Bab 13

HAMPA. Sungguh tidak diduga. Ikhwan kecewa dengan keputusan emaknya. Tidak terlintas di fikiran dia,emaknya bersikap begitu. Masih wujud lagi di zaman ini, ibu-ibu yang ingin memilih menantu perempuan yang sama taraf kelulusan dengan anak lelakinya? Macam cerita filem Antara Dua Darjat dan Ibu Mertuaku saja.

“Tak bolehlah mak bersikap begitu. Apalah yang ada pada sekeping ijazah? Ikhwan pun belum tentu berjaya bawa balik ijazah tu. Ikhwan sedang belajar lagi. Tapi tak patut sangatlah mak menolak gadis pilihan hati Ikhwan sebab dia masih duduk di kampung ni. Sebab kelulusannya setakat SPM aje,” kata Ikhwan kepada emaknya.

“Kalau dah tau kamu tu masih belajar, belum berjaya memiliki ijazah, yang kamu gatal nak kahwin tu kenapa? Nanti kamu nak bawa Yana ikut kamu, kan? Tekak sendiri pun tak lepas lagi, dah nak tanggung beban,” tingkah Mak Cik Tijah dengan wajah menyinga. Dipandangnya wajah Ikhwan yang kelihatan rungsing.

“Nanti bila dah berbini, beranak pulak! Nafsu kamu, macam mana kamu nak tahan? Kalau dah beranak-pinak, macam mana kamu nak belajar?”soal Mak Cik Tijah lagi dengan nada marah.

“Kerana nak jaga nafsulah Ikhwan nak menikah. Ikhwan nak bawa balik Yana ke sana. Sebab itu Ikhwan nak menikah dengan dia segera,” terang Ikhwan.

“Ni belum apa-apa mak dah mengamuk! Menentang! Tak baiklah mak buat Ikhwanmacam ni,” kata Ikhwan dengan suara yang mengendur.

“Ikhwan dah kenal Yana lama. Sejak dari kecil lagi. Hati budinya Ikhwan dah tahu. Yana tu dah memenuhi segala kriteria isteri yang Ikhwan inginkan. Dialah gadis calon isteri Ikhwan,” tegasnya. Hampalah hatinya jika impiannya berkecai gara-gara sikap emaknya.

“Apa lebihnya Dayana tu?”tanya Mak Cik Tijah dengan gaya menghina. Hairan dia kerana Ikhwan begitu melambung-lambung gadis itu sedangkan pada pendapatnya Dayana itu tidak lebih daripada seorang gadis kekampungan yang hanya layak berkahwin dengan pemuda kekampungan juga.

“Mak, ada empat perkara yang harus kita fikirkan sewaktu mencari isteri. Seorang perempuan itu dinikahi orang sama ada keranaagama, kedudukan, harta dan kecantikannya. Kalau orang lain nak pilih cantik, banyak harta, kedudukan, mereka buatlah begitu. Tapi bagi Ikhwan, Ikhwan akan pilih yang beragama! Yana tu seorang gadis yang mengambil berat kepada agama, mak!”jelas Ikhwanbersungguh-sungguh.

“Mak tak risau ke Ikhwan sorang-sorang di rantau orang. Cabaran banyak. Pergaulan antara lelaki dan perempuan tak ada batasan langsung. Mak tak bimbang ke kalau Ikhwan terpengaruh dan berasa seronok melakukan perkara maksiat. Berzina ke? Mak nak ke?”soal Ikhwan dengan nada perlahan. Matanya merenung wajah emaknya.

Hatinya teringat teman serumahnya, Azmir. Azmir yang tidak puas-puas mengenyangkan nafsu syahwatnya kerana gagal membentengkan imannya. Dia bimbang keimanannya akan merapuh. Syaitan dan iblis berjaya mengasak kesabarannya.

Mak Tijah terdiam. Banyak cerita yang didengarnya. Cabaran hidup di negara orang putih memang banyak. Tambahan pula kalau iman setipis kulit bawang. Anak Lebai Aki di kampung seberang yang bertudung labuh sehingga ke lutut pun boleh tercabut tudungnya, apabila duduk di Amerika Syarikat. Lebih menyedihkan apabila

ada pula kawan-kawan sepersekolahan Siti Saliha yang menunjukkan gambar Siti Saliha meneguk minuman keras di dalam gelas sebesar jag. Gambar yang dimuat naik di dalam internet. Walaupun dia tidak faham sangat tentang internet-internet yang dikatakan orang, namun hal seburuk itu cepat saja hatinya percaya.

“Yana tu tak berpelajaran! Nanti kalau anak-anak kamu mewarisi otaknya macam mana? Mak nak cucu-cucu mak menjadi orang bijak, berpelajaran tinggi,” kata Mak Cik Tijah lagi sambil memandang Ikhwan dengan wajah tanpa emosi.

“Itulah, mak! Suka pandang rendah kepada orang lain. Sebenarnyakeputusan SPM Yana lebih baik daripada keputusan Ikhwan! Dia tolak tawaran masuk universiti sebab tak sampai hati nak tinggalkan mak abahnya. Tak sanggup untuk berpisah dengan mereka. Itulah tandanya dia seorang anak yang baik. Sanggup mengorbankan diri demi mengenang jasa ibu dan ayah. Gadis yang beginilah layak dijadikan isteri. Senang nak didik.”

“Sanggup berkorban untuk ibu bapa, sudah tentu jugak sanggup berkorban untuk suami,” sambung Ikhwan lagi.“Bukan semua orang sanggup melakukan pengorbanan demi orang lain walaupun sebesar hama,” tegasnyasambil merenung ke wajah emaknya sebaik sahaja habis mengungkapkan kata-kata.

“Amboi, pandai benar kamu menjatuhkan hukum! Kalau dah tak sanggup berpisah dengan mak ayah, masakan sanggup mengikut kamu pulak bila dah bernikah?”soal Mak Cik Tijah.

“Alah mak, Mak Bedah dan Pak Yusof tu orang yang faham hukum hakam agama. Begitu jugak dengan Yana. Bila dah jadi isteri saya, kewajipannya berada di samping saya. Mestilah dia sanggup mengikut saya dan berpisah dengan ibu ayahnya dengan reda,” jawab Ikhwan dengan panjang lebar.

“Mereka keluarga yang baik, mak. Ikhwan pun dah biasa sangat dengan mereka. Masa budak-budak dulu, selalu Ikhwan ke rumah mereka. Takkan mak dah lupa!”ungkit Ikhwan cuba membuka fikiran dan hati emaknya.

“Tak apalah, Ikhwan. Mak ikut cakap kamu untuk meminang Yana tu. Tapi hati mak tetap tak mahu terima Yana tu menjadi isteri kamu! Tak sesuai! Tak layak!”tegas Mak Cik Tijah.

Guruhberbunyi sayu bagaikan berkongsi kesedihan dengan Mak Timah. Tidak dapat ditahan, airmatanya terus berderaian di pipinya yang sudah dimakan usia. Pak Kulub suaminya juga tidak dapat menahan kepiluan hati. Suasana rumah itu diselubungi duka. Jiran-jiran yang datang, kebanyakannya tidak dapat menahan hati lantas membanjirkan airmata di pipi masing-masing. Bacaan ayat suci al-Quran terdengar memecah hening sedih. Perginya seorang anak gadis kampung itu dalam keadaan ngeri. Perginya tak kembali lagi. Bau kapur barus terus menyelubungi sekitar rumah itu.

“Kulub! Timah! Ada nak tunggu sesiapa lagi tak? Jika tak, kita uruskan segera jenazah ni!”kata Imam Yaakob. Jenazah yang sudah siap dikapan dan disembahyangkan hanya menunggu masa untuk dikebumikan.

“Imam, tolonglah uruskan. Abangnya Kamarul, yang di Sabah tak sempat nak sampai hari ini. Dia pun suruh uruskan jenazah adiknya seberapa segera,”jawab Pak Kulub dengan suara sebak.

“Yang lain-lain semua dah ada,”sambung Pak Kulub lagi dengan nada perlahan. Hatinya masih diasak pilu.

“Kalau begitu, sekarang jugak kita bawa ke tanah perkuburan untuk dikebumikan,”beritahu Pak Imam sambil memberi isyarat kepada beberapa orang pemuda yang masih menunggu arahannya di halaman rumah.

Akif melangkah dengan longlai menaiki rumah Mak Timah bersama beberapa orang jiran sambil mengangkat keranda. Dari semalam lagi dia telah bertungkus-lumus membantu keluarga Mak Timah yang dilanda musibah.

“Akif...”tangis Mak Timah tiba-tiba sambil memeluk bahu pemuda itu.

“Sabar, Mak Timah,” kata Akif. Hanya kesabaran sahaja yang dapat membentengi jiwa yang remuk kerana kehilangan orang yang disayang.

“Ros dah tak ada. Anak makcik dah tak ada, Akif...”tangis Mak Timah di bahu Akif meleret.

“Ya, Mak Timah. Sabar, ya! Tenang. Dah qada dan qadar ALLAH, Mak Timah. Kenalah reda. Kita semua akan ke sana,”jawab Akif seolah memujuk dan mengembalikan jiwa wanita itu kepada keimanan.

“Kita semua milik ALLAH. Kita doakan kesejahteraannya,”kata Akif lagi dengan suara perlahan dan sebak. Segalanya telah tertulis di Lohmahfuz. Sebagai seorang muslim yang mengakui dirinya beriman kepada ALLAH, wajiblah menerima segala peristiwa dan ujian dengan berlapang dada. Akif ingin mengungkapkan kata-kata itu kepada Mak Timah, namun bibirnya seolah terkunci apabila melihat airmata Mak Timah tidak berhenti berderai.

“Makcik mintak maaf! Makcik dengar Ros...”Tersangkut-sangkut ungkapan Mak Timah. Sekali lagi dia menangis di bahu Akif. “Tak apa-apa, Mak Timah. Saya dah anggap Ros macam adik kandung saya,”kata Akif sambil mengesat airmatanya. Jika boleh dia ingin wanita itu berbagi kedukaan dengannya. Biar dia berkongsi rasa. Akif tidak dapat menahan rasa sedih dan hiba. Hatinya dihimpit rasa pilu mengenangkan nasib gadis itu.

Walaupun boleh menerima segalanya sebagai takdir kerana berdasarkan ilmu agama, setiap hamba ALLAH yang mukmin itu diperintahkan agar bersikap reda pada ketentuan-NYA. Bersabar ketika menghadapi musibah-musibah dunia seperti kefakiran, kesakitan dan kematian, namun dia tidak mampu menepis rasa terkilan yang menamui laman hatinya. Rosnani menemui ajal di dalam keadaan hatinya yang kecewa dan hampa kerana cintanya ditolak!

Akif turut berada di atas lantai untuk membantu teman-temannya mengangkat jenazah Rosnani untuk dimasukkan ke dalam keranda. Perasaannya terlalu tersentuh pada saat itu. Namun, airmata yang ingin menjurai di pipinya terus dikekang.

“Saya pergi dulu, Mak Timah. Assalamualaikum,” kata Akif sambil mengangkat salah satu kayu pengangkat keranda yang menampung tubuh Rosnani ke atas bahu kanannya.

Kematian adalah kehilangan, dialah pemutus hubungan, cita-cita dan harapan. Namun, tiada siapa yang dapat melarikan dirinya daripada kematian.

SUBUHitu Akif membaca kitab suci al-Quran seperti rutin hariannya selepas solat subuh. Kedukaan yang bersemayam di hatinya sejak semalam kerana kematian Rosnani, mula menyisih perlahan sebaik sahaja dia membaca kalimah-kalimah suci berserta maksudnya.

“Abang Akif!”

Ketukan di pintu bilik membuat Akif tersentak dan berhenti mengaji.

“Hmm...” gumam Akif sambil merenung Nisah yang masuk ke bilik dengan ekor matanya.

“Kenapa Nisah tak pergi ke sekolah lagi?”soal Akif sebaik sahaja melihat Nisah sudah berada di sisinya.

“Abang, tolonglah hantarkan Nisah,”rengek Nisah. Akif tidak mempedulikan Nisah dan terus membaca al-Quran. Nisah menunggu dengan sabar sambil melihat ayat-ayat yang sedang dibaca oleh abangnya itu di lembaran al-Quran.

Hampir 5 minit Nisah menunggu abangnya menyelesaikan pembacaannya. Dia bertepuk tangan sebaik sahaja Akif membaca surah al-Fatihah menandakan abangnya itu akan berhenti mengaji. Mungkin juga membawa maksud yang Akif akan menghantarnya ke sekolah.

“Selalu Nisah pergi sekolah dengan basikal, kan?”tanya Akif sambil bangun. Nisah turut bangun sambil mengharap.

“Memanglah! Tapi Nisah tengok awan mendung, macam nak hujan,” adu Nisah dengan suara lirih cuba memujuk abangnya.

“Angah mana?”tanya Akif yang lambat-lambat tangannya menyangkut sejadah di tempatnya. “Alah, Nisah nak abang yang hantar. Angah pun buat tahi mata lagi,” rengek Nisah manja.

“Jom,” kata Akif sambil menyimpan al-Quran. Nisah mengekori langkah Akif yang keluar dari bilik. Abangnya yang hanya berbaju Melayu dan berkain pelikat itu berjalan dengan laju menuju ke pintu.

“Abang tak marah Nisah lagi? Terima kasih,” kata Nisah dengan suara ceria sebaik sahaja masuk ke dalam kereta.

“Kenapa abang nak marah? Kalau Nisah belajar tak pandai, dapat nombor corot baru abang marah,” jawab Akif selamba sambil menghidupkan enjin kereta.

“Yalah, sebab mulut Nisah, Kak Ros dilanggar lori sampai mati,” beritahu Nisah dengan suara sedih.

“Bukan salah Nisah. Dan jangan Nisah nak menyalahkan diri sendiri lagi. Semua kejadian yang berlaku sudah ditakdirkan. Nisah dah lupa ke dengan rukun iman yang keenam tu?”soal Akif sambil menggerakkan keretanya perlahan.

“Nisah tahu. Tapi...”Nisah menghentikan kata-katanya apabila melihat Akif menjelingnya tajam.

“Cuma lain kali Nisah berhati-hatilah bila nak bercakap. Banyakterjadi musibah angkara lidah. Berlaku bencana kerana kata-kata,”ungkap Akif perlahan. Nisah tertunduk seketika. Kata-kata abangnya itu bagaikan menghiris hatinya.

“Mulut adalah senjata yang sangat tajam, mulut boleh menyakiti, boleh membunuh, boleh menggoda dan banyak hal lainnya yang tidak menyenangkan,”leter Akif dengan lembut dan perlahan.

“Alaa... Nisah tahu, Nisah yang salah. Nisah yang suka-suka nak bercakap. Nisah yang letakkan hati di hujung lidah. Sepatutnya Nisah letakkan lidah di hati,”rungut Nisah seolah merajuk.

“Hmm...pandai pun Nisah! Sudahlah tu jangan menyesali hal yang telah berlaku lagi! Sekarang ini kita pandang ke hadapan dengan mengambil iktibar kesilapan kita pada hari semalam, Okey!”pujuk Akif apabila melihat adiknya masih ingin menyalahkan diri sendiri di atas kejadian malang yang menimpa Rosnani.

“Okey!”jawab Nisah dengan perasaan lega.

“Hmm...Kak Yana macam mana?”soalnya pula.

Airmuka yang muram kerana mengenangkan nasib Rosnani tiba-tiba bertukar menjadi ceria. Walau baru sekali bertemu dengan gadis itu, hatinya sudah tertarik dengan kelembutannya.

“Kak Yana?”soal Akif pula.

Nisah mengangguk-angguk menanti jawapan. Akif hanya membisu. Kegalauan di jiwa menyebabkan Akif tidak tahu untuk menjawab apa. Harapannya kini agar gadis itu menghubunginya kembali. Mungkin Dayana masih trauma dengan kejadian yang menimpanya pada hari tersebut lalu menyepikan diri. Akif cuba memujuk hatinya sendiri.

“Kalau Kak Yana putuskan perhubungan dengan Abang Akif macam mana? Nisah faham perasaan Kak Yana. Mesti dia rasa dimalukan pada hari tu. Semuanya kerana Nisah.”Nisah menyalahkan dirinya sekali lagi.“Sayang aje kalau terputus. Kak Yana tu orangnya lemah lembut. Tak macam Nisah ni. Kasar.”Nisah terus bercakap sendiri.“Kak Yana tu cantik,”pujinya pula.

Akif buat tidak peduli. Dia terus memandu, seolah tidak mendengar rungutan Nisah. Kegalauan hati ditelannya sendiri.

Previous: Bab 12
Next: Bab 14

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.