Home Novel Fantasi Reality Override
BAB 42

FENOMENA UNIK

Sedang Fizri dan Luqman mula bergerak meninggalkan bilik itu, tanpa siapa-siapa sedari, ada seseorang sedang menyelinap masuk ke makmal penyelidikan itu. Dengan pantas tetapi senyap, kelibat lelaki misteri itu mengatur langkah di sebuah koridor serba putih.

Menyedari ada beberapa orang saintis yang melalui koridor itu, kelibat misteri itu terus bersembunyi di balik dinding di hujung koridor yang berhubung dengan dua buah lorong. Dari tempat persembunyiannya, dia mengintai memerhatikan beberapa orang saintis yang berjalan di koridor tersebut.

Nampaknya, saintis-saintis tersebut sedang menuju ke arah tempat persembunyiannya. Akan tetapi, kelibat misteri itu langsung tidak takut keberadaannya di situ akan dikesan. Sebaliknya dia hanya mendiamkan diri sambil memejamkan mata.

Dengan satu hembusan nafas, lelaki misteri itu terus menghilang sejurus sebelum beberapa orang saintis itu sampai di tempat persembunyiannya. Melewati tempat itu, mereka berjalan seperti biasa tanpa apa-apa berlaku.

Sebenarnya kelibat lelaki misteri itu tidak menghilang, tetapi dia tetap ada di situ. Memerhatikan mereka. Sebaliknya, tubuhnya pula menjadi halimunan. Oleh sebab itulah mereka semua tidak nampak kehadiran lelaki misteri itu di situ. Kelibat itu mengekalkan keadaan halimunannya lalu berjalan ke sebuah bilik. Lebih senang untuk dia menyelinap tempat itu.

Disebabkan tubuhnya yang masih halimunan, dia berjalan dengan selamba tanpa perlu risau ditangkap oleh sesiapa. Kelibat halimunan itu berjalan ke sebuah bilik. Dia terus berjalan menembusi dinding bilik tersebut tanpa apa-apa halangan.

Bilik itu sebenarnya merupakan ruang pejabat seseorang. Ada sebuah komputer diletakkan di pejabat itu. Kelibat itu terus berjalan ke arah komputer tersebut lalu menghidupkannya. Dia mengeluarkan sejenis peranti dari dalam poket bajunya. Peranti itu berupa seperti pemacu data.

Komputer itu telah dipasang dengan kata laluan untuk menghalang penceroboh mencuri maklumat di dalamnya. Peranti yang dimasukkan ke dalam komputer tersebut membolehkan kata laluan itu dilepasi. Dalam masa beberapa saat sahaja, jujukan asterisk timbul di bar menandakan kata laluan telah berjaya diperolehi melalui suatu program penggodam yang terdapat di dalam peranti tersebut.

Kelibat itu memulakan operasi mencari beberapa fail yang dikehendakinya. Fail-fail itu turut dipasang dengan kata laluan untuk membukanya. Sekali lagi program penggodam digunakan kelibat itu untuk melepasi kata laluannya. Dia terus menyalin fail-fail yang dikehendakinya ke dalam peranti berbentuk pemacu data itu.

Setelah selesai tugas menyalin dokumen-dokumen tersebut, dia mencabut semula peranti tersebut dari komputer itu. Kemudian, komputer itu turut dipadamkan. Setelah memastikan komputer itu benar-benar terpadam, dia terus bangun lalu mula berjalan meninggalkan bilik itu. Dia harus cepat sebelum keberadaannya di bilik itu dikesan.

Dia tidak boleh berlama-lama membiarkan tubuhnya dalam keadaan halimunan. Dia akan cepat penat kerana keadaan halimunan ini menggunakan tenaga yang banyak. Baru sahaja dia ingin keluar, pintu bilik itu tiba-tiba sahaja terbuka.

Dek terlalu terkejut dan tidak menyangka secepat ini pemilik pejabat itu akan pulang, perlindungan halimunannya menghilang. Dia kembali kepada keadaan normal. Disebabkan kelibat itu tidak sempat melarikan diri, dia hanya duduk sahaja di atas meja di pejabat tersebut. Pasrah menanti apa yang bakal menimpanya.

Zahran melangkah masuk ke dalam pejabatnya. Alangkah terkejutnya dia tatkala mendapati ada tetamu tidak diundang sedang duduk di atas meja sambil berpeluk tubuh. Menayangkan muka selamba.

"Kalau ya pun, boleh tak jangan buat saya terkejut? Boleh sakit jantung lama-lama macam ni," ujar Zahran kepada penceroboh di dalam pejabatnya itu. Dadanya dirurut perlahan demi meredakan gemuruhnya.

"Ala ... prof. macam tak biasa pula dengan saya ni. Apa gunanya kuasa kalau tak digunakan? Lagipun, ini je caranya saya boleh jumpa prof. secara rahsia." Dengan selamba lelaki itu membela tindakannya.

"Kan saya dah pesan, kamu tunggu je kat bilik kamu. Saya akan datang bilik kamu nanti. Macam mana kalau mereka tangkap kamu?" Zahran membalas semula.

"Mereka akan tolong bawa saya ke bilik saya semula. Tak perlu susah-susah menyorok macam ni," jawab lelaki itu dengan selamba.

"Dah, macam mana dengan hasil siasatan kamu? Dapat tak kamu sahkan seorang lagi RO seperti kamu?" pinta Zahran tanpa berlengah.

"Nah, ini data yang prof. mahukan." Lelaki itu menghulurkan sejenis peranti berbentuk sebatang pen kepada Zahran.

"Tentang seorang lagi RO tu ... saya tak sure-lah. Tolong berikan saya satu hari lagi ...."

"Sudah! Saya dah beri kamu masa cukup lama dah. Takpalah, biar saya je yang siasat sendiri," pintas Zahran seperti memarahi lelaki itu. Peranti berbentuk pen itu dirampas kasar daripada tangan lelaki tersebut.

"Okey. Takpa, kalau macam tu. Saya pun penatlah jalankan misi rahsia ni," kata lelaki itu lalu mula melangkah pergi meninggalkan bilik itu.

Zahran memerhatikan sahaja lelaki itu berlalu pergi. Peranti yang berada di dalam tangannya diletakkan di atas meja. Dia terus terhenyak di kerusinya. Lelaki itu sekali lagi menjadi halimunan lalu berjalan keluar menembusi dinding pejabat itu. Di sebalik wajah halimunannya, dia mengukirkan senyuman sinis.

Dengan tubuhnya yang kekal halimunan, dia terus berjalan di koridor serba putih menuju ke biliknya. Tatkala dia sampai di biliknya, kelihatan Fizri telah pun berada di hadapan pintu. Dia sedang mengeluarkan kad matriknya untuk dilalukan di alat pengimbas yang terletak di tepi pintu.

'Alamak, dia dah sampailah!' Dengan kelam-kabut kelibat itu terus berjalan menembusi dinding biliknya lalu terus menuju ke arah katil.

Fizri memandang ke arah tempat lelaki tersebut berada seolah-olah menyedari kehadiran sesuatu. Setelah memastikan tiada apa-apa di situ, dia memandang semula ke hadapan.

Sejurus punggungnya bersentuhan dengan katil, pintu itu terbuka. Fizri melangkah masuk dengan mengukirkan senyuman.

'Ada juga saintis yang mesra dengan subjeknya,' desis hatinya penuh sarkastik. Dia seboleh-bolehnya membuat muka seperti tiada apa-apa yang berlaku.

Fizri terus berjalan menghampiri subjek itu untuk memulakan tugasnya. Mulutnya dibuka untuk memulakan bicara.

"Tak pernah nampak pun kau datang bilik aku?" Namun subjek itu lebih cekap mengeluarkan suaranya.

"Malam ni ada pertukaran tugas sikit," balas saintis muda itu sambil menekan sesuatu pada tablet yang dibawanya.

"Ada sesuatu yang berlaku ke?" Subjek itu mengukirkan senyuman sinis seolah-olah boleh mengagak sesuatu.

Fizri tidak menjawab sebaliknya ralit memerhatikan wajah subjek itu lama.

'Rasa macam pernah nampak muka dia ni, tapi kat mana eh?' soal Fizri di dalam hati.

'Kita baru je berjumpa sebenarnya.' Tiba-tiba ada suatu suara asing menjawab soalannya tanpa dipinta.

Fizri terkejut tetapi bukan sebab suara asing itu. Sebaliknya dia terkejut dengan ayat 'baru berjumpa' itu. Apa maksud di sebalik kata-katanya itu?

"Bila aku boleh keluar ni?"

"Maaflah, saya tak boleh nak jawab soalan tu." Fizri masih ralit menetapkan sesuatu di tablet yang dibawanya.

"Bila aku boleh demonstrate kuasa aku? Dah tak sabar dah ni."

"Nanti, kita kena tunggu sesuatu baru kau boleh mulakan tugasan kau."

"S-209 kan?"

Fizri terkejut mendengar S-209 disebut subjek tersebut. Dia menghentikan seketika perbuatannya lalu memandang ke arah subjek itu dengan mata yang membuntang luas.

'Kau lambat sangat bertindak,' kata subjek itu di dalam hati sambil mengukirkan senyuman sinis ke arah Fizri yang masih terkejut.

***

Ilham melangkah ke arah makmal dengan penuh debaran di dada. Hari ini dia ada satu lagi tugasan sebagai salah seorang yang terlibat dalam program Apprentice Scientist. Dia harus membentangkan dapatannya sepanjang dia terlibat dalam program ini kepada Zahran dan beberapa orang pensyarah yang terlibat dalam program ini.

Pelajar-pelajar lain turut terlibat dalam pembentangan ini. Ilham betul-betul tidak bersedia. Dia tidak tahu apa yang harus disampaikan. Sudahlah dia datang dengan tangan kosong. Kalau boleh, mahu sahaja dia ponteng dalam pembentangan kali ini. Dia tidak sepatutnya menerima tawaran Zahran tempoh hari. Dia berasa menyesal pula dengan keputusan yang dibuatnya sebelum ini.

Bukannya dia tiada masa untuk membuat persediaan. Malah, dia telah diberi tempoh cukup lama untuk membuat persediaan. Fizri sempat mengingatkannya beberapa minggu sebelum tarikh pembentangan.

Walau bagaimanapun, dia tiada bahan untuk dibuat pembentangan. Manakan tidak, dia seringkali ponteng dalam program yang dianjurkan mereka. Dia juga jarang sekali datang ke makmal untuk menyiapkan tugasan yang diberikan. Peristiwa dimarahi dan dimalukan Zahran di hadapan pelajar lain menyebabkan dia terasa serik untuk datang ke makmal.

Sejurus melangkah masuk, Ilham dapat lihat beberapa pelajar lain telah pun berada di dalam makmal tersebut. Fizri turut berada di antara mereka. Luqman dan Zahran turut ada bersama-sama pensyarah yang lain.

Fizri melambai-lambai ke arah Ilham untuk duduk di sisinya. Dia menunjukkan ke arah sebuah kerusi kosong yang berada di sebelahnya. Ilham berjalan lambat-lambat ke arah Fizri. Hatinya terasa berat pula untuk duduk di sisi pelajar bakal doktor falsafah itu. Dia merasakan dirinya tidak layak untuk berada di sisinya.

"Dah prepare slaid belum? Nervous ke?" soal Fizri mesra cuba meredakan gemuruh Ilham.

"Tak," jawab Ilham ringkas sebaik dia duduk di atas kerusi.

"Eh? Tak prepare lagi? Maksud kau memang tak prepare apa-apa lagi ke macam mana?" soal Fizri risau.

"A ... memang tak buat apa-apa slaid pun. Sebab tak tahu nak present apa." Ilham mengalihkan pandangannya ke arah lain daripada terus bertentang mata dengan Fizri. Berasa malu dengan dirinya.

"La ... kenapa tak minta tolong aku? Takpa, takpa. Tak wajib pun buat slaid tu. Kau present je apa-apa yang kau dapat sepanjang kau sertai program ni. Okey? Dah, jangan nervous. Aku ada untuk support kau." Fizri menepuk perlahan bahu Ilham untuk menenangkannya.

"Prof. Zahran ke yang jadi panel penilai? Nampak macam garang je dia tu hari ni." Ilham mengerling ke arah Zahran.

Seorang pelajar yang membuat pembentangan di hadapan sedang dimarahi teruk dengan pensyarah itu. Tertunduk-tunduk dia akibat malu dimarahi di hadapan orang ramai. Fizri ketawa kecil dibuatnya mendengar kata-kata Ilham itu.

"Ala ... buat biasa je Ilham. Takda apa yang perlu ditakutkan. Kau mesti boleh buat punya." Fizri menitipkan kata-kata semangat buat Ilham.

Ilham tidak mempedulikan Fizri yang sedang tidak sudah-sudah menasihatinya. Matanya ralit memerhatikan pelajar di hadapan itu membuat pembentangan. Ilham berpeluk tubuh dalam keadaan menggigil. Mungkin kerana suhu di dalam bilik ini terlampau sejuk. Mungkin juga kerana dia terlalu takut untuk pembentangannya sekejap lagi.

Setelah beberapa minit menunggu, akhirnya tiba juga giliran Ilham untuk membuat pembentangan di hadapan. Dengan langkah yang berat, Ilham berjalan ke hadapan. Semua mata di dalam makmal itu tertumpu ke arahnya. Tidak selesa dia dibuatnya. Berasa segan kerana dia hanya datang dengan tangan kosong ke hadapan.

Setelah berada di hadapan, Zahran melemparkan renungan tajam ke arahnya.

"Ilham, cuba kamu terangkan apa yang kamu faham tentang kaedah saintifik?"

Tanpa menunggu Ilham memulakan ucapannya, Zahran terus sahaja mengajukan soalan yang pertama. Tidak seperti pelajar lain yang dibenarkan untuk membentangkan slaid terlebih dahulu, Ilham langsung tidak diberi peluang.

'Ini tak adil! Aku tak sempat nak intro lagi dah kena tembak dengan soalan,' gerutu Ilham di dalam hati.

'Ilham, kamu boleh buat punya.' Tiba-tiba ada satu suara asing memberi kata-kata semangat buat dirinya. Terus sahaja semangatnya untuk menjawab soalan melonjak naik tatkala mendengar kata-kata semangat itu.

"Kaedah saintifik tu kaedah untuk menentukan kesahihan sesuatu dakwaan dalam Sains melalui langkah-langkah tertentu. Bermula daripada pemerhatian, inferens, hipotesis, eksperimen, data collection, data analysis dan conclusion." Ilham cuba menjawab.

"First step adalah observation, kan? Jadi, kamu tahu kan sejauh mana observation tu penting untuk menentukan kebenaran sesuatu dakwaan dalam Sains? Bagaimana pula dengan dakwaan dalam Sains yang mustahil untuk dilakukan pemerhatian, atau dilakukan eksperimen ke atasnya?" Zahran mengajukan soalan seterusnya.

"Persamaan ... Matematik? Thought experiment? Modelling dan simulation?" Ilham menjawab dalam keadaan teragak-agak.

"Alright. Saya nak tanya pendapat kamu Ilham. Sejauh mana Sains pasca-material tu penting dalam perkembangan ilmu Sains? Kamu rasa, wujud tak fenomena alam selain daripada apa yang mampu diperhatikan manusia?" Zahran melemparkan renungan tajam buat Ilham. Menyebabkan dia bertambah gemuruh dibuatnya.

"Emm ... wujud." Ilham menjawab dalam keadaan teragak-agak.

"Wujud? Macam mana kamu tahu? Sedangkan kamu tak boleh perhatikannya. Kamu tak nampak pun." Zahran membidas jawapan Ilham.

"Saya ...." Ilham tidak mampu meneruskan jawapannya. Dia takut jawapannya akan mengundang kemarahan Zahran.

'Tak ... takkanlah. Macam mana masa kecil dulu aku boleh?' Ilham mula menerbitkan persoalan di benaknya.

"Kamu tahu tentang reproducibility dalam sesebuah eksperimen, kan?" Tanpa menunggu jawapan daripada Ilham, Zahran mengajukan soalan seterusnya.

"Ya. Data yang diperolehi melalui eksperimen harus boleh diulang berkali-kali baru boleh diterima scientific community."

"Bagus. Data yang diperoleh seharusnya boleh diulangi dalam eksperimen-eksperimen lain, kan? Tujuannya kamu tahu apa?"

"Untuk rule out any errors in experiment."

"Jadi, pemerhatian-pemerhatian unik yang diperoleh dalam eksperimen tu cuma sekadar ralat jelah. Bukan disebabkan certain fenomena tu unik dan hanya mampu diperhatikan dalam waktu tertentu?"

"Fenomena unik? Apa maksud prof.?"


Previous: BAB 41
Next: BAB 43

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.