Home Novel Komedi/Romantik Komedi BICARA CINTA TERTANGGUH
bab 14

TERBAHAK-BAHAK Aida ketawa. Kalau ada pingat dalam dunia cinta, dia pasti pemenangnya adalah Luqman. Tiada pemenang yang lain. Lelaki ini memang kaya strategi. Gigih mahu memenangi hati Suriya.

“Aku serius dan kau ketawakan aku?” marah Suriya.

“Aku rasa macam nak peluk-peluk Luqman tu.” Aida membalas.

“Kau dah gila?”

“Dia bestlah Suri. Mana pernah kita jumpa, kau yang dapat kerja tapi dia yang beria-ia keluarkan belanja buat kenduri kesyukuran.” Aida menyambung tawanya lagi.

“Itu bukan best. Itu psiko!” Suriya membantah. Malu. Sangat malu apabila di hujung majlis, pak imam telah memberitahu majlis itu diadakan sempena dia mendapat kerja. Menambah merah di muka apabila pak imam berjenaka, supaya dirinya mampu memahirkan diri di dalam skil memasak supaya boleh menjadi bakal isteri yang baik. Cis, Luqman memang melampau.

“Dia buat kambing golek tu. Patutnya dia sarung cincin aje terus.” Aida membalas.

“Karang ada orang yang putus sahabat ni kang.” Suriya mengugut. Sudahlah jauh di Kuala Lumpur, meminjamkan telinga pun Aida tidak boleh lakukan.

“Semenjak wujudnya Luqman dalam hidup kau nikan...aku rasa kau kerap merajuk. Dan...kerap merajuk tu adalah salah satu petanda orang yang diamuk cinta.” Aida membuat hipotesisnya sendiri.

Seronok. Terasa gembira mengenakan kawannya ini yang dari zaman mereka belajar lagi pun memang tidak mahu ada hubungan dengan mana-mana lelaki. Alasan utamanya adalah dia lebih selesa berkawan sahaja. Mana-mana lelaki yang datang menghampiri, Suriya tolak dengan sebaik mungkin. Alergik dengan gender mereka? Mungkin ya. Atau kerana Suriya sebenarnya tidak percaya kepada kaum Adam?

“Sila betulkan fakta. Tiada perkataan wujud untuk Luqman di dalam hidup aku.” Suriya tetap membantah.

“Meriah ke kenduri semalam?” tanya Aida.

“Sedap lauknya. Briyani kambing tu boleh buat kau tak tidur malam.” Suriya membalas. Memang sedap. Cukup perisa dan cukup rempahnya.

Di hujung talian, Aida ketawa.

“Kau ni dah kenapa?” Suriya merasa jengkel.

“Kau lebih tertarik dengan kambing dari Luqman! Mahu aku tak ketawa. Kelakarlah wei!” Aida memberitahu.

Suriya terdiam. Erk...benarkah begitu?

MELIHAT Suriya yang termenung panjang, Irma mendekati dan menepuk bahu.

“Hisy, terkejutlah.”

“Ingat kat siapa tu? Macam jauh aje fikiran melayang.” Irma mengusik.

“Tolong jangan sebut nama dia. Please!Akak tak benarkan nama dia disebut lagi sampai minggu depan.” Suriya merayu. Cukup-cukuplah. Sudah berdarah telinganya ini kerana ditertawakan oleh Aida.

“Akak nanti pergi kerja bawak keretalah ya?” Irma menukar tajuk perbualan.

“Kalau dekat, bagus jugak kalau naik basikal.” Suriya ketawa kecil. Yalah, mahu naik basikal. Macam larat sangat. Separuh jalan, mahu dia tinggalkan basikal di tepi jalan dan mencari teksi.

“Kerja waktu pejabat ke kak?” tanya Irma.

“Katering mana ada masa pejabat. Akak pun tak pasti macam mana kerjanya. Main hantam aje sebab duit dah habis.” Suriya ketawa.

Irma turut ketawa juga. Dia melihat wajah bersih Suriya. Rambutnya yang lurus mencecah bahu itu memang macam iklan syampu. Kalau jadi model iklan syampu memang luluslah.

“Akak memang tak ada kekasih ke?”

Suriya menggeleng.

“Takkan cantik macam akak ni, tak ada orang yang nak?” soal Irma lagi. Kata kawan-kawannya, Suriya memanglah tidak secantik Izara Aisyah, pelakon kecil molek itu tetapi senyuman Suriya memang manis dan kesederhanaannya memikat. Entah betul atau tidak, dia pun tidak pasti. Yang dia tahu, Mak Jah memang sayang Suriya macam anak sendiri.

“Akak ni biasa ajelah. Irma tak tengok kat KDU tu. Muka awek dia, macam selebriti. Akak ni muka kampung.” Suriya bercerita sambil senyum.

“Tapi muka kampung akak nilah yang buat orang tu gila bayang.”

Dan Suriya pun membaling bantal kepada Irma. Bukankah sudah diberitahu yang nama Luqman jangan disebut? Degil betul.

“Mak Jah suka akak duduk sini.” Irma tersenyum simpul. Dia pun suka. Tidaklah sunyi rumah ini dengan kehadiran Suriya.

“Yalah...tak lama lagi mesti Mak Jah dengan Irma bosan.”

“Jangan cakap macam tu depan Mak Jah. Kecik hati dia nanti. Akak tu buah hati pengarang jantung Mak Jah.” Masih dia ingat airmata yang membasahi pipi Mak Jah ketika mendapat tahu selepas pengajian Suriya tamat, Suriya mahu kembali ke rumah mereka ini. Mulanya Mak Jah menyuruh Suriya pulang ke rumah orang tuanya namun Suriya tidak mahu ke sana dan memilih untuk ke sini.

“Akak tahu. Jasa Mak Jah bela akak dari kecik sampai tua bangka ni, tak akan sesaat pun akak lupa.” Dada terasa sebak jika mengingatkan jasa pengorbanan Mak Jah. Tanpa Mak Jah, dia adalah anak yang dahagakan kasih sayang sebuah institusi yang bernama keluarga. Makna kasih sayang itu juga mungkin tidak akan dia fahami. Segala-galanya asing bagi dirinya yang serba serbi miskin dengan rasa itu.

“Kalau dah tua bangka...tu petanda kena kahwin dah tu. Irma teringin nak dapat abang ipar.” Irma ketawa.

“Huh, akak baru 23 lah. Nak kahwin lewat sikit.”

“Lewat tu berapa? 24?”

“29?” Suriya ketawa. Saja suka-suka mengenakan Irma. Calon pun tidak ada, suka-suka mahu menyusun agenda penting di dalam hidup. Perkahwinan bukan perkara mudah dan yang paling penting, ikatan itu bukan sesuatu yang dia mahu fikirkan pada ketika ini. Kerja dulu. Cari duit banyak-banyak. Jalan merayau ke mana sahaja yang dia mahu. Bebas dan tidak terikat dengan sesuatu yang boleh membawa luka dan sengsara. Itulah matlamat hidupnya.

“Enam tahun lagi? Ayoyo, masa tu abang Luqman dah 33.” Irma membuat kiraan.

“Hey, apa kena mengena dia dengan akak?” Suriya mencebik.

Irma ketawa. Sudah gaharu, cendana pula.Sudah terlepas, baru tahu makna merana!

TUALA digantung di rak. Suriya duduk di birai katil. Suasana sunyi. Duduk di sini memang tiada hingar bingar seperti di bandar. Nyaman saja. Jiwanya tenang di sini. Tiada gangguan. Dan telefon pun berbunyi.

Esok kerja baik-baik.

Jaga etika kerja.

Jaga mata.

Jaga hati.

Amboi, pesanan berjela. Luqman, Luqman! Ini pesanan tanpa ikatan. Agaknya kalau Luqman betul menjadi teman lelaki dia, seluruh kehidupannya pun ada undang-undang tersendiri.

Tak nak bagitahu... saya boleh tarik nafas berapa kali sehari?

Kelip mata berapa kali?

Curi tulang berapa kali?

Mesej itu Suriya hantar. Kali pertama dia membalas mesej Luqman. Selepas menekan butang hantar, Suriya terasa menyesal. Argh, sudah. Kenapalah jarinya gatal menekan butang hantar? Harap-harap Luqman sudah tidur. Dan harapan tinggal harapan kerana telefonnya sudah bergegar. Mungkin Aida. Mungkin Ajak dari kumpulan Shiro. Dan Suriya ketawa sendiri. Dia sudah semakin melalut. Telefon dicapai. Wah, ini baru betul panjang berjela-jela. Karangan SPMkah?

Suri...

Kalau dunia ini kehabisan udara, saya bekalkan tong oksigen cap cinta

khas untuk Suri...

Kalau mata Suri terlalu letih mahu melihat dunia...biar saya tuntun langkah Suri

sampai ke syurga...

Kalau tulang...erk...kalau tulang kurang kalsium, selori keju saya hantarkan di

penghujung hari.

Hanya untuk Suri...

Pitam. Rasa mahu pitam membaca mesej dari Luqman itu. Tolonglah. Penyair dari daerah mana agaknya yang singgah di sini dan akhirnya menjadi penjual sayur? Ayat bergula. Manis menggila. Abaikan sahaja. Suriya naik ke atas katil dan membiarkan telefonnya di atas lantai. Dia menutup lampu. Dari jauh dia melihat telefon itu yang masih bersinar. Luqman, apa yang boleh dia lakukan supaya lelaki ini berhenti mengganggunya?

Previous: Bab 13
Next: Bab 15

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.

Karya lain oleh Lynn Dayana