Bab 1

TERIKNYAcahaya matahari tengah hari itu, bagaikan menggigit kulit-kulit yang terdedah di bawah panahannya. Sudah beberapa minggu cuaca berkeadaan begitu. Bumi kini benar-benar sedang kehausan. Hanya mengharapkan belas ehsan dari TUHAN, semoga DIA menurunkan titisan air dari langit buat menyegarkan semula tanah-tanah yang gersang.

“Panasnya cuaca hari ni,” rungut Dayana.

Bibir yang kering dijilatnya berkali. Tekaknya pun terasa haus. Meskipun kereta yang sedang dipandu berhawa dingin, bahang mentari yang garang tetap juga menembusi. Mata Dayana meliar kembali mencari pasar mini yang dikatakan oleh emaknya.

‘Hah! Itupun dia...Pasar Mini Akif! Tersorok pulak kedainya,’rungutnya lagi.Bola matanya terus bergerak ke kiri dan ke kanan memerhati tempat parkir.

‘Macam inilah orang Melayu, asalkan ada tempat untuk berniaga, tempat macam ni pun nak bukak pasar mini! Tak strategik langsung tempat ni! Laku ke?’ rungut hati kecilnya lagi.

Di matanya terbayang kotak-kotak yang terisi kerepek di dalam boot kereta. ‘Silap-silap hari bulan kerepek aku tu, tak laku walaupun satu bungkus,’ kata hatinya pula.

‘Tapi bukankah ALLAH telah menetapkan rezeki kepada setiap hamba-NYA?’ Hati kecilnya seolah-olah memujuknya pula. Matanya terus meliar.

“Alhamdulillah...”ucapnya sambil tersenyum.

Ada satu lagi ruang parkir yang masih kosong di bawah pokok di hadapan pasar mini itu. Dayana lalu memarkirkan kereta Kelisanya. Setelah itu, dia cepat-cepat keluar dari kereta dan berjalan laju menuju ke pasar mini yang memang dicarinya itu.

Hari itu dia berseluar jeans dan berkemeja lengkap bertudung. Lantaran itu hayunan langkahnya pun deras. Tidak seperti selalu, langkah kakinya terbatas kerana berbaju kurung. Masuk sahaja ke dalam pasar mini dia terus menuju ke peti sejuk yang ada di pasar itu. Sekotak minuman diambil buat menghilangkan kehausan.

Kelihatan seorang pemuda berbaju T hitam yang sedang memikul kampit-kampit beras ke arah stor di belakang kedai. ‘Mungkin pembantu kedai ini,’teka hati Dayana. Keyakinannya bertambah teguh apabila melihat bahagian belakang baju T yang dipakai oleh pemuda itu tertera perkataan Pasar Mini Akif.

“Nak cari apa, akak?”

Tiba-tiba ada suara yang menegur dari arah sisinya. Dayana terkejut lantas menoleh. Seorang pemuda yang lain, berkulit cerah dan berwajah bujur tersenyum lebar memandangnya. Apabila Dayana tidak menjawab pertanyaannya, pemuda itu mengangkat sebuah kotak yang agak berat dan mengalihkannya dari situ. Setelah itu dia kembali ke sisi Dayana.

“Tak jumpa ke barang yang akak nak? Biar saya tolong carikan,” tawarnya sambil tersenyum lagi. Agak lama matanya menyorot ke wajah gadis yang sedang asyik menyedut minuman itu.

“Hmm... saya cari tauke kedai ni! Dia ada tak? Saya nak jumpa dengan dia sekejap. Ada hal nak runding,” beritahu Dayana sambil tersenyum manis. Minuman di dalam kotak terus disedut tanpa mempelawa pemuda itu. Pemuda itu hanya memerhatikannya sambil tersenyum.

“Haus ya?Cuaca panas sangat hari ni! Kalau tak cukup air tu, ambillah lagi dalam peti tu,” ujar pemuda yang menegurnya tadi sambil berlalu dari situ.

Pertanyaan daripada Dayana tadi tidak berjawab. Beberapa minit Dayana menunggu di celah rak yang terisi dengan pelbagai barangan keperluan dapur, pengurus pasar mini itu tidak juga muncul. Pemuda yang menegurnya tadi datang kembali di sisinya. Dia mengambil tin-tin susu di dalam kotak dan menyusunnya di atas rak berhampiran Dayana.

“Encik,tauke tak ada ke?”soal Dayana. Dia seakan hilang sabar.

Sepanjang dia berada di situ, tidak nampak pun lelaki berumur yang boleh dianggap sebagai pengurus pasar mini yang agak besar dan maju itu. Tidak sangka pula kedai yang tersorok itu ramai pelanggannya.

“Ada...kenapa akak nak jumpa dengan tauke?”soal pemuda berwajah bujur itu sambil merenung Dayana. Gadis itu memakai kemeja lengan panjang berwarna merah jambu berjalur putih jarang-jarang. Berseluar jeans biru muda dan berkasut sukan. Kepalanya ditutupi tudung berwarna putih. Wajahnya yang cantik nampak bersahaja. Dayana tidak menjawab pertanyaan pemuda itu. Puas meninjau hatinya diintip kecewa.

“Kalau tauke tak ada, saya baliklah! Esok saya datang lagi,”kata Dayana lalu menuju ke kaunter untuk membayar air kotak yang telah menghuni perutnya. “Saya ingat nak tumpang letak kerepek kat pasar mini ni,” beritahu Dayana sambil tersenyum manis.

“Kerepek? Mana kerepeknya?”soal pemuda itu sambil mengekori Dayana menuju ke parkir kereta sebaik sahaja urusan di kaunter selesai.

Dayana tidak menjawab. Sampai di kereta, dia pun mengeluarkan sebuah kotak dari dalam boot kereta lantas meletakkannya di atas aspal jalan.

“Ini, kerepek-kerepeknya! Ayah saya yang cadangkan supaya tumpang letakkan di pasar mini ini. Sebab itulah saya nak jumpa dengan taukenya! Sayang, dia tak ada pulak,” beritahu Dayana.

Sebuah lori menderu laju di belakang Dayana sewaktu dia terbongkok-bongkok membuka kotak untuk menunjukkan kerepek kepada pemuda tadi.

Astaghfirullahalazim!”

Yang kedengaran di telinga Dayana ialah suara pemuda itu beristighfar panjang dan sederas itu telapak tangan pemuda itu menghinggapi atas punggungnya. Dayana tersentak dan terus menjerit.

“Hei!”pekiknya kuat.

Bibirnya tidak sempat mengungkapkan kata-kata lagi kerana teramat marah. Dia menjegilkan matanya kepada pemuda itu sebelum memasuki kereta dan menghidupkan enjin dengan hati yang membengkak. Perasaan marahnya meruap. Kotak yang penuh berisi dengan kerepek ditinggalkannya begitu sahaja.

“Akak! Akak!”

Pekikan kuat daripada pemuda itu yang memanggil serta melaungnya tidak dipedulikan langsung. Dayana terus memecut meninggalkan tempat itu dengan perasaan yang menggelegak.

“Kurang ajar punya jantan! Raba punggung aku pulak!”rungutnya dengan perasaan geram yang semakin membuak bercampur malu.

Tidak pernah lagi dia menghadapi peristiwa yang amat memalukan seperti itu sepanjang hidupnya. Hati Dayana terus menggelegak.Tangannya yang sedang memegang stereng pun seolah-olah berpeluh. Dia terus memandu balik ke rumah. Terbantut rancangannya untuk pergi ke Bagan Serai selepas selesai urusannya di Pasar Mini Akif.

Sebaik sahaja sampai di halaman rumah, Dayana terus membrek mengejut dan menarik brek tangan dengan perasaan geram.

“Hai! Cepatnya balik? Kata nak pergi beli kasut di Bagan Serai?”tegur emaknya sebaik sahaja melihat Dayana keluar dari kereta Kelisa kesayangannya dengan muka masam.

“Tak jadilah, mak! Tak apa, lagipun minggu depan Yana nak pergi Penang dengan Kak Leha. Di Penang lagi banyak tempat shopping,” jawab Dayana sambil masuk ke dalam rumah.

“Yana tak mahu pergi ke kedai yang ayah suruh tu lagi. Menyampah! Benci!”beritahu Dayana hampir menangis.

“Kenapa Yana cakap begitu pula. Tak baik benci-membenci. Nanti yang dibenci menjadi kesayangan pulak. Baru Yana tahu,” usik Mak Bedah.

“Tak ada nak sayang-sayang! Entah apa-apa! Perangai tak senonoh!”Rungutan Dayana macam ikan keli di dalam bubu. Mak Bedah melihat kepada anak tunggalnya itu dengan mata yang mengecil dan dahi berkerut. Wajah Dayana masih lagi masam dan berona merah.

“Yana benci Pasar Mini Akif tu ke?”soal Mak Bedah kebingungan. Namun, pertanyaannya itu tidak mendapat jawapan. “Perangai siapa pulak yang tak senonoh ni?”soalnya lagi. Hairan Mak Bedah dengan perubahan sikap anak gadisnya secara mendadak itu.

“Entah, Yana tak kenal dia!”jawab Dayana geram sambil bernafas laju. Rasa bengang dan meradangnya masih menyala.

“Lelaki ke perempuan?”tanya emaknya lagi.

Pertanyaan Mak Bedah tidak mendapat jawapan. Dayana sudah beredar tanpa sepatah kata. Mak Bedah menggaru-garu kepalanya yang tidak gatal.

‘Tidak pernah-pernah naik angin, tak pernah menyampah atau benci pada orang, apa masalah Yana hari ni?’ soal hatinya pula. Mak Bedah mengeluh panjang.

alamsudahlama dikelambui tabir hitam. Saat rembulan mula mengintai di sebalik awan dan suasana alam sudah hening dan menyepi barulah Akif sampai di rumahnya. Akif memarkirkan kereta miliknya di dalam garaj yang terletak di sebelah kanan rumah.

“Assalamualaikum,” ucap Akif lalu menolak daun pintu rumahnya.

Di ruang tamu kelihatan adiknya, Nisah dan emaknya, Mak Esah sedang menonton televisyen. Nisah langsung tidak peduli kepada kepulangan abangnya itu. Matanya terfokus ke skrin televisyen.

“Waalaikumussalam. Lewat balik hari ni Akif,” kata emaknya.

Matanya melihat wajah Akif yang keletihan. Biasanya paling lewat pun Akif akan pulang ke rumah jam 10. 00 malam. Mak Esah memerhati jam di dinding. Jarum jam sudah menunjukkan angka 11.30 malam.

“Nisah, pergi ambilkan abang air.Buat teh tarik,” suruh Akif sambil menghenyakkan tubuhnya yang keletihan di atas sofa. Sengaja dia duduk rapat dengan adik bongsunya itu.

“Amboi!Sampai-sampai aje terus mintak teh tarik? Ingat kedai mamak ke?”bentak Nisah sambil bangun dari sisi Akif. Melarikan dirinya daripada ditumbuk oleh abang sulungnya itu.

“Alaa... teh yang Nisah buat lagi sedap dari teh kedai mamak! Pergilah buat cepat! Abang haus ni,”gesa Akif lagi sambil menepuk mesra bahu adiknya itu.

“Hisy, abang ni, Nisah nak tengok cerita ni, lah,”jawab Nisah tanpa mempedulikan suruhan Akif. Matanya masih terpaku pada skrin televisyen.

“Nisah!”jerit Mak Esah seolah-olah memberi amaran kepada anak perempuannya yang masih berdegil.

“Yalah, orang buatkan!”sahut Nisah sambil menekan suaranya.

Cepat-cepat dia bangun dari sofa. Terkilan benar hatinya kerana tumpuan kepada sebuah drama bersiri di televisyen terganggu. Langkahnya terhenti di pertengahan jalankeranaterasa sayang pula hendak meninggalkan skrin televisyen. Matanya terus terpaku kepada kaca televisyen, melihat imej pocong yang terlompat-lompat di dalam semak.

“Dahlah tu, Nisah! Asyik nak tengok cerita hantu aje!Tak mendatangkan faedah. Mengarut!” kata Akif pula sambil tersenyum lebar.

‘Entah mengapa, kerap sangat stesen televisyen dalam negara ini menayangkan cerita yang tidak membangunkan minda masyarakat,’bisik hati Akif.‘Sepatutnya mengajar masyarakat supaya takutkan TUHAN, ini nak mengajar masyarakat takutkan hantu pulak,’rungut hatinya dengan perasaan sesal.

“Cepatlah, Nisah sayang,” kata Akif lagi. Nisah merenung abangnya dengan jelingan tajam lalu beredar dari situ cepat-cepat kerana televisyen sedang menayangkan iklan.

“Kenapa balik lewat, Akif?”Mak Esah mengulangi pertanyaannya yang masih belum dijawab. “Saya dah nak tutup pintu kedai tadi, mak! Ada lori hantar barang pulak. Terpaksalah tunggu sampai mereka selesai punggahkan barang-barang dan masukkan dalam kedai,” jawab Akif sambil menggeliat beberapa kali.

“Aduh, penatnya, mak,” keluh Akif sambil menegang kendurkan kaki dan tangannya, membetulkan urat-uratnya yang sengal.

“Hmm, itulah, mak suruh kahwin, banyak alasan. Sekarang ni dah penat, lenguh, tanggunglah sendiri,” sindir Mak Esah. “Kalau tak, adalah isteri tolong picitkan,” sambung Mak Esah lagi sambil menjeling anak sulungnya itu.

“Picit? Hmm... kalau isteri picit takut jadi lebih penat.Hee...hee...” gurau Akif.

“Siapa yang nak pada Akif ni, mak! Setiap hari Akif sibuk. Nak pergi dating pun tak sempat,” katanya lagi.

“Itulah! Kerjaya ini Akif yang pilih, kan? Kalau kerja di pejabat bukan ke lebih baik! Tak payah penat-penat nak perah otak, perah keringat untuk cari rezeki. Kerja dengan kerajaan, cukup bulan dapat gaji. Senang!”bidas Mak Esah. “Rajin bekerja atau malas bekerja, gaji tetap ada,” sambung Mak Esah lagi sambil tersenyum.

“Ni penat-penat belajar, tiba-tiba kerja sendiri pulak! Semua nak buat sendiri. Jadi kuli. Jadi tauke!”keluh Mak Esah.

Akif, anak sulungnya itu memang berminat di dalam bidang perniagaan. Selepas tamat belajar di universiti, dia terus membuka pasar mininya sendiri. Secara kebetulan ada pula kedai yang hendak disewakan di Pekan Parit Buntar.

“Alah! Kerja makan gaji tu biarlah orang lain yang buat! Akif suka dengan kerjaya sekarang ni, mak! Lagipun 99% cabang rezeki tu, kan daripada perniagaan. Nabi Muhamad SAW pun seorang peniaga yang berjaya!Apa salahnya Akif contohi kerjaya junjungan besar kita tu, mak!”jawab Akif dengan panjang lebar penuh bersemangat.

“Dengan ijazah yang Akif ada tu, kalau makan gaji mungkin boleh dapat tiga empat ribu aje, mak,” sambungnya lagi sambil tersenyum penuh makna. Pendapatan bersih yang diperolehinya kini lebih dari sepuluh ribu ringgit sebulan.

“Kalau nak gaji lebih, kena tunggu masa untuk kenaikan pangkat. Kadang-kadang kena tunggu hampir sepuluh tahun, mak,”terang Akif.

“Dengan kerjaya sekarang ini, insya-ALLAH, jika ada rezeki, setiap bulan pendapatan Akif meningkat. Tambahan pula kalau musim perayaan, semakin banyak orang berbelanja,” jelasnya lagi.

“Dapat jugak Akifsediakan peluang pekerjaan kepada orang lain walaupun seorang berdua! Alhamdulillah.” Dia sangat bersyukur dengan rezeki yang telah dikurniakan oleh ALLAH kepadanya.

“Tengok tu! Mak cakap dua tiga patah aje. Akif beralasan berjela,” perli Mak Esah. Faham sangat dengan anak bujangnya itu. Akif hanya menyengih.

“Abang, teh dah siap!”jerit Nisah yang datang ke ruang tamu sambil membawa dulang yang berisi teko dan cawan. Akif keluar dari rumah seketika dan mengambil sesuatu dari dalam kereta.

“Nah, cuba rasa ni! Sedap tak?”kata Akif sambil melambakkan dua tiga bungkusan kerepek di atas meja berhampiran dengan dulang yang dibawa oleh Nisah tadi.

“Apa ni? Kerepek? Hisy! Nisah tak naklah! Bukannya sedap pun! Kerepek! Dah jelaklah! Rasanya sama aje!”ejek Nisah apabila melihat bungkusan kerepek yang dibawa oleh abangnya itu.

“Jangan-jangan dah tak laku, dijual kat kedai, baru abang bawa balik,suruh Nisah makan,” perli Nisah pula. Akif tidak mempedulikan kata-kata adiknya itu. Dia faham sangat dengan mulut becok Nisah,adik bongsunya yang berada di tingkatan empat itu.

Sekeping demi sekeping kerepek menjadi penghuni perut Akif. Akhirnya semua bungkusan kerepek yang dibawa, dibuka dan isinya yang rangup serta rapuh itu menjadi habuan mulutnya. Nisah yang masih berada di situ merenung gelagat Akif berkali-kali. Abangnya kelihatan ralit dan asyik sangat dengan kerepek yang sedang dinikmatinya. Akif mengunyah kerepek sambil membayangkan wajah gadis yang menghantar kerepek di pasar mininya pagi tadi. Seraut wajah dan senyuman manisnya membuatkan hatinya tiba-tiba bergetar.

“Aii!! Tinggalkan sikit untuk Nisah!”pekik Nisah lalu merentap bungkusan kerepek ditangan Akif, cuba untuk bergurau.

“Eh,tak payah makan! Tadi jual mahal! Dah jelaklah! Rasa samalah!”ejek Akif lalu bangun dari sofa mengelakkan kerepek yang berbaki direbut oleh Nisah.

“Abang nak mandi,” katanya sambil mencubit hidung Nisah untuk menyakat.

“Janganlah!”pekik Nisah sambil menampar lengan abangnya itu. Mereka bertepuk tampar pula. Akif sengaja mengusik. Yang Nisah pula menjadi kepantangannya jika abangnya itu menyentuhnya! Riuhlah mulutnya tidak peduli masa.

“Malam-malam buta pun terpekik-terpukau Nisah ni! Tak laku pulak anak dara mak yang sorang ni!”giat Akif sambil ketawa.

“Yalah,biarlah tak laku! Nanti orang dah kerja besar, tak payah kahwin pun tak apa,” rajuk Nisah kerana diperlekeh oleh abangnya itu.

“Eleh! Kerja besar konon! Belajar pun malas. Asyik nak baca novel dan tengok cerita hantu aje! Duduk-duduk sambil mengunyah. Takkan adanya nak kerja besar, Nisah oii! Yang abang tau sudahnya nanti Nisah berbadan besar! Obesiti!” perli Akif sambil mengembungkan pipi dan mengepakkan lengannya.

“Hisy!!”Geram Nisah sambil menumbuk belakang abangnya itu. Terkial-kial Akif mengelak.

“Oh ya, abang!Tadi buah hati abang datang! Dia hantar kek coklat. Nisah tinggalkan sikit untuk abang, ada dalam peti sejuk. Yang lain semua Nisah dah makan,” beritahu Nisah. Sempat lagi bercerita dalam rajuknya itu.

“Makan semua sekali, Nisah! Abang tak minat,” jawab Akif sambil berjalan menuju ke biliknya. Dia ingin mandi dengan segera kerana badannya sudah melekit-lekit sejak tadi.

“Eh! Kek coklat tu pun abang dah tak minat?” soal Nisah kehairanan. Setahunya, abang sulungnya itu memang gemar makan kek coklat, tetapi kenapa pula hari itu abangnya itu berubah hati?

“Penat Kak Ros buatkan untuk abang,” komen Nisah. Matanya terbayangkan wajah Rosnani yang bulat dan tembam tetapi nampak comel kalau dia ketawa.

“Bukan setakat kek coklat!Orang yang buat kek!Yang hantar kek,semuanya abang tak minat,” beritahu Akif dari jauh. “Lebih baik minat pada kerepek tu,” sambung Akif lagi sambil ketawa kerana terkenangkan gadis yang ingin menjual kerepek di kedainya pagi tadi.

Sejak mula gadis itu memasuki pasar mininya, dia telah mengekori gadis itu dengan penjuru matanya. Berdebar jantungnya saat pertama kali mendengar suara gadis itu yang serak-serak manja. Apatah lagi apabila dia tersenyum manis, pintu kamar hatinya seakan digegar.

“Hee...hee...”

Ketawa Akif tiba-tiba kerana tidak dapat menahan rasa gelihatinya. Dia teringatkan telatah gadis tadi yang tiba-tiba naik angin. Kotak yang penuh berisi kerepek pisang dan ubi ditinggalkan begitu sahaja! Akif terus ketawa mengekek seorang diri di dalam bilik air apabila terkenangkan wajah gadis itu yang merah padam kerana amat marah. Kereta Kelisa merahnya dipecut laju.

Next: Bab 2

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.