Home Novel Komedi/Romantik Komedi BICARA CINTA TERTANGGUH
Bab 19

MALAM sudah lewat. Jam sudah hampir jam sebelas. Namun mata Suriya masih belum mahu lena. Fikirannya masih lagi sesak. Seriuskah ayah dengan calonnya? Kalau diikutkan perbezaan usia, antara dia dengan Damia ada beza tiga tahun. Mengikut logik, Damialah kahwin dulu atau pun Hajah Nani ada agenda yang tersendiri? Tak baik buruk sangka, Suriya. Dia mengingatkan diri sendiri. Tidak baik juga jika hati penuh dengan prasangka. Argh,kusutnya hidup.

Bunyi satu SMS diterima.

Suri, dah lena?

Argh, Luqman yang penyibuk.

Kalau belum lena... saya nak bagitahu ni...

Tetaplah Suriya tidak membalas. Dan telefon itu berbunyi lagi.

Saya nak bagitahu...saya doakan tidur awak lena. Hahaha.

Sengal! Memang sengal lelaki bernama Luqman ini. Ingat dia ini kanak-kanak? Mahu main cak ba? Usianya bukan remaja 14 tahun wahai Encik Luqman!

Jengahlah luar tingkap... saya ada kat situ

Hah? Serta merta Suriya bangun dan menuju ke tingkap. Biar benar? Lelaki ini sudah gila? Mahu cari pasal? Mahu ditangkap orang kampung kerana bersikap tidak senonoh. Matanya melingas mencari susuk tubuh Luqman. Tiada. Besembunyi di sebalik pokokkah? Suriya kembali ke katil dan mencapai telefonnya semula.

Awak cari saya...Suri?

Masih mencari lagi?

Sayakan ada dalam hati awak Suri....

Selamat malam...lenalah tidur hendaknya. Amin.

Argh! Ada telefon yang mahu dibaling ke dinding! Mujur waras. Luqman ini tidak sudah-sudah mempermainkan dirinya. Mungkin ini masa terbaik untuk mempermainkan Luqman pula. Apa kata kita sama-sama tengok wahai Encik Luqman, siapa yang akan menang! Mahu hantar SMS yang bagaimana ya? Suriya termenung seketika.

Semoga Luq lena tidur juga...

Mesej itu dipadam. Tidak cukup ummph. Kurang impak. Kurang nyalarasa. Kesannya minimal dan idea pun datang. Jari laju menaip.

Saya tak mencari sesuatu yang saya dah ada, Luq

Oh, kalau begini pasti Luqman akan haru biru, ungu dan kelabu. Ada karang esok, gerai Luqman buat jualan tahunan sayur-sayuran dengan kadar yang murah. Bergembiralah para pembeli sayur Luqman. Suriya ketawa kecil. Amacam? Berani atau tidak dia menghantar. Kasi kacau hidup Luqman pula. Mana adil dia sahaja yang selalu dipermainkan. Dan jari pun menekan butang hantar.

SAJADAH dilipat. Luqman merebahkan badan ke atas tilam. Penat, memang penat. Dia harus menambah tenaga kerja. Tidak lama lagi jika beginilah cara dia terus menguruskan perniagaannya maka tidak mustahil tulangnya dari 206 menjadi 106 sahaja. Telefon dicapai. Kelakar kerana dapat mengusik Suriya. Matanya terjegil. Biar betul! Suriya membalas SMSnya. Dan Luqman ketawa. Oh Suriya pun mahu bergurau ya.

Bibir mengukir senyuman. Hati rasa lapang sahaja. Mata Luqman menyapa gambar yang ada di atas meja. Wajah ibu dan ayah yang tersenyum. Kata ayah, cinta mereka hingga ke akhir usia. Kata ibu, dia tidak mahu hidup jika bersendirian tanpa ayah. Mungkin kerana kuatnya cinta mereka berdua menyebabkan dua hari selepas ayah meninggal dalam kemalangan kereta, ibu pula meninggal ketika mereka sedang mengadakan majlis kenduri arwah. Masih diingat tenangnya wajah ibu. Seolah-olah urusan dunianya sudah selesai.

Maka kerana itu, dibahunya inilah dia menggalas perniagaan yang ibu dan ayah tinggalkan. Mungkin juga kerana hatinya sudah patah dan merasa kehilangan yang teramat. Dunia tanpa ayah dan ibu terasa sangat sunyi sepi.

“Dunia ini tempat kita menumpang Luq. Akhirat juga yang kekal. Buat apa pun, hati ni kena jaga. Solat jangan tinggal. Ingat, ini dunia saja.” Itu pesanan ibu yang sampai kini dia ingat dan akan diwariskan kepada anak-anaknya pula nanti.

“Kalau dah ada niat nak beristeri..teruskan saja. Jangan tunggu. Ada belanjanya, berani jadi imam keluarga...ayah restu. Ibu pun setuju.” Ayah pula berpesan.

Sayang, ibu dan ayah tidak sempat diperkenalkan dengan Suriya. Dia yakin, mereka pasti akan sukakan Suriya. InsyaALLAH. Dalam senyuman, Luqman lena dengan tenang. Terbayang wjah Suriya, terbayang masa depan yang lebih baik dan bibir terus berzikirkan kalimah-kalimah memuji ALLAH.

USAI solat Subuh, gerai sudah disediakan, Luqman mengajak Latif pergi bersarapan. Jam baru pukul enam setengah pagi namun perutnya sudah berkeriuk meminta diisi. Gerainya disuruh Hairul yang menjaga. Hairul juga disuruh melatih seorang pekerja baru yang digajinya. Adam. Baru habis SPM dan kerana mahu mengumpul wang sementara menunggu keputusan, Luqman mengajak kerja bersamanya.

“Bagus juga kau ambik Adam tu. Bisnes delivery sayur kau pun makin banyak ya.” Latif bersuara selepas mereka duduk.

“Tu yang aku nak bincang dengan kau ni.”

“Ada peluang baik ke?” Mata Latif jadi bersinar.

“Tapi kau kena janji jangan main-mainlah.”

Latif mengangkat kepalanya sedikit. Mahu tahu apa yang dimaksudkan oleh Luqman. Siap janji-janji pula. Kejap lagi keluar surat peguam agaknya.

“Aku dapat tender supply sayur ke kantin.”

“Oh...” Panjang bunyi oh dari mulut Latif.

“Lima kantin.”

“Wah! Ini berita baik. Agaknya orang kalau nak kahwin, rezekinya murah ya.” Latif pula yang menjadi bersemangat. Lima tender. Bukan satu tetapi lima. Mahu tak murah rezeki namanya tu!

“Aku kena bekalkan jugak sayur kampung. Tu yang aku nak ajak kau buat sama.” Luqman mencapai bungkusan nasi lemak yang diletakkan di atas meja. Sekarang barulah boleh makan dengan tenang. Dan biar Latif pula yang berfikir.

“Kenapa kau tak ajak orang lain?”

“Eh, kau ni. Aku suka kat kau, aku ajaklah kau.” Luqman menggeleng. Orang macam ini pun ada. Latif ini sihat ke tidak? Terasa mahu ketawa ada juga. Luqman melihat sekeliling. Manalah tahu kalau-kalau ada orang lain yang mendengar perbualan mereka. Ada juga mereka dituduh sebagai kaum Luth.

“Kau sayang aku eh?” Latif ketawa.

“Diamlah. Makan!”

“Aku setuju, aku janji tak main-main. Aku nak kahwin jugak.” Latif menjadi lebih teruja dan bersemangat waja.

“Bagus. Suri malam tadi kata aku ada dalam hati dia.”

Dan Latif pun tersedak. Luqman hanya ketawa dan mencapai bungkusan nasi lemak yang kedua.

“Serius?”

“Kau ingat aku tipu?”

“Macam pelik aje. Entah-entah Suri saja nak kenakan kau tak?” Latif meneka.

Sudu pun tergawang di udara. Luqman mencapai gelas minumannya. Latif potong steam. Sengaja mahu pedajal dia. Cemburu butalah tu!

“Kau pun ada rasa pelikkan?”

“Ada jugak.” Perlahan suara Luqman tetapi jelas mengaku yang dia pun ada sedikit rasa curiga.

“Kau ingat Suriya tu naif? Budak tu ada banyak idea dalam kepalanya. Kalau dia nak suka kau, dari aritu dia dah suka kau.” Latif terus-terusan membentangkan hujahnya.

“Habis tu?”

“Habis two... tree, panaslah bumi.” Latif ketawa terkekeh-kekeh namun kemudiannya menutup mulut menahan ketawa. Dia menepuk bahu Luqman.

“Aku ketawa macam tadi tu tak akan menyebabkan bisnes tender kantin tu terbubar kan?” Latif bertanya dengan baik-baik. Apabila Luqman menggeleng, Latif menyambung tawanya. Kelakar, memang kelakar melihat wajah panik Luqman. Kasihan sungguh. Latif mengangkat tangan memanggil pelayan gerai. Berita gembira patut disambut dengan menggembirakan perut.

“Roti canai 2 keping, kasi banjir. Kasi kari kambing. Tambah satu lagi teh tarik.” Latif membuat pesanan.

“Kau makan ke mentekedarah.”

“Kau tak pernah dengar ke? Sarapanlah seperti raja. Ni raja nak makan ni. Raja Latif.” Latif memukul dadanya dengan gaya seorang raja yang memberi titah.

Luqman mencebik. Nasiblah kawan, kalau bukan memang sudah ditinjunya Latif. Raja bersiung adalah. Darah raja kapur pun tiada, mahu mengaku raja. Luqman menghirup kopi o dengan tenang. Suriya mahu mempermainkannyakah? Hati kata tidak tetapi akak kata, oh Luqman...kemungkinan itu ada.

Previous: Bab 18
Next: Bab 20

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.

Karya lain oleh Lynn Dayana