Home Novel Komedi/Romantik Komedi BICARA CINTA TERTANGGUH
Bab 16

HAJAH Nani melihat majalah keluaran terbaru itu dengan tanpa perasaan. Bukannya dia minat membaca pun tetapi menurut kawannya, majlis mereka tempohari di rumah anak-anak yatim itu ada gambar mereka.

“Awak tak nak minum?” tegur Haji Firdaus apabila melihat kopi yang dihidangkan pembantu rumah mereka langsung tidak dijamah.

“Saya tak haus.” Selamba dan mendatar saja Hajah Nani menjawab. Rasa marahnya pada Haji Firdaus masih belum surut. Malah terasa seperti masih membara sahaja.

“Temanlah saya minum. Bukan ada orang kat rumah ni lagi. Ada anak dua, tiga orang pun rumah ni akhirnya kosong juga.” Haji Firdaus memberi komen. Mata tuanya melihat kawasan rumah mereka ini. Terasa sunyi. Waktu begini jika ada cucu untuk bermain mesti seronok.

Berdesing telinga Hajah Nani mendengar perkataan anak dua, tiga orang itu. Pembetulan, anaknya hanya ada dua. Damia dan Farhan. Yang lagi satu itu bukan dari darah dagingnya dan jangan harap dia menyayangi Suriya. Itu anak Haji Firdaus. Bukan anak dia.

“Yalah saya minum. Ni, makanlah sikit mihun ni. Membazir aje Kak Mah masak kalau tak ada orang nak makan.” Hajah Nani mencedukkan mihun goreng itu ke pinggan suaminya. Dari ekor mata dia dapat melihat bibir Haji Firdaus merkah dengan senyuman. Suami, makin tua makin mahu bermanja.

“Kalau ada budak kecik kan bagus. Bolehlah buat layan gurau senda.” Haji Firdaus bersuara selepas menyuap beberapa sudu.

Hajah Nani pun menjeling. Niat mahu kahwin lagikah?

“Cucu. Saya nak cucu bukan anak kecik lagi.” Haji Firdaus ketawa kecil.

“Suruhlah Suriya tu kahwin. Umur pun dah elok untuk kahwin tu. Kalau dah kahwin, apa dia buat pun...awak dah tak tanggung dosa dia.” Hajah Nani memberikan cadangan. Majalah diletakkan di atas meja. Kering tekak serta merta datang apabila menyebut nama Suriya. Rasa geli geleman ada juga.

“Dia baru habis belajar. Baru 23 tahun.” Haji Firdaus menghirup kopi yang sudah jadi suam sahaja.

“Dulu kita kahwin pun umur muda jugak.” Hajah Nani bertingkah. Waktu itu mereka bersusah payah menguruskan hidup berumahtangga sambil belajar. Menambah kesukaran kerana hubungan mereka pada mulanya tidak direstui. Kebetulan mereka berdua anak tunggal maka kedua belah keluarga tidak bersetuju dengan pilihan mereka.

“Itu dulu. Ini sekarang.”

“Elok kahwin muda. Kurang pahala. Damia dengan Farhan tu tak sama dengan Suriya. Entah apa dia buat kat sana, kita pun tak tahu.”

Haji Firdaus hanya diam. Kalau boleh dia mahu Suriya tinggal di sini juga namun dia tahu, itu akan hanya menambah ketegangan hubungan antara Suriya dengan isterinya itu. Selagi Suriya belum berkahwin, memang Suriya itu tanggungannya. Dialah yang bertanggungjawab untuk Suriya.

“Damia yang dah 26. Dia tak ada kawan dengan sesiapa ke?” Haji Firdaus menarik arah perbualan itu ke arah Damia, anak sulung mereka.

“Eh, berminat pulak awak nak tahu.” Hajah Nani mencebik.

“Ada ke tak ada.” Malas Haji Firdaus mahu bertekak. Bukannya menang pun.

“Manalah saya tahu.”

Dan Haji Firdaus ketawa. Sebentar tadi seolah-olah tahu sungguh tentang hal Damia. Rupanya tidak juga. Isterinya ini memang tidak pernah berubah.

“Hari ni Suriya mula kerja. Saya telefon dia sekejap tadi.”

“Mhmm...”

“Dia tak nak belajar lagi dah.”

“Baguslah.” Laju Hajah Nani menjawab.

“Eh gitu pulak. Kalau boleh biar dia ada ijazah macam Damia. Biar belajar sampai luar negara macam Farhan.”

Hajah Nani memandang wajah suaminya.

“Baguslah dia dah kerja. Orang tak nak jangan dipaksa. Hari tu saya dah tanya. Macam yang awak suruh. Dah dia kata tak nak. Dah bosan katanya belajar lama-lama. Dah tak sabar nak kerja.” Hajah Nani memberitahu. Dia menuang air dan menghirup dengan laju. Haus. Mujur air kopi sudah sejuk. Kalau panas, memang sah akan terbakar. Dia mengambil pinggan mihun suaminya yang sudah kosong dan memulakan aktiviti mengemas meja.

Kata-kata isterinya itu didengar oleh Haji Firdaus tanpa membantah.

“Saya kalau boleh mahu dia duduk sini.” Haji Firdaus memberitahu keinginan hati.

Terhenti tangan Hajah Nani yang sedang mengemas. Suaminya ini dah kenapa? Suriya duduk sini? Di bawah bumbung yang sama? Mahu dia sakit jantung. Hajah Nani memaniskan wajah.

“Diakan dah mula kerja. Bagilah dia peluang buat apa yang dia suka. Kalau rindu, telefon kan ada. Lagi pun Jah ada jaga dia. Takkanlah Jah nak abaikan anak awak tu sampai tak makan.” Hajah Nani menenangkan suaminya. Melihat Haji Firdaus mengangguk, hati jadi lega. Tidak boleh jadi! Ingatan suaminya terhadap Suriya mesti dipesongkan jauh.

“Jadi ke kita nak ke pasar? Dah tengahari nanti, ikan yang tinggal ikan bilis aje che abang!” Hajah Nani berjenaka.

“Betul juga. Jum, kita bersiap.”

Melihat suami yang sudah mencapai kunci kereta, Hajah Nani tersenyum. Suriya mahu duduk di sini? Jangan mimpi!

GELAS yang dipegang itu diletakkan di atas meja. Aduhai. Peritnya tekak garaa-gara tersedak. Siapalah yang menyebut nama dia hingga dia tersedak?

“Perit lagi?” tegur Nisa.

Suriya mengangguk.

“Ada orang yang sayang, rindulah tu.” Nisa mengusik.

“Ngarut!” Suriya cepat-cepat membalas. Air diteguk lagi. Perit berkurangan sedikit. Dia kembali ke meja dan menumpukan perhatian. Banyak juga katering yang diambil oleh Nisa. Fikirnya perniagaan Nisa itu kecil saja namun dapat dilihat mengapa Nisa perlukan dia. Di dalam menguruskan bahagian operasi, Nisa perlu seseorang untuk menguruskan bahagian stok, tempahan dan akaun.

“Ok ke?” tanya Nisa. Kasihan melihat dahi Suriya yang berkerut menguruskan rekod bil invois yang berserakan.

“Ok tapi pening kejap.”

Nisa ketawa.

“Dulu Mira budak yang dah berhenti tu uruskan. Sejak dia tak ada memang hari biru sikit.” Nisa menerangkan.

“Rasanya bukan warna biru aje ni. Dah merah, oren...”

Dan mereka berdua ketawa.

“Ada katering untuk rumah Tuk Penghulu. Majlis harijadi cucu yang sulung umur sembilan tahun.” Nisa bercerita.

Mata Suriya masih terpaku di skrin.

“Tak nak menu biasa. Nak western.”

“Pizza? Chicken wing? Pasta?” Suriya menjawab.

Nisa mengetuk meja dengan pen. Majlis untuk 50 orang. Kek harijadi adalah perisa strawberi dan coklat.

“Nugget, fries...bruschetta.” Mulut Suriya tidak berhenti menyebut jenis-jenis makanan yang biasa dimakan dan ada kaitan dengan tema makanan Barat. Dan tiba-tiba dia merasa bahunya dipeluk.

“Aku tahu kau, Suri memang genius.” Nisa ketawa kecil.

“Aku pandai sebut je, masak jangan...” Suriya tersengih. Bersyukur kerana di antara mereka berdua ada rasa serasi. Awal pagi tadi mereka bermula dengan bersaya awak. Sampai tengahari, hilang sudah gelaran itu dan berganti dengan aku dan engkau saja.

“Ni, cuba rasa. Karipap perisa cempedak.” Nisa datang membawa sepiring karpap yang kecil-kecil saiznya.

“Amender? Ulang balik.” Suriya keliru.

“Karipap inti cempedak. Kau tahu tak cempedak? Adik beradik nangka tu.” Nisa memberikan penerangan.

“Aku tahulah cempedak yang diluar pagar tukan?”

Nisa ketawa. Suriya ini memang lawak. Ada sahaja kata-katanya yang membuatkan dia ketawa.

“Ketawa tak ingat orang dah.”

Suara itu membuatkan Suriya dan Nisa berpaling. Bibir Suriya yang merkah dengan senyuman kini hilang. Luqman. Luqman yang dilarang menjemput dia pulang ada di sini. Aduh, malunya. Apa pandangan Nisa terhadap dirinya? Tidak pandai membezakan antara kerja dan hal peribadi? Aduhai Luqman!

“Dah kenapa jadi Tugu Negara?” tegur Luqman.

“Err...”

“Nah pegang bendera. Comel sikit.” Luqman memberikan bendera kecil yang ada di atas meja kabinet kepada Suriya.

“Err..” Lidah Suriya masih lagi kaku,

“Tak baik Luq.” Nisa menegur.

Luqman tersengih.

“Ni ke karipap cempedak tu?” tanya Luqman.

“Cubalah.”

Luqman mengambil sebiji, mematahkannya kepada dua bahagian dan mahu menyuapkan ke mulut Suriya. Suriya berganjak ke belakang. Rasa terkejutnya masih belum hilang. Mereka berdua ini kenal antara satu sama lain. Cis! Mengapa dia rasa dipermainkan?

“Luq ni pembekal sayur-sayuran kita, Suri.” Nisa memberitahu.

Suri menoleh ke arah Luqman. Luqman mengenyit mata. Hisy! Rasa nak korek biji mata itu.

Previous: Bab 15
Next: Bab 17

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.

Karya lain oleh Lynn Dayana