Bab 3

HIDUP tidak boleh berpandukan perasaan hati yang kadangkala boleh memusnahkan diri sendiri. Perkara utama harus kita fikirkan ialah menerima sesuatu atau membuat sesuatu dengan baik berlandaskan kenyataan. Memang rezeki itu ada di mana-mana, datangnya tanpa diduga, tepat pada masa yang ditentukan oleh-NYA. Namun, setiap manusia itu mesti berusaha dan bertawakal.

Setelah seminggu memendam perasaan geram, akhirnya hati Dayana dilunakkan kembali oleh nasihat ayahnya.HariSabtu itu, mahu tidak mahu dia terpaksa mengunjungi Pasar Mini Akif sekali lagi setelah didesak oleh ayah dan emaknya.

“Saya nak jumpa dengan tauke!”Sekali lagi bibirnya mengulangi permintaan yang sama seperti minggu sebelumnya. Remaja lelaki yang datang ke rumahnya memberi isyarat mata kepada Dayana.

“Tauke ada kat bilik belakang! Err...pejabat kat belakang,” beritahu remaja itu lagi. Dia menggaru-garu belakang telinganya sambil merenung Dayana tanpa berkelip.

“Pejabat?”soal Dayana ragu-ragu. ‘Mustahil kedai yang macam kapal barang yang sarat dengan muatan ni ada pejabat,’bisik hati Dayana. Apabila Dayana kelihatan ragu-ragu, remaja lelaki itu mengarahkan tangannya pula.

“Pergilah kak! Di hujung sebelah kiri. Bilik bercermin tu! Dekat guni beras yang banyak-banyak tu,” beritahu remaja lelaki itu lagi. Dayana menoleh ke belakang. Mahu tidak mahu, Dayana terpaksa melalui celah rak yang sarat dengan barang menuju ke bilik yang dikatakan oleh pemuda tadi.

Dayana lihat seorang lelaki muda sedang menundukkan wajahnya meneliti kertas-kertas dan laptop di atas meja dengan tekun. Kehadiran Dayana langsung tidak disedari kerana Dayana menolak daun pintu dengan perlahan. Bilik berhawa dingin itu bersaiz 12’ x 12’ sekadar boleh memuatkan sebuah meja tulis yang agak besar dan dua buah kerusi. Langsir tebal berwarna biru tua tersingkap ke tepi dinding.

“Encik,” sapa Dayana sebaik sahaja menghampiri meja. Pemuda itu mendongak melihat Dayana. Mereka bertentang mata beberapa ketika tanpa bersuara. Masing-masing terkesima.

“Assalamualaikum...” ucap pemuda itu beberapa saat selepas itu. Bibirnya menguntum senyuman manis.

Berderau darahnya seketika. Darah Dayana pun terasa menyirap ke kepala. Hatinya seolah-olah terbakar. Perasaan marahnya meledak kembali.

“Awak?”soalnya. Tidak rela dia duduk berdepan dengan lelaki yang telah bersikap biadap terhadapnya. Dayana terus meluru ke pintu.

“Akak! Nanti... nanti dulu! Jangan pergi lagi! Saya nak order kerepek ni!”teriak pemuda itu cuba menghalang Dayana. Langkah kaki Dayana terhenti di ambang pintu. Dia menoleh dan merenung pemuda itu.

“Nak order kerepek?”soalnya kuat. Matanya merenung marah. “Ah,tak mahulah saya berurus niaga dengan lelaki tak sopan macam awak ni!”tempelaknyalagi dengan nada marah dan geram. Masih terasa telapak tangan pemuda itu berada di punggungnya. Pipinya terasa hangat.

“Ramai lagi orang lain yang nak beli kerepek saya!”sambung Dayana dengan muka masam. Bukan tujuannya untuk bersikap angkuh,namun insiden kelmarin benar-benar menggugat kesabarannya.

“Tak baik cakap macam tu! Tak kenal maka tak cinta,” kata pemuda itu sambil menyeringai. Wajah Dayana ditenungnya lama sambil tersenyum mesra.

“Itu skrip dah lapuklah!”perli Dayana dengan perasaan geram.“Tak ingin saya nak kenal dengan awak,” sambungnya lagi sambil mengetap bibir dan menjeling tajam.

Pemuda dihadapannya itu masih berwajah tenang dan tersenyum lebar. Sikap garang dan keras kepala yang dipamerkan oleh gadis cantik di depannya itu mencuri tumpuannya. Teringin pula dia hendak menyakat gadis itu. Sekadar untuk menduganya. Sejauh mana kegarangan yang menyalut hati dan sekeras mana hatinya.

“Yang itu lagi tak baik! TUHAN menjadikan manusia bermacam bangsa dan jantina untuk saling kenal mengenal dan berkasih sayang,” sampuk pemuda itu pula. Kata-kata itu semakin memarakkan lagi perasaan geram di hati Dayana. Walaupun tidak berniat untuk menafikan pendapat pemuda itu, dia rasa tersindir.

“Yang itu saya tak nafikan! Tapi apa hak awak nak pegang punggung saya? Huh!”dengus Dayana. Perasaannya seolah-olah terbakar bila mengenang kembali insiden kelmarin. Lantas dia terus melontarkan kemarahan yang terpendam selama ini.

“Saya buat laporan polis, sebab awak cuba mencabul kehormatan saya, baru padan muka!”kata Dayana lagi dengan nada geram. Mukanya sengaja dimasamkan. Pemuda itu ketawa seketika. Barulah dia tahu punca kemarahan gadis cantik di hadapannya itu.

“Astaghfirullahalazim! Akak! Sampai hati akak tuduh saya macam tu. Saya mintak maaf, kalau perlakuan saya kelmarin kurang sopan. Tapi saya sedang cuba jaga kehormatan akak! Bukan nak mencabul kehormatan.”

“Apa maksud awak?”pintas Dayana. Matanya dibulatkan sewaktu menentang mata pemuda itu. “Jeans yang akak pakai kelmarin, cawatnya pendek sangat! Bila akak terbongkok-bongkok, tertonggeng-tonggeng dan baju kemeja yang akak pakai pulak terselak ditiup angin, nampak separuh punggung akak!

Seluar dalam akak yang warna merah jambu tu pun saya dah nampak! Saya cuba betulkan baju akak sebab nak tutup aurat akak yang tak sepatutnya menjadi tontonan orang lalu lalang di situ,” jelas pemuda itu dengan panjang lebar. Dengan jujur dan berterus terang.

“Tak guna kepala bertudung kalau aurat lain terdedah, ternganga.” Sinis kata-katanya, sekadar menduga gadis itu. Berdesing telinga Dayana yang mendengarnya.

Penerangan itu menyebabkan kulit wajah Dayana terasa lebih tebal dan tegang serta panas. Dia terpaku di tempatnya berdiri seketika. Nafasnya turun naik. Matanya merenung pemuda di hadapannya itu dengan renungan tajam. Pemuda berwajah bujur itu tersenyum dan menentang matanya. Mereka beradu pandangan beberapa ketika.

“Awak sengaja ambil kesempatan! Saya tak sukalah!” marah Dayana lagi. Bibirnya diketap sambil menjeling tajam. Sengaja dikeras-keraskan hatinya, jika tidak, pasti dia menangis saat itu. Jadi banjir airmata pula di dalam pasar mini itu.

“Kalau nak ambil kesempatan, dari tadi lagi saya tarik awak dan tutup pintu bilik ni!” balas pemuda itu. Dia terus mengulum senyuman. Gelihatinya melihat gadis comel di hadapannya itu bengis dan merenungnya. Renungannya juga garang bak singa betina ingin menerkam mangsanya. Matanya yang lembut redup seolah-olah bertukar menjadi mata singa betina yang garang.

“Ali! Bawa air kotak ke sini!” jerit pemuda itu melalui pintu. Dia terus mendesak Dayana supaya duduk di kerusi yang disediakan.

“Soya ke Abang Akif?”soal Ali pula dan menjerit kembali. Pemuda yang dipanggil oleh Ali sebagai Abang Akif itu tidak menjawab. Dayana tersentak apabila mendengar nama itu.

‘Oh! Rupa-rupanya dia Akif, tauke pasar mini ni! Muda lagi,’bisik hati Dayana. ‘Kacak juga,’pujinya di dalam hati. Matanya merenung wajah pemuda itu yang kelihatan tenang dan teduh.

Pemuda itu yang masih sibuk dengan mesin pengiranya itu meneruskan kerjanya. Tidak lama kemudian, Ali muncul di pintu dan menghulurkan empat kotak minuman. Soya dan Milo.

“Duduklah,” pelawanya sebaik kotak minuman berada di tangan.Dayana masih enggan.

“Oh ya! Saya Akif, terlupa pulak nak kenalkan diri,” beritahu pemuda itu. Akif bangun dan mengubah kedudukan bangku yang berada di tepi dinding ke meja dan mendesak Dayana supaya duduk sekali lagi.

“Duduklah! Kita bincang pasal kerepek akak! Saya setuju jualkan kerepek-kerepek akak di pasar mini saya yang tak seberapa ni,” beritahu Akif sambil tersenyum manis dan merendah diri.

“Saya pun dah makan. Rasanya memang sedap, tambahan kalau dimakan sewaktu menonton televisyen, malam-malam,” beritahu Akif sambil tersenyum lalu tangannya menghulurkan kotak minuman kepada Dayana. Dayana menyambutnya perlahan-lahan. Mahu tak mahu,dia terpaksa duduk di bangku yang disediakan oleh pemuda itu. Kini mereka duduk bertentangan.

“Minumlah... sejukkan hati, sambil tu kita boleh berbincang! Kerepek yang akak buat ada potensi untuk pasaran yang lebih luas,” puji Akif sambil tersenyum lebar. Sekali lagi matanya merenung gadis yang sedang duduk di hadapannya itu. Hari itu Dayana berbaju kurung moden, warna biru turqouise. Akif terpukau seketika namun cepat-cepat menundukkan wajahnya.

“Kerepek yang akak tertinggal tu, saya dah jualkan. Kenapa tak mahu terima duitnya? Saya jual ikut harga pada label yang akak tampal pada bungkusan kerepek tu,” terang Akif lagi.

“Dua tiga hari jual aje dah habis,” beritahunya pula.

Tidak dapat mendustai, hati Dayana rasa gembira apabila mendengar berita itu. Namun, disebabkan perasaan marahnya kerana insiden tempoh hari masih segar, dia tidak menunjukkan perasaan gembiranya itu. Dayana cuba bersikap selamba dan menunjukkan wajah yang selamba juga.

“Akak bisnes kerepek aje ke?”soal Akif lagi sambil menconteng-conteng kertas. Matanya sempat menjeling Dayana, sekilas.

“Saya buat kuih tradisional jugak, kalau ada tempahan! Secara kecil-kecilan aje,” terang Dayana dengan suara perlahan dan merendah diri.

Akif ketawa di dalam hati mendengarkan jawapan Dayana yang perlahan dan lembut itu. Rupa-rupanya gadis itu bukanlah garang sangat. Tidak berapa minit, perasaan marahnya sudah lenyap. Hilang kekasaran, timbul pula kelembutannya.

“Kalau akak nak saya jualkan produk keluaran akak di kedai ni, saya tak keberatan,” tawar Akif dengan wajah berseri. Dia benar-benar ikhlas ingin membantu gadis comel di hadapannya itu.

Tawaran daripada Akif membuatkan Dayana rasa terharu. Dia rasa bersalah kepada pemuda itu. Nasib baiklah tapak tangannya tidak melayang dan hinggap di pipi pemuda itu minggu lalu.

“Macam mana? Setuju dengan tawaran saya?”soal Akif.

Bibir Dayana seakan terkunci. Sukar untuk memberi jawapan.

“Masih marah ke?”soal Akif lagi apabila dilihatnya Dayana ragu-ragu untuk menerima tawarannya.

“Tak baik marah-marah! Jangan biar syaitan kuasai akal kita dan menyaluti iman dengan nafsu marah,” bicara Akif terhenti.

“Bukan begitu,Encik Akif,”jawab Dayana malu-malu. Fikirannya menerawang mencari jawapan.“Bukan maksud saya ingin memenangkan syaitan. Tapi...”kata-kata Dayana tersangkut lagi. Kalau dia menerima tawaran itu, mampukah dia menyediakan bekalan kerepek itu bila mendapat tempahan? Dayana berfikir-fikir sendiri.

“Saya sungguh-sungguh ni!” tegas Akif lagi.

Matanya merenung ke wajah Dayana yang nampak tenang kembali. Tidak lagi berona marah seperti tadi.

“Saya suka kalau gadis Melayu yang masih muda macam akak ni berminat dalam perniagaan begini,” jelas Akif. “Kalau akak nak, saya boleh tolong pasarkan produk-produk akak tu ke kedai-kedai lain jugak,”beritahunya lagi.

“Lagipun, kita sesama muslim kena saling bantu-membantu saudara seagama. Akak tahukan, Islam tu agama ukhwah. Insya-ALLAH, perniagaan akak boleh berkembang,”ujar Akif dengan ramah. Cuba memberi dorongan.

“Betul ke? Saya mintak maaf sebab bersangka buruk kepada Encik Akif,” kata Dayana dengan suara perlahan. Perasaan marahnya lenyap. Timbul pula rasa malu yang menebal.

“Tak apa,perkara kecil aje,” balas Akif dengan nada riang.

“Tapi kalau saya terima tawaran Encik Akif, saya bimbang tak mampu nak sediakan kerepek-kerepek tu jika permintaannya banyak sangat,” jawab Dayana lambat-lambat. Matanya mencuri pandang ke wajah pemuda di hadapannya itu. Kata-katanya itu disambut Akif dengan tawa mesra. Dayana turut ketawa walaupun malu-malu.

“Takkanlah saya nak pesan sampai satu kontena! Kita buat sikit-sikit dulu.Pepatah orang tua ada mengatakan,sikit-sikit lama-lama jadi bukit. Yang pentingnya istiqamah,” ujar Akif lagi. “Setuju ya?”soalnya lagi sambil merenung ke wajah Dayana.

Dari pandangan matanya, gadis yang berada di hadapannya itu mungkin tiga empat tahun lebih muda daripadanya. Sepasang mata lembut dan redup yang dimiliki gadis itu menawan hatinya. Dayana mengangguk perlahan.

“Hmm...nama akak siapa?”tanya Akif.

“Dayana! Hmm...panggil Yana aje,”jawab Dayana perlahan. Keramahan dan kemesraan yang dipamerkan oleh pemuda itu meredakan perasaan malunya.

“Oh, jadi... Kerepek Yana tu mengambil sempena nama Yanalah? Syabas!” sampuk Akif dengan nada riang. Dayana hanya mampu mengangguk tanda menyetujui tekaan pemuda di hadapannya itu.

“Hmm...hari ni Yana pakai baju kurung, cantik!”puji Akif.

Dayana tunduk dan tersenyum malu. Hatinya bagai bergoncang.

Dentingan jam di dinding itu menyebabkan bibir Rosnani tersenyum lebar. Dia lantas menuju ke dapur. Di matanya terbayang kek yang telah dibuatnya pagi tadi. Bau aroma kek menyusup ke rongga hidungnya sebaik sahaja dia mengeluarkan kek yang masih suam itu dari dalam almari. Rosnani memotong kek sambil bernyanyi kecil. Kek yang dipotong dimasukkannya ke dalam bekas plastik.

“Bismilahirahmanirahim! Terbukalah selera Abang Akif untuk menikmati kek yang aku buat. Terbukalah juga pintu hatinya untuk menerima cintaku. Fuh!”Hembus Rosnani dengan kuat selepas bermantera.

Dia memejamkan matanya dan membayangkan Akif menikmati kek yang dibuatnya itu dengan penuh selera. Rosnani tersenyum sendiri kerana mengangankan dia menyuapkan kek itu ke mulut Akif sambil Akif mengusap-ngusap mesra pipinya.

“Ros! Kau dah masak ke belum?”

Tiba-tiba kedengaran suara emaknya melaung dari luar rumah. Khayalan Rosnani tercantas. Dia menjenguk ke luar tingkap. Bola matanya terus menyinggahi ke tubuh emaknya yang terbongkok-bongkok di tepi longkang. Emaknya sedang menajak rumput di tepi longkang itu.

“Nak masak apa pulak? Lauk semalam banyak lagilah, mak,” beritahu Rosnani dengan suara kuat.

“Hai, takkan nak bagi ayah kau makan lauk semalam? Kek,kau boleh buat hari-hari. Takkan nak masak lauk berselang hari pulak?”leter Mak Timah.

“Kau masak sekarang. Sekejap lagi ayah balik dari bendang dah kebulur nak makan. Lauk pun tak ada kat dapur,” marah Mak Timah.

“Alaa... hari ni mak tolonglah masak. Tak ada maknanya mak menajak rumput waktu tengah hari buta ni. Tanah tu dah keras,” jawab Rosnani pula.

“Amboi, dahlah menolong mak jarang sekali!” sindir Mak Timah sambil bercekak pinggang melihat Rosnani yang masih tersengih di tingkap.

“Dahlah, Ros! Jangan bertekak dengan mak. Pergi masak!” suruh Mak Timah sambil merenung ke wajah Rosnani.

“Alah, mak ni! Hari ni Ros malas. Ros dadar telur dan goreng sayur ajelah. Ros nak cepat! Nanti Nisah terlepas,” beritahu Rosnani lalu menghilangkan diri dari jendela.

Cahaya matahari begitu menyengat. Nisah mengayuh basikalnya laju-laju supaya segera sampai ke rumah. Dia baru balik dari sekolah. Hari ini, hari Rabu. Pukul 2.00 petang nanti dia perlu berada di sekolah semula kerana ada aktiviti ko-kurikulum.

Sampai sahaja di depan jambatan yang merintangi terusan air berhampiran rumahnya, Nisahmemperlahankan kayuhan basikalnya. Rosnani, anak Pak Kulup Osman jirannya berselang tiga buah rumah sudah tersengih dari jauh. Menunggunya di bawah pokok mempelam.

‘Hai, dia tunggu lagi! Apa aku nak cakap ni? Abang Akif dah tak minat lagi dengan kek coklatnya!’bisik hati Nisah.‘Tapi nanti, tak merasalah aku nak makan kek coklat lagi,’bisik hatinya pula. Dia menyeringai sebaik tiba di hadapan Rosnani.

“Hah!Nisah!” tegur Rosnani sambil memegang handle basikal Nisah.Nisah terpaksa memberhentikan basikalnya sambil bernafas deras kerana kepenatan.

“Lajunya Nisah kayuh basikal. Nampak dari jauh macam nak terbang! Melayang tudung ni! Nasib baik tak tercabut,” kata Rosnani lagi sambil ketawa kecil.

“Macam dikejar hantu!” sambungnya lagi sambil mengekek gembira. Apatah lagi apabila melihat Nisah menjelirkan lidahnya macam anjing yang kehausan sambil termengah-mengah.

“Alah, Kak Ros! Nisah nak cepat ni! Ada apa-apa yang boleh ditolong? Kalau tak ada, Nisah nak balik. Sebab, lepas ni Nisah nak pergi sekolah semula,” beritahu Nisah masih mencungap.

“Petang ni ada aktiviti ko-kurikulum, sebab tu Nisah kayuh basikal laju-laju! Bukannya Nisah dikejar hantu, tapi Nisah yang sedang mengejar hantu!” sambungnya sambil menyeringai melihat Rosnani ketawa tidak berhenti.

“Hisy, Nisah ni!” rengus Rosnani. Tak pasal-pasal lengan Nisah kena tampar kerana kata-kata lucunya itu. Mereka berdua memang mesra bagaikan adik-beradik.

“Nisah, semalam Abang Akif makan tak kek yang Kak Ros bagi tu? Dia kata apa?”soal Rosnani dengan wajah teruja. Tawanya masih bertali dan akhirnya reda. Nisah menggaru-garu dagunya yang ditumbuhi jerawat batu.

“Cepatlah, Nisah! Cerita pada Kak Ros,”desak Rosnani apabila dilihatnya Nisah tergaru-garu sedari tadi.

“Sedap! Hingga menjilat jari,” jawab Nisah bersuara nakal sambil ketawa.

“Kak Ros! Kek tu, Nisah yang makan semuanya. Tunggu Abang Akif, dia lambat balik. Setiap kali Nisah buka peti sejuk, Nisah ambil sepotong, lama-lama habis! Sedap! Pandai Kak Ros buat kek,”puji Nisah. Matanya merenung ke wajah Rosnani yang kelihatan kecewa. Gadis itu yang meminati abangnya, Akif. Bukan sahaja meminati, bahkan mungkin juga telah gila bayang.

“Hari ini ada kek lagi ke?”soal Nisah sambil matanya merenung ke dalam beg plastik ditangan Rosnani.

“Mestilah ada! Hari ini Kak Ros buat kek durian,”jawab Rosnani dengan nada ceria. Besar harapan hatinya agar pujaan hatinya menyukai keknya itu.

“Kek durian, resipi ciptaan Kak Ros,”sambung Rosnani lagi dengan suara bangga. Dia membetulkan kain baju kurung yang dipakainya kerana mengembang ditiup angin kencang dari arah bendang.

“Kek durian? Hui!! Sedapnya, Nisah suka,”kata Nisah dengan teruja.

‘Alamat penuhlah perut aku hari ini dengan kek durian. Kasihan Kak Ros. Hati Abang Akif itu tidak mudah diikat atau dipegang. Lebih mudah lagi kalau Kak Ros hendak memegang buah durian yang berceracak duri-durinya itu. Macam manalah Nisah dapat tolong Kak Ros ni,’rungut Nisah di dalam hati. Dia memandang wajah Rosnani dengan perasaan simpati.

“Alah, kek ni memang Kak Ros buatkan untuk Abang Akif dan Nisah,” jawab Rosnani dengan senyuman meleret.

“Haa! Kenalah buat begitu, Kak Ros. Nakkan abang, kenalah pikat adiknya dulu,” balas Nisah pula sambil ketawa nakal. Bekas plastik yang dihulurkan oleh Rosnani dimasukkannya ke dalam raga di hadapan basikal.

“Terima kasih, Kak Ros,” kata Nisah sambil menggerakkan basikalnya dan mengayuh dengan laju semula. Rosnani melambai-lambai dengan gembira.

Previous: Bab 2
Next: Bab 4

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.