Home Novel Komedi/Romantik Komedi BICARA CINTA TERTANGGUH
Bab 17

GELIHATI memikirkan Suriya yang marahkan dirinya apabila mengetahui yang Nisa itu kawan satu sekolahnya semasa mereka sekolah rendah dan menengah. Kata Suriya, ini konspirasi. Kata dia, eh mana ada. Ini suratan dan kebetulan. Luqman ketawa sendiri. Hari ini dapat mengusik Suriya, hidup terasa indah sekali. Eh bukan sekali tetapi dua kali. Di dalam keadaan marah, Suriya naik juga keretanya. Walaupun duduk di bahagian penumpang, Luqman tetap gembira.

“Kau senyum macam dunia ni takkan kiamat dah.” Latif menyergah. Dia menghulurkan bungkusan minuman yang dipesan oleh Luqman.

“Haruman dia aku rasa kekal tersemadi dalam kereta aku. Tak akan hilang.” Luqman sudah membuat gaya menghidu haruman Suriya yang lembut dan manis.

“Bro, ada bau ikan aje kat dalam ni.” Latif menggeleng kepala.

“Kau mana tahu.”

“Yalah, bab cinta akulah yang paling lemah sekali. Masa SPM dapat gred C. Tapi bab agama aku dapat A.” Latif ketawa kecil. Memuji dirinya sendiri. Melihat cebikan bibir Luqman, dia menyambung ketawa lagi.

“Sejarah kau dapat S, Ekonomi kau dapat E lah ya?” balas Luqman.

“Dik, akak nak sayur nangka ni. Penat akak cari tak jumpa nangka muda. Mujur kat sini jumpa.” Seorang wanita berbaju kurung biru muda menegur mereka. Latif segera bergegas ke gerainya dan membungkuskan kepingan nangka muda untuk kakak itu.

“Nak masak apa ni kak? Lemak cili api?” teka Latif.

“Nak masak kari dengan daging.” Kakak itu menjawab.

“Akak buat saya rasa nak minta alamat.” Latif berjenaka.

Selepas membayar dan mengucapkan terima kasih, wanita itu berlalu.

“Kau, kalau dengan orang lebih tua, bukan main manis mulut. Kalau dengan anak dara, ketar segala sendi. Macam mana nak cari awek.” Luqman mengusik. Memang sudah diperhatikan tingkah Latif. Memang begitu.

“Anak dara tu kan lain kategori.”

Luqman ketawa. Oh begitu. Habis tu, mahu kahwin dengan wanita tuakah?

“Mungkin jodoh kau dengan janda,” usik Luqman lagi.

Mendengar usikan Luqman itu, Latif terdiam. Mana tahukan? Tapi kalau sudah ALLAH jodohkan tidak akan mampu mana-mana hamba-NYA mahu menolak. Hisy, apa yang dia berangankan ni! Latif menyepak pipinya perlahan. Huh! Luqman semenjak mabukkan Suriya, semua orang pun dia mahu masukkan dalam dunia cintanya. Biar ikut berselirat sama.

“Kurang orang hari ni ya.” Milah pula bersuara. Dia menyusun bungkusan minya yang masih meninggi.

“Tengah bulan kak.” Luqman memberikan alasan.

“Atau mungkin akak kena buat sesuatu yang kebabom kot. Baru orang datang.” Latif sudah sampai mood menyakatnya.

“Nak buat apa tu Latif? Pak cik nak join jugak.”

“Kita pasang lagu dangdut nak? Kita goyang...” Latif menggelekkan punggungnya dan menyebabkan semua orang ketawa. Dan tiba-tiba terdengar dehaman. Mata pun tertumpu kepada arah bunyi dehaman itu.

“Assalamualaikum Tok Imam. Apa khabar?” Luqman memecahkan keheningan suasana. Latif, dia lihat sekejap lagi memang boleh dihantar ke muzium. Sudah keras macam mumia.

“Waalaikumusalam. Alhamdulillah. Tok nak cari sayur meranti. Ada kamu jual?” tanya Tok Imam yang bernama Haji Ahmad tetapi lebih mesra dipanggil Tok Imam kerana dialah imam bagi masjid di kawasan mereka itu.

“Sayur meranti Latif ada jual tok. Ada lagi ke Latif? Tok nak masak lemak ya tok?” tanya Luqman. Apabila dilihatnya Latif masih keras, disinggungnya tubuh kawannya itu. Ini Tok Imam, bukan cucu Tok Imam. Apalah Latif ni!

“Nak berapa ikat tok?” Latif bertanya seolah-olah baru terjaga dari pukau.

“Bagi tok dua ikat. Wah, cantik petai kamu ni. Boleh buat sambal tumis udang dengan petai. Tifa suka lauk tu. Bagi jugaklah petai tu dua ikat.” Tok Imam memesan.

“Udang dua ikat ya tok.” Latif mengambil petai dan kata-katanya itu mengundang tawa. Menyedari kesilapannya, merah muka Latif.

“Tengok tu tok. Panik kawan saya.”

Tok Imam melihat wajah Latif. Memang benar. Ada peluh merintik di dahi anak muda itu. Telinganya merah dan wajahnya pucat sedikit. Namun bibirnya tersenyum manis.

“Kamu ni sihat ke tak Latif? Sekarang ni musim denggi. Jaga sikit kesihatan. Berapa jumlahnya?” tanya Tok Imam sambil memberikan nasihat juga.

“Tak apalah tok.”

“Eh, jangan macam tu. Tok tak main rasuah-rasuah ni. Berapa?”

“Enam ringgit tok.” Laju Latif menjawab. Pergh, terkejut dengar suara Tok Imam punya amaran. Latif menundukkan kepala mengucapkan terima kasih. Melihat Tok Imam yang melangkah meninggalkan gerai mereka. Kemudiannya dia menarik nafas lega.

Luqman datang menghampiri Latif. Bahu kawannya itu dipeluk.

“Baru dia tanya berapa ringgit kau dah hilang 100 tulang. Belum dia minta kau buat solat jenazah.” Luqman terkekeh-kekeh ketawa. Gelihati. Orang yang banyak cakap memang pandai bersandiwara. Kena batang hidung sendiri, sama saja gementarnya.

“Jenazah, jenazah jangan sebut. Aku belum kahwin lagi tau.”

“Ada hajat nak kahwin.”

“Wei, kau tak dengar tadi betapa tok imam prihatin dengan kesihatan aku. Cukup risau kalau aku kena denggi. Maksudnya dia sayang tu kat aku.” Latif dengan yakin bersuara. Tiba-tiba hari ini terasa terang benderang. Terasa indah dan ada pelangi tujuh warna.

Luqman menggeleng. Parah! Jeritan suara memanggil namanya menyebabkan dia menoleh. Alahai, masalah sudah sampai.

“Luq, lama tak nampak. Makin lama makin handsome akak tengok.”

Bibir pun terukir senyuman. Ini pelanggan. Kenalah hormat dengan baik walaupun tidak selesa. Argh, dia buat dah. Mahu beli sayur tetapi jari jemari tu macam ketam.

“Makin lama makin sasa. Tengok lengan ni...”

“Amboi kamu ni Bibah, satu pasar ni ramai lagi manusia, kamu nampak Luqman saja ya,” tegur Milah.

“Janganlah panggil Bibah. Kau ni Milah. Ini zaman makin mencabar. Panggil aku Baby.” Bibah mukanya masam apabila dipanggil dengan namanya yang sebenar.

“Argh, terasa mencabar tekak aku aje nak panggil kau Baby. Kalau kau tu kecik comel bayi bolehlah.” Milah menolak. Mereka sama satu sekolah maka memang di antara mereka selalu bercakap lepas saja.

“Aku ni comel dari dulu, kini dan selamanya.”

“Nak pitam pulak akak rasa tiba-tiba Latif. Kau tolong tengokkan kedai ya. Akak nak pergi cari air kejap.” Milah meminta diri. Dia menjeling ke arah Luqman yang kelihatannya menahan ketawa. Dia tidak tahu mahu kasihan siapa. Luqman yang dari dulu, kini dan selamanya dikejar Bibah, janda tiada anak itu ataupun kasihan pada Bibah yang tidak sedar diri itu.

“Akak nak beli apa kak?” Luqman menegur.

“Nak brokoli, lobak merah dengan cendawan. Akak nak buat tomyam. Bagi cili jugak. Akak nak buat pedas-pedas biar terbakar.” Bibah membalas sambil tangannya mengurut dada menunjukkan aksi seperti panas terbakar.

Mahu ketawa tetapi Luqman menahan diri.

“Lagi kak? Jagung muda tak nak kak? Tomato?”

“Hisy, kamu ni Luqman pandai benar meniaga. Karang silap-silap satu kedai ni akak beli sayur-sayurnya.” Bibah ketawa senang hati.

“Beli dengan tuannya sekali kak. Lagi bagus kak.” Latif menyampuk.

Serta merta Bibah berpusing dan menunjukkan penumbuknya. Menyibuk sungguh Latif ini. Kacan daun.

“Ala kak, janganlah marah. Makin marah makin manis saya nampak. Ni, sayur pucuk ubi tak nak ke kak? Pucuk paku ke? Daun pucuk labu masak lemak memang terangkat kak.” Latif terus mengusik.

“Mana kelas makan pucuk-pucuk tu.”

“La, tak ada kelas ya kak. Ingatkan akak memang suka pucuk muda.” Latif selamba bersuara. Mendengar dengusan Bibah, Latif menahan ketawa. Cepat-cepat dia membuang sampah dan menyusun bakul di belakang.

“Oui, tak yahlah berlakon.” Luqman memanggil.

Latif pun keluar dan ketawa. Luqman menggeleng.

“Kesian dia. Tak elok kau usik macam tu.”

“Memang dia suka pucuk muda dan engkaulah pucuk muda yang dia nak kunyah-kunyah.” Latif tidak mahu mengalah.

“Bukan luak pun.”

“Kalau Suri tahu macam mana?”

Luqman berhenti menyusun bakul yang sudah kosong. Latif ini demam ke apa? Dan gegaran telefon di poket menyebabkan dia menutup mulut seketika. Nama diskrin dilihat. Suri!

“Saya nak order barang.”

“Nak order apa? Kan semalam dah setuju warna turquiose dengan pink.” Luqman menjawab dengan senyuman.

“Hah?”

“Pelamin. Warna pelamin kita.” Dan Luqman ketawa suka hati.

“Luqman. Cepatlah saya ada banyak kerja ni. Sayur ni nak pakai esok pagi. Nisa terlupa order.” Suriya sudah naik angin.

“Ok, saya akan tempah cepat. Pelamin satu. Pengantin satu...”

“Luqman!” Suriya sudah menjerit di hujung talian.

Previous: Bab 16
Next: Bab 18

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.

Karya lain oleh Lynn Dayana