Bab 5

Mentari sudah memudarkan cahayanya sedikit demi sedikit. Silauannya semakin meredup. Langit yang membiru pun telah diselubungi awan gemawan. Masa yang terus beredar berabad lamanya. TUHANlah yang telah menghadiahkan kita masa yang singkat di bumi ini.

Waktu menunjukkan hampir 6.00 petang. Sudah berulangkali Akif memerhati kearah tempat parkir kereta berhadapan dengan pasar mininya. Namun, kereta Kelisa merah masih belum kelihatan. Sudah seminggu dia berkeadaan begitu. Tidak tahu apa sebabnya. ‘Memang benarlah penantian itu satu penyiksaan,’kata hati kecilnya pula.

Hampir senja, bibirnya mengukir senyuman sebaik sahaja melihat kelibat kereta itu sedang menghampiri lorong masuk ke tempat parkir di hadapan pasar mininya. Hatinya dipagut kecewa kerana melihat pemandu kereta Kelisa merah bukan sidia yang dinanti.

“AssalamualaikumAkif...”panggil Pak Yusof sebaik sahaja keluar dari kereta. Dia terus membuka boot dan mengeluarkan dua buah kotak. Akif datang menghampirinya. Bunga-bunga kecewa di hatinya bertambah mekar, apabila melihat Pak Yusof datang bersendirian.

“Yana tak dapat datang! Dia demam. Ada di wad. Doktor syak dia kena denggi,” beritahu Pak Yusof sebaik sahaja Akif berdiri di sisinya. Terkejut Akif mendengar perkabaran itu.

“Oh ya? Kenapa dia tak telefon beritahu saya. Saya tertunggu-tunggu jugak. Sebab waktu dia datang ke sini dua minggu lalu, dia janji nak hantar kerepek ni hari Sabtu minggu lepas,” beritahu Akif, ramah. Dia mengangkat sebuah kotak dan membawa masuk ke dalam pasar mininya diiringi Pak Yusof yang juga membawa sebuah kotak. Mendengar kata-katanya itu Pak Yusof ketawa kecil.

“Yana anak pakcik tu pemalu sikit! Lagipun dia belum kenal sangat dengan Akif. Tu yang dia segan nak beritahu,” cerita Pak Yusof.

“Oh...” sambut Akif ringkas.

Dia terkenangkan pertengkaran kecil yang ditimbulkan oleh Dayana pada pertemuan mereka sebelum itu. Keberanian Dayana meluahkan kata-kata untuk menyuarakan rasa tidak puas hatinya tidak menggambarkan yang dirinya seorang pemalu.

‘Agaknya dia geram sangat hari tu,’pujuk hatinya pula.

“Pakcik datang ni pun, dia yang desak-desak waktu pakcik melawat dia di wad semalam. Sampai nangis-nangis dia suruh pakcik hantarkan kerepek-kerepek ni! Dia kata dia dah janji dengan Akif. Dia rasa malu kalau tak tunaikan janji,” beritahu Pak Yusof lagi.

“Alah, kalau Yana telefon dan beritahu hal yang sebenar, saya pergi ambil di rumah pun tak apa, pakcik,” jawab Akif, lembut.

“Kalau saya tak sempat, sayasuruh pekerja saya pergi ambil,” kata-kata yang terungkap di bibir Akif berhenti seketika kerana dia mengira jumlah bungkusan kerepek yang dibawa oleh bapa Dayana.

“Yana bila nak discharged? Doktor ada beritahu pakcik tak?”soal Akif apabila selesai mengira. Pak Yusof menggeleng.

“Ada 600 bungkuspakcik,”beritahu Akif pula setelah mengira sekali lagi. “Nanti pakcik suruh Yana tulis invois ya,”pesannya sambil mencatit sesuatu pada buku kecil yang ditangannya.

“Invois?”tanya Pak Yusof kerana tidak tahu apa yang dimaksudkan oleh anak muda itu. Baru pertama kali dia mendengar perkataan itu. Pak Yusof menggaru-garu kepala sejenak. Akif yang melihatnya menyengih lebar.

“Tak apa, pakcik.Nanti saya ajarkan Yana, macam mana nak buat! Dokumen-dokumen urus niaga ni sangat penting untuk tujuan rekod kita,”jelas Akif dengan lembut.

“Yalah, Akif. Akif ajarkanlah anak pakcik tu cara-cara nak uruskan bisnes dengan betul. Kecil atau besar perniagaannya kenalah ikut cara yang sepatutnya, betul tak?”tanya Pak Yusof.

“Insya-ALLAH, pakcik. Saya akan tunjuk ajarkan Yana.”janji Akif dengan senyuman yang semakin melebar. Hatinya berasa senang dengan permintaan bapa gadis itu.

“Pakcik balik dululah, Akif. Nanti kalau ada apa-apa Akif telefonlah Yana tu, ya,”ujar Pak Yusof sambil membuka pintu keretanya.

“Nak telefon macam mana, pakcik?Nombor telefon Yana saya tak ada simpan,” terang Akif sambil tersenyum. Dia terasa segan hendak meminta nombor telefon gadis itu sewaktu mereka bertemu dua minggu yang lalu.

“Yana tak bagi nombor telefonnya kepada Akif?”soal Pak Yusof, agak terkejut. ‘Nak berniaga macam mana Yana ni, kalau nombor telefon sendiri pun lokek!’Hati Pak Yusof seolah berbisik.

Akif menjawab soalan itu dengan senyuman sambil mengeleng.

“013...” Spontan sahaja bibir Pak Yusof menyebutkan nombor telefon bimbit Dayana. Akif terus mengambil telefon bimbit di dalam kocek seluarnya dan menyimpan nombor telefon gadis itu di dalam direktori telefon bimbitnya.

“Terima kasih, pak cik,”ucap Akif sambil menutupkan pintu kereta.

Pak Yusof melambaikan tangannya dan terus beredar dari situ. Akif menekan butang-butang di telefon bimbitnya dan menghubungi Dayana untuk bertanya kabar.Suara mesej pesanan yang menjengah gegendang telinga Akif, menghampakannya.

KEESOKANNYA harinya Akif meluangkan masa untuk melawat Dayana di wad. Matahari bersinar terang sewaktu kereta yang dipandu Akif tiba ke medan parkir Hospital Parit Buntar. Alhamdulillah, masih banyak tempat parkir yang kosong. Secara kebetulan sewaktu dia tiba memang sudah sampai masa untuk melawat. Akif pun cepat-cepat menaiki lif dan menuju ke wad pesakit perempuan.

DAYANA BT MOHD YUSOF. Katil nombor 13.

Mata Akif terpaku pada papan putih yang terlekat di dinding di luar pintu wad. Setelah itu dia berjalan cepat-cepat memasuki wad sambil matanya memerhati nombor-nombor di dinding di kepala katil pesakit. Bibirnya mengukir senyuman sebaik melihat Dayana yang sedang bermenung di atas katilnya seolah-olah sedang menunggu seseorang.

“Assalamualaikum...”sapanya kepada Dayana. Dayana tersentak. Dia mendongakkan wajahnya dan melihat wajah Akif. Tidak diduganya pemuda yang sedang dikenang menjelma di depan matanya.

“Waalaikumusalam,”jawab Dayana singkat menyembunyikan kekejutannya.

“Yana apa khabar?”soal Akif sambil merenung mesra.

“Akif nak tengok saudara sakit ke?”soal Dayana. Pertanyaan dari Akif tidak berjawab. Wajahnya sugul. Sebenarnya dia sedang menunggu kedatangan emak dan ayahnya untuk membawa dia pulang ke rumah.

“Hmm...” jawab Akif ringkas.

Matanya merenung Dayana yang sudah tidak berseragam hospital.

“Akif melawat siapa?”soal Dayana pula. Suaranya hambar. Matanya melilau ke sana sini. Cuba mengagak pesakit yang ada kena-mengena dengan pemuda yang sedang berdiri di sisinya. Akif tersenyum meleret.

“Saya datang memang nak melawat Yana lah,” beritahunya ramah.

“Yana dah sihat?”tanyanya pula mengulangi pertanyaan yang belum berjawab.

Dayana mengangguk perlahan. “Alhamdulillah,” jawabnya.

“Kenapa tak beritahu Akif, Yana masuk wad?”soal Akif lembut.

Dayana sedikit terkejut dengan pertanyaan itu. ‘Apa hal pulak aku nak beritahu mamat ni yang aku masuk wad? ’soal hati kecilnya. ‘Usia perkenalan masih terlalu singkat. Belum pun sampai dua bulan. Hati budinya pun aku belum kenal,’rungut hati Dayana.

“Beritahu? Hmm...” kata Dayana sambil merenung wajah Akif dan mengerutkan dahinya. Dia ragu-ragu hendak memberi jawapan, bimbang akan mencalarkan hati pemuda itu.

“Yana...Yana...tak teringat nak beritahu, maaf,”dalihnya, tergagap-gagap.

Akif tersenyum lagi.Teringat pula dia kepada emak dan adiknya Nisah yang masih belum nampak batang hidung mereka.

“Akif datang bawa mak dengan adik sekali,” beritahu Akif pula. Matanya meninjau ke pintu wad. Dayana pun turut sama memerhati ke arah pintu masuk wad yang kelihatan sibuk dengan pelawat-pelawat keluar masuk. Jantungnya berdetak laju. Hal itu tidak diduganya sama sekali.

“Itu pun mereka,” kata Akif sambil melambai ke arah seorang wanita separuh usia dan seorang gadis remaja. Wanita dan gadis yang dilambai Akif berjalan laju menuju ke arah mereka.

“Yana,ini mak Akif,” perkenal Akif kepada Dayana. Dayana menghulurkan tangannya kepada emak Akif.

“Nama makcik, Esah,”beritahu emak Akif pula dengan suara ramah dan tersenyum mesra. Lembut dan sejuk tangan Dayana yang di dalam genggamannya. Gadis itu mencium tangannya dengan sopan.

“Yang ini adik bongsu Akif,” perkenal Akif lagi.

“Hai,saya Nisah,” beritahu Nisah dengan suara riang. Dia sempat mencubit lengan Akif dan memberi isyarat mata kepada abangnya itu.

‘Oh!Agaknya inilah kekasih Abang Akif? Patutlah dia menolak cinta Kak Ros,’bisik hati Nisah cuba meneka. Matanya merenung kepada Dayana dengan pandangan nakal.

“Dah sihat ke, Yana?”soal Mak Esah. Matanya yang mencuri pandang ke wajah gadis itu tidak berkalih agak lama. ‘Macam sepadan aje dengan Akif,’bisik hatinya sendiri.

“Dah, alhamdulillah, makcik. Hari ini Yana dah discharged! Sedang tunggu ayah datang ambil bawa balik. Terima kasihmakcik sudi datang. Buat susah-susah aje,” jawab Dayana, panjang lebar.

Mereka berbual-bual beberapa ketika tentang beberapa orang pesakit yang berada di wad itu. Dayana terasa segan juga dengan kemesraan dan keramahan yang ditunjukkan oleh Akif dan keluarga terhadapnya, sedangkan mereka belum pernah berkenal mesra.

Sambil berbual dengan Akif dan keluarga, hati Dayanadilanda resah. Sebenanya sudah empat jam dia menunggu ayahnya untuk mengambil dan membawa dia balik ke rumah tetapi ayahnya belum kunjung tiba. Isyarat mesej dari telefon bimbit Dayana mengganggu perbualan mereka.

“Maaf makcik, Yana nak jawab SMS,” kata Dayana sambil mencapai telefon bimbitnya yang diletak di bawah bantal.

Tayar kereta pancit. Ayah tak dapat ambil Yana. Yana balik sendiri. Naik teksi.

‘Alah, kenapa ayah tak telefon beritahu dari tadi? Buang masa ajetunggu kat sini berjam!’ rungut hati Dayana. Airmatanya terus merembes sebaik sahaja membaca SMS itu. Wajahnya bertukarmuram dan sugul.

“Kenapa Yana? Ada yang tak kena ke? Ayah Yana tak dapat datang, eh?”teka Akif.

Mendengar pertanyaan daripada Akif, Dayana bertambah sebak. Dia mengangguktanpa bersuara sambil mengelakkan matanya dari bertemu pandangan dengan mata Akif. Buat malu sahaja jika pemuda itu perasan yang dia sedang menangis.

“Tak apa, Yana. Saya hantarkan Yana balik. Jom!”tawar Akif sambil mengambil beg yang diletakkan Dayana di atas katil. Sekali lagi dia merenung ke wajah Dayana yang mendung.

“Jomlah,” pelawa Akif lagi seolah-olah mendesak.

“Mak,jom kita balik. Kita hantar Yana balik sekali. Ayahnya tak dapat datang,” ajak Akif kepada emak dan adiknya yang asyik berbual dengan pesakit di sebelah katil Dayana.

“Tapi...”kata Dayana. Dia serba salah dan berasa segan untuk menerima budi yang ingin ditaburkan oleh pemuda itu kepadanya.

“Tak menyusahkan Akif ke?”soal Dayana pula kerana masih ragu untuk menerima pelawaan pemuda itu. Bimbang termakan budi.

“Yana, agama Islam menganjurkan kita supaya suka melakukan kebaikan. Membantu orang dalam kesusahan akan mendekatkan dirinya dengan syurga,” kata Akif perlahan. Mungkin untuk pendengaran gadis itu sahaja. Kata-kata yang diungkapkan oleh Akif buat hati Dayana terusik.

“Tunggu apa lagi, Yana! Jomlah! Jangan segan. Bolehlah makcik berkenalan dengan mak, ayah dan adik beradik Yana nanti,” kata Mak Esah. Akhirnya Dayana mengalah. Mahu tak mahu dia terpaksa mengekori Mak Esah dan Nisahserta berjalan bersama mereka keluar dari wad.

“Adik-beradik Yana berapa orang?”soal Mak Esah sambil mereka berjalan dari wad menuju ke lif.

“Hmm...Yana anak tunggal, makcik. Sebab yang lain dah meninggal,” cerita Dayana. Baru sahaja mereka sampai di hadapan lif, muncul seorang perempuan muda yang berjalan laju ke arah mereka.

“Eh,Nisah!” tegur Rosnani terus bersalam dengan Mak Esah dan mencium tangan wanita itu. Bibir Mak Esah melukis senyuman melihat gelagat gadis itu yang mencium tangannya lama-lama.

“Datang ke sini melawat siapa, Ros?”soal Mak Esah sebaik sahaja Rosnani melepaskan tangannya.

“Dari wad bersalin! Hmm...kakak saya yang sulung tu bersalin anak nombor tiga,” cerita Rosnani sambil merenung ke wajah Dayana. Dayana melarik senyuman tipis kepadanya.

“Makcik pulak? Melawat siapa?”soal Rosnani. Matanya mula meliar ke sana sini mencari wajah Akif.

“Abang Akif dah turun dulu,” beritahu Nisah spontan seolah faham dengan kehendak hati Rosnani. “Makcik dan Nisah melawat siapa?”soal Rosnani lagi.

“Kami melawat hmm... tu...tunangAbang Akif. Inilah tunang dia! Kenalkan, Kak Yana!”sampuk Nisah dengan tiba-tiba.

Mak Esah yang mendengarnya terkejut besar. Dia mencubit belakang punggung Nisah dengan perasaan geram. Dayana yang tersentak mendengar kata-kata Nisah terpaksa menghulurkan tangannya kepada Rosnani. Bibirnya dilebarkan sambil memaniskan wajahnya.

“Bi...bi... bila Abang Akif bertunang?”soal Rosnani tergagap-gagap dengan nada kuat dan terkejut. Bibirnya bergetar seolah-olah ingin menangis.

“Hmm minggu lepas!”Laju sahaja bibir Nisah menjawabnya sambil menjeling ke wajah emaknya dan Dayana.

Telinga yang mendengar kenyataan itu terasa amat perit. Airmuka Rosnani serta-merta berubah. Seluruh alam ini dirasakan telah hancur lebur di hadapan matanya. Keinginan sekeping hati terdampar di laut lara. Perasaannya hanyut dikabus duka. Terbang melayang entah ke mana. Hatinya tiba-tiba menjadi kelam dan kosong hampa segala.

‘Akif bertunang? Oh,tidak!’jerit hati Rosnani yang sedang menangis.

Tanpa sepatah kata dia terus beredar dari situ kerana limpahan airmata sedang mengasak-asak tubir matanya. Dayana kebingungan.

“Kak Yana... err... Nisah mintak maaf,” beritahu Nisah kepada Dayana dengan tergagap-gagap. Jari Mak Esah terus merayap di belakang Nisah dan mengutilnya berulang kali.

“Akak tu memang minat gila pada Abang Akif,”jelas Nisah dengan selamba sambil menarik Dayana memasuki lif yang ternganga bersamanya.

“Tapi Abang Akif tak nak pada dia,” cerita Nisah lagi tanpa berselindung.

“Kak Yana janganlah marah Nisah,” rengek Nisah sambil merenung ke wajah Dayana.

“Tak apa, Nisah,”jawab Dayana ringkas walaupun terkejut dengan kenyataan yang diungkapkan oleh gadis itu. Lif pun berhenti. Mereka terus melangkah menuju ke kereta Akif yang berada tidak jauh dari situ. Akif sedang menunggu mereka di sisi keretanya.

“Abang Akif, dah selesai,” kata Nisah dari jauh dengan tiba-tiba.

“Apa yang selesai?”soal Akif dengan nada hairan.

“Masalah abang dengan Kak Ros,” jawab Nisah kuat lalu menghumbankan tubuhnya ke dalam kereta.

“Jangan wayar di kepala Kak Ros putus, sudahlah,”sambung Nisah lagi dan mengekek nakal. Akif tersentak mendengar kata-kata daripada Nisah. Dia memandang wajah emaknya minta penjelasan.

“Masuklah, Kak Yana,” pelawa Nisah kepada Dayana sambil menarik tangan gadis itu dengan mesra.

“Yalah! Kak Yana nak masuklah ni,” jawab Dayana dengan lembut. Mak Esah sempat berbisik kepada Akif memberitahu hal yang telah terjadi sebentar tadi.

‘Astaghfirullahalazim,hisybudak Nisah ni,’rungut hati Akif. Dia merenung Nisah yang buat-buat tak faham. Setelah itu pandangan matanya terlontar pula ke wajah Dayana yang tenang. Gadis itu sedang menundukkan wajah. Perasaan Akif terus berbaur.

Previous: BLURB
Next: Bab 6

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.