Home Novel Komedi/Romantik Komedi BICARA CINTA TERTANGGUH
Bab 5

SUASANA pasar pagi itu seperti biasa riuh rendah. Pelbagai gelagat pengunjung dan tingkah peniaga yang dapat dilihat. Jam sudah menghampiri jam sembilan namun jumlah pengunjung yang datang masih lagi belum surut. Maklumlah cuti hujung minggu. Yang isteri menunaikan permintaan suami dan anak-anak manakala yang anak melepaskan hajat yang rindukan hasil masakan emak dengan pulang ke sarang. Makan bersama keluarga memang menjadi satu agenda yang meriangkan.

“Ikan, ikan... segar, segar. Murah...murah.” Latif menjerit setelah senyap beberapa saat. Dia menyusun ikan di dalam pinggan yang sudah kosong. Alhamdulillah jualannya laris. Dia melihat ke arah Luqman yang juga tidak menang tangan. Anak muda yang kaya dengan senyuman itu memang mempunyai daya tarikan sendiri.

“Murah rezeki kita hari ni.” Latif menegur.

Luqman mengangguk dan menambah sayur bayam ke atas meja. Stok sayurannya sudah semakin menyusut. Peluh di dahi dilap dengan tuala tangan. Panas.

“Rezeki orang nak berumahtangga.” Milah, jiran sebelah gerai Luqman mengusik.

“Amboi pandainya akak.”

“Ada orang kata, dua...tiga hari lepas ada orang tu ketawa sampai tak ingat dunia depan balairaya.” Milah membuka cerita. Baki duit belian pelanggan yang membeli mi, tauhu dan taugeh dikembalikan dengan bibir yang mengukir senyuman.

Luqman berhenti menyusun sayur. Wah, gosip dirinya bagaikan seorang artis selebriti pula. Tidak lama lagi, ada paparazi agaknya.

“Saya tak ingat dunia, tapi saya ingat akhirat kak.” Pecah ketawa Luqman lagi. Mereka yang mendengar turut ketawa sama.

“Kalau dah jodoh...” Pak Mail pula menambah. Seronok melihat Luqman, anak muda yang memang dia suka kini dengarnya sedang kempen memikat Suriya.

"Jodoh memanglah jodoh tapi perempuan ni sebenarnya leceh. Kau tengak ketam ni..kaki banyakkan? Ha...macam tulah banyaknya kerenah diaorang!" Amirul membebel.

Terkitai2 ketam itu ditayangkan di depan muka Luqman. Dan Luqman hanya ketawa sambil terus menyusun sayur-sayur. Usikan mereka langsung tidak mengganggu dirinya. Bagi dirinya jodoh itu bukan boleh ditentukan tarikh kedatangannya.

. "Emosi perempuan macam sayur bayam. Mula-mula segar, lama-lama kecut...tapi Popeye tetap suka jugak kan?" Luqman berfalsafah.

Entah bila dia mula menjadi pujangga cinta, dia pun tidak tahu. Yang dia tahu, tanpa bayam, Popeye lemah tanpa tenaga. Manusia normal begitu juga.

"Salah tu. Hati perempuan macam kobis..ada lapisan demi lapisan. Kena sabar..." Tambah Sham yang meniaga sayur juga dan sudah berumahtangga untuk kali kedua. Rezeki bermadu! Sebiji kobis diangkat dan dilambung, macamlah mereka semua tidak pernah melihat rupa kobis.

Mendengar perbualan mereka, Pak Halim yang sedang sibuk menyusun bungkusan cendol ikut senyum sama. Bila anak muda berbicara tentang cinta, yang tua ini hanya mendengar sama. Kalau diminta pendapat, dengan rela hati akan diberikan. Maklumlah dalam meniti usia yang tua, sudah beberapa kali hati terluka dek kerana cinta.

"Apa pendapat Pak Halim?" tanya Luqman.

Kini dia menarik kerusi untuk meregangkan kaki yang sudah lenguh. Sementara tiada pelanggan yang datang, dia mengambil masa untuk berehat seketika.

"Apa kata kita tanya tuan punya diri? Suri rasa hati orang perempuan ni macam mana?” soal Pak Halim yg menyedari kedatangan Suriya.

"Erk..." Suriya jadi terkedu. Apahal namanya yang disebut? Mendengar nama Suriya disebut, Luqman terus menoleh. Argh, betul ada Suriya di situ. Ingatkan Pak Halim saja mahu menyakat. Namun rupa-rupanya benar ada puteri yang sudi turun dari kayangan. Mencemar duli menjejakkan kaki ke pasar ini. Luqman tersengih-sengih dengan apa yang dikarutkannya itu.

"Hati awak macam mana Cik Suriram?" tanya Luqman dengan selamba. Cukup kuat untuk didengar mereka yang ada disekelilingnya.

Berpasang-pasang mata memandang mereka berdua. Ada bibir yang tersenyum, ada hati yang ikut kembang sama dan ada juga hati yang terasa iri.

"Hati saya ok saja,” jawab Suriya dengan nada yang perlahan.

Terasa dahi sudah berpeluh-peluh. Suka-suka memanggil dia Suriram. Hampeh sungguh. Dia ke sini mahu membayar hutang Mak Jah namun mengapa ketika ini terasa macam dia sedang diburu Along yang mengganas dan tiada nilai sivik?

"Pasti?"tanya Luqman.

Suriya mengangguk. Penuh yakin. Penuh istiqamah.

"Bukan rasa nak meletup ke hati tu bila nampak muka saya?"

Erk...Suriya rasa mahu singsing kain dan lari laju-laju. Luqman ini dah kenapa? Sengaja dan selalu mahu mengenakan dia.

“Mak Jah suruh bayar duit.” Suriya membalas. Kalau ini peperiksaan, maka dia akan gagal dengan teruk sekali. Luqman tanya lain dan dia memberikan jawapan yang lari jauh beribu-ribu kilometer dari skima jawapan yang ada.

“Tak nak.” Luqman menjawab.

“Luq...I nak beli sayur. You meniaga ke tak hari ni?” tanya seorang gadis yang memakai serba merah. Dari tudung sampai ke sandal serba merah menyala. Memang dari kejauhan pasti sudah kelihatan.

Suriya melihat gadis itu yang tersenyum manis ke arah Luqman. Argh, pasti ini salah seorang peminat Luqman. Yang nombor berapa? Kasanova rupanya Luqman ini. Patutlah perniagaannya maju. Diuruskan gaya kasanova! Astaghfirullah. Suriya beristighfar. Kenapa jahat sangat hati dia menuduh Luqman? Berdosa!

“Nak sayur apa Kak Lina?” tanya Luqman dengan hormat. Jelingan menggoda tidak dipedulikan.

Erk, panggil kakak! Dan Suriya melihat gadis itu turun darjah kemanisan dalam senyumannya. Bukan sedikit tetapi di dalam jumlah yang banyak. Terasa mahu ketawa walau ada juga rasa kasihan.

“Mak Jah sihat, Suriya?” tanya Milah.

Suriya pun menoleh dan mengangguk.

“Nama akak, Milah. Panggil Kak Milah.”

Senyuman kakak itu membuatkan Suriya senyum juga. Dia menyuruh Kak Milah memanggilnya Suri.

“Jangan tunggu lama-lama Suri. Nanti dikebas....melepas!” Milah memberikan nasihat dalam nada yang berbisik.

“Tunggu apa kak? Saya tunggu nak sampaikan amanah Mak Jah aje ni.” Suri membuat gaya seperti tidak faham.

“Kamu ni Suri...”

Suriya hanya tersengih. Sungguh. Memang dia hanya berada di sini kerana sebab itu. Tiada sebab yang lain. Dia melihat Luqman menguruskan sayuran yang diminta gadis itu. Aduhai, manjanya gaya meminta tomato.

“I nak yang segar aje. Tak nak yang lembik-lembik.”

Aduhai, Suriya terasa mahu pengsan. Ini manja atau tahap gedik yang tidak boleh diselamatkan?

“Kalau I beli cendawan ni, masak apa yang sedap ya?” tanya gadis itu sambil melentokkan kepalanya bersama senyuman yang tidak lekang dari bibir.

“Kak Lina masak sup sedap juga. Campur dengan lobak merah dan daun sup ni. Makan panas-panas, nyaman kak.” Luqman memberikan cadangan dengan ikhlas. Hati pelanggan perlu sentiasa dijaga walaupun rasa tertekan dengan tahap kemanjaan pelanggannya yang ini sudah mencapai tahap trauma.

“Mhmm, tambah dengan ‘fish ball’ mesti sedapkan? Bila you nak datang rumah, I masak. Khas untuk you.”

Wah, Suriya terasa mahu memberi tabik hormat kepada yang dipanggil Kak Lina itu. Beginikah cara mengurat tahap kelas pertama? Godaan gaya cendawan dan bebola ikan? Suriya mahu ketawa. Seumur hidupnya tidak pernah dia menggoda mana-mana lelaki dengan cara begini. Namun dia yakin, kalau disuruh mencuba pun dia tidak akan mampu. Belum buka mulut sudah pitam. Dan tiba-tiba dia terasa tubuhnya dibaling dengan daun sayur yang rosak.

“Ketawa lagi!” Luqman sudah bercekak pinggang.

Suriya mencari gadis merah menyala itu. Argh, sudah tiada. Sudah pulangkah? Dia menyengih. Sampul surat yang diberikan Mak Jah diletakkan di atas meja. Dan sekali lagi daun kobis pula yang hinggap di mukanya.

“Luqman!”

“Suriya Hanum, awak tu lahir tahun 1991. Saya ni lahir tahun 1988. Berdosa panggil nama macam tu. Panggil saya abang!”

Dan Suriya terkebil-kebil di situ. Biar betul. Lelaki ini terkena racauan apa? Terkena virus gadis berbaju merah? Segala maklumat dirinya, Luqman tahu dan hafalkah? Lalu tanpa sedar, Suriya telah ketawa. Mula-mula perlahan dan kemudiannya kuat.

“Abang? Suruhlah Lina tadi tu panggil abang.” Suriya membalas apabila dia berjaya menahan tawanya dari berpanjangan.

Giliran Luqman ketawa. Bertepuk tangan dengan gembira.

“Dah kenapa? Gila?” tanya Suriya dengan nada yang perlahan.

“Cemburu eh?”

Suriya menepuk dahinya. Pitam, memang rasa nak pitam. Kadang-kadang tahap keyakinan Luqman yang setinggi awan itu membuatkan dia rasa kagum. Lelaki ini fikir, seluruh dunia atau cakerawala ini berada di bawah kuasa jajahannya? Semangat Luqman boleh mengalahkan sepuluh pakar motivasi yang ada. Mengkagumkan.

“Tak ada maknanya.”

“Panggil abang! Tanda hormat dan sayang!” Luqman tetap berkeras.

“In your dreams!” Suriya membuat muka selamba dan telinganya menangkap bunyi tawa Luqman lagi.

“Dalam mimpi saya, Suri panggil saya darling. Dan saya panggil Suri...’gegurl’. Indahkan?” Luqman memberitahu dengan yakin.

Jadi terdiam Suriya dibuatnya. Luqman ketawa terbahak-bahak. Suriya kepal penumbuk. Ada orang mengidam mata lebamkah?

“Serius...betul! Tak adanya diri jarak jauh macam ni. Dalam mimpi tu, kita bernafas udara yang sama...tak berjauhan walau satu sentimeter.”

Tangan Suriya terasa bergetar. Luqman ini mahu kena sepak agaknya. Dan ketika dia sedang menahan amarah, lelaki itu masih lagi dengan tawanya. Matanya dengan berani mengenyit. Huh! Baik balik saja. Makin dilayan, dia yang makin berdosa.

“Suriya Hanum...lari ke planet Marikh pun, saya kejar awak Suri!” Luqman menjerit apabila melihat Suriya melangkah laju keluar dari situ.

Suriya berhenti melangkah dan berpaling. Tangan dikepal dan dia menunjukkan penumbuk. Ketika telinganya mendengar bunyi tawa yang kuat, Suriya terasa malu. Astaghfirullah, sejak bila pula dia menjadi gangster ni? Luqman, you have ruined my life!

“Jalan baik-baik ‘gegurl’.” Luqman melambai dan memberikan ‘flying kiss’. Seronok melihat Suriya yang marah. Hatinya kini seperti taman yang penuh dengan sayur-sayuran segar. Cakap, mahu sayur apa? Sawi? Ada. Kobis? Ada. Terung? Memang banyak. Argh, kemarahan Suriya bagaikan baja yang menyuburkan sayur-sayurnya. Senyuman Suriya pula bagaikan matahari yang membuatkan stok sayurnya tidak akan pernah habis. Segar sepanjang tahun. Luqman ketawa lagi.

Previous: Bab 4
Next: Bab 6

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.

Karya lain oleh Lynn Dayana