Home Novel Komedi/Romantik Komedi BICARA CINTA TERTANGGUH
Bab 22

HARI ini hari cuti dan Suriya bermalasan saja di rumah. Kakinya terasa lenguh kerana majlis semalam. Kalau boleh mahu tidur sehingga matahari tinggi tetapi tidak sedap hati pula. Suriya bangun dan melihat wajahnya di cermin. Matanya sedikit bengkak. Hisy, membazir betul. Buat apalah dia memikirkan tentang Hajah Nani yang tentu-tentu tidak pernah memikirkan tentang dirinya. Sungguh membazir emosi dan perasaan.

Suriya mencapai getah rambut dan mengikat rambutnya dengan kemas. Tolong Mak Jah apa yang patut lagi bagus. Dia melangkah ke dapur sambil menyanyi perlahan. Entah kenapa lagu baru nyanyian Hazama bertajuk Malaikat itu asyik bermain di dalam mindanya. Mungkin kerana liriknya yang puitis dan romantik.

Tuhanku

Kamu tolonglah hantarkan kepadanya

Malaikat untuk jaganya bila ku tiada

Tunaikan semua permintaannya kerna

Ku cintanya sungguh-sungguh

“Dah bangun? Mak Jah ingat nak tidur sampai bulan Syabaan.” Selamba saja Mak Jah menyindir.

“Kalau bangun masa tu ada cabutan bertuah ya?” usik Suriya sambil ketawa. Dia menarik kerusi dan duduk berdekatan dengan Mak Jah.

“Kamu tu yang bertuah.”

“Amin...” Suriya meraup kedua tangannya ke muka.

“Ada Luqman telefon kamu?”

“Hisy, mana ada.” Suriya menggeleng. Namun dalam menggeleng, teringat pula mesejnya tempohari. Sampai sekarang malunya masih terasa. Baru dia mahu melapangkan hati, nama Luqman pula disebut oleh Mak Jah.

“Kamu tak suka Luqman sebab dia jual sayur saja ya?” tanya Mak Jah.

Suri menoleh dan menggeleng. Terperanjat dengan pertanyaan itu.

"Habis tu kenapa? Luqman tak cukup handsome?"

"Mak Jah...sebab dia handsome la saya tak nak. Penat tau nanti kalau ramai yg kejar dia." Suriya menjawab selamba sambil senyum. Siapa kata Luqman tidak tampan? Masalahnya hati yang degil ini bukan memilih cinta kerana paras rupa sahaja. Dan yang paling penting, dia masih muda. Masih baru menempuh alam kerja. Ada banyak lagi perkara yang dia tidak lakukan lagi.

"La... Itu yang kamu takutkan?" Mak Jah menggeleng kepala beberapa kali.

Tiba-tiba Luqman masuk ke dapur. Dia mengambil pisau, garpu, gunting dan kapak di kabinet Mak Jah. Semua itu dilonggokkan ke depan Suriya.

"Erk....nak buat apa ni." Terkejut Suriya. Pucat wajahnya. Mamat ni datang dari mana? Pari-pari ke apa. Tiba-tiba muncul menjelma dan tahu pula kedudukan peralatan Mak Jah.

"Buatlah apa yg Suri suka. Cucuk ke mata saya, kapak sebelah telinga...atau kelar pipi ni. Suri kan tak suka dgn wajah ciptaan ALLAH untuk saya." Luqman menjawab. Sebenarnya tiada niat mahu menelinga pun perbualan di antara Suriya dan Mak Jah. Hanya kebetulan dia mahu menghantar kuih yang dikirim oleh emak Hairul untuk Mak Jah. Terdengar namanya disebut Mak Jah, kakinya terhenti di balik pintu.

Suriya terasa tangannya menggigil. Tidak pasti di antara perasaan marah dengan geram. Tidak cukupkah masalah yang dihadapinya semenjak dari semalam?

"Cepatlah..." Luqman menghulur pisau.

"Jangan nak buat drama kat sini." Suriya membalas. Mukanya terasa merah membara. Malu disoal sebegitu di depan Mak Jah. Macam slot Akasia sahaja. Pagi-pagi sudah ada drama. Slot Akasia pukul tujuh petanglah!

"Jadi janganlah bagi alasan yang tak adil untuk saya. Kalau ada 1000 yg kejar tapi hati saya pada Suri...tetap tak jadi apakan?"

Suriya diam. Awak tak faham, Luqman. Hati saya ini bukan untuk dimiliki. Namun dia berdiam sahaja. Biar Luqman tenang sendiri.

“Luqman... dahlah. Tak elok gaduh pagi-pagi macam ni. Petang ni kamu pergi ke masjid? Kita jumpa kat sana.” Mak Jah meredakan keadaan.

Luqman memberikan salam dan melangkah pergi. Dipandangnya wajah Suriya sekilas. Tidak dapat dia meneka apa yang ada di dalam hati gadis itu. Wajahnya nampak keras walaupun matanya sedikit bengkak. Silap dia. Apabila Nisa mengatakan Suriya semalam menangis, dia teruja mahu tahu mengapa. Nisa juga memberitahu ada pelanggan yang nampak berminat dengan Suriya, lagilah dia seriau. Ya ALLAH, kenapalah dengan dirinya ini. Luqman beristighfar beberapa kali. Masa untuk tarik brek dan kemas kini keadaan. Suriya kan raja dalam permainan ini. Dia cuma Tuan Direktor di belakang tabir sahaja.

SUASANA dapur itu sepi sahaja. Mak Jah meneruskan kerjanya menyediakan rencah untuk makanan tengahari nanti. Dibiarkan Suriya larut di dalam perasaannya sendiri. Perlahan-lahan dia melihat Suriya mencapai penyapu di tepi pintu luar. Dia buat dah. Suriya kalau di dalam keadaan kusut, memang suka mengemas.

“Mak Jah, kenapa tu?” Irma yang baru balik dari aktiviti sekolahnya datang bertanya.

“Mana ada apa-apa.”

“Mak Jah, daun rambutan tu tak banyak pun kat atas tanah. Mak Jah nampak tak apa yang Irma nampak ni?” Irma tidak percaya dengan jawapan Mak Jah.

Mak Jah menjengah dari tingkap. Oh TUHAN, Suriya sedang menggegar dahan pokok rambutan supaya daun kering berguguran. Supaya dia boleh tenangkan diri dengan menyapu?

“Itu teknik kalau nak rasa ala-ala musim luruh.” Mak Jah memberikan alasan.

“Hah?” Irma melopong mulutnya. Siapa yang tidak waras? Suriya? Mak Jah? Atau dirinya. Rasanya semasa bermain bola jaring tadi tidaklah pula bola itu ada menghentam kepalanya. Bingung sungguh.

“Lagi satu, tadi Irma nampak, abang Luq dalam kereta tepi jalan sana tengah hentak-hentak stereng beberapa kali. Bila nampak Irma, dia angkat tangan dan barulah bawak kereta laju. Kelirunya.” Irma bercerita.

Pukul stereng kereta? Mak Jah terasa mahu ketawa. Baguslah tu. Seorang gegar pokok rambutan dan seorang lagi hentak stereng kereta. Kan dah kata, mereka ini serasi. Mak Jah senyum meleret.

“Mak Jah nak buat mihun sup aje tengahari ni. Nak buat sambal kicap kebabom. Irma tolong petik cili ya.”

“Ok.” Irma mengikut sahaja walaupun masih lagi tidak faham apa yang berlaku. Dia mencapai mangkuk dan plastik cili api. Dipandangnya sekilas ke arah Suriya yang masih menyapu di laman rumah. Bersungguh-sungguh nampaknya. Penuh fokus, khusyuk dan tawaduk. Kuat istiqamah Suriya!

“Mak Jah, cili ni nak berapa banyak?”

“200 biji.”

“Hah? 200?” Irma terkejut. Pertama, siapa pula yang mahu mengira satu persatu cili padi ini. Kedua, mahu mencili siapa? Apasal isi rumah ini nampak bingung sahaja. Terkena jangkitan kumankah?

Mak Jah ketawa.

“Agak-agak ajelah Irma. Petang ni kita ke masjid. Kan ada kenduri.” Mak Jah memberitahu.

“Ok.” Irma segera memetik cili. Lama di sini, entah apa lagilah arahan pelik yang akan diterima. Takut nanti, dia pun tersampuk menggoncang dahan pokok rambutan atau menghentak stereng kereta sampai lebam. Argh, seram! Lecehnya menjadi orang dewasa.

Banyak masalah, banyak bingungnya.

DIA ingat dia siapa? Suka-suka dengar perbualan orang. Suka-suka unjuk pisau suruh lukakan tubuh dia. Kalau benar mahu buat, buat apa kelar pipi? Tikam terus. Tepat nun di jantung. Suriya dadanya berapi. Pokok ni pun satu, kenapa tak ada daun kering? Dah laman ni bersih sangat, apa yang nak disapu? Perit tangan menggegar dahan rambutan itu, yang luruh tidak sampai sepuluh helai. Sungguh tidak berbaloi.

Suriya meletakkan penyapu. Kini dia duduk menghadap pasu Mak Jah. Rumput-rumput yang tumbuh dicabutnya. Terbayang seperti mencabut kepala Luqman. Puasnya hati. Namun rasa puas itu tidak lama. Sebentar sahaja. Selepas lima belas minit, semua pasu sudah bebas dari rumput, Suriya merasa geram kembali.

“Kak Suri, telefon. Kak Aida.” Irma datang menghampirinya.

“Oi, kata Irma kau jadi tukang kebun? Kau cari duit tambah ke? Nak pergi haji cepat eh?” Aida di hujung talian mengusik.

“Aku stres.”

“Erk...”

“Aku mengalami kemurungan yang melampau.”

“Adoi, chill babe. Tenang...tenang.” Aida cuba menasihatkan.

“Aku nak bunuh orang. Bukan seorang tapi dua, tiga orang.” Suriya masih lagi di dalam mood mahu merapu. Main cakap aje dengan apa dia mahu cakapkan tanpa langsung berfikir.

“Kau jangan, kalau FBI rakam perbualan kita ni, boleh masuk penjara.” Aida menegur. Nada suaranya serius sahaja.

“FBI?”

“Ha...lah. CIA ke... Nasa ke? Bahaya tu kawan.” Aida pula yang merapu sambil cuba menahan tawa.

“Kau ingat kita di Amerika? Yang ada kat sini cuma Nasi goreng USA aje. Kadang-kadang nama je USA tapi rasa macam Ulu Shah Alam.” Suriya menyergah Aida. Ingatkan dia yang tidak waras, cis...Aida lagi tidak waras. Karut betul.

“Bercerita tentang Shah Alam, masa aku ke sana semalam, aku terserempak dengan ayah kau.” Aida menukar cerita.

“Habis tu?” Dada Suriya jadi berdebar dengan kuat.

“Dia tanya aku, kau ada cerita tak kalau-kalau kau dah ada kekasih.”

“Uwa....aku nak nangis ni. Apahal ayah aku tanya satu dunia ni pasal aku ada sesiapa ke tak? Baik umum aje kat Nan Yang Siang Pau tu...” Suriya sudah menjerit stres.

“Sabar, sabar.”

“Kau tahukan, aku tak nak kahwin lagi?”

Aida diam seketika. Tahu itu memanglah tahu tetapi kalau jodoh sudah sampai, bagaimana? Mahu tolak guna apa? Bukan ada kuasa magis!

“Mhmm, yang aku tahu kau kena cari sorang mamat untuk jadi kekasih kaulah supaya dia tak kacau kau.” Aida memberikan ideanya yang bernas.

“Aku mana ada kawan dengan mana-mana mamat.” Suriya sudah kembali tidak waras. Ingat senang mahu menyuruh orang berlakon watak kekasih? Kalau lelaki itu tidak bijak, pasti kantoi.

“Luqman?”

Nama yang disebutkan oleh Aida itu membuatkan Suriya terasa mahu pengsan. Tiada nama lainkah?

“Aku baru gaduh dengan dia.” Perlahan sahaja nada suara Suriya memberitahu.

“Bagus, kau tu tak boleh tengok keadaan cuaca dulu ke sebelum gaduh dengan orang? Sekarang baik kau pujuk dia.” Aida mengeluarkan titah perintah dengan nada suara yang garang.

“Ala...malu.”

“Kau ada calon lain?”

“Aku boleh kata kekasih aku ada di luar negeri.” Suriya mendapat idea baru. Ok apa. Boleh guna idea yang genius ini tetapi mampukah dia menipu?

“Luqman.” Aida menyebut lagi nama itu. Kali ini bunyinya lebih menggoda pula.

“Dia dah tak suka aku.”

“Luqman.”

Suriya terasa mahu mengangkat pasu bunga yang ada disebelahnya dan menghentak kepala. Aida ini tiada nama lainkah? Stres! Sebut berulang kali nama yang sama, mahu buat apa?

“Cari dan pujuk Luqman. Kalau ayah kau tengok muka Luqman tu, dia mesti dapat rasa cinta Luqman yang melimpah ruah untuk kau tu. Pasti tak kantoi. Kau tahu kenapa? Sebab dia pelakon yang semulajadi cintakan kau. Cari dia. Aku nak sambung tidur. Da!” Aida mematikan talian sebelum Suriya meroyan lagi.

Hampeh! Itu yang terbit di dalam fikiran Suriya. Dan bunyi mesej pun masuk.

Aku sayang kau walaupun kau rasa aku ni hampeh. Cari Luqman!

Cis Aida! Macam tahu-tahu sahaja apa yang dibebelkannya. Suriya terasa dunianya gelap seketika. Hilang sudah warna merah, ungu, biru dan kuning. Yang tinggal, hitam dan kelabu.

Previous: bab 21
Next: bab 23

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.

Karya lain oleh Lynn Dayana