Home Novel Komedi/Romantik Komedi BICARA CINTA TERTANGGUH
Bab 15

KEPALANYA diraba perlahan-lahan. Sakit. Macam mana paip shower itu boleh terlepas dari genggaman dan terhantuk ke kepala? Misteri sungguh. Suriya mengusap sekali lagi. Dia berpusing-pusing. Ada nampak benjolan tak? Awal pagi lagi dan dia sudah berangan. Ini semua salah Luqman. Ini semua salah mesej dari Luqman yang menghantui hidupnya malam tadi. Mesej terakhir Luqman yang mengganggu jiwa.

Awakkan Suri saya sampai ke akhir usia...seperti saya, Luqman awak hingga ke hujung nyawa.

Lelaki ini psiko atau dia yang terlebih trauma. Dan yang jahatnya, dia terhafal kata-kata itu. Hisy, tidak masuk akal langsung. Suriya mengusap lagi kepalanya. Ok, tidak ada pendarahan harapnya.

“Lamanya bersiap Cik Suri. Macam nak pergi bersidang dekat majlis kabinet aje,” jerit Mak Jah dari dapur.

Memanglah kabinet. Kabinet dapur. Suriya ketawa sendiri.

“Nak siap dah ni.” Suriya membalas.

“Marilah sarapan. Dah sejuk ni.” Mak Jah memanggil lagi.

“Seminit.” Suri membalas. Melihat penampilannya di cermin dan berpuas hati lalu mengambil kunci kereta dan beg tangannya.

“Muncul jugak puteri dari kayangan.” Mak Jah menegur. Hati rasa senang melihat wajah Suriya yang tersenyum mesra. Cantik nampak Suriya dengan berbaju kurung kain kapas yang bercorak bunga mawar kecil berona ungu muda. Nampak sopan dan manis.

“Puteri yang kelaparan.” Suriya memeluk Mak Jah.

“Hari ni aje Mak Jah sediakan sarapan. Esok masak sendiri.” Mak Jah menyeka airmata yang mahu tumpah. Anak ini sudah dianggap seperti anak sendiri. Kasihnya sudah lama tumpah dan tidak ada sempadan untuk Suriya.

“Nanti dapat gaji, Suri belanja Mak Jah makan cendol, sate, rojak dan kita tengok wayang cerita hindustan ya?” Suriya memberikan cadangan sambil ketawa.

“Tengok wayang buat apa. Bawaklah pergi ceramah Ustaz Kazim ke...Barulah rock.” Mak Jah membalas.

“Ok, janji.”

“Kerja pun tak mula, dah berangan hingga hujung dunia. Cepat makan.” Mak Jah mencedukkan mi goreng ke dalam pinggan Suriya.

“Wow, ada udang besar.”

“Biar kamu tu banyak tenaga.”

“Mak Jah ni manjakan saya sangat.” Suriya memegang tangan wanita itu dengan penuh kasih. Segala yang dia suka, Mak Jah memang tahu. Memang dihafal.

Mak Jah membalas senyuman Suriya. Terima kasih Luqman kerana sudi hantar udang semalam. Kalau tidak, mi goreng rencah ikan bilis sajalah. Namun dia simpan maklumat itu di dalam hatinya sahaja. Kalau disebutkan, ada pula orang yang hilang selera. Rezeki jangan ditolak Suri. Mahu saja Mak Jah bisikkan kata-kata itu ke telinga Suriya tetapi dia tahu, pada ketika ini hati Suriya masih belum terbuka untuk menerima kasih sayang Luqman.

Usai sarapan, Suriya mahu beredar ke tempat kerja. Pejabat merangkap rumah Nisa terletak lebih kurang setengah jam dari rumah Mak Jah. Suriya menyalami tangan Mak Jah dan segera menaiki keretanya. Dia cuba menghidupkan enjin. Tiada kesan. Bunyi enjin langsung tiada.

“Kenapa Suri?”

“Tak tahu Mak Jah. Kenapa tak hidup ni?” Suriya membalas dan mencuba sekali lagi. Namun masih sama. Hampa. Sekejapan pula, terasa panik. Aduhai, macam mana mahu ke tempat kerja. Baru hari pertama, sudah lambat? Itu bukan dirinya.

“Ada minyak tak?”

“Ada.”

“Betul ada?” tanya Mak Jah lagi yang sudah serupa seperti Inspektor Gadget. Mengelilingi kereta. Mencari bahan bukti agaknya. Dari perasaan panik, Suriya terasa mahu ketawa pula.

“Semalam saya dah isi Mak Jah.”

“Minyak bocor ke?”

Erk, macam mana nak tahu? Kena tolak kereta? Tengok ada tompokan minyak atau tidak? Suriya kini mula pening. Dia mengangkat kepala mahu menjawab soalan Mak Jah namun sudah hilang pula. Magik betul. Suriya mencuba lagi. Tiada kesan. Mungkin sebab dia lupa mahu bismillah. Suriya membaca bismillah dan mencuba lagi. Argh, masih sama. Tiba-tiba dia melihat kelibat Mak Jah semula. Dan wanita itu sedang bercakap di telefon.

“Datanglah ya. Kasihan nanti kalau dia lambat. Hairul adakan boleh bantu?”

Mendengar nama Hairul, darah Suriya berderau. Hairul mana? Pastilah pembantu si Luqman. Hisy Mak Jah ni! Telefonlah mana-mana mekanik. Yang nama Karim ke...nama Kasim ke... Ini telefon si Luqman! Aduhai...rasa nak meroyan waktu itu juga!

“Jangan risau! Mak Jah dah panggil super hero.” Mak Jah memberitahu dengan bangga.

“Siapa?” Suriya bertanya walaupun seakan-akan tahu jawapannya.

Mak Jah senyum.

“Yang penting, nak ke tempat kerjakan? Tak nak lewatkan?”

“Mak Jah telefon dia baliklah... Saya cari jalan lain. Tak nak susahkan dia. Diakan kerja.” Suriya memberikan alasan.

“Bukannya dia Menteri yang kena cari kapalterbang yang hilang. Luqman kata tak apa. Suri jangan risau.” Mak Jah menenangkan Suriya. Lagi pun bukannya Suriya ada jalan lain mahu keluar dari situasi ini. Kecuali Suriya mahu menaiki basikal. Sanggup ke?

“Mak Jah...”

“Ha, dah sampai pun. Panjang umur dia.”

Suriya menarik nafas dalam-dalam. Kelihatan kereta Luqman masuk ke ruang parkir. Mahu lari ke mana? Dia melihat Luqman keluar. Berseluar jeans hitam dan memakai baju-T berwarna putih yang dilindungi kemeja kotak-kotak kecil berwarna biru tua. Amboi, benarkah dari pasar. Kemas dan menawan. Erk...astaghfirullahalazim. Suriya beristighfar.

“Assalamualaikum. Jum, saya hantar.”

“Waalaikumusalam. Kereta saya?”

“Saya hantar awak pergi kerja dulu. Lepas tu baru kita tengok apa masalah kereta awak. Dah lewatkan?” tanya Luqman.

Serba salah jadinya. Suriya memandang Mak Jah yang sedang tersenyum. Dia memandang pula kepada Luqman. Wajah lelaki ini tenang sahaja.

“Saya ikhlas...” Luqman bersuara dan membuka pintu kereta untuk Suriya.

“Duduk belakang boleh?” tanya Suriya.

“Boleh.” Luqman segera menutup pintu kereta di sebelah pemandu itu dan membuka pintu belakang.

“Suri...” Mak Jah menyebut nama gadis itu namun Luqman menggeleng. Tanda tidak mahu Mak Jah memarahi gadis itu. Dia memberikan salam dan segera menghidupkan enjin dan keluar dari halaman rumah Mak Jah itu.

PERJALANAN itu sepi. Suriya rasa serba salah namun dia tidak tahu bagaimana mahu memulakan bicara. Teringat sms Luqman malam tadi. Argh, malu.

“Suri...”

“Ya.”

“Nanti balik saya ambik ya.” Luqman membalas.

“Tak payah. Jangan susah-susah.”

“Mana ada susah. Saya suka.”

Argh sudah. Suriya terasa hati berdebar. Jantung ni masih berdegup atau tidak? Seperti tiada ritma sahaja.

“Maksud saya, saya suka tolong orang. Suka bila dapat pahala.” Luqman menyambung lalu ketawa.

Ada juga masuk berita, seorang lelaki kemek kepalanya diketuk seorang gadis. Masa itu, mampukah lagi Luqman ketawa? Sukahati benar bila dapat mempermainkannya. Entah-entah keretanya rosak kerana angkara Luqman. Mulalah rasa cuak mendatang. Aduhai, mudahnya mendapat dosa. Pahala memanglah susah

“Marah ke?”

Suasana sepi juga. Lidah Suriya sudah hilang agaknya.

“Pagi-pagi hari tak elok marah-marah. Menjauh nanati rezeki.” Luqman menasihatkan.

“Suri...dengar tak ni?’

“Ya.” Suriya menjawab juga. Selagi dia tidak menjawab nampaknya Luqman tidak akan berdiam.

“Seronok ke jadi mem kat belakang tu?” tanya Luqman lagi.

“Tak ada niat pun nak jadi mem. Tapi kalau duduk sebelah awak nanti boleh timbulkan cerita yang bukan-bukan. Mak Jah yang telefon awak. Kalau saya...”

“Kalau awak pasti tidak.” Luqman memotong kata-kata Suriya. Amboi sekali bersuara macam bertih digoreng pula.

“Maafkan saya.”

“Untuk apa?”

“Awak tak faham...”

Kereta pun berhenti. Suriya melihat sekeliling. Alhamdulillah sudah sampai. Dia segera mengambil begnya dan tergesa-gesa keluar. Beberapa langkah berlalu dia berpaling. Luqman masih disitu memerhatikan dia. Argh, jadi serba salah. Suriya berpusing.

“Terima kasih. Maaf susahkan awak. Assalamualaikum.”

Luqman senyum dan membalas salam.

“Pukul lima saya datang ambil.”

Suriya menggeleng namun Luqman membuat muka selamba. Suriya melihat jam di tangan. Sudah lewat. Dia berpaling dan berlari anak memasuki rumah Nisa.

Previous: bab 14
Next: Bab 16

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.

Karya lain oleh Lynn Dayana