Home Novel Komedi/Romantik Komedi BICARA CINTA TERTANGGUH
Bab 7

TISU dicapai. Mulut dilap dan kembali mengunyah. Sedap, memang sedap. Ok, sedikit lembik dan sudah kurang rangup kerana popia itu sudah dimasak awal pagi tadi tapi perisanya masih sedap. Aida mengunyah dengan penuh nikmat.

“Kau tak nak rasa ke? Sedap ni.”

Suriya mencebik.

“Jangan tolak rezeki.”

Suriya menelan air liur. Aida bangun dari tempat duduknya dan mengeluarkan mangkuk dari ketuhar gelombang mikro itu. Serta merta haruman daun pandan dari nasi lemak itu dapat dihidu. Diambil pula sambal tumis udang. Memang nampak sungguh menyelerakan. Aida mengambil dua pinggan kecil.

“Kau makanlah. Lepas kau kenyang, tolong bagitahu aku kat mana mi segera.” Suriya menyindir. Perutnya yang kelaparan dan Aida yang seronok bersantap. Sungguhlah jenis tuan rumah yang tidak menghormati tetamu!

“Makanlah ni. Kenapa? Kau takut dia letak apa-apa?” Aida membalas.

“Mana ada.”

“Habis tu? Makanlah. Aku cabar kau.” Aida mengangkat keningnya.

Dicabar begitu, Suriya mencapai sudu dan membaca bismillah lalu menyuap nasi lemak itu. Aduh, sedap. Sambal udang? Sedap juga. Dan dia mendengar Aida ketawa. Menghina dialah tu! Namun kerana lapar, Suriya tidak peduli.

“Kau sedar tak apa yang kau dah buat ni?” Aida menepuk meja dengan kuat.

“Apa dia?” tanya Suriya lalu meletakkan sudu ke dalam pinggan. Sebentar tadi beria menyuruhnya makan. Mencabar gaya pahlawan dan kini menepuk-nepuk meja pula. Sengal sungguh kawannya ini.

“Kalau betul Luqman ada letak apa-apa...” Aida tersengih-sengih tidak menghabiskan kata-katanya.

“Kau ni...” marah Suriya. Aida ini memang potong selera betul.

“Kita akan jadi madu.”

Dan nasi tersembur keluar dari mulut Suriya. Bertaburan di atas meja. Aida melopong mulutnya dan kembali ketawa. Suriya mencapai gelas air sejuk. Perit tekaknya. Kejam betul manusia yang bernama kawan ini. Sengaja mahu mendera dirinya.

“Kau fikir aku tak sesuai jadi madu kau ya?” tanya Aida.

“Dijauhkan...” balas Suriya. Aida ini memang tidak sayang mulut. Dia mencapai tisu dan mengelap meja. Mengutip butiran nasi. Sungguh merugikan hasil titik peluh petani. Ketika tangan Aida mencapai kek cawan itu, Suriya mengetuk tangan Aida.

“Kedekut!”

“Jangan nak berangan. Ni aku punya.” Suriya menjegilkan mata.

“Kau rasa, bahagian tengah kek tu ada cincin tak?” tanya Aida dengan wajah yang penuh mimpi.

“Apa dah jadi dengan kau ni? Berangan tak sudah. Dah gatal nak kahwin ke?” sergah Suriya.

“Ada sempat curi gambar dia tak? Janganlah kedekut. Bagilah aku tengok.” Aida meminta dengan membuat muka kasihan.

“Tak adalah.” Suriya menggeleng. Melihat wajah pun tidak dan Aida pula yang naik angau dengan Luqman. Melampau betul. Sungguh tidak masuk dek akal. Atau mungkin popia itu sudah ada kesan yang ketara?

PERBUALAN beralih ke bilik Aida selepas Suriya membersihkan diri dan menunaikan solat. Rambutnya yang panjang dilap dengan menggunakan tuala. Aida kelihatannya sedang sibuk melayari laman dinding FB.

“Siapa tu?” tanya Suriya.

“Gila seksi eh?”

“Siapa?”

“Ni lah kekasih baru Iqram.” Aida tersengih dan melihat wajah Suriya jadi masam. Siapa suruh tanya? Diberikan jawapan, ada hati yang tidak suka.

“Tak cukup kain.” Suriya menegur. Bukan tahap tidak cukup satu sentimeter, ini macam kes tidak cukup lima, enam meter.

“Kau nak tengok satu lagi gambar tak?” tanya Aida.

“Kalau gambar tu hanya kurangkan pahala aku yang tak banyak mana, baik kau...”

Dan belum habis ayat dilafazkan, terpapar di skrin gadis itu sedang mencium pipi Iqram. Suriya tidak tahu siapa yang mahu dimarah? Aidakah atau Iqram yang makin hilang haluan? Mungkin juga si sengal itu yang tidak cukup kain dan tanpa silu memeluk anak teruna orang dengan erat?

“Kau ni sajakan...” Suriya mendengus marah. Telefon yang diletakkan di atas meja, dicapai. Ada mesej. Membaca mesej itu dan terpaku.

Harapannya bila orang tu dah sampai sana, kirimlah berita...tapi hampa.

Erk, ada janjikah mahu mengirim berita? Sah, Mak Jah memandai-mandai telah memberikan nombor telefonnya kepada Luqman. Ini bermakna bermulalah episod haru birunya. Argh, pedulikan. Dia sibuk.

“Siapa? Mak Jah?” tanya Aida.

“Buah hati Mak Jah.” Suriya meletakkan telefon dan menggantung tuala di rak penyidai.

“Wah, jeles aku. Mak Jah pun ada buah hati. Kita ni?”

“Kau ni mengarutlah. Maksud aku, Luqman lah.”

Serta merta Aida bangun dan mendekati Suriya. Teruja mahu membaca mesej itu. Mesti best. Mesti seronok.

“Jangan kedekut. Bagilah aku baca. Dia tulis apa?”

“Huh.”

“Kau ni...”

Suriya duduk di atas lantai. Tubuhnya disandarkan ke katil dan tangan mencapai majalah yang ada.

“Rimaslah. Kau tak rasa rimas ke? Tempat duduk pun siap belikan lebih supaya tak ada orang lain duduk sebelah aku. Psiko tau.” Suriya membalas.

“Dia prihatin tentang keselamatan kau. Bayangkan kalau tadi yang duduk sebelah kau tu kaki raba? Tak aniaya?” Aida memberikan buah fikirannya.

“Jangan over dramatik boleh?”

“Atau lelaki yang ketiak masam...sanggup?” Aida sudah ketawa lagi.

“Mengarut ah.”

Aida merenung wajah Suriya. Degil binti tak mahu dengar kata betul kawannya ini. Semakin hari, semakin tidak sabar dia mahu berjumpa dengan Luqman. Lelaki yang unik itu ingin ditatap wajahnya.

“Dia seorang yang bersikap melindungi.” Aida membuat kesimpulan.

Dan di mata Suriya terbayang ketika Luqman mentertawakan dirinya yang tidak kenal jenis sayuran. Melindungi? Tidak ada maknanya.

“Dia, aku rasa...berfikiran jauh ke hadapan. Melihat engkau dan dia bayangkan kau ada dalam masa depan dia.”

Suriya menoleh ke arah Aida. Sah! Sah! Ini kesan makan popia dan nasi lemak. Huiyo, canggihnya ilmu Luqman tapi...kenapa tiada kesan pada dirinya? Ahha! Pasti kerana pendindingnya kuat. Pasti. Suriya menepuk tangan puas hati.

“Dah kenapa pulak ni?”

“Aku rasa kau dah kena. Kalau kau dengar cara kau puji Luqman, kau sendiri boleh muntah tau.” Suriya memberitahu.

“Cis, belajar tinggi tapi ilmu takat siku!” Aida membalas.

Mereka berdua saling berpandangan. Keadaan sunyi seketika dan kemudiannya kedua-dua ketawa. Bunyi ketukan di pintu menyebabkan tawa mereka terhenti.

“Amboi, betullah kata Mak Lang... Suri ada datang sebab tu Aida ketawa tak ingat dunia.”

“Aunty, apa khabar?” Suriya memeluk Rahimah, emak Aida.

“Alhamdulillah. Suri sihat?”

“Sihat.”

“Kebetulan tadi aunty jumpa ayah kamu, Suri. Dia ajak kamu datang ke rumah malam ni. Ajak makan malam di sana katanya.” Rahimah memberitahu.

Hilang seri di wajah Suriya. Fikirnya malam ini mahu rehat-rehat di dalam bilik saja bersama Aida. Sesi gosip dan mengumpat namun nampaknya agenda akan bertukar. Dia memandang Aida dan Aida mengangkat bahu.

“Ingatkan ayah tak balik lagi.”

“Dah. Semalam katanya. Telefonlah dia. Ayah Suri nampak letih sangat.” Rahimah memberitahu. Bukannya dia tidak tahu getirnya hubungan dua beranak ini namun dia selalu berdoa agar hubungan itu akan menjadi lebih baik pada suatu hari nanti.

“Nanti Suri telefon ayah.” Mulut berjanji walau hati terasa tidak mahu.

Previous: Bab 6
Next: Bab 8

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.

Karya lain oleh Lynn Dayana