MAK JAH ketawa
kecil. Wajah cemberut Suriya memang mengundang kasihan tetapi masih lagi dia
tidak dapat menahan diri dari ketawa. Semenjak balik jam enam tadi, Suriya
tidak henti membebel. Luqman tidak profesional. Luqman samseng Kampung Dusun.
Luqman itu, Luqman ini. Kamus bahasa Suriya ada nama lelaki itu sahaja agaknya.
Mengaku menyampah tetapi nama lelaki itu juga yang diratibkan semenjak dari
tadi.
“Dahlah tu Suri. Mak Jah tengok kamu
ni dah macam deejay radio pulak. Tak berhenti membebel. Dah nak Maghrib ni.
Istighfar banyak-banyak. Kampung Dusun kat mana pun kita tak tahu. Pernah kamu
google?” Mak Jah menegur.
“Ala Mak Jah ni. Punyalah banyak
Suri membebel, Mak Jah dengar bahagian Kampung Dusun aje?’ Suriya membalas.
Memanglah dia tidak pernah menggoogle. Mungkin ada. Kalau Kampung Parit Jerman
pun ada, Kampung Dusun pun tidak mustahil ada. Entah-entah satu Malaysia ini
ada lapan. Satu di setiap negeri di Semenanjung ini.
Mak Jah senyum.
“Ok ke tidak kerja dengan Nisa tu?”
tanya Mak Jah. Mengalih topik perbualan.
“Ok. Tapi dia tu gila kerjalah Mak
Jah. Kalau ada 10 tempahan, dia akan ambik 11.” Suriya menguit-nguit badannya di
atas sofa. Tulang terasa lenguh. Hari ini mereka berhempas pulas menyiapkan
tiga tempahan katering.
Pertama, seorang datin mahu bersedekah nasi briyani ke rumah anak yatim
seramai 75 orang. Kedua, majlis jamuan perpisahan pengetua sekolah. Majlis makan-makan
untuk 25 orang. Menunya gaya untuk hi-tea jadi lebih mudah tetapi terpaksa
menyediakan banyak juadah ‘finger food’. Yang terakhir adalah tempahan untuk
majlis harijadi dan cukur jambul. Makanan untuk 100 orang, set nasi Arab.
Suriya tidak tahu berapa biji nenas dan timur yang dia potong untuk membuat
acar. Mak cik Amnah yang biasanya membuat acar, hari ini demam dan batuk.
Terpaksalah dia menjadi bidan terjun.
“Rezeki ada, cukup tenaga
kerja...ambik tempahan tu kira menolong orang juga. Bayangkan kalau Nisa tak
ambik tempahan? Terpaksalah cari katerer lain yang mutu makanan mungkin tak
sebagus Nisa.” Mak Jah merasionalkan tindakan Nisa.
“Betul juga. Tapikan... Suri tak nak
tengok nenas dengan timun untuk seminggu ni.” Suriya ketawa kecil mendengar
permintaan keanakannya itu. Habis tu kalau ada orang buat pesanan, mahu
ditukarkan dengan apa? Acar buah?
“Mak Jah masak apa hari ni?” Suriya
bertanya.
Perut terasa pedih pula. Nama saja bekerja di syarikat katering makanan
tetapi mereka terlalu sibuk hinggakan makan pun cuit-cuit sedikit saja. Sekadar
mengalas perut.
“Malam ni kita makan angin ajelah.
Malas Mak Jah nak masak.”
“Ok. Kita suruh Irma tapaulah.
Boleh?” Suriya bertanya dengan penuh harapan. Kueytiaw di simpang jalan itu
sedap juga. Kerangnya banyak dan berjus. Ditambah lada jeruk, memang sesiapa
lalu pun tidak akan nampak.
“Dah lewat malam ni jangan ngada nak
suruh anak dara tu keluar sorang. Sekarang ni zaman penculik. Dikeratnya kamu,
diambiknya organ...apa yang tinggal?”
“Piano?”
Mak Jah pun mencubit lengan Suriya
yang tergantung di sofa. Dia serius dan Suriya mahu usik mengusik pula. Memang
nakal.
“Adui, sorry. Suri gurau je.”
“Gurau, gurau. Ayah kamu telefon
tadi.” Mak Jah memberitahu dan bangun menuju ke dapur. Mahu guraukan, mari kita
bergurau!
“Ayah?”
“Ya.” Suara Mak Jah sudah sayup di
dapur. Dia tahu Suriya pasti akan mengekorinya. Kalau perkataan ayah itu
disebut, Suriya memang akan tidak senang duduk.
“Ayah nak apa?” Suriya mengekor Mak
Jah ke dapur. Gelas diambil dan dengan lafaz bismillah dia menghirup dengan
tenang. Baru dua hari lepas ayah menelefonnya, masakan hari ini sudah telefon
lagi. Ada hal pentingkah? Minta-minta ayah sihat dan tiada apa-apa musibah yang
melanda.
“Haji Firdaus kirim salam. Dia tanya
hal kamulah.”
“Tanya apa?”
“Suri ada kekasih tak?”
Dan air yang dihirup Suriya pun
tersembur keluar.
Mak Jah menoleh dan senyum. Pandai
seram.
“Kenapa nak tahu tiba-tiba?” Suriya
mencapai tisu dan mengelap meja. Cis, tidak senonoh betul.
Mak Jah terus dengan aktivitinya.
Membuka peti ais dan mengeluarkan sayur bayam yang sudah disiangnya awal-awal.
Dicuci pun sudah. Mahu dimasak tumis air saja. Goreng pula ikan kering. Asam
pedas ikan merah yang dimasak tengahari tadi masih ada berbaki. Memang dimasak
lebih pun supaya petang ini hanya perlu memasak sayur sahaja.
“Mak Jah...”
“Haji Firdaus ada calon kot untuk
Suri.”
Dan Suri pun menarik kerusi dan
duduk. Terasa lemah sendi. Berdiri lebih lama, ada juga orang yang jatuh
tertumus dan cium lantai. Esok bangun pagi, hidung pun kemek. Hodohlah wajahnya
yang memang tidak jelita ini.
“Dia nak cucu. Bosan duduk rumah tak
buat apa. Katanya kalau ada cucu, bolehlah bergurau senda.” Mak Jah
menerangkan. Tangannya laju menumis sayur. Mahu cepat siap sebelum Maghrib
menjelma.
“Hajah Nani kan ada.”
“Kamu nak suruh dia beranak lagi?”
Mereka berdua sama-sama ketawa.
“Calon mana ayah tangkap Mak Jah?”
Fikiran Suriya masih lagi belum tenang. Entah siapa-siapa mahu dikahwinkan dengan
dirinya. Kalau ok dan bahagia hingga ke akhir hayat...syukurlah. Kalau derita
selepas tok kadhi mengatakan sah? Argh itu bahaya dan sangat mengerikan. Kepala
Suriya menjadi semakin pening.
“Katanya umur lelaki tu tua sikit.
Dah awal 30an tapi orangnya berharta.” Mak Jah menyambung siaran langsung
program drama Jodoh itu.
“Mak Jah, rasa nak pitam ni!” Suriya
memicit kepalanya. Bekerja baru mencecah seminggu dan ayah sudah mahu dia
berkahwin. Oh tidak!
“Darah kamu rendah ke? Esok Mak Jah
belikan hati ayam. Kita buat rendang.” Mak Jah membalas.
“Eee Mak Jah ni main-mainlah.”
“Tengah masak ni. Main apanya. Mak
Jah suruh kamu kawan dengan Luqman kamu yang tak mahu. Suruh kenal-kenal, tak
mahu juga. Sekarang Bangla mana yang Suri nak suruh berlakon jadi kekasih?” Mak
Jah melancarkan serangan peluru berpandu. Ini senjata yang tidak kenal makna
belas kasihan. Nasiblah kalau hati lemah dan jiwa terasa mahu kena sawan.
Peluru akan tetap Mak Jah taburkan.
“Kenapa ni Mak Jah?” Irma tiba-tiba
muncul di dapur juga. Melihat Suriya yang sedang kepalanya rapat ke meja
seperti orang dilanda masalah ekonomi negara yang teruk.
“Dah tutup semua tingkap?” tanya Mak
Jah.
“Dah. Rapat tertutup. Semut, nyamuk,
kelkatu....seekor pun tak dapat masuk.” Irma tersengih-sengih. Dia menarik
kerusi dan duduk di sebelah Suriya.
“Tak lawak pun.” Suriya bersuara.
“Apasal ni? Cari gaduh nampak.” Irma
menepuk lengan Suriya.
“Kalau nak tahu cerita lawak, kakak
kamu tu tak lama lagi nak kahwin.” Mak Jah menutup api dapur dan mengalihkan
periuk berisi sayur. Menjerangkan kuali pula kerana mahu menggoreng ikan kering
gelama.
“Apa? Abang Luq pinang akak? Bila
majlisnya? Huhu! Bestnya.” Irma menepuk tangan gembira. Mak Jah yang mendengar
ketawa kecil. Irma, Irma! Sengaja mahu menuang diesel pada api yang marak
nampaknya. Entah-entah hati Suriya sudah rentung pada waktu ini.
“Mana ada.” Suriya mencebik.
Siapa ya calon ayah? Kusut, kusut! Macam hidupnya ini tidak cukup ujian.
Astaghfirullah. Berdosa betul! Suriya mengurut dadanya dan beristighfar.
Maghrib begini banyak syaitan bergentayangan memporak perandakan hati manusia.
Dan dialah manusia yang terpilih itu dengan hati yang jelas berkecamuk.
“Ceritalah kak.” Irma mendesak.
“Ayah akak tanya akak ada calon tak.
Kalau tak ada, ayah ada calon.”
Melopong mulut Irma.
“Katanya dan 30an umurnya.”
“Euww...”
Suriya bangun dari duduknya. Mahu
masuk ke bilik. Tidak mahu keluar dah. Mahu duduk diam-diam sahaja.
“Nak mandi dulu, lepas tu nak
tidur.”
“Jangan ngada-ngada. Lepas solat,
kita makan sama. Kamu tak solatkan? Sediakan air panas. Ceduk nasi. Penat Mak
Jah masak dah ni...berani kamu tak nak makan?” Mak Jah sudah menjegilkan
matanya.
“Ok.” Tidak berani Suriya mahu
menderhaka kalau Mak Jah sudah menunaikan titah begitu.
“Irma, tunggu apa lagi. Nyamuk,
kelkatu dengan lipas pun dah pergi ambik air sembahyang. Dah bentang sajadah.
Kamu yang melopong tak habis-habis tu kenapa?” sergah Mak Jah lagi.
“Taufan dah datang. Lari!” Irma dan
Suriya berlarian masuk ke rumah depan. Meninggalkan Mak Jah yang sedang
menggoreng ikan kering.
Mak Jah membalikkan ikan kering
gelama di dalam kuali. Dia tersenyum. Gelama oh gelama, kalau kena gayanya
walau kamu citarasa kampung...tetap ada peluang menjejak ke pinggan makan
istana. Mak Jah ketawa lagi. Suriya, Suriya...mahu main-main ya. Mahu lari dari
Luqman ya. Tunggu!