Home Novel Cinta Tak Ingin Kau Pergi
Tak Ingin Kau Pergi
11/2/2014 11:35:48
2,396
Kategori: Novel
Genre: Cinta
Senarai Bab
Bab 1

Bunyi titisan hujan di atas bumbung mengejutkan lena Karmila yang tertidur di ruang tamu. Karmila menguap sambil menutup mulutnya dengan tapak tangan. Dia mengeliat beberapa kali lalu bangun menuju ke bilik tidurnya.

Sebaik sampai di bilik, matanya terlontar pada jambangan bunga yang terdampar di atas katil sebaik sahaja dia memasuki bilik. Karmila duduk di birai katil lantas mencapai jambangan itu dan hujung jarinya menyentuh kelopak-kelopak bunga mawar merah yang mekar dan harum.

Sekali lagi tangannya mengambil kad berbentuk hati yang terselit antara kuntuman mawar. Sekali lagi bola matanya menatap tulisan yang terlakar.

Maaf.

--Akil Iskandar

“Maaf?”bisiknya sendiri. Hanya dua patah perkataan yang terungkap di dada kad itu. Bibirnya melarik senyuman pula. Setelah itu dia ketawa sendiri. Terasa lucu pula dengan situasi itu. Bunga yang dikirimkan Akil hampir sebakul. Kad pula berbentuk hati dan begitu istimewa grafiknya tapi kata-kata yang tercatat hanya dua patah perkataan. Budak tadika pun boleh menulis perkataan-perkataan itu.

“Akil..Akil..kalau engkau di tempat aku macam mana?”tanya Karmila lagi. Sekali lagi dia bercakap sendiri. Dia nekad untuk menyepikan diri daripada lelaki itu. Walau hatinya akan dihambat rindu, Karmila berazam untuk mencekalkan dirinya. Akil teman lelakinya itu telah menyebabkan dia berjauh hati.

“Dah sakitkan hati aku,egois pulak!Bukannya tahu nak ambil hati orang balik. Nak pujuk-pujuk hati orang dengan kata-kata indah. Bosan!”gerutu Karmila.

“ Telefon Adamlah..”

Ingatannya terus menjalar pada kenangan perkenalannya dengan Adam.

“Assalamualaikum! Helo! Boleh bercakap dengan Encik Ahmad!!” Gemersik suara itu menjengah di telinganya pada suatu hari. Karmila yang sedang mendengar melalui telefon bimbitnya tersengih-sengih. Nampaknya ada peluanglah dia untuk menyakat pemanggil yang telah tersalah dial ke nombor telefon bimbitnya.

“Nombor yang anda dial bukan kepunyaan Encik Ahmad. Nombor yang anda dial kepunyaan Cik Karmila,”jawabnya dengan nada berlagu seperti pesanan suara dari komputer di telefon mudah alih.

“Encik ni dah tersalah nombor!”katanya lagi.

Karmila tersenyum sendiri mengenangkan kenangan lucunya itu. Di matanya dia cuba membayangkan wajah Adam. Kacakkah dia? Tinggi atau rendah ? ‘Lelaki bersuara romantis biasanya tidak handsome.’ Karmila terkenang kata seorang temannya sewaktu di alam persekolahan dulu.

Berkali-kali dia mendial namun hampa. Telefonnya dicampak di atas katil dengan rasa kecewa.

Ketukan di pintu bilik tidurnya menyebabkan Karmila menoleh ke daun pintu yang mula merenggang ditolak dari arah luar.

“Mak Su....”

Anak saudaranya yang berumur tiga tahun menyeringai di muka pintu. Karmila terus menerpa dan mengangkat Tasha ke atas dukungannya. Pipi kanak-kanak itu terus ditonyoh-tonyoh dengan hidungnya yang mancung.

“Rindunya Mak Su kat Tasya..rindunya..ermmhh..”bisiknya berkali-kali sambil mengucup bertalu-talu. Tasha hanya ketawa mengekek.

“Kenapa tak turun makan malam, Mila?”soal kakaknya,Mastura yang datang ke biliknya bersama Tasya. Mastura kakak Karmila yang sulung. Mereka hanya dua beradik. Di samping itu dia memiliki seorang abang angkat merangkap sepupunya yang telah dipelihara sejak bayi lagi oleh emak dan ayahnya. Nama abangnya Ahmad Firdaus.

“Mila kenyanglah, Kak long. Erm, Abang Fir dah balik ke? Err..Abang Ikmal tak balik sekali dengan Kak long ke?”tanyanya kepada Mastura tentang abang angkat dan abang iparnya. Mereka masih berada di muka pintu.

“Abang Ikmal out station. Fir dah ada balik. Ada kat dapur tu, sedang berbual dengan emak dan ayah. Jomlah! Tadi akak ada bawa buah cempedak. Jom kita goreng!”ajak Mastura bersungguh-sungguh. Tangannya memegang lengan Karmila mengajak adiknya bersama dia ke dapur. Karmila terpaksa mengalah.

“Tuan puteri bertapa dalam bilik ke sejak dari tadi?” tanya Firdaus sebaik sahaja melihat wajah Karmila. Lebar senyumannya melihat gadis itu bersanggul tinggi bagaikan wanita lepas bersalin yang di dalam tempoh berpantang.

“Bertapalah! Kut-kut dapat batu geliga daripada putera kayangan..!”balas Karmila sambil ketawa. Firdaus memang selalu bergurau dengannya.

“Alah, apalah sangat sebutir batu geliga jika di bandingkan dengan sejambak bunga mawar merah!” perli Firdaus sambil mengenyitkan matanya. Tengahari tadi dia yang menerima kiriman bunga itu dari pekerja yang menghantarnya.

Karmila tidak menjawab, sebaliknya menjelirkan lidahnya kepada Firdaus. Perangainya yang kebudak-budakan mencuit hati ahli keluarganya yang berada di meja makan lantas menghadirkan hilai tawa yang meriah.

“Sudahlah tu Mila, Fir..”tegur Mak cik Suhaila sambil menyisihkan ketawanya. Tangannya menghulur cawan yang sudah terisi teh panas kepada Karmila yang sudah duduk di kerusi.

“Ini cempedak yang abang goreng. Nak harapkan Mila, bimbang buah cempedak tumbuh di atas singki..”gurau Firdaus lagi. Sepinggan cempedak goreng yang masih panas dihulurkannya kepada Karmila.

“Abang Fir memang rajin...Lebih bagus kalau pokok cempedak tumbuh di atas singki, dapatlah kita makan cempedak goreng hari-hari..”balas Karmila terus mengusik abangnya. Lenyap rasa marahnya terhadap Akil sewaktu bersama dengan ahli keluarga yang penyayang dan ceria. Mereka terus makan sambil berbual berbagai hal.

Irama telefon bimbit milik Karmila menyebabkan dia cepat-cepat menelan cempedak goreng yang berada di dalam mulutnya. Nasib baik tidak tercekik.

“Mak Su..telefon bunyi...”

Tasha tiba-tiba berlari kepada Karmila sambil menghulurkan telefon bimbit kepunyaan emak saudaranya itu.

“Thank you, dear..”kata Karmila sempat mencubit pipi Tasha yang gebu. Telefon di tangan Tasha segera diambilnya.

“Assalamualaikum,abang..”ungkapnya seolah berbisik sebaik sahaja mendengar suara Adam di hujung talian.

Firdaus, Mastura, Mak cik Suhaila dan Pak cik Roslan merenung-renung sesama sendiri apabila mendengar ungkapan abang yang disebut oleh Karmila. Setahu mereka Karmila tidak pernah membahasakan abang kepada teman lelakinya Akil.

“Emak..ayah..Fir nak naik ke biliklah. Nak berehat sekejap, selepas itu Fir nak buat persediaan untuk mesyuarat pagi esok,”ungkap Firdaus sambil bangun dari kerusi dan mengeliat beberapa kali. Karmila sudah menghilangkan diri, mungkin melayani panggilan telefon di bilik tidurnya.

“Pergilah, Fir..”

Firdaus terus mendaki tangga ke tingkat dua rumah itu yang menempatkan empat buah bilik tidur. Sebaik melalui bilik tidur Karmila dia menghentikan langkahnya dan berdiri rapat di pintu sambil mendengar suara Karmila yang masih berbual-bual di telefon. Hati Firdaus terasa lain macam. Suara dan ketawa manja Karmila bagaikan menjentik gegendang telinganya. Menggigit ulu hatinya. Spontan tangannya mengetuk lantas menolak daun pintu yang tidak berkunci. Dia menjengukkan kepalanya ke dalam bilik.

“Good night my princess. Have a sweet dream!”katanya kuat dan menutup pintu semula. Sengaja dia hendak mengganggu perbualan Karmila dengan lelaki yang tidak dikenalinya itu. Jika Akil, dia kenal sangat.

“Suara siapa tu, Sayang?”soal Adam yang dapat mendengar suara Firdaus dengan jelas. Perbualan mereka terganggu sejenak. Hatinya berasa kurang senang.

“Abang Fir. Dia abang Mila..”jawab Karmila manja.

“Abang ingatkan sayang sedang dating dengan buah hati..”usik Adam perlahan. Nada suaranya kembali romantis.

“Mila kat rumahlah..”balas Karmila riang. Senang rasa hatinya kerana menerima panggilan telefon daripada Adam. Kata Adam tadi dia tidak menjawab panggilan telefonnya kerana dia sedang makan malam bersama keluarga. Selesai makan barulah dia dapat menghubungi Karmila semula.

“Sayang, selain daripada abang, Sayang ada teman lelaki yang lain tak?” tanya Adam terus terang. Jika Karmila sudah ada teman lelaki yang lain kecewalah hatinya. Meskipun kini mereka tidak pernah bertemu muka, dia sangat menyenangi gadis itu. Orangnya periang dan ramah. Manja dan semestinya cantik.

“Kenapa? Takkan abang cemburu..”usik Karmila. Bibirnya menyungging senyuman sambil matanya menjeling jambangan bunga kiriman daripada Akil.

“Mestilah cemburu. Kalau benar Sayang ada teman lelaki yang lain, Sayang mesti putuskan perhubungan dengan dia. Abang tak nak ada saingan tau...”bisik Adam romantis.

“Abang, kita berbual lain kalilah ya. Mila nak ke bilik air..”dalih Karmila. Sesuka hatinya sahaja Adam hendak mengatur kehidupan peribadinya. Perhubungannya dengan Akil sudah terjalin hampir dua tahun. Persahabatan mereka sudah diketahui oleh seluruh ahli keluarganya. Mustahil pula dia menceritakan segalanya kepada Adam yang baru dikenalinya tiga empat bulan yang lalu. Apatah lagi Adam hanya dikenali melalui alam maya. Entahkn jujur entahkan tidak!

“Hisy, Sayang ni..abang belum puas lagi bersembang dengan Sayang..”balas Adam. Sememangnya setiap kali dia berbual dengan gadis itu terasa berat hatinya untuk melepaskannya.

“Esok, Mila telefon abang..”janji Karmila. Meskipun Akil telah membuat hatinya tercalar namun tidak tergamak pula dia hendak menduakan kasihnya.

“Baiklah. Jaga diri tau..”Akhirnya Adam mengalah dan menamatkan perbualan telefon mereka.

Next: Bab 2

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.