Bab 9

Desiran angin dari sawah begitu mendamaikan. Rosnani masih duduk termenung di muka pintu dangau di bawah pokok mempelam. Dangau yang didirikan oleh ayahnya di tengah sawah yang luas terbentang tempat dia mencari ketenangan jika dijenguk kerunsingan. Matanya merenung pokok-pokok padi yang bergoyang-goyang ditiup angin petang. Nun jauh di sana, gunung-ganang nampak berbalam dan kebiruan digandingkan dengan kehijauan pohon padi, menghasilkan lukisan alam yang amat indah.

Namun kedamaian petang itu tidak mampu memujuk hatinya. Perasaannya benar-benar terhimpit. Masuk hari ini, sudah seminggu dia tidak berselera makan. Tekaknya terasa perit. Nasi yang ditelan pun bagaikan gumpalan pasir yang memasuki kerongkongnya. Rosnani terus mengesat airmata yang mengalir dipipinya. Entah mengapa hidupnya sering dirundung nestapa. Satu demi satu peristiwa yang dialami merobek hatinya.

Setahun yang lalu, tunangnya Razif telah menikahi gadis lain. Berhari-hari dia bermenung di dangau itu melayani tangisannya. Puas dia menghamburkan airmata kerana tertewas dengan impiannya yang telah hancur. Fikiran Rosnani terus melayang memutar kenangan.

“Ros! Mengapa bersedih? Frust menonggeng ke? Kasihan, tunangan dirampas orang.”Suara Karim, kutu kampung tiba-tiba menjengah ditelinganya sewaktu dia sedang duduk termenung menangisi nasib diri. Karim, anak bujang tua yang selalu mengganggunya. Benci. Betapa dia membenci lelaki itu.

Apa masalah Abang Karim kalau tunang Ros dirampas orang?”soalnya dengan kasar sambil mengesat airmata yang tertumpah di pipi. Khayalannya telah diganggu.

Matanya mencerlung merenung Karim yang memandangnya sambil menggosok-gosok dagu dan bermain-main mata dengannya. Gatal! Miang! Getus hatinya. Kebenciannya kepada Karim semakin meruap.

“Itulah...Abang Karim pinang Ros cara baik, Ros tolak. Ros nak kahwin dengan Razif jugak,” kata Karim sambil memintal daun rokok. Karim semakin menghampirinya yang duduk di muka pintu dangau itu. Mungkin Karim cuba melindungkan dirinya dari air hujan yang mulai turun.

“Kahwin dengan abanglah, Ros,”pujuk Karim sambil duduk rapat disebelahnya. Dia menjauhkan dirinya.

Eh! Kenapa abang ni? Tak reti bahasa ke? Ros tak suka! Benci! Semua keluarga Ros tak suka pada abang! Kalau abang terus ganggu Ros, Ros akan adukan pada Abang Kamarul!”ugutnya pula. Nafasnya mula deras. Matanya merenung langit yang mendung. Hujan semakin lebat.

“Eleh! Ros ni kalau marah-marah begini, bertambah manis pulak,” kata Karim sambil mencuit dagunya sekali lagi. Kali ini Karim sempat mencubit pipinya. Biadap! Maki Rosnani di dalam hati.

Kita kahwin ya...”pujuk Karim lagi tanpa mempedulikan kemarahannya.“Kalau Ros nak, esok jugak kita boleh bernikah!”kata Karim sambil mencubit dagunya sekali lagi. Dia menepis tangan Karim dengan kasar.

“Tak payahlah! Biar tak kahwin sampai mati daripada berkahwin dengan abang! Ros tak rela tubuh badan Ros abang sentuh! Ros benci!”balasnya dengan suara kuat dan marah. Dia bingkas bangun dan cuba menjauhkan dirinya daripada Karim. Dia bangun dari muka pintu dan masuk ke dalam dangau. Cadangnya ingin melarikan diri daripada lelaki itu melalui pintu belakang dangau. Namun, tanpa diduga lelaki itu terus menerpa ke arahnya. Dia jatuh terlentang di atas lantai dangau. Karim terus menerkamnya dengan perasaan geram dan menghimpit tubuhnya di lantai.

“Tolong!!!”jeritnya sekuat hati dengan perasaan cemas.

Lepaskan aku setan!!! Tolong!!”jeritnya lagi dengan suara lebih kuat mengatasi derau air hujan yang semakin lebat.

Mungkin perasaan Karim seolah-olah tersula apabila dia memanggilnya ‘setan’. Hati Karim semakin terbakar dengan nafsu lalu Karim menyentap kain yang dipakai dan menarik baju yang membalut tubuhnya. Tidak sampai seminit tubuhnya sudah bogang. Dia terus menjerit- jerit meminta tolong.

“Oh, kau tak rela tubuh badan kau aku sentuh, ya?”tempik Karim sambil menghimpitnya. Dia terus menjerit serta menyepak dan menerajang tubuh Karim.

“Tak ada siapa yang nak dengar jeritan kau, Ros! Dah senja-senja begini. Hujan lebat! Dangau ni di tengah bendang!”kata Karim dengan suara kuat, terus mengasak tubuhnya ke tepi dinding sambil melumat bibirnya. Rontaannya yang kuat dan berusaha bermatian untuk melepaskan dirinya semakin menyemarakkan keinginan Karim untuk meratah tubuhnya.

“Abang Karim!”Jeritan suara penuh kemarahan dari belakang Karim menyebabkan lelaki durjana itu terkejut lalu melepaskan tubuhnya dari gomolan. Tidak sempat menoleh tubuh Karim terpelanting kerana diterajang.

Dia terus menyambar kain baju yang bergelimpangan di atas lantai dangau untuk menutupi tubuhnya yang tidak lagi berpakaian sambil tersedu. Dia malu. Teramat malu. Tambahan pula apabila melihat pemuda yang tiba-tiba muncul di dalam dangau itu yang telah menyelamatkan dia daripada menjadi mangsa nafsu Karim.Akif merenung marah kepada Karim.

“Akif! Tolong abang! Jangan ceritakan hal ini kepada sesiapa!”rayu Karim kepada Akif dengan suara tergagap.

“Kenapa Abang Karim berkelakuan keji begini?Abang ni lelaki, sepatutnya melindungi dan membimbing kaum hawa yang lemah! Tapi abang hendak membuat onar pulak”marah Akif dengan suara kuat.

Abang hendak memiliki orang lain dengan cara terkutuk. Perbuatan abang ini dimurkai oleh TUHAN. Abang berperangai macam haiwan!”tempik Akif dengan kemarahan berterusan.

“Ros! Abang mintak maaf,”rayu Karim pula. Mata Karim merenung kepadanya. Dia yang masih kelihatan tidak keruan dan bernafas deras. Apabila dia tidak mempedulikannya pandangan mata Karim beralih kepada Akif pula.

“Akif suruh Ros maafkan abang,” kata Karim, masih merayu.

“Itu saya tak tahu. Terpulang kepada Ros. Saya akan bawa dia ke balai polis,” kata Akif tegas.

Tolonglah, Akif. Jangan adukan pada polis! Abang tak sempat buat apa-apa pun!”rayu Karim lagi sambil mencium lutut Akif. Akif tidak mempedulikannya.

“Tak sempat berbuat apa-apa!?”tanya Akif dengan kuat. Bulat matanya merenung Karim yang masih kelihatan menggelabah.

Abang dah perkosa dia! Saya tetap akan bawa Ros buat laporan kepada pihak polis!”jelas Akif tegas.

“Ros! Cepat pakai baju tu!”suruh Akif kepadanya tanpa merenungnya. Dia yang masih menggeletar dan terperosok di dinding dangau menangis ketakutan.Pandangan Akifterlontar ke luar dangau. Melihat titisan hujan yang semakin lebat. Mungkin melihat air hujan itu lebih baik baginya dan akan mendatangkan pahala daripada melihat dirinya yang hampir seluruh auratnya telah terdedah. Karim, selepas memakai pakaiannya semula terus terjun dari dangau. Akif pun sama. Akif menunggunya di tangga dangau dan menghantarnya pulang

selepas itu. Dia tidak tahu bagaimana tiba-tiba Akif muncul dan sempat menyelamatkannya. Kalau tidak ranaplah kesuciannya di tangan Karim.Tekanya,mungkin pada waktu itu Akif sedang melihat-lihat bendangnya yang tanahnya bersempadan dengan bendang yang dimiliki oleh keluarganya. Lantaran itu Akif telah mendengar jeritannya yang kuat.

Setelah peristiwa itu, Karim terus menghilangkan dirinya dari kampung. Akif sehingga hari ini tidak pernah membuka mulut untuk bertanyakan hal itu kepadanya. Sehingga saat itu tiada siapa pun tahu peristiwa hitam yang telah melanda dirinya. Walau dipujuk Akif supaya membuat laporan polis, dia menolak. Dia malu. Akif pun tidak mendesak lagi.

Sejak hari itu dia mula mencintai Akif di dalam diam. Dia rasa terhutang budi dan maruah. Dia ingin membalas budi lelaki itu dengan mengabadikan dirinya, menyerahkan seluruh cintanya kepada Akif. Walaupun Akif pemuda yang disegani di kampung itu, namun perwatakannya yang sederhana itu begitu mengikat hatinya. Akif tidak pernah mengungkapkan kata-kata cinta. Itulah yang menyebabkan jiwanya semakin melara. Gelora cintanya telah memakan jiwa dan memamah fikiran. Sehingga dia menjadi sasau. Dia tahu orang kampung telah melabelnya sebagai ‘mereng’ atau ‘Ros tiga suku’. Mendengar berita pertunangan Akif menyebabkan dia semakin rungsing dan resah.

‘Sampai hati Abang Akif bertunang dengan orang lain. Tak cantik ke Ros ni? Kenapalah nasib aku malang sangat? Lelaki yang aku cintai selalu dirampas oleh perempuan lain! Dulu Razif tunang aku berkahwin dengan orang lain kerana ditangkap basah, aku tidak kisah sangat. Tapi, aku tak akan biarkan Abang Akif menjadi milik gadis lain! Aku nakkan dia jugak! Kalau tidak, aku lebih rela mati daripada melihat lelaki yang aku cintai bersanding dengan orang lain! Aku akan pergi berjumpa dengan Abang Akif sekarang juga!Aku tak peduli!’ Rosnani terus bercakap-cakap sendiri.

Keputusan telah dibuat, lalu dia tergesa-gesa bangun dari pangkin dan berjalan deras-deras menuju ke rumah.

“Hai Ros! Kelam kelibut ni kenapa?” soal emaknya dengan suara kuat, apabila melihat langkah kaki Rosnani panjang-panjang. Rosnani tidak menjawab.

“Yang kamu menangis berhari-hari kenapa? Dah tak buat kek lagi? Dah habis resipi dalam kepala otak kamu ke?”sindir Mak Timah dengan suara nyaring.

“Mak ni! Jangan nak sindir-sindir Ros,” jawab Rosnani seolah-olah merajuk. Dia menghentak-hentak kakinya dan meninggalkan Mak Timah seorang diri. Selang sepuluh minit Rosnani muncul sekali lagi di depan emaknya.

“Nak ke mana ni? Bercantik-cantik?”soal Mak Timah. Matanya merenung ke wajah Rosnani yang sudah berdandan sakan.

“Mak, bagi Ros duit sikit! Ros nak pergi pekan!”kata Rosnani sambil menadah tangan kepada emaknya. “Hisy! Hari-hari duit! Ingat mak cap duit? Nak beli apa? Barang-barang di dapur semua abah kau dah belikan semalam. Bahan-bahan kau nak buat kek pun melambak lagi di dalam almari tu,” leter Mak Timah. Walaupun bibirnya membebel tangannya mencapai juga beg duit yang tersorok di belakang balang menyimpan gula.

“Mak ni, tiap hari membebel pada Ros. Nanti kalau Ros mati, baru mak menyesal,”rungut Rosnani seolah-olah berjauh hati. Tangannya menyambut not RM50 yang dihulurkan oleh emaknya.

“Macam mana tak membebel, Ros. Satu kampung dah tau yang kamu tu gila bayang pada si Akif anak Shukri tu. Tiap hari orang nampak kamu kirim kek melalui Nisah. Ros,jagalah diri sikit! Jangan memalukan diri sendiri!

Ni kamu nak pergi pekan, kamu nak kemana? Kamu nak mengintai Akif di pasar mini dia? Tak puas kamu skodeng dia tiap pagi waktu dia keluar pergi kerja?”soal Mak Timah.

“Makk!Mana Ros pernah intai dia! Ros belum gila lagi mak! Bila masanya yang mak nampak Ros skodeng Abang Akif?” soal Rosnani kembali.

“Eleh! Mata mak ni belum buta lagi, Ros. Setiap kali lepas subuh kau duduk termenung di atas tangga depan rumah tu nak buat apa, kalau bukan mengintai Akif lalu. Lepas aje lori atau kereta yang dipandu Akif tu lalu, pandai pulak kau masuk dalam rumah.Bukan skodeng ke tu?”soal Mak Timah.

“Malaslah nak layan, mak. Ros nak pergi dah ni! Assalamualaikum,” kata Rosnani.

“Topi keledar pakai!”jerit Mak Timah sambil menghulurkan topi keledar yang ditinggalkan oleh Rosnani di atas meja.

Previous: Bab 8
Next: Bab 10

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.