Home Novel Fantasi Reality Override
BAB 11

DARI MANA SUARA ITU DATANG?


Ring! Ring! Ring!

Telefon pintar milik Aira berdering menandakan ada panggilan masuk. Aira yang sedang duduk termangu di atas katil di biliknya terus mengambil telefon pintar tersebut. Skrin telefon pintar itu diperhatikan Aira. Nama ibu saudaranya Zaidah berserta nombornya tertera di skrin. Ikon gagang telefon berwarna hijau disentuh lembut untuk mengangkatnya.

"Hello, mak long! Assalamualaikum," ucap Aira menyambut panggilan telefon itu.

"Waalaikumussalam. Aira apa khabar? Sihat?" sambut Zaidah di hujung talian kedengaran mesra.

"Sihat," balas Aira pendek.

"Aira, macam mana, okey ke? Hari tu, mak long dengar Aira nak...." Zaidah tidak sanggup untuk menyebut perkataan itu.

"Betul, mak long. Hari tu saya nak bunuh diri. Nasib baik mak cepat bertindak, kalau tak, dah takda dah saya kat dunia ni, mak long," terang Aira tanpa sekelumit rasa bersalah.

"Aira, Aira. Lain kali jangan buat macam tu lagi tau! Mak long risau. Ubat kamu tu jangan lupa makan tau. Nasihat Dr. Arif, Aira kena dengar ya," nasihat Zaidah bersungguh-sungguh. Prihatin benar dia akan anak saudaranya itu.

"Yalah, yalah, mak long. Mak long jangan risaulah! Saya okey je kat sini," balas Aira malas. Dia berasa agak rimas dengan sikap prihatin ibu saudaranya itu.

Antara ibunya dan ibu saudaranya, ibu saudaranya lebih prihatin akan keadaan Aira tentang penyakitnya itu. Zaidah lebih banyak mengingatkan Aira untuk menghadiri sesi Psikoterapi dan mengambil ubatnya. Bahkan, Zaidah sendirilah yang sering mengingatkan ibu dan bapanya agar membawa Aira berjumpa dengan Dr. Arif.

"Okeylah, mak long. Saya pun ada banyak kerja sekarang ni. Bye," ucap Aira sebelum memutuskan talian telefonnya.

Aira mengeluh kasar. Berbagai-bagai nasihat diberikan ibu saudaranya tadi, namun segala nasihatnya itu langsung tidak diendahkan Aira. Semua kata-kata nasihat itu seperti masuk telinga kiri keluar telinga kanan, dan masuk telinga kanan keluar telinga kiri sahaja bagi Aira. Kalau ikutkan Aira tidak sesibuk mana pun, cuma dia malas hendak berbual lama dengan ibu saudaranya itu.

"Aku tak sakit, dikatanya aku sakit. Sama je semua orang. Semua kata aku gila. Takda siapa percaya cakap aku," omel Aira di dalam hatinya.

Aira sekarang tinggal bersama ibu dan bapanya sahaja di rumah. Akibat penyakit DID yang dihadapinya bertambah serius, Aira terpaksa menangguhkan pengajiannya buat sementara waktu. Dia terlampau tertekan dengan stigma masyarakat di sekelilingnya mengenai penyakit yang dihidapinya. Disebabkan itu, semua orang bertindak menjauhinya. Semua orang takut dengan personalitinya yang sering berubah secara mendadak.

Semuanya gara-gara suara misteri itu. Ya, suara misteri itu, suara yang dikatakan berpunca daripada halusinasi auditori yang dialaminya. Suara misteri yang sering didengarinya sejak dari kecil lagi.

Suara itu tahu bahaya apa yang bakal menimpa dirinya.

"Aira, hati-hati! Ada orang masukkan paku tekan dalam kasut sekolah kau."

Suara itu mampu menilai sikap sebenar orang di sekelilingnya.

"Aira, dia tu hipokrit. Usah percayakan dia!"

Suara itu tahu siapa yang jujur dan siapa yang berdusta di sekelilingnya.

"Aira, jangan percayakan dia. Dia cuma kawan dengan kau sebab nak tiru kerja sekolah kau je."

"Aira, usah kawan dengan mereka. Mereka semua akan tikam belakang kau juga kelak."

Suara itu tahu segala-galanya. Suara itu memberitahu Aira akan segala-galanya yang orang lain sembunyikan darinya.

Persoalannya di sini, jika benar suara itu hanyalah halusinasi auditori yang dihasilkan mindanya, bagaimana suara itu tahu segala-galanya? Aira sendiri memastikan kebenaran dakwaan setiap kata-kata itu dengan menyaksikan dengan matanya sendiri, bagaimana dia ditikam dan dikhianati rakan-rakannya sendiri.

Malah, setiap kali Aira menerima padahnya akibat berdegil untuk mendengar nasihat suara itu, ia pasti akan membalas dengan kata sindiran yang cukup pedas.

"Aira, sudah kukatakan berkali-kali bukan? Tapi kau degil. Kau enggan percaya kata-kataku ini."

Tidak cukup dengan suara itu, dia seringkali diburu dengan mimpi-mimpi aneh yang memerlukan penafsiran. Mimpi-mimpi aneh yang memberi amaran tentang bahaya yang bakal menimpa dirinya.

Dari mana suara itu datang?

Soalan yang seringkali diajukan Aira tetapi tidak pernah dia ketemu jawapannya. Sedikit sebanyak, suara itu mengganggu ketenteraman kehidupannya lalu rasa ingin tahunya dijentik untuk dia mengetahui dari mana puncanya.

Sungguhpun begitu, dia tidak pernah ketahui jawapan yang ingin dicarinya. Sebaliknya, dia bertemu dengan berbagai-bagai andaian, tanggapan, tafsiran serta persepsi mengenai suara yang dialaminya. Setiap satunya mempunyai hujah tersendiri walaupun kebanyakan daripadanya kedengaran dangkal.

Dalam pemerhatian Aira, ada dua andaian yang paling banyak diungkapkan. Satu lebih cenderung kepada Sains dan Psikologi, manakala satu lagi lebih cenderung untuk menyalahkan jin sebagai puncanya.

Antara banyak-banyak andaian itu, mana satu yang paling betul di antara kesemuanya? Adakah Sains yang betul, atau sebaliknya? Bagaimana Aira mahu menentukan mana satu yang betul? Kesemuanya berdasarkan andaian dan bukti-bukti yang tidak jelas, berserta hujah masing-masing. Setakat ini, tiada satu pun daripada andaian itu mampu meyakinkan Aira. Setakat ini, tiada satu pun andaian itu mampu memberi jawapan yang ingin dicari Aira selama ini.

Sains ada hujahnya tersendiri. Pengamal perubatan Islam juga ada hujahnya tersendiri. Masalahnya, cara berfikir kedua-dua aliran berbeza dari akar umbinya. Jadi, bagaimana mereka akan mendapat titik persefahaman, apatah lagi memberi jawapan yang Aira inginkan?

"Apa? Aira, kau nak aku bagitahu kau siapa sebenarnya aku?" sergah suara itu tiba-tiba. Aira tidak pula terkejut, dia sudah biasa disergah suara itu.

"Hmm...," balas Aira malas. Dia malas melayan kerenah suara itu.

"Berapa kali aku nak cakap dengan kau. Aku adalah kau dan kau adalah aku," beritahu suara itu disusuli dengan ketawa kecil.

Aira memusingkan bola matanya 360 darjah. Malas Aira melayan suara itu yang tidak pernah serius menjawab soalannya. Suara itu tidak pernah memberi jawapan yang diingininya. Atau mungkin suara itu sedang berkata benar, cuma Aira yang menafikannya?

Aira pergi ke arah meja belajarnya. Di atasnya terdapat ubat-ubatan yang dipreskripsikan Dr. Arif kepadanya. Sudah seminggu dia keluar dari hospital sejak dimasukkan hari itu kerana ingin membunuh diri.

Ubat-ubatan itu ditatap Aira dengan penuh rasa benci. Sejak dia balik dari hospital seminggu yang lalu, ubat-ubat itu langsung tidak diusiknya. Dia tidak mahu makan ubat itu. Jika dia mengambilnya bermakna dia percaya yang diri dia sakit. Bermakna dia memilih Psikologi sebagai jawapannya. Bermakna dia memang gila selama ini dan suara itu cumalah halusinasi yang dihasilkan mindanya sahaja. Sedangkan Aira sendiri masih tidak tahu jawapannya.

Ubat-ubat itu ditolak Aira dengan kasar sekali. Habis kesemuanya bertaburan di atas lantai.

"Berapa kali aku cakap yang aku tak sakit!" omel Aira di dalam hatinya.

"Jawapannya tak semestinya dalam Psikologi," bicara suara itu secara tiba-tiba. Nada suaranya kedengaran lain daripada yang sebelum ini. Jika sebelum ini, suara itu kedengaran nyaring dan keanak-anakan, tetapi kali ini suara itu bernada lebih serius.

"Apa maksud kau?" Semakin lama semakin pelik apa yang suara itu katakan.

"Bukan apa, aku taknak kau jadi terlalu anti dengan Sains sebagaimana mak bapak kau dulu. Jawapan dalam Sains tak semestinya dalam Psikologi. Bidang Sains ni luas, masih banyak lagi yang perlu kau terokai dalam Sains." Sempat lagi suara itu memerli ibu dan bapanya ketika berbicara.

Aira meraup wajahnya. Pening sudah memikirkan apa maksud di sebalik setiap kata-kata suara itu.

"Jadi, kau nak suruh aku buat apa sekarang ni? Suruh aku cari jawapannya dalam Sains? Aku kena belajar Sains ke?"

"Ya." Ringkas sahaja jawapan suara itu.

"Aira!" panggil ibunya yang telah pun berada di muka pintu sekaligus menghentikan dialog di antara Aira dengan suara itu.

"Ya, mak!" sahut Aira lalu menoleh ke muka pintu. Dia cuba mengukirkan senyuman plastik demi menyembunyikan resah yang bersarang di hatinya. Dia berharap ibunya tidak mengesyaki apa-apa.

Tanpa dipelawa, Badrina terus masuk ke bilik Aira. Terkejut Badrina dibuatnya tatkala melihat ubat-ubatan yang bertaburan di atas lantai. Terus dia bongkok untuk mengutip ubat-ubat tersebut.

"Aira, kenapa ni? Aira ke yang jatuhkan ubat-ubat ni semua?" soal Badrina mula mengesyaki sesuatu.

Aira yang berpura-pura sedari tadi terus membantu ibunya mengutip semula ubat-ubat yang berselerakan di atas lantai.

"Taklah mak. Tadi tah macam mana, Aira nak ambil barang atas meja lepastu terlanggar pula ubat-ubat ni semua," bohong Aira. Dia cuba menyembunyikannya sekalipun dia tahu lambat-laun kepura-puraannya itu akan terbongkar jua.

Ubat-ubat yang dikutip tadi diletakkan semula di atas meja.

"Aira, jangan nak bohong dengan mak. Mak tahu kamu berbohong. Aira, janganlah macam ni. Kami semua sayangkan Aira. Kami semua nak Aira sihat semula. Jadi, Aira kenalah dengar cakap mak, cakap Dr. Arif, yeh?" pujuk ibunya dengan lembut. Tangannya diletakkan di atas bahu Aira.

Lembut sahaja tutur kata Badrina. Tidak seperti sebelum ini, semasa dia masih lagi percaya akan teori konspirasi. Kasar benar tutur bicaranya. Keras benar hatinya. Akan tetapi, segalanya berubah selepas peristiwa itu. Pada waktu itu, barulah dia sedar akan kesilapannya selama ini. Sungguh, dia telah menzalimi anaknya sendiri yang sepatutnya menjadi tanggungjawabnya bukan diperlakukan seperti tikus makmal.

Dia telah berubah. Kali ini Badrina nekad untuk menjaga anak perempuannya, Aira Syafira dengan penuh tanggungjawab.

Walau bagaimanapun, semuanya telah terlambat. Nasi sudah menjadi bubur. Aira sudah tawar hati hatta dengan ahli keluarganya sendiri pun. Berat benar bagi Aira untuk memaafkan perbuatan mereka berdua. Lagipun, ada seseorang atau sesuatu yang menghalang Aira selama ini untuk menghulurkan kemaafan.

"Yalah tu sayang. Kalau sayang kenapa perjudikan kesihatan anak kau sendiri dengan teori mengarut yang berlegar di Internet?" soal satu suara bernada sinis dalam kotak fikiran Aira. Dengan selamba dia memerli ibu Aira.

Aira hanya menatap wajah ibunya penuh makna. Langsung dia tidak membalas kata-kata ibunya. Dia takut jika dia bersuara sekarang dia tidak akan mampu mengawal emosinya saat ini. Soalan berbaur sindiran daripada suara itu betul-betul menggoncangkan emosinya. Mahu sahaja dia meletup jika dia terus diasak oleh suara itu.

Pernah sekali Aira melepaskan kemarahannya begitu sahaja di hadapan rakan-rakan sekelasnya suatu ketika dahulu. Pada waktu itu, suara di dalam mindanya mendedahkan segala apa yang diumpatkan rakan-rakannya di belakang Aira. Malah, Aira boleh dengar dengan jelas umpatan rakan-rakannya dalam mindanya. Hatinya rasa bagai dihiris-hiris di kala dia mendengar umpatan itu semua. Suara itu pula terus-menerus mendedahkannya. Suara itu seperti sengaja mencetus pergolakan emosi Aira.

"Aira dengar tak cakap mak ni?" Soalan ibunya menyentakkan lamunan Aira.

"Ah, dengar. Yalah, mak. Nanti Aira akan makan ubat ni. Mak jangan risau, okey?" balas Aira seperti tidak ikhlas. Tujuan dia berkata sebegitu hanyalah untuk meredakan kerisauan yang bersarang di hati ibunya kala ini.

"Mak sayangkan Aira. Makan tau ubat ni. Jangan miss pula. Nasihat Dr. Arif pun Aira kena dengar tau," pesan Badrina lagi.

Aira hanya mengangguk perlahan. Bosan mendengarnya berkali-kali. Bagi Aira, dia merasakan seperti ibunya sedang meleterinya saat ini. Dia betul-betul rimas diingatkan berkali-kali. Setelah habis berpesan, Badrina terus melangkah keluar dari bilik Aira. Aira pula terus menarik nafas lega. Lega sungguh tatkala melihat ibunya keluar dari bilik.

***

Jari-jemari Aira sedang menari di atas papan kekunci. Aksara-aksara yang muncul di skrin komputer disusun membentuk perkataan, sebelum perkataan itu disusun membentuk ayat. Ayat yang terbentuk dikesinambungkan dengan ayat seterusnya lalu terhasillah sebuah cerita.

Aira menukilkan sebuah cerita khas untuk meluahkan segala apa yang dirasanya melalui penulisan. Hanya itu sahaja cara untuk dia meluahkan segalanya walaupun dia tidak mengharap siapa-siapa pun faham akan masalahnya. Sudah puas dia cuba menerangkan segalanya tetapi tiada siapa faham.

Di media sosial, Aira berhadapan dengan berbagai-bagai pendapat, andaian dan persepsi mengenai suara yang dialaminya. Cara mereka berbicara seolah-olah mereka tahu segala-galanya walhal mereka tidak tahu apa-apa pun.

Sedikit sebanyak, keadaan ini menimbulkan rasa jengkel Aira terhadap pendapat para netizen yang berlegar di media sosial. Analisisnya cetek. Hujahnya dangkal. Dengan pandangan yang cetek dan persepsi hitam putih, maka terhasillah hujah dangkal yang ditegakkan seolah-olah pendapat mereka itu kebenaran mutlak, walhal hakikatnya mereka cuma menegakkan benang yang basah sahaja.

Sudah. Aira sudah penat mencari jawapannya melalui Internet dan media sosial. Salah dia sendiri kerana menjadikan mereka sebagai sumber rujukan. Bukan apa, dia tiada pilihan. Apalagi sumber yang dia ada. Kesan daripada konflik melanda di wilayah yang mereka duduki, Aira berasa sulit untuk mencari bahan bacaan lagi.

Kedua-dua pihak bertelagah. Masing-masing mahu menegakkan benang yang basah. Akhirnya Aira terperangkap di persimpangan perselisihan pendapat. Antara kiri dan kanan, atas dan bawah, hadapan dan belakang, utara dan selatan, timur dan barat, Aira sudah tidak tahu ke mana lagi harus dia membawa dirinya untuk mencari jawapannya.

Justeru itu, bagaimana lagi harus dia mencari jawapannya? Bagaimana dia mampu merungkaikan kekusutan yang bersarang di benaknya sejak sekian lama?

Akhirnya, Aira membuat keputusan untuk menukilkan sebuah cerita. Cerita rekaan berasaskan realiti yang digarap dengan teknik penceritaan yang sesuai, diperisakan dengan imaginasi mengikut citarasanya dan disaluti dengan pelbagai spekulasi dan persepsi yang mengelirukan. Sekurang-kurangnya, ceritanya itu mampu menghiburkan orang lain. Itu pun jika mereka berminat membaca cerita anehnya. Jika tidak pun, cerita nukilannya ini akan menjadi penghibur buat hati yang gundah gulana.

Dia tidak mengharapkan sebuah jawapan atau seseorang yang mampu memahaminya. Dia sudah penat mengharap. Dia tidak mahu dirudung rasa kecewa dek terlalu mengharap. Biarlah ceritanya ini menimbulkan berbagai-bagai spekulasi dari para pembaca.

Kenapa Aira memilih untuk menulis cerita? Pertama sebab dia ada bakat menulis. Kedua sebab dia suka bercerita dan mereka cerita. Kedua-duanya telah menjadi hobinya sejak dia di bangku sekolah lagi.

Sedang Aira sibuk menaip, tiba-tiba sahaja dia disergah suara itu lagi.

"Aira, cuba kau tengok berita sekarang. Ada sesuatu yang menariklah."

"Apa lagilah yang kau nak? Aku nak menulis pun tak senang," marah Aira, berang kerana diganggu semasa dia sedang sibuk menulis. Pantang benar bagi Aira orang mengganggunya menulis.

"Ianya ada kaitan dengan kau juga kelak. Cuba kau tengok," kata suara itu lagi.

"Ada kaitan?" Jari-jemarinya yang sibuk menaip terhenti serta-merta tatkala mendengar apa yang diberitahu suara itu. Perkataan ada kaitan itu menarik perhatiannya.

Pantas Aira bangun untuk berjalan keluar dari biliknya. Kakinya melangkah laju ke ruang tamu untuk menonton berita seperti yang disuruh suara itu. Pada waktu itu, ibu dan bapanya sedang menonton berita di televisyen. Aira terus melabuhkan punggungnya di sebuah sofa di ruang tamu rumahnya.

Di skrin televisyen, Aira dapat lihat ada gambar empat orang yang kelihatan sebaya dengan dirinya. Tiga daripadanya lelaki sementara seorang lagi perempuan.

"Kenapa dengan mereka, ayah?" soal Aira tidak tahu-menahu akan apa yang sedang disiarkan berita tersebut.

"Mereka semua hilang. Dipercayai kena culik dengan pengganas ILF," jelas Kamal.

"Hilang?" soal Aira di dalam hati. Kerutan di dahinya terbentuk.

"Kenapa Aira?" soal Kamal tatkala mendapati Aira seperti memikirkan sesuatu.

"Takda apa-apalah," balas Aira cuba menyembunyikan perasaannya.



Previous: BAB 10
Next: BAB 12

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.