Home Novel Komedi/Romantik Komedi BICARA CINTA TERTANGGUH
Bab 20

BUNGKUSAN sayur itu diletakkan di atas meja. Kerusi ditarik dan Luqman memandang Mak Jah dengan hati yang berdebar. Mahu tanya atau tidak. Rasa malu ada. Rasa ingin tahu pun ada. Sepanjang perjalanan ke sini pun dia memang mengatur skrip tetapi melihat wajah Mak Jah hilang segala ayat. Kalau dia mencari makan dengan menjadi pelakon, pasti hujung bulan boleh makan bubur kosong saja. Gagal!

“Dah kenapa ni?”

Luqman menggeleng. Bibir cuba dimaniskan dengan senyuman tetapi dapat dirasakan seperti kelat saja rasanya.

“Ni sayur yang Mak Jah mintak. Pucuk manis tak adalah Mak Jah. Saya bagi pucuk labu ok? Boleh jugak masak lemak. Yang ni Hairul dah siangkan sekali.” Luqman memberitahu.

“Amboi, rajinnya Hairul.”

“Saya yang suruh.”

Mak Jah tersengih. Memang dia malas sedikit mahu menyiang daun pucuk labu. Berbulu dan perlu digosok-gosok untuk membuang bulu tersebut. Ambil masa untuk menguruskannya tetapi bila dimasak memang sedap. Dikawankan dengan sambal belacan, ikan kembung goreng dan sambal belacan, memanglah boleh bertambah nasi di dalam pinggan.

“Kamu ni Luqman, baik sangat dengan mak cik. Kalau ya pun kamu kejar Suri...” Mak Jah menegur. Dia membuka tudung saji dan menghulurkan piring berisi bingka bakar yang dibuatnya malam tadi kerana Irma yang mengidam.

“Tak ada Suri pun, saya sanggup buat apa aje untuk Mak Jah. Mak Jah kan dah macam mak saya jugak.” Luqman membalas dengan ikhlas.

Jawapan itu membuatkan Mak Jah menoleh dan merenung wajah anak muda itu. Lain macam sahaja nada suara. Macam orang patah hati ada juga. Macam kecewa sengsara ada juga. Gelas berisi air sirap pula Mak Jah letakkan di hadapan Luqman. Biar hati Luqman tenang sedikit.

“Cakap, apa yang ada dalam kepala kamu tu.”

Luqman tersengih.

“Ya, mak cik ni dah makan garam banyak.”

Kini, Luqman ketawa. Bersama Mak Jah dia memang tidak pandai mahu berahsia. Mak Jah pun ada genetik pegawai perisik. Mahu disembunyikan pun, sekejap sahaja rahsia bukan lagi rahsia.

“Suri ada cerita apa-apa ke Mak Jah?” tanya Luqman perlahan.

“Cerita apa? Kamu ada buat benda tak baik kat dia ke?”

“Astaghfirullah. Mana ada saya buat macam tu. Tidak dulu, tidak sekarang dan tidak akan datang.” Luqman memberitahu dengan jelas. Niat dia kepada Suriya itu ikhlas. Tiada niat yang tidak baik.

Mak Jah hanya ketawa. Baru ditekan sedikit, Luqman sudah kelam kabut.

“Mak Jah ni sengaja nak keringkan darah saya.”

“Ayah Suriya nak jodohkan dia dengan calon ayahnya. Tu pun kalau Suri tu...tak ada calon sesiapa sekarang ni.” Mak Jah memecahkan rahsia.

“Alamak.”

“Ya, alamak.”

“Siapa calonnya?”

“Tua sikit dari Suri. 30an umurnya. Tapi berharta dan kerjayanya stabil.”

Serta merta Luqman merasakan air sirap yang diminum sebentar tadi seperti racun sahaja rasanya. Kuih bingka pula terasa hambar. Argh, kenapa tiba-tiba ada calon pula? Kacau daun sungguh. Perkataan berharta itu membuatkan dirinya goyah juga. Kerjaya stabil? Lagilah hatinya jadi kacau bilau. Dia ini penjual sayur. Berjaya macam mana pun akan tetap dikenali sebagai penjual sayur.

“Suri kenal ke siapa lelaki tu?”

“Tak.”

“Habis tu Mak Jah setuju? Sanggup buat Suri macam tu. Sanggup tengok saya kecewa?” Nada suara Luqman penuh dengan rasa kecewa.

Mak Jah mengangkat keningnya. Demam ke budak ni? Namun Mak Jah tenang sahaja. Dia faham keadaan hati Luqman sekarang. Pasti berdegup dengan pantas. Pasti berantakan.

“Suri tu walaupun dah macam anak Mak Jah, Luq kena ingat...dia masih ada ayah dan mak. Masih ada wali yang sah. Mahu tidak mahu, Suri kena ikut kata keluarga dia.” Mak Jah menerangkan dengan lembut. Dia tidak mahu Luqman lupa walaupun dia sangat berharap hubungan di antara Suriya dan Luqman itu menjadi, keluarga Suriya tidak boleh di letak ke tepi dengan mudah.

“Maafkan saya Mak Jah. Maafkan saya.” Luqman beristighfar. Malu kerana mengikut kata hati dan terlupa makna perkataan hormat.

“Minum air tu.” Mak Jah menyuruh dan melihat Luqman mengikut kata-katanya.

“Terima kasih. Saya balik dululah Mak Jah.”

“Kamu ada pesanan lagi ke nak hantar?” tanya Mak Jah.

Luqman menggeleng.

“Duduk, mak cik ada cara nak pikat Suri dan nak elak dari Suri dikahwinkan dengan calon ayahnya.” Mak Jah memberitahu dengan senyuman yang manis. Luqman laju menghayun langkah ke meja. Tarik kerusi dan duduk semula. Tidak kiralah rancangan yang macam mana asalkan ada idea-idea yang boleh digunakan.

“Sambil tu kopek bawang ni.” Mak Jah menyerahkan pisau dan mangkuk kecil.

“Ala Mak Jah, nanti saya hantar bawang. Saya suruh Hairul kopekkan sekarang jugak.” Sebaik sahaja bersuara dan melihat jelingan mata Mak Jah, Luqman terus insaf. Dia mencapai pisau dan mengopek bawang. Jangan gelojoh sangat Luqman. Kau lelaki yang ada kualiti. Kena jaga imej. Minda separa sedar mengingatkan diri. Imej apa ya, kalau tengah kopek bawang dan mata sudah mula pedih. Ada juga orang nampak dia menangis di dapur Mak Jah ini. Aniaya sungguh.

“Suri tak ada teman lelaki. Betul?” soal Mak Jah.

“Betul.”

“Tapi dia tak nak kahwin dengan calon ayah dia. Betul?”

“Betul.”

Mak Jah mengangkat sebiji cili padi dan menunjukkan ke depan mata Luqman.

“Ini cili. Cili memang pedas tapi kalau tak digunakan macam mana orang nak tahu pedas ke tak.” Mak Jah menyambung lagi.

“Erk...betul?” Luqman pula yang bertanya. Keliru pula dengan analogi Mak Jah.

“Memanglah aku cakap benda betul. Hisy budak ni.” Mak Jah sudah naik angin. Jelas benar fikiran Luqman bercelaru.

“Maksud Mak Jah?”

“Ayah Suri kata kalau Suri ada calon, dia tak akan ganggu.”

“Oh...patutlah tiba-tiba mesej Suri pada saya lain bunyinya.” Luqman di dalam hati mengutuk Latif. Cis, tekaan Latif benar nampaknya. Suriya mahu main api.

“Bunyi yang lain macam mana tu?” tanya Mak Jah.

“Macam biasanya bunyi lagu rock tapi malam tadi tiba-tiba bunyi macam klasik nasional. Mendayu aje.” Luqman membuat perbandingan lalu ketawa. Lalu menangis pula. Berapa banyak bawang perlu digunakan untuk memasak pucuk labu?

“Dahlah bawang tu. Bukan nak kenduri.” Mak Jah terasa mahu ketawa melihat Luqman yang merah matanya.

“Mak Jah nak saya pura-pura jadi kekasih Suri?”

“Dalam masa yang sama, kamu buatlah Suri jatuh cinta dengan kamu.” Mak Jah memberikan ideanya.

“Tapi pada masa yang sama kita biarkan Suri fikir, dialah raja dalam permainan ni?”

Mak Jah mengangguk dan senyum. Luqman ikut senyum sama. Suriya mahu jadi raja, dia mahu jadi apa? Tuan Direktor?

“Terima kasih Mak Jah. Esok saya hantar pucuk manis ya. Kalau tak ada kat pasar tu, saya cari kat tempat lain.” Luqman membuat janji. Rasa mahu dipeluk saja wanita tua ini. Kalau harapkan dirinya, dia sudah buntu apabila tiba-tiba diduga begini.

“InsyaALLAH kita akan berjaya.” Mak Jah membalas. Melambaikan tangan melihat Luqman yang jauh beza rupa wajahnya jika dibandingkan ketika datang tadi. Langkah anak muda itu nampak lebih bertenaga, penuh semangat dan bagai satria muda. Mak Jah menggeleng perlahan. Dirinya ini mahu menjadi Dewi Cintakah?

Suriya tidak tahu yang dia sudah lama makan garam. Sudah arif dengan tingkah laku anak gadis itu. Namun di dalam rasa lega itu, fikiran Mak Jah melayang jauh juga kepada Haji Firdaus dan isterinya Hajah Nani. Bagaimana kalau mereka berkeras mahu menjodohkan Suriya dengan pilihan mereka? Haji Firdaus itu mungkin boleh diajak berbincang. Hajah Nani? Wanita itu hatinya sangat keras. Lebih-lebih lagi jika tentang Suriya. Segala-galanya pun akan sentiasa nampak tidak kena.

Berdoa yang baik-baik sahaja. Mak Jah mengingatkan diri. Itu senjata kita sebagai hamba-NYA yang banyak rencana tetapi perlu meminta belas kasihan DIA agar menunaikan apa yang kita impikan.

Previous: Bab 19
Next: bab 21

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.

Karya lain oleh Lynn Dayana