Bab 15

SURIA memancarkan sinaran, menerangi alam semesta. Bunga-bunga mawar yang berkembangan di halaman rumah Mak Bedah seolah melambai-lambai apabila dibelai angin bayu. Harum bunga melur yang sedang lebat berbunga dicelah-celah pohonnya yang merimbun di tepi tangga menyamankan udara pada tengah hari itu. Begitu agungnya kekuasaan TUHAN yang mampu mengadakan apa sahaja untuk faedah makhluk ciptaan-NYA. Untuk dipandang keindahannya, dihidu harumannya, bahkan untuk segala-galanya. Semuanya telah disempurnakan oleh DIA.

Beberapa orang tetamu sedang duduk di anjung rumah itu. Mereka yang baru sahaja datang berbual-bual mesra beberapa ketika. Dulanghantaran sebanyak tujuh dulang bersusun di atas lantai di ruang tamu rumah Mak Bedah dan Pak Yusof. Sebenarnya mereka terkejut menerima tetamu yang tidak diundang itu.

Beginilah, Encik Yusof, Puan Bedah. Kita ringkaskan majlis hari ini. Sekarang ini saya mewakili pihak lelaki ingin tahu jumlah hantaran yang pihak perempuan inginkan,” kata Pak Cik Dali yang menjadi jurucakap bagi keluarga lelaki dalam adat meminang itu.

Yalah, hantaran tu janganlah sampai tidak mampu ditanggung oleh anak saya. Ikhwan tu sedang belajar lagi,” sampuk Mak Cik Tijah tiba-tiba.

Minumlah... soal hantaran tu biar kami suami isteri berbincang dulu,” kata Mak Bedah berbasa basi. Dia terus menghidangkan minuman dan sedikit juadah untuk tetamu. Kopi Odan pisang goreng yang masih panas.

“Jemput minum ya!Jangan segan-segan,”pelawa Pak Yusof dengan ramah. Setelah itu dia mengekori Mak Bedah yang mencuit mengajaknya ke dapur.

Saya nak hantaran RM10,000 serba satu,” bisik Mak Bedah di telinga Pak Yusof.

“Tak boleh kurang satu ringgit pun. Tak ada tawar menawar!”tegasnya. Dia tidak peduli apa orang lain akan kata. Dayana anaknya dandia berhak menentukan jumlah hantaran serta maskahwin untuk anak kesayangannya itu.

Hisy! Awak dah gila ke?”jawab Pak Yusof dengan nada terkejut. Ungkapan yang terkeluar daripada bibir Mak Bedah tidak diduganya sama sekali. Nampak seolah isterinya itu sudah berubah sikap. Daripada seorang yang pemurah dan mudah berunding kepada seorang yang tamak haloba dan tidak boleh dibawa berbincang.

Nanti orang kata kita nak menjual anak pulak! Tak baik,” nasihat Pak Yusof tanpa mengetahui niat yang tersembunyi di hati nurani isterinya.

“Awak,Cik Tijah tu sebenarnya tak mahu bermenantukan Yana. Dia kata anak kita tak sama taraf dengan anaknya, Ikhwan yang berpendidikan tinggi. Sedang belajar di universiti di luar negara. Tak lama lagi, Ikhwan akan jadi arkitek. Jadi tak sesuai beristerikan Yana,” cerita Mak Bedah bersungguh-sungguh sambil membisikkan segala kata-katanya.

Mana awak tahu?”tanya Pak Yusofdengan perlahansambil merenung wajah isterinya.

Saya dengar dia mengumpat Yana di kedai runcit Abu, senja semalam. Saya dengar sendiri. Dia tak perasan saya ada di situ, sebab sedang seronok mengumpat anak kita,” sambung Mak Bedah lagi masih berbisik di telinga Pak Yusof.

Tak apalah kalau begitu. Saya akan beritahu hantaran yang kita mahukan, RM15,000 serba satu,” kata Pak Yusof pula. Mereka beredar kembali ke anjung setelah bersepakat dan bersatu hati dalam membuat keputusan.

“Apa? Lima belas ribu? Tinggi sangat Cik Bedah! Yana tu, apa yang dia ada? Sekolah pun setakat SPM aje. Tak bekerja pulak tu. Takkan sampai 15 ribu hantarannya. Kalau 1500 tu saya sangguplah. Itu pun dah kira mahal!”kata Mak Cik Tijah dengan suara sinis.

Yana tu kan bekerja sendiri, Cik Tijah!”sanggah Mak Bedah sambil tersenyum menahan sabar. Wajahnya terpaksa dimanis-maniskan sewaktu mengungkapkan kata-kata itu sebagai tanda menghormati tetamu yang datang ke rumahnya.

Alah! Kalau setakat buat kerepek pisang, kerepek ubi, kuih tradisional tu, takkan nak letak hantaran macam artis popular,” sindir Mak Cik Tijah lagi. Hatinya mula rasa dipanggang.

Kecil-kecil bisnesnya tu, ada jugak pendapatannya Cik Tijah! Dalam sebulan, dapat tujuh lapan ratus ringgit,” jelas Mak Bedah lagi dengan suara yang sengaja diramahkan serta merendah diri.

Mak Cik Tijah mengetap bibirnya dan terkumpal-kumpal tidak tahu untuk mejawab apa. Sememangnya dia sudah mengetahui tentang bisnes gadis itu. Kerepek, kuih-kuih tradisional dan kek buatannya sudah terkenal dan menjadi kegemaran ramai. Dia juga sudah faham sangat dengan cita-cita gadis itu untuk menjadi usahawan yang berjaya.

“Tak apa, Cik Tijah! Lebih baik Cik Tijah berbincang dulu dengan Ikhwan. Lepas tu kita berunding lagi,” sampuk Pak Cik Yusof dengan tenang. Harapannya agar wanita berhati besar itu tidak terkoyak perasaannya dengan penolakan mereka itu. Mata Mak Cik Tijah memberi isyarat kepada ahli rombongannya. Wajahnya yang mencuka terpaksa dimanis-maniskan. Sungguh dia tidak menduga yang Mak Bedah dan Pak Yusof meletak jumlah hantaran semahal itu.

“Kalau begitu kami beredar dululah. Terasa panas pulak lepas minum kopi O tadi,” kata Mak Cik Tijah sambil berpura-pura senyum.

“Dulang-dulang hantaran ni bawa balik dululah,” sampuk Mak Bedah pula dengan manis muka. Pak Yusof dan Mak Bedah menghantar rombongan meminang sehingga ke kereta.

“Dia ingat anak kita tak laku sangat! Geram betul saya dengan mulut Tijah tu,” kata Mak Bedah sebaik sahaja kereta-kereta tetamu bergerak meninggalkan halaman rumahnya.

“Ikhwan tu takkan tak mengikut perangai maknya satu hari nanti!”tukasnya.

Pak Yusof sempat menjeling apabila mendengar kata-kata itu. Nampak benar isterinya itu sedang marah. Bersungguh-sungguh marahnya.

Jika dibandingkan Ikhwan anaknya itu, saya lebih berkenan dengan pemuda yang hantar Yana balik dari hospital tempoh hari. Maknya pun baik. Cepat mesra. Tak berlagak!”sambungnya lagi. Hatinya memang tidak boleh serasi dengan orang sombong dan berlagak. Bercakap besar macam dunia ini kepunyaan dia!

“Siapa? Akif?”soal Pak Yusof. Matanya membayangkan wajah pemuda itu. Agak lama juga dia mengenalinya. Pemuda berperibadi sederhana itu, dia pun berkenan.

Siapa lagi...” jawab Mak Bedah sambil tersenyum meleret. Entah mengapa hatinya begitu terpaut hati dengan perwatakan pemuda itu.

“Bertuah badan kalau dapat bermenantukan Akif tu,”tukas Pak Yusof sambil meleretkan senyuman.

HEMBUSAN angin petang mengusap wajahnya. Ikhwan yang sedang bermenung di muka jendela anjung rumah gelisah di dalam penantian. Keresahan terus merajai sanubari di saat menunggu kepulangan emaknya yang pergi melamar kekasih hati. Bunyi hon kereta dari halaman rumah, menyebabkan dia segera menerpa muka pintu. Hatinya berdebar bercampur cemas apabila melihat seorang demi seorang yang keluar dari kereta membawa balik dulang hantaran. Bagaikan dapat meneka sesuatu yang tidak elok Ikhwan terus menuruni tangga seolah-olah tidak sabar untuk bertemu dengan emaknya.

Padan muka!Pinangan kau ditolak mentah-mentah!”beritahu Mak Cik Tijah sebaik sahaja sampai ke kaki tangga. Belum sempat Ikhwan berkata atau bertanya sesuatu pun. Perkhabaran itu seolah-olah mengapak dan mencincangkan hati anakmuda itu menjadi menjadi cebisan-cebisan kecil.

Apa mak? Pinangan ditolak? Mustahil...saya tak percayalah,”kata Ikhwan dengan nada kecewa. Reaksi emaknya yang membuat muka kering semakin menusuk hati.

“Betul ke, Ayah Da?”soal Ikhwan kepada Pak Cik Dali yang dipanggilnya Ayah Da apabila emaknya enggan memberi penjelasan.

Bukannya ditolak, tetapi mereka suruh berunding dulu tentang hantaran yang hendak dibawa,” terang Pak Dali.

Kenapa? tanya Ikhwan sambil mengerutkan wajah. Matanya mengecil sewaktu melihatwajah Pak Dali dan emaknya.

Mak kamu tu! Dia ingat Yana tu kambing biri-biri ke? Nak mintak anak dara orang, hantaran rendah-rendah. Ungkit pasal Yana tak ada kerjalah. Yana hanya ada SPM sajalah,” cerita Pak Dali dengan suara kuat.

“Langsung tak hormat pada perasaan orang lain. Bercakap ikut sedap mulut dia aje,” tempelak Pak Dali pula.

Dah memang Yana tak bekerja, kan? Sekolah pun setakat tingkatan 5 aje. Seluruh kampung ni dah tahu tentang itu! Takkan hantaran kahwin macam primadona pulak!”tempelak Mak Cik Tijah sempat lagi menyindir.

Mak Bedah mintak hantaran berapa?”tanya Ikhwan kepada Pak Dali.

“RM15,000serba satu. Yang mak kamu beritahu kepada Mak Bedah kamu, seribu lima ratus aje dia sanggup,” cerita Pak Dali lagi.

“Dia ingat Yana tu janda ke?”soal Pak Dali dengan nada tidak puas hati dan marah.

“Astaghfirullahalazim. Saya dah beritahu pada mak, jangan tawar-menawar soal hantaran,” kata Ikhwan sambil meraup wajahnya berulangkali dengan perasaan kesal.

“Saya dah berjanji dengan Yana. Kepulangan saya ini sebab nak menguruskan hal kami berdua. Saya nak bernikah dengannya dan akan bawa dia ke sana,” jelas Ikhwan dengan nada kecewa.

“Berapa hantaran pun saya sanggup, sebab saya memang cintakan dia,”ujarIkhwan sambil menghela nafas dan melepasnya dengan deras.

Banyak duit kamu!”sanggah Mak Cik Tijah lagi sambil menjegilkan matanya. Ikhwan hanya menjawab dengan keluhan. Mustahillah dia sanggup berjanji jika tiada kemampuan.

Mak kan tahu, di sana Ikhwan bukan pernah buang masa! Kalau tak ada kuliah, Ikhwan bekerja. Jadi apa yang mak nak risaukan pasal duitnya,”rungut Ikhwan dengan nada kesal. Tambatan kecewa yang sedang mengikat hatinya begitu menyakitkan.

“Beginilah, Ikhwan. Nanti kamu berundinglah sekali lagi dengan mak dan ayah kamu. Kalau ada persetujuan nanti, Ayah Da sanggup pergi sekali lagi ke rumah Mak Bedah tu, pinangkan Yana untuk kamu,” janji Pak Dali.

Tak payah nak runding-runding lagi! Tak payah kahwin dengan dia! Apa kamu ni tak ada maruah ke, Ikhwan? Sudah dihina begitu pun masih terhegeh-hegeh. Macam kemaruk sangat kepada Yana tu,” tingkah Mak Cik Tijah kasar. Matanya menjeling geram.

PerasaanIkhwan benar-benar buntu dengan sikap emaknya. Ketenangannya tiba-tiba lenyap. Kedamaian hatinya seolah terpadam. Hati yang meretak terus terpatah. Duka pun ternganga.

Mak Bedah kamu tu tak sedar diri! Dia ingat Yana tu cantik sangat. Tak kuasa mak nak benarkan kau keluarkan duit berbelas ribu ringgit untuk hantarannya tu,” kata-kata kesat yang terungkap daripada bibir emaknya seolah menggigit anak telinganya.

Kalau kau dah nak beristeri sangat-sangat nanti mak carikan! Yang lebih cantik dan berpelajaran tinggi, baru sepadan dengan kau,”sambungnya lagi sambil mengembang kempiskan hidungnya.

Mak!! Tak baik mak menghina Yana begitu. Tak cantik di mata mak, tetapi cantik di mata saya dan semua orang yang melihatnya,”balas Ikhwan cuba membela kekasih hatinya itu.

Ikhwan! Selagi ada umur mak ni, jangan sesekali kamu ambil Yana menjadi isteri kamu! Kalau kamu ingkar juga! Derhaka kamu!”

Previous: Bab 14

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.