Home Novel Komedi/Romantik Komedi BICARA CINTA TERTANGGUH
bab 23

PERGI atau tidak? Rasa malasnya hari ini berganda-ganda. Hari ini kembali dari rumah Mak Jah, dia singgah di pasar dan kemudiannya dia balik ke rumah. Hari ini dia menghabiskan masanya dengan membaca buku agama. Buat ubat jiwa yang rosak kerana cinta yang tidak keruan. Selepas itu dia menonton youtube video Ustaz Mohd Kazim Elias tentang Apa Itu Cinta. Kata Ustaz, cinta itu dua hati jadi satu. Cinta itu wujud pada sesiapa, tanpa mengira usia. Cinta mesti bersih, suci murni dan bersih dari dosa. Argh, dia jadi malu.

Luqman berbaring di sofa. Suara Hairul memberikan salam dia jawab namun dia tidak bangun. Pintu tidak berkunci.

“Bos, demam ke?”

“Mhmm...”

“Bos, duit jual dah masuk bank. Ni duit pusing.” Hairul meletakkan kotak berisi duit yang digunakan sebagai wang permulaan hari mereka setiap hari.

“Mhmm...letaklah atas tu.”

“Bos tak nak kira ke?” Hairul bertanya.

“Tak cukup seposen, aku tolak gaji kau sepuluh ringgit. Apa susah.” Luqman membalas dengan tangan diletakkan di atas dahi.

“Oh, parahlah gitu.”

“Mhmm...”

“Bos dah makan belum? Ni ada mi goreng mamak.” Hairul mengunjukkan bungkusan makanan. Dia sengaja membeli kerana dia tahu bosnya ini kalau ada masalah, bukan ingat dah mahu makan.

“Kau ni...bisinglah.” Luqman menegur.

“Yalah, saya balik.”

Luqman melihat Hairul bangun dan menuju ke pintu.

“Adam hari ni macam mana?”

Soalan itu membuatkan Hairul ketawa.

“Ada pelanggan minta kobis bunga, dia bagi kobis biasa. Orang minta lada besar, dia bagi cili.”

“Kau dulu pun tak kenal ubi dengan ubi keledek.” Luqman mencebik. Ada hati mahu ketawakan orang.

“Tu dulu. Kita cerita hal sekarang.” Hairul mempertahankan dirinya sambil tersenyum. Ya, dulu masa dia mula kerja dengan Luqman, dia asyik ditertawakan. Manalah dia kenal lada benggala. Manalah dia tahu apa itu grey mushroom. Cendawan kukur dia kenallah. Memang waktu itu dia jadi bahan ketawa mereka.

“Bos, motor saya kurang kuasalah.” Hairul menyambung bicara.

“Habis tu?”

“Tumpang ya ke masjid nanti.” Hairul tersengih-sengih. Bukan dia kedekut tetapi berjimat menyak petrol itu kan lebih bagus. Lagi pun dia dah belikan mi goreng mamak kan. Mi goreng oleh mamak yang paling tampan, kacak dan bergaya di daerah ini. Ada iras Shah Rukh Khan punya sepupu.

“Aku malas nak pergi masjid.” Luqman membalas selamba.

“Jangan bos. Umur kita ni...kubur kata mari, dunia kata pergi.”

Luqman mengerutkan dahi. Gila ke budak ni? Hairul itu baru 19 tahun. Dia pula baru masuk 27 tahun. Budak ni sengaja nak buat dia rasa tua?

“Ala bos, mati tu boleh datang dari kanan, dari kiri, dari depan, dari belakang...mana kita tahu.” Hairul memberikan alasan.

“Malas aku nak layan kau. Nak ikut, keluar pukul empat.”

“Alhamdulillah.” Hairul pun keluar dan merapatkan pintu. Jimat duit minyak.

Aroma mi goreng itu menyebabkan perut Luqman bernada berkeroncong. Mujurlah Hairul walaupun sengal tetapi pekerja yang boleh dipercayai. Jujur dan elok budi bahasanya walaupun ada ketikanya memang terasa nak angkat kaki sahaja apabila tanpa sedar Hairul bertazkirah gaya ninja. Main sebat cakap ikut sesedap rasa. Sedar-sedar, ada hati yang sudah dicantas dan bergolek di atas lantai.

Membaca bismillah, dia menikmati rezekinya yang pertama hari ini. Memang dari pagi, dia hanya sarapan tiga keping kuih sahaja. Sampai jam dua setengah ini, dia hanya minum air dan ini adalah kerana gara-gara Suriya yang membuatkan dia jadi haru biru. Tapi ada satu perkara penting yang berlaku pagi tadi. Dua sebenarnya.

Pertama, Suriya mengaku yang kerjaya sebagai tukang jual sayur tidak ada efek untuk menyebabkan Suriya menolak dirinya. Kedua, Suriya kata dia handsome. Oh, bangga gila rasa. Suriya kata dia handsome ok. Handsome. Patutlah dia kenyang sampai ke petang. Patutlah walaupun rasa marah itu ada, tapi masih ada rasa lega.

SAMPAI di masjid, dia dan Hairul terus membantu apa yang patut. Ada yang menyapu halaman masjid, ada yang menolong memasak dan ada juga yang menyusun pinggan, mangkuk, sudu dan garpu yang mahu digunakan nanti. Luqman memilih untuk menolong mengacau gulai daging yang baru mahu ditumis.

“Tak apa Tok Imam, biar saya jadi tukang kacaunya.” Luqman menawarkan diri.

“Bagus,bagus. Anak muda ni mesti tenaganya kuat lagi.” Tok Imam menepuk bahunya beberapa kali.

Mata Luqman mencari di manakah Latif. Janjinya mahu datang juga. Takkanlah Latif duduk dengan orang perempuan.

“Cari siapa matanya tu?” Pak Ali bertanya lalu memasukkan cili yang sudah dikisar.

“Pak Ali nampak Latif?”

“Gas habis tadi. Orang perempuan nak goreng popia. Dia pergi beli gantikan. Nak tunggu orang hantar takut lewat pulak.” Pak Ali memberitahu.

Luqman senyum. Betul juga tekaannya. Latif di belah bahagian pihak perempuan. Kasanova betul. Dan telinganya menangkap satu suara yang seperti dikenalinya menjemput mereka minum. Dia menoleh dan pandangan matanya dengan Suriya bersatu.

“Alhamdulillah. Dah kering tekak pak cik ni Suri.”

“Minum pak cik. Yang ni sirap sejuk. Yang lagi satu ni saya buatkan teh o suam.” Suriya menjemput. Dia menuangkan air tersebut kepada beberapa cawan. Menggigil tangannya. Dia tahu mata Luqman tajam memerhatikannya namun Luqman langsung tidak menegurnya. Akhirnya dia berlalu pergi.

“Kacau rencahnya Luqman. Jangan hangus.” Pak Ali menegur.

“Ada orang nampak bidadari, mana nampak dah bawang, cili dan halia.” Haji Tahar menyampuk dan mereka semua ketawa.

Luqman hanya senyum sahaja. Bidadari? Pak cik-pak cik tidak tahu, itu bukan bidadari. Itu raja. Raja yang amat berkuasa dalam menentukan rentak permainan cinta antara mereka berdua.

“Ni ada kuihnya. Jemput makan pak cik semua.” Suriya datang menatang dulang berisi kuih.

“Argh, syukur. Ada jugak orang dapur yang ingat dekat kita.” Haji Tahar mendekati meja itu dan mengambil sekeping kuih kaswi. Nampak sedap.

“Kamu buat kuih ni Suri?” tanya Haji Tahar.

Suriya menggeleng. Dia bukan jenis yang mahu ambil nama di atas usaha orang lain yang tentunya bersusah payah membuat kuih ini. Tidak pandai, mengaku sahaja tidak pandai. Lagi pun dia tidak perlu menaikkan sahamnya di kalangan pak cik-pak cik ini. Dia cuma sedang dalam usaha mahu mencari ruang untuk berbicara dengan Luqman.

“Saya tak pandai masak pak cik.” Suriya selamba mengaku.

“Tak pandai masak tak apa. Boleh belajar. Yang penting rajin.”

“InsyaALLAH pak cik.” Suriya ketawa kecil.

“Cari suami yang pandai masak. Macam Luqman ni. Untung Suri nanti.” Pak Ali memberikan cadangan lalu menyuruh Luqman memasukkan daging yang sudah dipotong kecil.

“Hisy Pak Ali ni.” Luqman mengacau daging yang baru dimasukkan itu dengan berhati-hati. Takut ada pulak kuali besar yang terbalik.

Pak Ali hanya senyum memandang dua anak muda itu.

“Saya nak pergi cuci sudu, senduk, garpulah pak cik.” Suriya meminta diri. Hati rasa geram. Oh, Luqman hisy kan dia ya. Langsung tidak sudi memandang wajahnya. Marah benar nampaknya. Dia berjalan ke arah tempat cucian. Lengan baju kurung disinsing. Biar dia di sini. Jauh dari perkara yang menyakitkan hati.

“Senduk tu bilas saja Suri. Baru minggu lepas kita guna.” Mak Jah memberitahu apabila dilihatnya gaya Suriya mencuci itu seperti mahu masuk dalam rekod Guinness Book of Records sahaja. Habis ditenyeh seperti ada sejuta kuman disitu.

“Tak apa Mak Jah. Biar bersih. Biar suci.” Suriya membalas.

Mak Jah menggeleng. Taufan sudah datang.

“Dah siap cuci tu, marilah sini. Ni Mak Anjang ada bawa kuih talam lima bekas. Nak kena potong. Kamu potong cantik.”

Suriya menarik nafas. Mahu lari balik bolehkah? Siap mencuci, Suriya pergi memotong kuih talam. Cantik sungguh hasil air tangan Mak Anjang yang memang terkenal dengan kuih talamnya. Dia menelan air liur. Ada talam cendol, talam ubi dan talam keladi. Terasa lembutnya apabila pisau plastik itu menyentuh kuih talam itu. Nisa yang mengajarnya cara memotong talam yang betul. Kalau tidak, mahu hancur.

“Mak Jah, ni sambal gorengnya dah siap masak.” Luqman datang dengan membawa satu besen besar.

“Letak sini. Sedapnya bau. Gulai dah siap?”

“Latif ganti saya. Kasi peluang dia pulak, buat baik depan Tok Imam.” Luqman ketawa. Ekor matanya melihat Suriya yang sedang memotong kuih talam dengan berhati-hati. Hari ini gadis itu memakai kurung moden berwarna biru muda. Selendangnya berwarna merah samar. Dan dia melihat Suriya mengangkat kepala lalu Luqman pun mengalihkan pandangan. Pasti Suriya merasakan dirinya diperhatikan.

“Cuba rasa ni.” Mak cik Miah memberi piring kecil berisi pajeri nenas.

“Sedapnya mak cik. Kalau mak cik single, saya pinang malam ni jugak. Esok kita bulan madu dekat Langkawi.” Luqman memberikan komen setelah merasa pajeri nenas itu. Dan telinganya mendengar bunyi loyang dihentak ke atas lantai. Eh, ada orang mengamukkah?

“Manisnya mulut kamu Luqman.”

“Ayat..”

“Puji Miah aje. Ni yang buat kerja lain tak nak pinang jugak ke?”

Bertubi-tubi mereka yang di dapur itu memberikan reaksi. Suasana jadi ceria dan riuh rendah.

“Amboi, mengurat mak cik yang dah kedut seribu ni?” Mak Cik Miah ketawa senang hati.

“Kedut tu pengalaman mak cik. Bukti pandai masak, pandai menghargai, pandai jaga hati orang yang kita sayang...” Luqman membalas.

Ada juga loyang yang terbang. Itu tanggapan pertama yang ada di dalam ingatan Suriya. Sabar. Buat tidak dengar. Luqman pukul anak, sindir menantu nampaknya. Dia memujuk hati untuk bersabar. Semua mak cik dan pak cik di sini memang sukakan Luqman. Itu fakta yang tidak dapat disangkal lagi. Kalau ada perbalahan Suriya melawan Luqman, sah dia akan kalah. Kalah tanpa bertanding ya.

“Suri...Suri!”

Dan Suriya pun menoleh kepada banyak mata yang sedang memandangnya.

“Kenapa Mak Jah?”

“Er...” Mak Jah menunjukkan ke tangan Suriya.

Suriya menundukkan wajah. Astaghfirullah. Astaghfirullah. Ini bukan kuih talam cendol tetapi kuih talam kena cincang.

Sorry...Suri tidak sengaja.” Mukanya jadi pucat.

Mak Jah menepuk bahu Suriya. Mujur empat loyang yang lain elok sahaja potongannya. Loyang yang akhir ini saja dipotong senget benget tidak mengikut skala seperti yang lain. Luqman menarik loyang itu.

“Mak Anjang...saya makan ya. Pergh, ni buat dekat syurga nombor berapa ni? Mencair dalam mulut. Sedap.” Luqman memberikan komentarnya.

Kata-kata itu membuatkan Suriya terasa semakin geram. Ada saja lelaki ini stok bicara yang manis-manis. Lahir kembar dengan gula kabungkah?

“Kamu tu kalau Suri potong jadi cincau pun kamu kata sedap.” Mak Anjang ketawa gelihati.

“Ya ke Mak Anjang? Pasti? Muktamad?” Luqman berjenaka. Selamba terus menikmati kuih talam itu dengan asyiknya. Wajah Suriya dikerling pun tidak.

Mak Jah memandang wajah Suriya. Mengerling pula kepada Luqman. Musim taufan sudah tiba. Kalau dua-dua keras kepala, usahkan pelamin, daun sireh mahu dibuat sireh junjung pun tidak akan kelihatan. Pucuk kaduk sahaja yang berani naik ke junjung!

Previous: Bab 22
Next: Bab 24

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.

Karya lain oleh Lynn Dayana