Home Novel Komedi/Romantik Komedi BICARA CINTA TERTANGGUH
Bab 3 : Kasih itu raja jiwa yang menguasai minda kala terpesona

IKUTKAN hati, memang malas mahu ke balairaya. Namun kasihan pula Mak Jah yang baru elok kakinya jika mahu berjalan sendirian ke sini. Dan kerana rasa kasihan itulah, Suriya terperangkap di sini. Duduk di satu sudut, memakai baju kurung lagi. Bukan main sopan dan elok. Di bahagian depan sana, Mak Jah sedang seronok berbual dengan kawan-kawannya. Manakala dia memilih untuk membaca novel di satu sudut belakang. Mesyuarat yang sebenar masih belum bermula namun mesyuarat yang tidak rasmi sudah lama berlangsung.

Walaupun duduk sedikit jauh, namun telinganya menangkap perbualan mereka. Memang menakjubkan. Bermula dari cuaca, beralih ke resepi kuih dan kini bercerita tentang majlis perkahwinan yang akan berlangsung hujung bulan nanti. Wah, terasa seperti dia watak tambahan di dalam drama bersiri Desperates Housewives. Serius, perbualan mereka sungguh berwarna-warni. 1001 malam pun masih akan ada episod yang seterusnya.

“Apasal duduk jauh ni?”

Suriya menoleh. Siapa pula yang menegur? Argh, Luqman.

“Luqman, tempat duduk lelaki sebelah sana.”

Erk, punyalah berterus terang teguran itu dan dia melihat Luqman senyum dan melambai kepada kaum wanita yang duduk berkumpul di bahagian depan.

“Saya hantar kuih muih ni Mak Jah.” Luqman menunjukkan beberapa bekas berisi kuih yang dia letakkan di meja hidangan sebentar tadi.

“Meja kuih jauh dari orang yang awak tegur tu. Salah arah ya?” tanya seorang lagi mak cik yang Suriya tidak kenal.

“Salahkan magnet mak cik.” Luqman menjawab dengan selamba. Kakinya masih kekal di situ. Berdiri hampir dengan Suriya. Wajahnya bersahaja. Lagak seperti orang yang langsung tidak bersalah.

Jawapan itu mengundang tawa.

“Amboi Luqman. Tak sabar nampak.”

“Hisy mana ada Mak Nab. Ni kuih muihnya ya. Saya keluar dulu. Nak jemput ahli mesyuarat yang lain.” Luqman membalas.

Suriya hanya diam saja. Oh, selain dari jual sayur, Luqman ini menjual kuih?

“Minta nombor telefon boleh?” Sempat Luqman berbisik.

Cepat-cepat Suriya menggeleng. Jangan mimpi!

“Jangan sombong.”

Suriya menjeling.

“Mana tahu saya perlu pertolongan dan awak seorang saja yang boleh selamatkan saya. Kan susah nanti kalau saya tak ada nombor telefon awak. Kan? Kan?” Luqman merasionalkan permintaannya.

“Apa kan? Kan? Ingat saya anak ikan?” balas Suriya. Tidak selesa dengan mata yang banyak memerhati. Aduhai. Patutnya dia hantar Mak Jah dan duduk saja di dalam kereta.

Luqman senyum. Oh, ada juga suara dan garang orangnya.

“Ikan merah. Manis. Segar. Sedap.”

Erk, adjektif yang terakhir itu sungguh tidak sesuai. Mentang-mentanglah dia memakai kurung Pahang berwarna merah maka dia ikan merah. Mengarut betul Luqman ini. Suriya menundukkan wajah. Baca novel. Fokus dan pura-pura fokus.

“Luqman, panggillah yang lain tu masuk. Jangan nak jual minyak aje.”

“Saya jual sayur je mak cik. Minyak belum lagi.” Luqman membalas dan menyebabkan balairaya itu meriah dengan bunyi tawa.

Merah muka Suriya. Mereka semua ini selamba sahaja sedangkan dia sudah merasakan seperti suhu balairaya ini naik ke 100 darjah celsius. Panas.

MESYUARAT selesai. Suriya merasa lega. Bolehlah balik ke rumah. Hoorey. Namun itu adalah anggapannya setengah jam yang lalu. Setengah jam, ok. Rupa-rupanya selepas mesyuarat ada pula demonstrasi membuat kuih bingka labu. Aduh. Terpaksalah dia menonton sama.

“Kuih.”

Suriya menoleh. Sepiring kuih diberikan kepadanya oleh Mak Jah.

“Terima kasih. Lama lagi ke?” tanya Suriya. Dia mengambil sebiji kuih karipap. Argh, sedapnya.

“Sedapnya. Luqman jual kuih juga ke Mak Jah?” tanya Suriya dalam nada berbisik.

Mak Jah ketawa kecil. Ada orang yang berminat nampak?

“Taklah. Ini dia sedekah.”

“Sedekah?” Gigitan jadi terhenti. Karipap sardin itu memang cukup perisanya. Berintikan sardin dan bawang yang banyak. Memang jenis yang digemarinya.

“Ya. Luqman memang macam tu. Kalau ada majlis-majlis dekat tempat kita ni, dia suka sedekah. Luqman ni hatinya baik macam emak bapanya jugak. Suka bersedekah, menghormati orang tua dan memang suka buat amal jariah.” Mak Jah bercerita panjang lebar.

Suriya diam. Promosi lagi!

“Sebab tu ramai orang suka dia. Ramai sangat berangan nak jadi isteri dia. Ramai jugak yang berangan nak ambik dia jadi menantu.”

Suriya masih diam. Mendengar dengan baik. Ekor mata melihat ke arah luar tingkap balairaya. Luqman sedang berkejaran dengan anak-anak kecil bermain bola.

“Tak selalu kita jumpa budak lelaki yang baik macam Luqman tu.” Mak Jah menyambung lagi.

“Baguslah.” Suriya menjawab sepatah.

Mak Jah menoleh.

“Bagus?”

“Yalah, baguskan suka bersedekah dan buat amal jariah.”

Tersenyum meleret bibir Mak Jah mendengar pujian itu.

“Mesti ramai teman wanita dia, kan Mak Jah?” Suriya membuat telahan.

“Dia berkenan dekat kamu.” Mak Jah membalas lalu bangun dan menuju ke arah kaum ibu yang lain. Bingka labu sudah dikeluarkan dari oven. Baunya semerbak mewangi seperti hati tuanya juga. Suriya Hanum dan Luqman Haqim. Kalau ALLAH menjodohkan mereka, dialah yang paling bahagia.

SURIYA sudah berdiri di tepi kereta. Dia sudah bersalam-salaman dengan mereka yang lain. Kini dia menunggu Mak Jah yang masih belum habis bercerita. Macam dah sepuluh tahun tidak bersua saja mereka semua padahal dua hari lepas Mak Jah ada kelas agama bersama mereka juga. Sah, memang kalah keakraban pelakon Desperate Housewives.

“Nak balik dah?” tegur Luqman.

Suriya mengangguk.

“Mahal benar suara Suri ya.”

Eh, bila pulak lelaki ini mendapat kebenaran memanggilnya Suri? Suriya tetap berdiam.

“Kalau nak dengar bersuara pun susah...mesti lagi susah kalau nak dengar Suri menyanyi kan?” Luqman terus berbicara.

“Apasal pulak saya nak menyanyi?” soal Suriya tanpa berfikir panjang.

Dan Luqman pun tersenyum. Suriya segera membuang pandang. Sah, lelaki ini gembira kata-katanya berjaya mengundang suara juga.

“Tak elok kuat melenting. Nanti darah tinggi naik.” Luqman menegur.

“Huh!”

“Tak baik mendengus macam tu. Hilang kemanisan wajah 50 peratus.”

Aduhai Luqman ini banyak pula pantang larangnya. Gumam Suriya namun hanya di dalam hati sahaja. Seksalah kalau berpacaran dengan lelaki ini. Ini tidak boleh, itu tidak boleh. Pasti hidup penuh tekanan.

“Kalau suara masa mengaji sedap tak?”

Suriya menjeling. Apa ingat aku tak pandai mengaji? Argh, bicara itu tetap juga hanya di dalam minda sahaja. Khuatir lelaki ini jika dilayan hanya akan menambah masalah.

“Berzanji?”

Tidak fahamkah lelaki ini yang perbualan ini tidak mahu diteruskan? Mahukah diberitahu yang ini contoh perbualan bertepuk sebelah tangan? Suriya semakin rimas. Mata memandang ke arah Mak Jah. Cepatlah Mak Jah. Marilah kita balik. Hati berdoa tidak henti.

“Karipap yang Suri makan tu, saya dah jampi. Malam ni pasti tidur tak lena, resah ingatkan saya.” Luqman mengangkat kedua-dua keningnya sambil tersenyum manis.

“Sedekah apa kalau niat macam tu?” Suriya membalas. Mahu dicepuk saja wajah Luqman yang tersenyum sebegitu.

“Untuk orang lain, saya sedekah. Untuk Suri, lain percaturannya.”

“Mana ada catur dalam karipap.” Suriya mencebik.

Dan Luqman ketawa. Sekuat-kuat hatinya. Suriya jadi takut. Dia segera memasuki kereta. Aduhai, Luqman. Teruk betul. Sekarang semua mata memandang ke arah sini. Luqman ini memang menyusahkan betul. Apa pula kata Mak Jah? Apa pula kata jiran tetangga yang lainnya. Pasti ada pandangan yang tidak elok untuk dirinya.

Kalau ada pistol mesti paling kurang pun tiga das tembakan dia lepaskan. Satu di kepala biar Luqman tiada idea mengarut untuk mengusik dirinya. Kedua tepat di hati, biar Luqman tidak mampu memporak –perandakan hidupnya. Yang terakhir, biar di bibir. Biar tiada lagi gigi taring dan senyuman manis yang membunuh makna waras.

Previous: Bab 2
Next: Bab 4

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.

Karya lain oleh Lynn Dayana