Home Novel Cinta Tak Ingin Kau Pergi
Tak Ingin Kau Pergi
11/2/2014 11:35:48
2,065
Kategori: Novel
Genre: Cinta
Senarai Bab
Bab 3

Matahari memancar warna jingga kemerahan. Ada gumpalan awan yang bergerak perlahan melindungi wajah matahari. Suasana redup seketika. Panorama senja semakin mewarna alam. Seperti hari-hari kelmarin, suasana rumah itu sering lengang dan sunyi seolah tidak berpenghuni jika Mastura dan anaknya tidak balik.

Puas mengintai ke luar rumah melalui jendela ruang tamu rumah, hati Karmila semakin diamuk resah. Sehingga di saat itu Firdaus masih belum pulang.

“Dahlah telefon bimbit aku ada pada dia..”gerutu Karmila lalu duduk di atas buaian di halaman rumah. Hatinya bagai digaru-garu kerana janjinya dengan Adam tidak tertunaikan. Semalam dia telah berjanji akan menghubungi lelaki itu, namun telefon bimbitnya tertinggal pula di dalam kereta abangnya. Hendak menelefon menggunakan telefon pejabat, nombor telefon Adam pula dia sudah lupa. Dia pula tidak mencatatkan nombor telefon Adam di tempat lain.

“Assalamualaikum!”

Karmila mendongakkan mukanya melihat Firdaus yang berdiri tercegat di hadapannya.

Princess berangankan apa?”tanya Firdaus.

“Waalaikumusalam. Kenapa abang balik lambat hari ni?” tanya Karmila sambil menatap wajah Firdaus yang nampak tidak bermaya tanpa menjawab pertanyaan abangnya.

“Abang ada meeting dengan Datuk Kamarul tadi. Ermm, sorrytak dapat jemput Mila di pejabat, terpaksa abang call Akil. Nasib baik dia sudi membantu..”jelas Firdaus tanpa dipinta.

“Kenapa abang tak bagi tau Mila awal-awal. Telefonlah ke pejabat tadi. Boleh Mila tumpang kawan sepejabat. Tiba-tiba saja Akil muncul, terkejut Mila..”balas Karmila menghamburkan rasa tidak puas hatinya.

“Apa salahnya Akil datang ambil Mila?”tanya Firdaus. Wajah selamba Karmila ditatapnya dengan tandatanya. Karmila nampak tidak ceria pada senja itu.

“Memanglah tak salah..tapi Mila tak suka..”jawab Karmila bersahaja. Hatinya resah jika ada insan yang kerap sangat bertanyakan tentang Akil sedangkan pada waktu itu hatinya sudah muak dengan lelaki itu. Muak namun masih tersimpan perasaan sayang. Itulah yang menjadi masalah terbesarnya.

“Mila dan Akil sedang bergaduh ke?” tanya Firdaus inginkan penjelasan.

“Ermm, bagi telefon Mila..”ujar Karmila sambil menadah tapak tangannya. Tidak ingin dia mendengar nama Akil yang disebutkan oleh abangnya itu. Sekali lagi pertanyaan daripada Firdaus tidak dijawab. Karmila terus meninggalkan Firdaus seorang diri di situ sebaik sahaja telefon bimbitnya dikembalikan.

“Kenapa Sayang tak telefon abang?” Itulah persoalan yang muncul dari bibir Adam sebaik sahaja menerima panggilan telefon daripada Karmila. Seharian dia menunggu panggilan telefon daripada gadis itu dengan perasaan rindu. Berulangkali panggilan dibuatnya kepada telefon mudah alih Karmila tetapi tiada respons.

“Mila tertinggal telefon dalam kereta Abang Fir..”jawab Karmila seolah berbisik. Dia merebahkan tubuhnya di atas tilam supaya dapat berbual dengan Adam dengan lebih santai.

“Kan boleh telefon abang gunakan telefon pejabat atau telefon awam..”leter Adam. Seharian ini dilalui dengan rasa bosan tanpa mendengar suara gadis itu.

“Alah, nombor telefon abang Mila lupa..”beritahu Karmila sambil ketawa manja. Adam pun ikut ketawa bersamanya. Hilang rasa rajuknya apabila mendengar ketawa gadis itu.

“Mila...Mila..”

Ketukan kuat di pintu biliknya benar-benar mengganggu perasaan Karmila yang sedang leka melayani perbualan Adam.

“Abang, kita berbual lain kalilah ya. Abang Fir panggil Mila tu..”kata Karmila lantas menamatkan perbualannya dengan Adam dan cepat-cepat membuka pintu biliknya. Tidak ada sesiapa pun di situ menyebabkan Karmila mula meradang.

“Huh! Abang Fir ni sengaja aje nak mengganggu orang!!”rengus Karmila dengan perasaan marah. Giliran dia pula mengetuk-ngetuk pintu bilik Firdaus. Hampir merah belakang tangannya barulah Firdaus membuka pintu biliknya.

“Ada apa princess? Dah solat Maghrib?” soal Firdaus sambil menyengih. Karmila menjeling tajam sambil mengetapkan bibirnya.

“Orang cutilah! Kenapa abang ketuk pintu Mila tadi?” tanya Karmila dengan gaya marah. Firdaus menyeringai sejenak melihat telatah Karmila yang marah-marah.

“Mila sedang bergayut dengan siapa? Kan baru petang tadi berjumpa dengan Akil?” Soalan daripada Firdaus semakin menaikkan darah Karmila. Akil!Akil! Akil! Tak ada nama orang lain ke yang Abang Fir nak sebut?

“Kenapa abang panggil Mila tadi?” soal Karmila sekali lagi dengan wajah serius. Wajah Firdaus yang kacak sudah seolah tiada nilai ketampanannya lagi kerana rasa geram yang sedang bertamu di hatinya.

“Sebab petang tadi abang dah mungkir janji dengan Mila, abang nak tebus dosa abang tu..”ujar Firdaus. Mindanya memikir-mikir beberapa rancangan.

“Tebus dosa?”soal Karmila kembali. Mesti abangnya dapat durian runtuh dan ingin membawa dia pergi membeli belah.

“Kita pergi makan malam di luar. Abang belanja...”beritahu Firdaus. “Kita pergi ya..”pujuknya pula. Mak cik Suhaila dan Pak cik Roslan sudah memberitahu kepadanya yang mereka akan menghadiri majlis kesyukuran seorang kenalan mereka selepas Maghrib nanti.

“Emak dan ayah ikut tak?” soal Karmila. Agak lama juga mereka sekeluarga tidak makan malam di luar bersama-sama. Firdaus hanya mengelengkan kepalanya.

“ Emak dan ayah pergi kenduri..”

Beritahu Firdaus apabila Karmila bertanya dengan isyarat matanya.

“Kalau abang bawa girlfriend abang, Mila tak nak ikut..” ujar Karmila pula. Ratna teman wanita Firdaus hampir sebaya dengannya. Dia anak Datuk Kamarul, majikan Firdaus. Datuk Kamarul mempunyai syarikat perkapalan yang besar dan berprestij. Sudah lama Firdaus bekerja dengan syarikatnya dan menjalin persahabatan dengan anak tunggal datuk itu pula.

“Kalau keluar makan dengan dia, buat apa abang bawa Mila..buat kacau daun aje..”gurau Firdaus. Karmila tidak membalas kata-kata abangnya itu. Dia masuk ke biliknya semula untuk menyalin pakaian.

Angin malam yang bertiup mesra menyambut kepulangan Pak cik Roslan dan Mak cik Suhaila yang baru balik dari majlis kenduri kesyukuran. Tempat parkir kereta Firdaus masih kosong menandakan yang dia masih belum balik ke rumah.

“Dah pukul 11.30 malam ni, budak-budak tu belum balik lagi..”ujar Mak cik Suhaila yang sedang membuka pintu kereta.

“Leka berboraklah tu..”balas Pak cik Roslan sambil mematikan enjin keretanya. Firdaus anak angkat mereka. Secara kebetulan dia juga merupakan anak saudara kepada isterinya. Suhaili, kakak Suhaila yang telah meninggal dunia sewaktu Firdaus berusia setahun. Di sebabkan pada waktu itu ayah Firdaus selalu bertugas di luar negara kerana menjadi pegawai di dalam angkatan tentera laut Malaysia, Firdaus diamanahkan kepada mereka.

“Eh!Eh! Kenapa Mila balik dengan teksi tu?”soal Mak cik Suhaila yang kehairanan melihat Karmila turun dari perut teksi. Pada waktu itu mereka berdua sudah berada di ambang pintu sebelum masuk ke dalam rumah.

“Mila kenapa balik dengan teksi ni? Fir ke mana?”soal Mak cik Suhaila sebaik sahaja Karmila berdiri rapat dengan mereka. Dia terburu-buru menanggalkan kasutnya dan meluru menaiki tangga.

“Mila!” laung Pak cik Roslan pula apabila Karmila tidak menjawab pertanyaan emaknya.

“Abang Fir sibuk berborak dengan kekasih dia,mak, ayah..”beritahu Karmila dengan suara kuat lantas memasuki biliknya.

“Firdaus dah ada kekasih..?”tanya Mak cik Suhaila kepada Pak cik Roslan sambil berjalan masuk ke dalam rumah.

“Firdaus tu dah dewasa...”jawab Pak cil Roslan selamba.

“Kalau dia ada kekasih, macam mana dengan rancangan kita?” tanya Mak cik Suhaila lagi. Nampak gayanya rancangan mereka tak mungkin jadi kenyataan.

“Biarlah dia uruskan. Dia tidak menolak kehendak kita,kan? ”soal Pak cik Roslan pula. Mak cik Suhaila terkedu. Memang Firdaus tidak membantah kehendak mereka. Dia langsung tidak menunjukkan riak menentang rancangan mungkin kerana memikirkan budi yang telah dihadam oleh seluruh hidupnya.

“Yang menjadi masalah kita sekarang ialah Karmila tu. Dapatkan Firdaus mengikat hati dia?”tanya Pak cik Roslan lagi. Mak cik Suhaila menggaru kepalanya yang tidak gatal.


Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.