-nampak pun kau ya. Takkan kau kerja kot."

Ilham tidak membalas. Sekalipun hatinya sudah diulit rasa sakit. Kakinya cuba melangkah untuk meninggalkan Fauzan. Dia cuba berjalan ke arah kiri Fauzan, kerana lelaki itu berada di hadapannya. Walau bagaimanapun, Fauzan menghalang Ilham dengan sebelah tangannya.

"Yalah, kau tu mesti terperap je kat rumah. Bidang kau tu bukannya ada masa depan pun."

Sekali lagi kata-kata itu dirasakan ibarat peluru yang ditembak berdas-das ke arahnya. Ilham cuba menahan sabar. Dia tidak mahu termakan dengan provokasi yang dilemparkan si Fauzan. Dia tahu, jika dia cuba mencari gaduh dengan lelaki ini, tindakan itu hanya akan memakan dirinya sahaja. Ibu dan bapanya pasti berasa malu dengan tindak-tanduknya.

"Tulah, yang kau pergi ambil Fizik tu siapa suruh. Bukan ada masa depan pun. Tengok aku ni, sekarang dah ada kerja yang stabil dah. Kau pula, jadi loser yang tak menyumbang apa-apa. Duk terperap je kat rumah!" Segaris senyuman sinis terukir di bibir Fauzan. Dia memandang Ilham dengan pandangan hina.

"Kau tak faham bahasa ke? Aku tak sempat habiskan degree akulah, bukan sebab bidang Fizik yang salah. Bidang ni tak salah pun. Tapi salah..." Ilham tidak dapat menghabiskan bicaranya. Lidahnya menjadi kelu secara tiba-tiba. Otaknya sudah membeku. Tidak mampu menjana ayat lagi untuk membalas kata-kata sinis daripada Fauzan.

"Habis tu salah siapa? Salah mak bapa kau? Salahkanlah! Biar diorang tahu betapa loser-nya anak mereka ni! Orang yang loser akan sentiasa nampak kesalahan pada orang lain. Salah sendiri dia tak nampak." Senget-senget bibir Fauzan melemparkan kata-kata sinis kepada Ilham.

Ilham yang tidak dapat menahan amarahnya yang membuak-buak terus mengepal buku limanya. Dia cuba melayangkan tumbukan kepada Fauzan. Akan tetapi, Fauzan yang lebih tinggi daripadanya itu dengan cekap menangkap tangan Ilham. Tangan Ilham dikilas ke belakang. Ilham terus meringis kesakitan dek rasa ngilu tatkala tangannya dipulas ke belakang.

Tidak cukup dengan itu, Fauzan menendang pelipat lutut Ilham yang ketika itu membelakangkan dirinya. Ilham tidak dapat menahan tubuhnya. Dia terlalu lemah. Tubuhnya melutut di atas tanah berlumpur yang terbentuk akibat hujan turun. Tubuh Ilham ditolak lagi sehingga rebah ke tanah. Mukanya tersembam di dalam lumpur.

"Terima sajalah hakikat. Bidang yang kau ambil tu langsung takda apa-apa manfaat. Apa tu yang kau belajar tu, quantum ... shit!" ejek Fauzan sepuas hatinya.

Ilham cuba bangkit tetapi tubuhnya terus ditekan ke atas tanah oleh Fauzan. Fauzan seperti ada dendam kesumat sahaja dengan Ilham sehingga melepaskan geram sebegitu sekali.

"Kau tahu tak, sebab quantum whatever shit kau tu, banyak pesakit aku yang mati! Pseudoscience shit tulah yang menyebabkan ramai pesakit aku default treatment yang sepatutnya dan pergi berubat dengan pseudoscience quantum shit kau tu!"

Ilham menoleh ke sisi. Cuba mengeluarkan wajahnya daripada terus tenggelam di dalam lumpur yang kotor. Bajunya habis basah-kuyup dek ditimpa hujan lebat. Mukanya habis comot dengan lumpur. Beg plastik barang yang dibelinya tadi tergeletak begitu sahaja di atas lantai. Payungnya juga tercampak entah ke mana.

"Lepastu, bila ada yang mati, mulalah mereka semua nak salahkan doktor. Huh!" tempelak Fauzan lagi melepaskan geram.

"Kotor kan lumpur ni? Memang padanlah dengan diri kau yang hina ni. Muka macam ni memang tak layak langsung ambil bidang Sains. Buat malu je!" Fauzan terus-menerus menempelak.

Luka di hati Ilham semakin bernanah dan membusuk tatkala mendengar sindiran demi sindiran daripada Fauzan.

"Dahlah, aku nak balik. Buang masa aku je berbual dengan orang lembik macam kau ni!" Fauzan yang sedang mencangkung di sisi Ilham bangkit berdiri. Dia terus berjalan meninggalkan Ilham tertiarap di atas tanah yang berlecak.

Hujan yang turun lebat sedari tadi tidak menunjukkan tanda-tanda akan berhenti. Malah semakin lebat sejak pergaduhan di antara dia dengan Fauzan berlangsung. Hujan itu seolah-olah bersimpati dengan nasib yang menimpa Ilham.

Ilham perlahan-lahan bangun. Dia duduk bersimpuh sambil menekur ke atas tanah. Dia merangkak sedikit ke hadapan untuk mengambil beg plastik yang tergeletak di atas tanah. Habis barang-barang di dalamnya basah akibat ditimpa hujan. Tubuhnya masih terasa sakit akibat ditekan kuat ke atas tanah.

Tanah yang lecak akibat hujan lebat ditumbuk sekuat hati sehingga tenggelam buku lima di dalamnya. Hujan yang menimpa tubuhnya dibiarkan begitu sahaja. Ilham berasa dirinya benar-benar tidak berguna sekarang. Dia tidak mampu melawan. Dia lembik. Dia lemah. Baik dari segi berlawan hujah, mahupun berlawan fizikal, dia sentiasa kalah dengan lelaki itu.

Setelah pulang ke rumah dalam keadaan basah-kuyup, Ilham dimarahi dengan teruk oleh ibunya. Sangka Mariah, Ilham sengaja bermain hujan. Keesokan harinya, Ilham demam teruk. Dia berkeras tidak mahu ke klinik kerana hatinya berasa tawar dengan sindiran pedas daripada Fauzan.

'Yalah, aku ni kan sampah masyarakat. Mana layak pergi klinik dapat rawatan daripada doktor yang mulia tu. Lagipun, buat semak je kalau aku datang situ pun. Aku ni kan punca kenapa ramai orang anti dengan perubatan moden,' luah Ilham di dalam hati.

Satu keluhan berat dilepaskan. Kenangan lama yang tersimpan kemas di dalam memori dikambus sedalam-dalamnya. Dia tidak mahu kenangan menyakitkan itu mengganggu emosinya. Ilham mengambil nafas dalam sebelum menghembuskannya semula.

Jari-jemari Ilham ditolak laju-laju ke atas skrin sesentuh. Puas sudah dia memerhatikan suapan beritanya. Ia penuh dengan pelbagai artikel yang mengulas mengenai isu semasa. Ilham tidak berminat untuk mengambil tahu itu semua. Dia langsung tiada selera. Dia mahu mencari sesuatu yang lain dari yang lain untuk dibacanya di suapan berita itu.

Sedang Ilham ralit memerhatikan suapan berita di dinding Facebook, matanya tertangkap sesuatu yang menarik perhatiannya. Salah satu halaman yang diikutinya berkongsi satu pautan. Mungkin Ilham telah tanpa sengaja mengikuti halaman itu semasa dia menenkan butang 'LIKE' secara rambang di Facebook.

Pautan itu membawa Ilham ke sebuah portal penulisan. Pautan itu memaparkan sebuah novel yang dimuat naik ke portal penulisan tersebut. Gatal sahaja tangan Ilham untuk membuka pautan itu. Novel yang dikongsikan itu bergenre thriller. Baru Ilham menyedari bahawa halaman yang diikutinya itu mengongsikan segala cerita bergenre seram, misteri, aksi dan thriller di situ.

Alang-alang dia telah sampai ke portal tersebut, dia terus membaca novel yang dikongsikan itu. Selama ini, dia tidak berminat pun untuk membaca novel. Entah bagaimana kali ini minatnya hadir secara tiba-tiba. Mungkin jiwanya terasa kosong sekarang. Mungkin juga dia terlampau banyak masa lapang dan tidak tahu apa yang patut dibuatnya sekarang.

Minatnya untuk mula membaca novel di portal itu mula dipupuk saban hari. Sedikit demi sedikit dia mula tertarik untuk membaca karya-karya yang dimuat naik di portal tersebut. Segala genre dibaca Ilham melainkan genre romantik. Hal ini disebabkan genre itu sudah terlampau ramai yang tulis sehingga jalan ceritanya menjadi terlalu klise.

Namun begitu, genre yang Ilham paling minati sekarang adalah genre thriller dan misteri. Dia pun tidak tahu kenapa.

Sejak dari hari itu dan hari-hari seterusnya, Ilham mula mengisi masa senggangnya dengan membaca karya di portal tersebut. Waktu-waktu yang lain pula, Ilham isi dengan mengikut bapanya ke kebun sahaja. Menolong bapanya menguruskan kebun persendirian miliknya.

Ilham sudah tidak teringatkan lagi akan kehidupannya di universiti. Segala pelajarannya dan ilmu pengetahuan yang ditimba selama dia berada di menara gading ingin dilupuskan daripada lubuk ingatan.

Bagi Ilham, sudah tiada gunanya lagi. Ilmu itu semua bukannya dia mampu manfaatkan pun untuk menampung kehidupan sekarang. Jikalau dia tahu begini, sudah pasti dia tidak akan bersusah-payah untuk menimba ilmu di sana.

Saban hari, Ilham menjalani rutin sehariannya yang membosankan. Tanpa apa-apa perkara menarik berlaku. Hari-hari, rutinnya sama sahaja dari awal pagi hinggalah ke lewat malam.

Akan tetapi, segalanya berubah tatkala dia tertarik untuk membaca suatu novel bergenre misteri dan thriller. Novel itu mengisahkan tentang kehidupan seorang detektif. Kisah bagaimana detektif itu menyelesaikan kes setiap hari.

Walau bagaimanapun, bukan itu yang menarik perhatian Ilham pada novel itu. Bagi Ilham, sudah cukup banyak novel-novel yang menceritakan tentang penyiasatan seperti novel ini.

Bukan juga pada tajuknya. Bagi Ilham, tajuknya biasa sahaja iaitu Detektif Psiko.

Bukan juga pada kulitnya. Walaupun kulit itu kelihatan agak menarik pada pandangan Ilham. Warna tema yang digunakan terdiri daripada warna hitam dengan sedikit tompokan merah seperti darah. Tulisan yang digunakan juga persis calitan darah.

Bukan juga pada rangsang sarinya kerana portal itu terlalu kedekut untuk menyediakan ruangan bagi rangsang sari.

Jadi, atas sebab apa Ilham tertarik dengan novel tersebut? Selain disebabkan kulitnya yang kelihatan menarik, Ilham sebenarnya tertarik dengan garapan cerita tersebut. Wataknya terlalu hidup sehinggakan Ilham terasa watak itu benar-benar wujud di alam nyata. Kisah itu pula seolah-olah kisah benar dan bukan rekaan.

Ilham terus membaca, membaca dan membaca. Novel itu dibaca Ilham sehingga ke bab yang paling terkini dimuat naik ke portal itu.

Bagi Ilham, garapan cerita itu kelihatan menarik sekali. Hujung setiap bab pasti akan disertakan dengan persoalan. Si penulis seolah-olah cuba berteka-teki dengan para pembacanya tentang persoalan yang dilontarkan dalam novel tersebut.

Teka-teki.

Persoalan.

Misteri.

Ada sesuatu yang menjentik benak Ilham untuk mengutarakan persoalannya sendiri. Si detektif yang menjadi watak utama seolah-olah mempunyai kuasa psikik. Suatu anugerah. Malah, persoalan itu sering dilontarkan berkali-kali, seolah-olah si penulisnya mahukan kepastian daripada pembacanya.

Adakah benar sang detektif itu mempunyai kuasa psikik? Atau cuma intuisi yang tepat lagi jitu? Atau itu cuma kemahirannya untuk menaakul sesuatu kes?

Kisahnya begini. Si detektif itu, setiap kali dia menyelesaikan kes, dia akan mendakwa dia diburu bayangan mimpi dan bisikan-bisikan yang menceritakan segala-galanya. Segala apa yang dilakukan si penjenayah didedahkan melalui mimpinya dan bisikan-bisikan itu.

Persoalannya di sini. Adakah benar dakwaan detektif itu? Tiada cara untuk membuktikannya. Boleh jadi dia mereka semua cerita itu. Akan tetapi, untuk apa dia melakukan itu semua? Lagipun, si detektif itu sendiri mendedahkan bagaimana penjenayah melakukannya lengkap dengan bukti sekali.

Dalam novel Detektif Psiko, watak utamanya digambarkan sebagai seorang detektif yang genius. Tiada penjenayah yang pernah terlepas daripadanya. Penaakulannya begitu tepat dan lengkap. Tiada satu pun dia terlepas pandang, sehinggakan penjenayah berasa gerun dengan kemahirannya menyelesaikan kes.

Tatkala ditanyakan kepada detektif itu, bagaimana dia boleh meneka dengan cekap sekali segala tindak-tanduk penjenayah.

"Saya nampak segalanya dalam mimpi."

"Bisikan tu yang beritahu saya segala-galanya."

Dia pasti akan menjawab sebegini. Berkali-kali dalam novel itu sendiri diutarakan persoalan ini. Dia tahu segala-galanya, tetapi dia tidak tahu bagaimana dia boleh mengetahuinya melainkan melalui bisikan dan bayangan mimpi.

Bukti-bukti yang dibawa hanyalah untuk mematuhi prosedur yang sepatutnya sebagai seorang detektif. Bukti itu juga bertujuan untuk meyakinkan pihak polis yang menjalankan siasatan. Itu pun dia memperolehinya dengan bantuan si pemilik suara misteri itu. Suara itulah yang menunjukkan kepada si detektif di mana hendak mencari bahan buktinya.

Dia tahu segala-galanya tetapi dia tidak tahu bagaimana dia mengetahuinya. Ayat itu berulang-ulang dimasukkan ke dalam novel itu. Ayat itu begitu memukau Ilham sehingga dia tertarik untuk membacanya berulang kali. Otaknya ingin menghadam betul-betul maksud tersembunyi di sebalik ayat itu.

'Apa yang penulis ni cuba nak sampaikan sebenarnya dengan ayat ni?' Persoalan itu terdetik di benak Ilham.

Walau bagaimanapun, boleh jadi si detektif itu tidak mempunyai kuasa apa-apa. Dia memang mempunyai daya penaakulan yang luar biasa. Suara-suara itu? Itu cuma halusinasi auditori yang dihasilkan mindanya sahaja.

Selain genius, detektif itu turut dilabel sebagai psiko dan gila kerana suara yang didengarinya. Dia didiagnos mengalami sejenis gangguan psikologi iaitu DID. Detektif itu dikatakan seringkali berubah-ubah personalitinya. Menguatkan lagi dakwaan tentang penyakit DID itu ke atasnya. Itulah sebabnya novel itu bertajuk 'Detektif Psiko'.

Ilham menghabiskan ayat terakhir yang telah dimuat naik penulisnya. Setelah habis membaca novel tersebut, Ilham berasa tidak puas. Dia ingin membaca lagi dan lagi. Dia ingin mengetahui apakah yang berlaku seterusnya.

Mata Ilham melirik ke arah tarikh terakhir penulis itu mengemas kini novel Detektif Psiko. Keluhan berat dilepaskan. Kali terakhir dia mengemas kini ialah beberapa bulan yang lalu. Sudah terlalu lama cerita ini tidak dikemas kini.

Ilham dipalit risau dan kecewa. Risau pada apa yang terjadi pada penulis itu. Kecewa kerana terpaksa menunggu lama untuk bab seterusnya dimuat naik. Mungkin juga cerita itu tidak akan dikemas kini sepertimana kebanyakan karya peram yang lain.

Walau bagaimanapun, ada sesuatu yang menjentik rasa ingin tahu di benaknya. Ilham berasa pelik dengan penulis itu. Dalam masa yang sama dia berasa kagum. Dia kagum dari mana si penulisnya mendapat idea untuk menulis cerita itu.

Ceritanya terlalu realistik seolah-olah ia benar-benar berlaku. Wataknya terlalu hidup seperti dia wujud di alam nyata. Ideanya pula luar biasa. Orang memang langsung tidak akan terfikir idea itu.

Dek masa yang terluang begitu banyak, Ilham terus berfikir, berfikir dan berfikir. Dia berfikir dari mana penulisnya mendapat idea bernas sebegitu. Manusia biasa tidak mungkin mendapat idea di luar kotak itu melainkan dengan cara si penulis mengalaminya sendiri.

'Jangan-jangan watak utama dalam cerita ni adalah penulisnya sendiri tak?' soal Ilham di dalam hati.

'Tak mungkin. Kau ni biar betul Ilham. Agak-agaklah.' Ilham cepat-cepat mengusir andaian tidak berasas itu daripada benaknya.

Seperti biasa, cerita yang luar biasa pasti akan menarik pembacanya untuk mengetahui siapa penulisnya. Di sebalik setiap cerita yang menarik, pasti ada penulis hebat yang berdiri di belakang.

Mata Ilham melirik ke arah nama penulisnya. Penulis itu hanya menggunakan nama penanya sahaja. Namanya sendiri tidak mahu didedahkan. Mungkin dia terlalu malu untuk mendedahkan dirinya yang sebenar.

'Ayura Shameiryuu.'

Itulah nama pena yang digunakan penulis itu. Nama pena itu dikunci kemas di dalam peti memorinya. Dia mahu memahatkan nama itu di dalam mindanya. Dia mahu ingat nama penulis yang berjaya memukau Ilham dengan magisnya.


Previous: BAB 25
Next: BAB 27

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.