Home Novel Komedi/Romantik Komedi BICARA CINTA TERTANGGUH
Bab 4

BERSUNGGUH-SUNGGUH Aida ketawa setelah mendengar cerita Suriya tentang Luqman Haqim. Cerita Suriya membuatkan dia merasa teringin benar mahu berjumpa lelaki itu. Benar-benar maniskah senyuman lelaki bernama Luqman itu? Tahap diabeteskah? Suriya kawannya ini bagaikan berantakan hatinya diusik si penjual sayur. Hebat! Hebat benar lelaki bernama Luqman itu.

“Eh, kau curilah gambar dia.” Aida memberikan idea.

“Kau gila! Mahu retak telefon aku nanti.” Suriya menggeleng. Tidak mahu. Tidak sanggup. Kalau tertangkap dek Luqman, lelaki itu pasti membuat kenduri untuk seluruh warga pasar. Malu seumur hidup.

Aida ketawa di hujung talian. Retak konon. Sudah hampir setengah jam mereka berbual dan sepanjang perbualan mereka itu, entah berapa banyak kali nama Luqman disebut oleh Suriya. Tidak terkira. Macam setiap saat saja disebut, dicanang oleh Suriya.

“Eh Suriya kau tahu tak, aku rasa bila kau sebut nama dia aje macam seolah-olah kau ada semangat baru aje. Macam ada bunga-bunga cinta aje. Macam penuh pelangi aje.” Aida mengusik.

“Aku pulak rasa, macam ada orang nak kena sepak aje.” Suriya laju membalas dan Aida menyambung ketawa. Gila ganas Suriya dibuatnya kerana angkara Luqman.

“Jangan menyampah orang wei. Nanti hati tu terbalik, buat kuak lentang...langsung naik pelamin.” Aida mengingatkan. Bukankah itu yang selalu orang katakan. Dari benci menjadi cinta lalu mengikat takdir untuk jodoh bersama?

“Argh kau pun sama sengal macam dia.” Suriya merasa geram. Mahu mengadu supaya mendapat rakan sokongan namun Aida pula seperti seronok mentertawakan saja. Sah, pagar yang membawa rebah. Pagar jenis kayu yang sudah dimamah anai-anai.

“Kau kata dia ada gigi taring?”

“Ya. Aku rasa malam-malam dia jadi ‘vampire’.” Sesuka hati Suriya membuat telahan dan kemudiannya ketawa.

“Argh...habis tu kau dah kena gigit ke? Berapa kali?”

“Kau gila ke apa?” Terkejut Suriya mendengar soalan Aida. Ingat dia ini apa? Semudah itu menyerahkan batang lehernya untuk dihisap darah? Dijauhkan.

“Manalah tahu.” Aida gelihati apabila disergah sebegitu. Nampaknya memang Suriya naik angin dengan Luqman ini. Jarang Suriya naik angin hanya kerana seorang lelaki yang tidak dikenali. Sekali lagi Aida terasa yang Luqman ini memang hebat.

“Aku rasa nak ke KL lah. Prof Safiah nak jumpa.”

Di hujung talian, Aida sudah menjerit. Gembira.

“Dah kenapa kau jerit-jerit ni? Aku baru ada kat sini tujuh hari.” Suriya menegur Aida. Memang baru seminggu pun. Bukan sebulan tetapi yalah, mereka sudah biasa hidup bersama. Tiga tahun sama-sama belajar di KDU. Dan tidak dapat dinafikan, Aidalah yang banyak menolong dirinya selama dia merantau di Kuala Lumpur. Keluarga Aida juga sudah dianggap seperti keluarga sendiri. Memang nasib dirinya, menumpang kasih orang lain. Menumpang kasih dengan Mak Jah. Menumpang kasih dengan keluarga Aida tetapi terbuang dari keluarga sendiri.

“Rindulah. Dahlah bila telefon pulak, kau asyik cerita pasal orang lain. Bukan nak tanya khabar aku.” Aida pura-pura merajuk.

“Ngada-ngadalah kau.”

“Kau bawak kereta?” tanya Aida penuh teruja.

“Taklah. Nak naik bas aje. Kau ambik aku kat TBS?”

“Boleh-boleh. Selagi aku tak naik kerja.” Aida bersetuju.

“Kau serius tak nak sambung belajar?”

“Tak naklah. Kalau sambung pun, kena tolong syarikat ayah aku ni jugak. Baik aku kerja sekarang dari siksa otak aku yang tentu-tentu bukan kategori genius macam kau.” Aida membalas. Yakin sudah dengan keputusan yang dibuatnya itu ketika mereka habis minggu peperiksaan tempohari.

“Genius apanya.” Suriya merendah diri.

“Prof nak suruh kau jadi tutor dia ke? Macam yang dia ajak hari tu eh?’ tanya Aida. Antara dia dengan Suriya, memang kawannya itu lebih bagus keputusannya. Anak emas para pensyarah. Dia setakat anak gangsa saja. Bolehlah setakat mahu hidup.

“Aku tak buat keputusan lagi.”

“Kau tak balik rumah ayah kau lagi ke?” Nada suara Aida mengendur. Seboleh mungkin memang dia mengelak berbincang tentang isu keluarga dengan Suriya namun sebagai kawan, dia perlu juga memberikan nasihat apabila perlu dan jika bersesuaian.

“Dia orang tak ada kat sini. Cuti ke Turki katanya.”

“Oh.” Rasa kasihan melimpahi hati Aida. Ke Turki sekeluarga kecuali Suriya. Kasihan sungguh temannya ini.

“Eh, oklah. Kirim salam ibu ayah kau. Nanti aku bagitahu bas pukul berapa ya.” Suriya mahu menghentikan perbualan. Telefon pun sudah terasa panas. Kredit pun pasti akan jadi nyawa-nyawa ikan.

“Jangan lupa...curi gambar dia.” Aida mengingatkan.

“Jangan mimpi.”

“Curilah. Nak jugak tengok.” Aida masih mahu memujuk.

“Nanti kalau terpikatkan susah. Jadi, tak payah ok.” Suriya menolak.

“Kau takut siapa yang terpikat ni? Aku ke engkau?” soal Aida dengan laju.

Disergah dengan soalan sebegitu, Suriya jadi terdiam. Apa yang dia katakan tadi ya? Jadi lupa. Inilah padahnya jika bercakap ikut sedap mulut saja. Jenis tiada insurans. Bahaya. Baik berundur. Baik diam. Nanti Aida jadikan modal untuk 44 hari yang akan datang. Aniaya namanya. Mari reka alasan.

“Mak Jah panggil aku. Nanti jumpa, kita cerita panjang-panjang.”

Talian dimatikan sebelum Aida mampu melancarkan satu lagi serangan dan Suriya menarik nafas lega. Kenapa tiba-tiba wajah Luqman datang dalam fikiran? Kesan karipapkah? Argh, jangan mengarut. Masa makan tempohari dia ada membaca bismillah. Haru betul. Jangan percaya benda yang mengarut, Suriya.

PERUT yang kenyang diusap. Sarapan yang mudah tetapi memang terasa seperti di syurga. Lempeng bercicah sambal tumis dan kari daging lebihan lauk semalam. Lama-lama duduk di sini memang sajalah menambah kolestrol. Suriya memandang dapur yang sudah dibersihkan. Pinggan mangkuk pun sudah dilap. Mata mengerling ke dinding. Baru jam 7.30pagi. Kalau zaman belajar dulu, ini memang waktu tidur lagi. Kini, dia sudah terbiasa bangun pagi.

Dia menjejak Mak Jah yang sudah keluar ari dapur. Dia melihat Mak Jah sedang duduk di ruang tamu dan di tangannya sedang sibuk mengira duit.

“Wah, pagi-pagi dah buka bank ya?”

Mak Jah tersenyum.

“Jadi nak ke KL esok?”

“Jadi. Ke sana dua, tiga hari rasanya.”

“Kalau macam tu, nanti tolong pergi belikan barang dapur di pasar.”

Mendengar perkataan pasar itu pun, perut yang kenyang terasa menggelodak. Hati jadi tidak keruan.

“Suri pergi kedai runcit aje boleh?”

“Mak Jah nak suruh bayarkan duit pada Luqman jugak.” Mak Jah menghulurkan sampul yang berisi duit.

“Masuk lalu bank tak boleh ke?” tanya Suriya dengan harapan untuk mengelak. Dan dia melihat Mak Jah menjeling. Alahai Mak Jah. Belum pukul lapan pagi, takkanlah sudah mahu merajuk!

“Hari tu, Luqman dulukan duit derma nak bina masjid untuk Mak Jah. Ni baru Mak Jah ada duit nak pulang. Suri tolonglah pergi pulangkan ya. Tak sedap pulak hati bila hutang lama-lama.” Mak Jah menerangkan.

Tak nak. Itulah jawapan yang terbit di kepala Suriya namun rasa bersalah mengatasi segala rasa kekejaman yang ada. Maka akhirnya tanpa rela, kepala diangguk.

“Mak Jah suruh bayar duit Luqman, bukannya suruh suruh Suri kahwin dengan dia.” Selamba Mak Jah bersuara apabila melihat wajah Suriya yang sejauh lima kilometer pun dapat dilihat ketidakikhlasannya.

Amboi. Berdesing telinga mendengar sindiran Mak Jah. Mahu tidak mahu ke pasarlah destinasinya pagi ini nampaknya. Mahu pakai perisai besikah? Tak apa. Sampai di pasar nanti, kalau jumpa orang yang dia kenal...upah saja untuk serahkan pada Luqman. Suriya terasa mahu ketawa. Kan Aida kata, dia ada otak yang genius? Maka gunalah kepandaian itu ke jalan yang betul.

“Dah kenapa senyum sorang-sorang? Berangan ke?” tanya Mak Jah.

“Hisy Mak Jah ni. Berangan apa pukul lapan pagi ni?”

Mak Jah mencebik.

“Mak Jah ni lebih dulu makan garam.”

Dan Suriya pun ketawa.

“Tak bermakna Mak Jah ada darah tinggi.” Cepat-cepat Mak Jah memepertahankan diri. Rekod kesihatannya memang bagus.

“Ya, Suri tahu Mak Jah ni sihat dan kuat. Apa kata Mak Jah ikut ke pasar sekali? Jum!” Suriya melancarkan strateginya yang kedua.

“Lupa ya? Kan ada rewang dekat rumah Mak Limah tu. Aqiqah untuk cucu dia lepas Zuhur nanti.” Mak Jah mengingatkan.

“Oh...” Suriya membalas. Argh, punah harapan.

“Nanti nak pergi tak?”

Suriya menggeleng. Dirinya belum bersih lagi. Dan dia melihat Mak Jah sudah bangun dan mencapai tudung.

“Kunci rumah, jangan kunci hati.”

“Apa Mak Jah?” Suriya bertanya namun Mak Jah hanya senyum dan mencapai beg kecilnya pula. Memberi salam dan terkedek-kedek keluar dari rumah. Cis, Mak Jah masih sempat menyindir dirinya lagi. Jangan kunci hati ya. Bukan setakat kunci, hati Suri ni dah lama tak berpintu. Maksudnya tiada jalan masuk wahai, Mak Jah!

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.

Karya lain oleh Lynn Dayana