Bab 2

Pohon-pohon padi meliuk lentok dibelai bayu. Tiupan angin yang bertukar-tukar arah mengalun-alunkan batang-batang pokok padi itu ke kiri dan ke kanan. Senyuman terlukis di bibir Dayana apabila melihat pemandangan alam yang mengasyikkan itu.

Pokok-pokok padi seakan menari. Warna kehijauan menyegarkan mata yang memandang. Bahkan dia juga terasa nyaman apabila tiupan angin yang lembut menyentuh pipi dan lengannya. Subhanallah. Nikmatnya anugerah TUHAN ini, dapat dikongsi bersama pokok-pokok dan setiap makhluk di atas muka bumi ini,bisik hati Dayana. Dia menghirup udara segar di tepi sawah sambil mendepangkan tangannya serta bertasbih bersama dedaunan, awan, burung-burung dan sekalian makhluk ciptaan TUHAN.

“Yana, sudahlah tu! Pergi balik! Jangan tergedang-gedang lagi di situ! Tu matahari dah menggalah!”jerit Mak Bedah dari teratak kecil yang terbina di tepi sawah.

“Yana!”panggilnya lagi apabila melihat anak gadisnya itu masih tidak berganjak dari tadi.

“Ya, mak!”jawab Dayana sambil menoleh kepada emaknya dan berjalan perlahan di atas tanah batas yang lembik. Bibir Mak Bedah mengukir senyuman apabila melihat anak gadisnya berjalan lambat-lambat menghampirinya. Kain tudung yang menutupi kepala anaknya itu terangkat-angkat kerana ditiup angin dari sawah.

“Alah, mak ni! Yana nak berlama-lama sikit di sawah ni pun tak boleh! Dahlah nak turun ke sawah tu mak tak pernah izinkan! Nak ambil angin di tepi sawah pun, mak dah marah,” rungut Dayana sambil duduk di sebelah emaknya. Mak Bedah ketawa kecil mendengar rungutan anak kesayangannya itu.

“Yana nak cari apa dalam bendang tu? Nak cari lintah! Eee...mak sendiri pun takut! Yana nak turun ke dalam bendang, tunggu musim menuai nanti! Bendang dah kering. Lintah pun tak ada,” jawab Mak Bedah dengan panjang lebar.

“Ni, ubi kayu ni bawa balik. Sampai ke rumah nanti terus buang kulitnya,” suruh Mak Bedah sambil menghulur sebuah bakul kecil ke tangan Dayana. Ubi kayu yang ditanam di tepi bendangnya itu baru dikoreknya sebentar tadi.

“Bekalan pisang yang Yana hendak tu, petang nanti ada orang hantar ke rumah. Hari ni Yana buat kerepek ubi dulu,” arah Mak Bedah pula.

Dayana hanya membisu. Dia terkenangkan peristiwa yang memalukannya itu. Jika diikutkan, hatinya tidak mahu lagi membuat kerepek untuk jualan. Namun, apabila mengenangkan yang kerepek buatannya menerima banyak permintaan tanpa melibatkan Pasar Mini Akif, Dayana bersemangat kembali.

“Nanti Yana tak payah mintak kerja lainlah, ya mak! Biar jadi usahawan kerepek aje,” kata Dayana cuba bergurau dengan emaknya.

“Terserah pada Yana,” jawab Mak Bedah sambil merenung sayang wajah anak gadisnya itu. Itulah satu-satunya zuriat yang tinggal setelah kematian dua orang anaknya yang lain. Yang sulung dan yang bongsu.

“Dulu ada tawaran sambung belajar, Yana jugak yang tolak,” ungkit Mak Bedah.

“Alah! Ramai orang yang ada ijazah bergulung pun masih menganggur, mak! Apabila gagal memperolehi pekerjaan, akhirnya terpaksa bekerja sendiri jugak,” jawab Dayana.

“Asalkan kita rajin berusaha, ada cita-cita disamping selalu berdoa kepada ALLAH, insya-ALLAH di mana-mana pun boleh dapat rezeki, mak! Lagipun kalau duduk jauh dengan mak, tak dapatlah Yana nak bermanja,” rengek Dayana sambil tersenyum sewaktu melihat wajah emaknya. Sebenarnya pada waktu dia mendapat tawaran untuk menyambung pengajiannya, emaknya tidak begitu sihat.

“Hmm...yalah! Kalau Yana dah letih nak buat kerepek nanti, ada orang datang meminang Yana, mak kahwinkan aje,” usik Mak Bedah sambil ketawa. Dayana pun turut ketawa menunjukkan giginya yang tersusun cantik.

“Takkanlah Yana dah letih buat kerepek ni. Duit ansuran kereta tu nanti takkan ayah nak bayar pulak,” balas Dayana manja. Kereta Kelisa kesayangannya itu dibeli dengan duit hasil titik peluhnya sendiri.

“Nanti ada peluang, Yana pergilah ikut kursus yang dianjurkan kerajaan. Kursus usahawan ke. Dalam negara ni dah ramai orang berjaya dalam bidang keusahawanan ni, mak. Ada yang kerepek-kerepek mereka dieksport ke luar negara! Mak tak mahu anak mak berjaya sehingga ke tahap itu?”tanya Dayana bersemangat.

“Nak-naknya industri kecil dari kaum bumiputera ni, kerajaan pun senang nak bantu,” sambungnya lagi dengan rasa kesyukuran kerana menjadi rakyat Malaysia.

“Kalau betul-betul bersemangat dan bersungguh-sungguh, mak sokong! Tapi jangan hangat-hangat tahi ayam. Memang sahlah kena kahwin kalau ada orang datang meminang, nanti,”usik Mak Bedah lagi.

“Alah mak ni! Jangan nak kahwinkan Yana dengan lelaki tak tahu asal-usulnya!Tak nak Yana,” jawab Dayana sambil berpura memuncungkan bibirnya pula.

“Habis, Yana tu asyik terperuk di celah ketiak mak, dah ada buah hati ke?”soal Mak Bedah sambil tersenyum meleret.

“Siapalah yang nakkan Yana ni mak,” jawab Dayana merendah diri,seolah-olah merajuk sambil matanya menjeling melihat wajah emaknya.

“Yana... Yana! Mak ni dah lama makan garam! Tak ada buah hati konon! Tu, surat yang selalu posmen hantar tu,” tukas Mak Bedah. Matanya melirik ke wajah anak gadisnya yang tersipu malu.

Dayana hanya memasang telinga untuk mendengar kata-kata seterusnya daripada emaknya. “Yana sedang bercinta dengan Ikhwan, kan?”tebak Mak Bedah sambil ketawa. Dayana terus tergelak.

“Mana ada mak! Ikhwan tu kawan biasa aje,” sangkal Dayana sambil ketawa. Pipinya mulai memerah keranarahsia yang disembunyikan dapat diteka oleh emaknya. Dia terasa malu.

“Mula-mula kawan biasalah, lama-lama esok mesti jadi luar biasa pulak! Rindu-merindu,”usik Mak Bedah lagi. Matanya melirik ke wajah Dayana yang tersenyum malu.

“Kalau tidak saling merindu, takkanlah kerap berkirim surat!”giat Mak Bedah lagi.

“Nak buat apa rindu pada dia. Baik Yana rindu pada mak ni,” dalih Dayana masih cuba menyembunyikan rahsia.“Pandang wajah mak, pahala pun dapat,” sambungnya lagi sambil ketawa riang.

“Rindu pada mak nak buat apa! Memang dah ada depan mata! Yana... Yana, pandai aje nak main sorok-sorok dengan mak ya!”perli Mak Bedah. Bakul yang berisi ubi kayu dihulurkannya kepada Dayana.

“Dah, Yana! Pergi balik,” suruh Mak Bedah sebaik sahaja bakul berisi ubi kayu bertukar tangan. Dayana beredar dari sisi Mak Bedah setelah mencium pipi emaknya itu.

SETELAHmeninggalkan petak-petak sawah, dari jauh lagi Dayana perasan, rumahnya dikunjungi tetamu yang tidak dikenali. ‘Siapa pulak tu?’soal hatinya. Langkahnya semakin laju. Seorang remaja lelaki menunggunya sambil duduk di atas motosikal di depan tangga rumahnya.

“Akak! Kak Dayana, kan?”soal remaja lelaki itu sebaik sahaja Dayana menghampirinya.

Dayana mengangguk. “Saya dah tanyakan kepada budak-budak yang berada di kedai kat simpang tu, sambil tunjukkan label kerepek ni! Mereka kata, akak yang usahakan kerepek di kampung ni,” cerita remaja itu lagi sambil turun dari motosikalnya.

Dayana tersenyum malu. ‘Glamor jugak kerepek-kerepek buatan aku,’ bisik hatinya.

“Ni, Abang Akif suruh saya hantar duit! Lepas tu dia suruh akak datang ke kedai jumpa atau telefon dia,” beritahu remaja itu lagi sambil menghulurkan bisnes kad kepada Dayana.

“Duit? Abang Akif? Siapa dia tu? Eh, saya tak kenal dia lah! Kenapa tiba-tiba nak bagi duit pulak! Saya tak mahu,” kata Dayana menolak pemberian remaja lelaki itu.

“Abang Akiflah. Tuan punya PASAR MINI AKIF tu,” jelas budak itu lagi. “Dua ratus ringgit ni, kak! Takkan akak tak mahu! Rezeki jangan ditolak,” pujuk remaja lelaki itu lagi. Tangannya masih menghulurkan kepingan not RM50 kepada Dayana.

“Rezeki yang diragukan halal atau haramnya, harus ditolak! Saya tak mahu terlibat dengan perkara syubhah! Mintak maaf,” tegas Dayana sambil melemparkan senyuman. Bukankah setiap muslim wajib memastikan sumber pendapatan yang diperolehinya, halal.

“Kalau begitu akak datanglah ke pasar mini tu, jumpa dengan Abang Akif,” pujuk remaja lelaki itu lagi.

“Mintak maaflah, saya tak mahu! Saya tak suka,” jawab Dayana.

Hatinya kembali bergelora dengan perasaan marah. Walaupun tidak tahu siapakah lelaki yang bernama Akif itu, bayangan wajah pemuda yang telah memegang punggungnya dengan cara yang biadap, terakam di dalam ingatannya. Dayana mengetap-ngetap bibirnya menahan geram.

DESAHANangin yang menyapa seluruh alam membawa bersamanya butiran salji lantas kedinginan yang menghadiri semakin membekukan. Musim sejuk di kota ini semakin berada di kemuncaknya. Di sana sini kala waktu siangnya kelihatan seluruh alam diselaputi salji yang memutih. Waktu malamnya pula terlalu dingin sehingga menusuk ke seluruh urat dan tulang belulang.

Dalamkesunyian malam, wajah Dayana terus bermain-main di ruang matanya. Tambahan pula selepas membaca balasan surat daripada gadis itu. Ikhwan tersenyum-senyum sendiri. Dayana yang menceritakan tentang aktiviti hariannya. Membantu emaknya di bendang, mengusahakan pelbagai jenis kerepek untuk dibuat jualan dan nostalgia silam mereka sewaktu di zaman persekolahan.

Tanpa membicarakan soal cinta atau kerinduan di dalam lembarannya, namun kehadiran warkah daripada gadis itu sentiasa ditunggu-tunggu. Bicaranya yang bersahaja sentiasa dirindui. Sejuta duka seolah-olah terpisah

saat membaca bait demi bait tulisan terlakar di dada kertas sehingga tidak jemu dia membacanya berulang kali. Lagi dan lagi.

“Hoi, Ikhwan! Yang kau asyik tersenyum-senyum dari semalam macam orang sasau apa kejadahnya?”sergah Azmir yang tiba-tiba muncul ke dalam bilik tidurnya. Azmir yang lengkap dengan pakaian musim sejuknya mungkin baru pulang dari bertemu temannya. Kota London kini sedang dilitupi gumpalan salji di setiap inci buminya. Ikhwan cepat-cepat menyembunyikan surat yang sedang dibaca ke dalam laci meja tulisnya.

“Aku senyum-senyum sebab teringat kat mak aku,” jawab Ikhwan selamba sambil ketawa. Rahsia hati mesti disembunyikan walau apa juga caranya.

“He... hee.. rajin mak kau tulis surat pada kau ya? Mesti gempak punya cerita yang mak kau tulis tu, sampai kau senyum dan tertawa sendiri,” perli Azmir sambil merenung Ikhwan yang berbaju panas lengan panjang dan berkolar tinggi warna biru tua.

Bro!Sekarang ni dah zaman ITla. Tak payah tulis-tulis surat lagi. Tu! Capai komputer riba tu. Guna internet. Boleh bersembang dengan mak kau secara terus. Muka mak kau pun dapat tengok,” saran Azmir terus ketawa.

“Kalau rasa rindu dah tak tertahan lagi boleh cium aje muka mak kau di skrin laptop tu hah... ha,” gurau Azmir lagi sambil menanggalkan jaket tebalnya.

“Alahai! Di kampung aku belum ada internet lagilah. Kalau nak buat begitu, aku kena suruh pulak makwe aku pergi ke bandar. Pergi aje kafe siber. Buat apa nak menyusahkan orang,” balas Ikhwan dengan suara perlahan.

“Ha...ha... ha...”

Mendengarkan kata-katanya, Azmir ketawa besar. Ikhwan pun turut melambakkan tawanya. Dia faham mengapa Azmir ketawa. Secara tidak sengaja tembelangnya telah pecah. Rahsia yang tersembunyi di dalam hati sudah dibongkar.

“Oh! Ada kekasih di kampung rupa-rupanya. Patutlah kat sini jual mahal. Kekasih yang setia kau ni. Wah! Patutlah tak tergoda dengan anak-anak gadis mat saleh yang putih gebu di sini. Kuat betul iman kau ya,” perli Azmir lagi sambil menepuk-nepuk bahu Ikhwan.

“Hei kawan! Setiap saat kita wajib berusaha untuk menguatkan iman. Tidak kira walau di bumi mana pun kita berada, tahu tak?”balas Ikhwan.

“Eleh, kau belum cuba! Kalau kau cuba, pasti akan tergugat iman kau! Bahkan akan meleraikan ikatan dengannya supaya tidak mengongkong kehidupan kau,” sahut Azmir.

“Apa yang kau maksudkan ini, Mir?Apa yang mesti aku cuba? Sehingga kau anggap aku akan sanggup meleraikan hatiku daripada iman? Hmm... kau nak suruh aku cuba teguk air kencing syaitan tu macam kau! Biar terbuka kunci yang mengurungi nafsu lelakiku dan seterusnya kau nak suruh aku ratah tubuh anak-anak gadis mat saleh atau semua bangsa yang ada kat sini?”Panjang lebar jawapan Ikhwan kerana dia berasa marah dengan kenyataan yang diungkapkan oleh teman serumahnya tadi. Azmir yang memperlekehkan keimanannya.

“Perut aku laparlah! Kau dah masak?”soal Azmir sambil menggosok perutnya melupakan kisah gadis mat saleh. Telinganya pun tidak sanggup mendengar khutbah Ikhwan lebih lama lagi.

“Eh! Tadi kau dah makan kat luar, kan? Takkan dah lapar balik!”bidas Ikhwan. Dia bangun dan berjalan menuju ke ruang dapur apartmen itu. Sejujurnya, perutnya telah berdendang sejak tadi.

“Aku ada ada jumpa Amanda. Tak jamah apa pun,” beritahu Azmir sambil tersenyum penuh makna. Wajah Amanda yang jelita menari-nari di matanya.

“Hmm... tak jamah apa-apa konon,” ejek Ikhwan. Matanya merenung tepat ke arah Azmir yang bagai kucing yang terjatuh di dalam lecah.

“Hei kawan! Sudah-sudahlah tu, Mir. Aku dah masak dengan perangai kucing hutankau ni! Semua kau tibai,” sindir Ikhwan. Perangai playboy Azmir dia sudah faham.

“Kau ni Ikhwan pandai aje serkap jarang aku, ya? Tibai memanglah tibai,” akui Azmir.

“Sementara ada peluang jangan dilepaskan begitu aje. Rugi. Lagipun kat sini aje aku nakal. Esok-esok bila balik ke Malaysia aku taubatlah! Nakal-nakal kat sini bukannya ada kaum kerabat aku tahu pun,” katanya lagi sambil mengambil dua biji pinggan dan cawan dari almari.

“Yalah tu! Kau takut dan segan kepada kaum keluarga dan kerabatkau aje! Dengan TUHAN kau tak segan?”tanya Ikhwan lalu melambakkan spageti ke dalam pinggan Azmir.

“Kalau nak bertaubat tak payah bertangguh-tangguh. Kalau malaikat tarik nyawa kau sekejap lagi, tak sempat bertaubat! Bukannya kau tahu, bila nak mati,” sindir Ikhwan. Dengan kawannya yang bernama Azmir ini dia kena cakap berterus terang. Tidak perlu beralas, berkias.

Azmir yang baru menghirup kopi panas tersedak.

“Kau ni mulut tak ada penapis langsung!”sanggah Azmir perlahan sambil mengesat mulutnya yang tersembur air kopi. Matanya sempat merenung wajah Ikhwan yang bersahaja.

“Kau ingat TUHAN tak nampak aktiviti maksiat yang kau buat di negara mat saleh ni?”soal Ikhwan sambil merenung Azmir dengan renungan tajam. Sudah berbuih mulutnya menasihatkan teman senegaranya itu agar tidak lupa daratan. Jangan lupa agama dan aqidah yang dipegang walau berada di rantau orang. Walau di bumi mana pun ALLAH tetap melihat, tetap menjadi saksi kepada perlakuan setiap hamba-NYA.

“Kau sangka malaikat dah kebekuan dakwat penanya kerana kau duduk di negara yang sedang bersalji ini?”Sinis soalan Ikhwan sambil matanya terus merenung Azmir.

“Janganlah renung aku macam tu, Ikhwan. Kalau kau tak mahu gunakan kesempatan yang ada, itu hak kau. Tapi janganlah kau ganggu-gugat hak aku pulak. Kalau kau nak terus setia dengan budak kampung tu, kau teruskanlah. Aku tak mahu terikat dengan sesiapa, aku hanya ingin bergembira dalam hidup.Aku ingin isi waktu muda aku dengan keseronokan dan kenikmatan,” ujar Azmir dengan panjang lebar.

“Lagipun kita manusia biasalah, kawan! Bukannya malaikat yang hanya menumpukan seluruh hidupnya untuk beribadat kepada ALLAH. Malaikat tak ada nafsu! Tapi aku...” kata-kata Azmir terhenti seketika kerana dia ingin menelan makanan di dalam mulutnya. Suasana sepi seketika.

“Aku ada nafsu,” sambungnya lagi sambil tersengih.

“Memanglah aku tak nafikan kata-kata kau tu Mir! Semuanya benar belaka. Tak ada yang salahnya pun. Memang ALLAH telah mencipta makhluk-makhluknya. Ada malaikat. Ada manusia. Ada haiwan,” balas Ikhwan.

“Dah tu kalau kau dah bersetuju dengan pendapat aku, kenapa pulakkau nak halang apa aktiviti yang aku nak buat demi mengenyangkan nafsu aku?”tanya Azmir dengan gaya tidak puas hati.

“Kalau kau nak jadi malaikat aku tiada halangan apa-apa! Tapi jangan pulak kau sibuk-sibuk hendak menyekat kebebasan aku untuk menjadi manusia yang normal!”tukasnya pula.

“Tak! Aku tak berniat menghalang atau menyekat pun, Mir..! Tapi aku suka hendak mengingatkan kau, walaupun aku tahu yang kau sudah arif tentang asal kejadian malaikat, manusia dan haiwan. Tetapi kau jangan lupa, malaikat yang dijadikan daripada cahaya memang sebaik-baik makhluk. Malaikat diletakkan di tangga yang paling atas sekali kerana malaikat tidak tahu membuat dosa, malah mereka tidak tahu membantah segala arahan ALLAH SWT kerana malaikat tidak mempunyai nafsu,” balas Ikhwan.

“Semua tu aku dah tahulah. Aku dapat A lah subjek Pendidikan Islam! Bukannya aku jahil seperti tanggapan kau, Ikhwan!”sanggah Azmir dengan suara perlahan dan perasaan yang kurang senang.

“Aku tak pernah anggap kau jahil tapi mungkin kau telah hanyut sedikit kerana tidak dapat menahan ujian yang semakin hebat di negara ini,” jawab Ikhwan lembut.

“Yalah, namanya pun manusia! Ada nafsu! Nafsu diberikan kepada kita sebagai ujian hidup. Tapi jangan lupa Mir, TUHAN jugak telah bekalkan kita dengan akal supaya dapat memandu nafsu itu ke jalan yang diredai. Apabila seorang manusia itu beriman dan patuh kepada setiap ajaran dan apa yang diperintahkan oleh TUHAN seperti mana malaikat tadi, posisi manusia akan jadi lebih mulia sebab manusia perlu berjuang bermujahadah. Tetapi malaikat tidak perlu bermujahadah.”Panjang hujah Ikhwan pada malam itu.

“Alah, Ikhwan! Kalau kau nak berjuang, bermujahadah, kau bermujahadahlah. Tapi aku selagi umur masih muda ni, aku akan berjuang jugak,tapi berjuang untuk nafsu muda. Muda hanya sekali beb!”jawab Azmir sambil tergelak. Segala kata-kata yang diungkapkan oleh teman serumahnya tadi bagai tidak terkesan di hatinya. Masuk melalui telinga kiri, keluar telinga kanan.

“Sudah takdirTUHAN,” kata Azmir lagi sambil ketawa.

“Terserahlah,” jawab Ikhwan ringkas. Jika manusia itu hendak melontarkan dirinya di dalam kehinaan tak bolehlah dia hendak menyalahkan TUHAN. Apabila manusia yang diberi akal berperilakunya seperti haiwan, sesungguhnya manusia itu lebih sesat dan hina daripada haiwan.

“Kekasih kau kat kampung itu mesti cantik,kan? Sehingga mengikat kesetiaan kau kepadanya,”ujar Azmir pula setelah beberapa minit mereka berdiam diri melayani fikiran dan perasaan masing-masing.

“Maaf! Aku tak mencari gadis cantik, Mir! Aku mencari kedamaian dan ketenangan di hati! Dan kerana itulah aku akan terus setia,” jawab Ikhwan perlahan.

Benar. Dia akan tetap dengan kesetiaannya kepada gadis yang telah lama bermukim di hatinya.Kelembutan Dayana mempamerkan peribadinya. Redup mata gadis itu terbayang-bayang. Ketenangan wajahnya bisa mendamaikan hati yang sedang berkocakan. Saat itu rasa rindu yang mencengkam kalbunya semakin mengetat.

“Wah! Bila kau nak kenalkan kepada aku?”tanya Azmir seolah menduga hati temannya itu. Lamunan Ikhwan bertebaran.

“Insya-ALLAH, kalau ada kesempatan. Bila kita balik bercuti ke tanah air nanti. Jika dia sudi, aku akan kenalkan kau kepada Yana,” jawab Ikhwan bersahaja. Azmir menjongketkan keningnya sambil senyum nakal.

Previous: Bab 1
Next: Bab 3

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.