Home Novel Fantasi Reality Override
BAB 20

BUKAN SEKADAR HALUSINASI

'Aira, bangun, Aira!' Panggilan daripada suara itu menyedarkan Aira daripada lenanya.

Perlahan-lahan Aira membuka matanya. Kepalanya masih terasa sakit. Pandangannya yang kabur pada mula-mula beransur jelas lalu menampakkan suasana di sekitarnya. Pemandangan siling bilik yang kelihatan asing menjamah pandangan matanya.

'Eh, kat mana ni?' soal Aira sambil mengerutkan dahinya.

'Kau kat tempat di mana kau boleh cari jawapannya,' jawab suara itu dalam bentuk teka-teki.

Walaupun tubuhnya masih terasa lemah, Aira cuba ingin bangkit daripada pembaringannya. Mata Aira melilau ke segenap ruang dalam bilik tempat dia tersedar itu. Dilihatnya seluruh ruang dalam bilik itu kesemuanya berwarna putih, daripada siling, lantai sehinggalah ke dinding.

Tidak banyak perabot yang berada di dalam bilik itu. Apa yang ada cumalah sebuah meja dan kerusi, sebuah almari dan sebuah katil tempat dia sedang duduk sekarang. Kesemua perabot itu berwarna putih. Cadar, selimut dan bantal yang ada di atas katilnya juga turut berwarna putih. Aira menilik pula keadaan dirinya. Sepasang baju yang membaluti tubuhnya juga turut berwarna putih.

Kepala Aira menoleh ke kiri dan kanan, mencari ke mana perginya kelibat sang jendela. Akan tetapi, apa yang dilihatnya hanyalah dinding bercat putih melitupi segenap ruang dalam bilik serba putih itu berserta sebuah pintu yang nampaknya hanya boleh dibuka dari luar sahaja.

'Aik? Bilik ni langsung takda tingkap ke?' soal Aira setelah habis menilik segenap inci ruang dalam bilik itu.

Tiba-tiba pintu bilik itu terbuka, mengejutkan lamunan Aira. Spontan Aira menoleh ke arah pintu untuk melihat siapakah gerangannya yang datang ke bilik itu. Kelihatan seorang lelaki lengkap memakai kot makmal melangkah masuk ke biliknya. Daripada gayanya dia nampak seperti seorang doktor atau saintis.

Melihatkan Aira yang sudah tersedar, terus senyuman diukir di bibir lelaki itu. Walau bagaimanapun, Aira langsung tidak berasa tertarik dengan senyuman yang dihadiahkan lelaki itu. Sebaliknya rasa takut terus menyerang kalbu saat si lelaki kian mendekat di katilnya. Perlahan-lahan Aira mengengsotkan tubuhnya ke dinding bilik, tatkala lelaki itu berdiri di sebelah katilnya.

"Nampaknya kamu dah sedar, Subjek 179," ujar lelaki itu membuka bicara.

Mendengarkan ungkapan 'Subjek 179', mengertilah Aira bahawa dia sekarang menjadi subjek ujikaji. Lelaki di hadapannya ini pula berkemungkinan besar salah seorang saintis di makmal penyelidikan ini. Dia kelihatan sedang menekan-nekan sesuatu di atas skrin tablet yang dibawanya bersama. Matanya tertancap pada skrin tablet, langsung tidak memandang Aira.

"Saya Dr. Akmal. Saya in-charge kamu sepanjang kamu berada di sini. Jadi, saya harap kamu sudi beri kerjasama untuk memudahkan kerja kami. Itu kalau kamu taknak dikenakan tindakanlah." Lelaki yang memperkenalkan dirinya sebagai Dr. Akmal itu memberi amaran di hujung bicaranya.

"Mac...." Aira ingin mengajukan soalan tetapi telah dipintas terlebih dahulu oleh Dr. Akmal.

"Saya akan ajukan kamu beberapa soalan. Tolong jawab soalan saya ni dengan jujur, okey?" soal Dr. Akmal meminta kerjasama daripada Aira.

"Hmm," balas Aira acuh tidak acuh. Merasakan apa yang dipinta saintis itu menyusahkannya.

"Nama kamu Aira Syafira Binti Kamal, kan?" soal Dr. Akmal sebagai permulaan.

"Ya."

"Kamu sebelum ni pernah didiagnos menghidap DID, bukan?" Aira menelan liurnya mendengar soalan yang diajukan Dr. Akmal kepadanya. Matanya turut terbeliak. Terkejut mendengar soalan yang terpacul daripada mulut Dr. Akmal.

"Subjek 179?" panggil Dr. Akmal meminta perhatiannya.

"Kenapa doktor nak tahu sangat pasal tu?" Aira membalas soalan dengan soalan.

"Jawab soalan saya ni. Ya atau tidak?" Tegas Dr. Akmal menyoal.

"Kalau doktor dah tahu kenapa bertanya lagi?" Aira cuba bermain tarik tali.

"Subjek 179, sila beri kerjasama!" Dr. Akmal menegaskan suaranya.

"Aku ada namalah! Nama aku Aira, Aira Syafira." Aira mula meninggikan suaranya. Berang dengan saintis itu yang tidak habis-habis memanggilnya dengan gelaran sebegitu.

"Baiklah, Cik Aira Syafira, kalau awak taknak dikenakan apa-apa tindakan, lebih baik awak beri kerjasama." Sekali lagi Dr. Akmal memberi amaran dengan nada tegas. Aira hanya membalas amaran itu dengan renungan tajam. Langsung tidak gentar akan amaran itu.

"Kamu boleh mendengar suara-suara yang datang dari dalam diri kamu, kan? Sekarang, cuba kamu bagitahu saya apa yang suara tu selalu cakapkan dengan kamu. Adakah dia telah meramalkan akan kedatangan kamu ke sini? Ada suara tu bagitahu apa-apa maklumat mengenai kami? Atau...."

Dr. Akmal merapatkan tubuhnya ke arah Aira, "Dia sedang bercakap dengan kamu sekarang? Apa yang suara tu sedang katakan?" Dengan nada yang sengaja direndahkan di hujung bicaranya. Membuatkan Aira berasa gementar mendengar soalan itu.

'Dia bertanya tentang kami ke?'

Tiba-tiba sahaja suara dalam mindanya berbicara. Suara itu seakan-akan mengerti bahawa Dr. Akmal sedang bertanyakan tentang mereka. Suara itu membahasakan diri sebagai kami menunjukkan betapa banyaknya personaliti yang timbul. Meriding bulu roma Aira dibuatnya.

'Aira, dia sengaja memanggil kami keluar nampaknya.' Suara itu berbicara lagi dalam minda Aira, membuatkan si gadis mula berasa tidak selesa.

'Apa yang dia ni mahukan sebenarnya?' soal Aira di dalam hati kepada suara itu.

'Seperti yang kau sedia maklum, kau tahukan yang aku ini sebahagian daripada diri kau. Aku adalah kau dan kau adalah aku. Aku adalah manifestasi daripada kuasa yang kau miliki,' terang suara itu.

'Hah? Apa maksud kau? Aku tak faham.' Aira tidak mengerti.

'Kuasalah. Yalah, yang selama ini kau mampu meneroka personaliti orang lain melaluiku. Yang selama ini memberi amaran akan bahaya yang bakal menimpa kau melalui bayangan dalam mimpi. Itu bukan kuasa semua tu. Selama ini kau tak perasankah? Habis tu selama ni kau sangkakan aku cuma halusinasi yang dihasilkan minda kaukah? Dan mimpi-mimpi itu semua mainan tidur. Kalau begitu, kenapa semua yang aku ceritakan menjadi realiti?' Suara itu sengaja menduga Aira.

'Itu semua ... itu semua ... bukan sekadar halusinasi? Dan bukan sekadar mimpi? Kenapa selama ni aku tak perasan?'

Aira seperti tersedar daripada lena yang panjang tatkala menyedari hakikat itu. Masa dirasakan ibarat berhenti. Suasana hening menemani diri. Soalan yang diajukan Dr. Akmal tadi dibiarkan lama tidak berjawab.

"Cik Aira Syafira, kamu tak apa-apa?" soal Dr. Akmal setelah mendapati perubahan pada riak wajah Aira.

Aira tidak menjawab. Otaknya mula berserabut. Kepalanya ditundukkan lalu dipegang dengan kedua-dua tangannya. Saat itu baru dia menyedari bahawa dia sedang tidak bertudung sekarang. Pantas kepalanya menoleh untuk mencari apa-apa yang boleh menggantikan tudung untuk menutup kepalanya. Walau bagaimana sekalipun, auratnya harus dijaga.

"Kamu tak apa-apa?" soal Dr. Akmal yang mula panik melihat perubahan tingkah Aira secara tiba-tiba.

Dia cuba merapati tubuh Aira dan memegang gadis itu. Akan tetapi si gadis pantas menepis tangan saintis itu. Matanya menangkap kelibat selimut yang masih berlonggok di atas katil. Pantas tangannya mencapai selimut itu lalu menyelimuti tubuhnya sendiri lalu membelakangi Dr. Akmal.

"Aira...." Dr. Akmal baru ingin memanggil Aira tetapi pantas dipintas gadis itu terlebih dahulu.

"Pergi!" teriak Aira yang sudah pun bersembunyi di balik gumpalan selimut.

Menyedari akan situasi itu, Dr. Akmal terus berundur sedikit ke belakang lalu menekan peranti komunikasi yang dipasang di telinganya.

"Kenapa selama ni aku tak perasan langsung? Kenapa selama ni aku tak sedar akan hakikat ni? Apa yang aku fikirkan selama ni? Mati-matian aku ingatkan yang aku selama ni berhalusinasi. Ya, doktor itu, doktor itu yang membuatkan aku keliru selama ni." Aira mula memarahi dirinya sendiri dari dalam selimut.

Suaranya boleh didengari Dr. Akmal yang masih berdiri di sisi katilnya.

"Subjek 179 tak stabil. Sila datang ke bilik ni segera." Tegas Dr. Akmal memberi arahan.

Tidak berapa lama kemudian, beberapa orang staf pantas masuk ke bilik Aira. Mereka terus menghampiri tubuh Aira yang masih berbungkus dengan selimut.

"Pergi! Biarkan aku di sini! Jangan ganggu aku!" teriak Aira sambil meronta-ronta tatkala tubuhnya cuba dipegang.

Dr. Akmal pula sudah bersedia untuk memberi ubat penenang kepada Aira untuk menidurkan gadis itu. Dengan bersusah-payah, tubuh Aira dibaringkan di atas katilnya. Dengan bersusah-payah juga Aira meronta untuk melepaskan dirinya.

Tatkala ubat penenang itu sudah meresap masuk ke salur darahnya, tubuh Aira lambat-lambat menghentikan rontaannya. Beberapa staf yang menahan tubuhnya di atas katil terus melepaskan pegangan masing-masing, setelah yakin Aira benar-benar telah pengsan.

Dr. Akmal menyelimuti tubuh Aira sambil berkata, "Rehatlah dulu. Esok ada banyak eksperimen yang perlu kami jalankan ke atas kamu."

Saintis itu kemudiannya terus berlalu pergi meninggalkan bilik itu. Membiarkan Aira terlena dibuai mimpi. Tanpa diketahuinya, ada seorang lagi Aira yang tersedar memerhatikan saintis itu sedari tadi, meskipun secara fizikalnya Aira telah tidak sedarkan dirinya.

'Kau sedang mencari aku ke?' soal persona Aira itu sambil mengukirkan senyuman sinis di bibirnya.

'Apa yang pasti, permainan ini akan menjadi menarik.'

***

Universiti Eurasia Kampus Nusantara

Kelihatan Syafiyah sedang menyandar di dinding seorang diri sambil melepaskan keluhan. Wajahnya muram. Otaknya sudah menerawang jauh, mengimbas kembali memorinya beberapa hari yang lalu, iaitu ketika hari pertama dia mendaftarkan diri di universiti ini.

"Ala, awak first year lagi ke? Saya ingatkan kita satu kelas, memandangkan kita ni sebaya. Awak bukan 22 juga ke?" soal Syafiyah kedengaran kecewa.

Zalfa yang mendengar soalan itu pula kelihatan tidak berminat langsung untuk melayan Syafiyah. Walaupun tubuhnya sedang berdiri di hadapan Syafiyah, tetapi mindanya sudah menerawang ke tempat lain. Otaknya ligat memikirkan sesuatu.

"Zalfa? Awak okey ke?" soal Syafiyah menyedari ada sesuatu yang dirisaukan gadis itu.

Zalfa tidak membalas. Mindanya masih berada di tempat lain.

"Zalfa?" panggil Syafiyah lagi sekali. Meminta perhatian gadis itu.

"Ha? Ya. Ah, saya ... saya memang ... 22 ... tahun. Kenapa?" balas Zalfa teragak-agak. Dia nampak tidak bersedia untuk menjawab soalan itu.

"Tapi kenapa awak masuk first year balik?"

Mendengarkan soalan itu, menyebabkan lidah Zalfa menjadi kelu untuk menjawab. Dia tidak tahu bagaimana dia harus menceritakan kepada kawan barunya itu. Kemungkinan besar, kawan barunya itu tidak akan faham dan percaya jika dia berterus-terang menceritakan segala-galanya.

Dia sebenarnya terpaksa mengambil kursus ini. Dia tidak berminat pun sebenarnya untuk masuk ke universiti ini. Lagipun, dia tahu dia tidak layak. Setahunya, universiti ini cuma untuk pelajar genius sahaja. Akan tetapi dia terpaksa, demi menyalamatkan dua orang abangnya yang sampai sekarang tidak diketahui nasibnya.

"Zalfa, kenapa awak nampak sedih ni?" soal Syafiyah prihatin.

"Takda apa-apalah." Zalfa cuba mengukirkan senyuman plastik, cuba menyembunyikan kekusutan yang sedang dihadapinya sekarang.

"Fiya!" Panggilan mesra daripada seseorang yang amat dikenalinya itu mematikan lamunan si gadis.

Pantas Syafiyah tertinjau-tinjau ke arah kerumunan orang ramai yang berada di sekelilingnya, mencari kelibat si pemanggil.

"Hai, Fiya!" sergah Marisa dari arah belakang.

Terhenjut seketika bahu Syafiyah mendengar sergahan itu menyapa gegendang telinganya. Terus Syafiyah berpaling. Marisa dilihat sedang tersengih seperti kerang busuk. Raimi yang berdiri di sisi pula kelihatan ralit memerhatikan persekitarannya. Ada kerisauan yang dipamerkan pada riaknya. Tingkah Raimi itu mengundang tanda tanya di benak Syafiyah.

"Raimi, apa yang awak perhatikan tu?" soal Syafiyah ingin tahu.

"Entah, dari semalam dia macam ni." Marisa turut berkongsi rasa ingin tahunya.

Raimi tidak menjawab, sebaliknya mata pemuda itu masih meliliau ke segenap ruang, seakan-akan mencari sesuatu atau seseorang. Setelah beberapa ketika mendiamkan diri, barulah dia membuka mulutnya untuk bersuara.

"Aku rasa tak berapa selamatlah kita berbual kat sini. Jom pergi cari tempat lain yang lebih tersorok." Hanya bisikan yang keluar daripada mulutnya.

Raimi terus mengatur langkahnya meninggalkan tempat itu. Marisa dan Syafiyah yang tidak faham akan apa yang dimaksudkan Raimi hanya mampu akur menuruti langkah rakan mereka.

***

Raimi melabuh duduk di bawah sebuah pohon rendang yang terletak di sebuah lokasi agak terpencil dalam universiti itu. Hanya kelihatan kelibat beberapa orang pelajar universiti sahaja di kawasan itu. Marisa dan Syafiyah memilih untuk berdiri sahaja. Tidak mahu mengotorkan baju masing-masing.

"Raimi, apa yang mustahak sangat sampai kau ajak kami pergi tempat terpencil ni?" soal Marisa yang sudah tidak sabar-sabar menunggu penjelasan daripada Raimi.

"Korang berdua tak perasan ke ada sesuatu yang pelik dengan universiti ni?" jawab Raimi dalam bentuk soalan.

Marisa dan Syafiyah saling berpandangan sebelum kembali memandang ke arah Raimi. "Apa dia?" soal mereka berdua hampir serentak.

"Korang perasan tak, kat universiti ni ada banyak askar Eurasia berkawal kat sekitar kawasan ni," balas Raimi.

"Perasan. Tapi apa mereka buat kat dalam kawasan universiti ni? Korang tahu tak?" balas Syafiyah pula.

"Tulah yang aku nak tanya ni," sampuk Raimi pula.

"Ah ... mungkin sebab takut ada pengganas kot...." Marisa cuba membuat andaian. Cuba mengusir jauh-jauh rasa tidak sedap yang singgah di benak.

"Ha, pengganas? Mereka sendiri pengganas," sampuk Raimi sinis sambil menyepetkan matanya.

"Berbalik kepada topik. Aku rasa pelik pula bila tengok askar-askar tu berkawal kat kawasan universiti ni. Macam ada sesuatu yang disembunyikan mereka di universiti ni." Raimi pula mula membuat andaian.

"Kau biar betul, Raimi. Ah ... tak mungkinlah." Marisa seboleh-bolehnya tidak mahu berfikir yang bukan-bukan.

Syafiyah pula hanya mampu mendiamkan diri. Rasa galau mula menyerang kalbu. Dalam otaknya, dia turut memikirkan perkara yang sama.

"Marisa!" panggil Raimi yang tiba-tiba bangkit daripada duduknya. Dia terus berjalan menjauhi mereka berdua lalu membuat isyarat kepada Marisa untuk menghampirinya. Syafiyah pula hanya memerhati. Dia faham jika kedua-dua sahabatnya itu memerlukan masa untuk bersendirian.

"Kenapa?" soal Marisa, ingin mengetahui apa sebab dia dipanggil ke situ.

"Kau berhati-hati tau. Kuasa mind reading kau tu jangan guna selalu sangat. Jangan sampai nampak obvious sangat kuasa kau tu," pesan Raimi dengan riak wajah serius.

"Okey. Kau jangan risau Raimi."

"Aku risau mereka akan bertindak jika mereka tahu pasal rahsia kita." Raimi menzahirkan kerisauannya.


Previous: BAB 19
Next: BAB 21

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.