Bab 8

HEMBUSAN angin malam mula terasa dingin. Dayana terus mengelamun mengenangkan permintaan Akif. Permintaannya yang jujur dan berterus terang mencerminkan biasan hatinya yang ikhlas. Pemuda itu tidak mendesaknya. Bahkan mengungkapkan kata-kata yang dapat membelai jiwanya yang sedang diamuk resah secara tiba-tiba.

Dayana menghela nafasnya perlahan. Fikiran yang melayang terus terkenangkan Ikhwan. Ikhwan, teman karibnya sewaktu di zaman persekolahan dan sekampung dengannya. Meskipun Ikhwansudah beberapa tahun berada diluar negara kerana menyambung pengajiannya, dia tidak pernah culas mengirimkan berita buatnya. Coretannya sering bersulamkan ucapan rindu. Walau pemuda itu tidak pernah meluahkan perasaan hatinya, tetapi kata-kata yang dititipkannya di dalam surat selalu berbunga harapan.

‘Boleh ke aku mempercayai segala kata-kata Ikhwan ni? Kata-kata yang selalu diungkapkannya di dalam surat?Sudahlah jauh beribu batu. Jangan-jangan di sana dia sudah ada teman istimewa. Mustahil aku menyerahkan hatiku kepadanya. Tapi... kami dah lama berkawan,’bisik hati Dayana.‘Mustahil tiada sekelumit rasa kasihku terhadapnya?’Pertanyaan demi pertanyaan terus mengasak jiwanya.

Jiwa Dayana terus berperang dengan perasaannya sendiri. Terbayang-bayang dimatanya kata-kata yang dicatatkan oleh Ikhwan buatnya. Malahan surat terakhir yang baru diterimanya semalam, Ikhwan menyatakan dia telah muflis kata-kata untuk menterjemahkan rasa rindunya. Dayana tersenyum sendiri lantas mengambil surat kiriman Ikhwan dari dalam laci dan membacanya berkali.

‘Saat alam diselimuti malam, selalu Ikhwan bermimpi tentang kita. Entahlah Yana, bilakah waktunya kita dapat bertemu untuk mengubat rindu.

“Ikhwan... Ikhwan,” keluh Dayana.

Tidak semena-mena Dayana menyebut nama pemuda itu sambil membayangkan wajah Ikhwan. Pemuda bertubuh tinggi dan tegap itu berkulit hitam manis. Sewaktu di sekolah dulu, Ikhwan memegang jawatan sebagai ketua pengawas merangkap ketua murid. Dayana pula memegang jawatan pengawas sejak di tingkatan satu. Mungkin ia juga salah satu penyebab yang mengakrabkan perhubungan mereka. Tambahan pula mereka berjiran.

Sejak dari kecil lagi dia sudah bersama-sama dengan pemuda itu bermain lumpur di bendang. Bersama-sama berbasikal ke sekolah. Sewaktu cuaca panas bersama-sama diratah matahari. Ketika hujan bersama-sama berteduh atau berpayung dengan daun pisang jika terlupa membawa payung.

Apabila Ikhwan mendapat peluang untuk menyambung pengajiannya ke luar negara, dia masih bersekolah menengah. Namun, Ikhwan tidak pernah lupa mengutus surat buatnya. Ikhwan kerap memberi kata-kata semangat sehingga dia berjaya cemerlang di dalam peperiksaan SPM. Apabila mendapat tawaran ke menara gading, dia menolak pula. Mungkin kerana marah dan kecewa dengan keputusan yang telah dibuatnya, dua tiga bulan Ikhwan menyepikan diri. Tidak mengutus surat kepadanya sehingga menyebabkan dia tertunggu-tunggu bagaikan menunggu buah yang tidak gugur. Akhirnya lembaran daripada Ikhwan mengunjunginya kembali.

Sewaktu Ikhwan menyepikan diri daripada Yana, bagaikan cuba menghentikan ombak menghadiri pantai. Namun, ombak yang bergelora terus meronta, lantas pantai juga yang akan dicarinya kerana tak tahan menanggung rindu. Maafkan Ikhwan, sayang...

Dayana teringat pula pada perbualannya dengan Akif beberapa jam tadi. Noktah perbualan itu, Akif bertanya kepadanya, ‘Sudikah Yana jadi teman istimewaAkif? ’

‘Kalau aku pilih Akif, mungkin aku akan mengecewakan Ikhwan. Kalau aku memilih Ikhwan, pasti akan mengecewakan Akif,’bisik hatinya lagi.

‘Jangan-jangan disebabkan kata-kata Nisah tadi, Akif mengambil keputusan begitu. Mungkin dia berasa bersalah. Dia bukan benar-benar ingin menjadikan aku teman istimewanya, tetapi dia hanya kasihan kepada aku. Macam mana pula dengan hatiku ini? Sejak pertemuan yang pertama dengan Akif, aku sering terkenang padanya. Orangnya ramah dan mesra serta nampak ikhlas.Tidak sombong.’ Dayana terus bermonolog.

‘Tapi apa kurangnya Ikhwan?’Dia terus berperang dengan perasaannya sendiri yang tercampak di lautan dilema.

“Yana! Mengapa tak tidur lagi tu? Kan Yana baru aje baik dari sakit! Jangan berjaga malam!”Laungan emaknya dari anjung memancung lamunan Dayana. Keriutan daun pintu biliknya menyebabkan Dayana segera menoleh ke pintu.

“Yana memikirkan apa lagi sehingga berjaga begitu?”tanya Mak Bedah yang tiba-tiba muncul ke dalam kamar anak gadisnya itu. Dayana cepat-cepat merebahkan dirinya di atas tilam.

“Fikirkan bisnes kerepek Yana, mak!”dalihnya sambil membetulkan kain selimutnya. Mak Bedah tersenyum lebar.

“Mak dah pernah muda, Yana! Mak boleh agak apa yang sedang mengganggu fikiran anak mak ni,” tukas Mak Bedah.

“Kata orang dahulukala, kalau takut bermain ombak, jangan berumah di tepi pantai,” sambungnya lagi dengan kata-kata berkias.

“Kalau susah hendak memilih tapak tempat untuk membina rumah, Yana tanyalah kepada arkitek yang paling pakar sekali dalam dunia ni! Buat solat istikharah, mintak bantuan daripada ALLAH,” tegas Mak Bedah pula sambil tersenyum meleret.

“Mak ni...”rengek Dayana. Dia menjuih manja bibirnya.

“Selalu aje teropong-teropong hati Yana! Mak, sebenarnya Yana sedang terkenangkan Ikhwan dan Akif,” beritahu Dayana berterus terang.

“Dua-dua pun mak suka, Yana! Asalkan Yana tidak berjauhan dengan mak,” balas Mak Bedah lalu meninggalkan Dayana seorang diri di dalam biliknya. Perasaan Dayana kembali berada di persimpangan.

MALAM ini terasa hening. Kesunyianpun semakin menghimpit. Akif terus bergolek-golek di atas katilnya. Hatinya dikepungi resah dan gelisah. Walaupun sudah menunaikan solat sunat tahajud sebagaimana selalunya, kegelisahan tetap setia mendakap jiwa.

Rasa sesal yang mengintai di hati sejak malam tadi menyebabkan jiwanya seakan resah. Dia menyesal kerana terlalu cepat menunjukkan perasaannya kepada Dayana. Entah mengapa, sejak pertemuan mereka yang pertama dia tidak boleh melupakan wajah gadis itu. Setiap saat teringat dan terbayang. Wajah tenang yang mempersonakan. Di saat marah, wajah garangnya juga begitu menawan. Puas dia menepis segala ingatan itu, namun akhirnya Akif mengakui hatinya telah tertewas. Dirinya diselubungi oleh perasaan yang tidak menentu.

‘Masya ALLAH! Akif, kau ni dah jatuh cinta ke?’Bibirnya berbisik dan menyoaldiri sendiri.

‘Ya, tak pernah-pernah aku berperasaan begini. Entah-entah hatiku kini kena pukulan cinta. Janganlah sampai rebah dan kecundang hendaknya,’jawab hatinya pula.

Pintu hatinya yang sukar diketuk oleh mana-mana gadis pun. Bukannya tiada gadis yang cuba memiliki hatinya tapi...entahlah. Lebih baik diamenyerahkan segalanya kepada ALLAH. Bimbang merasai kesakitan jika cinta tidak kesampaian. Justeru itu dia pasrah dan yakin TUHAN akan mengirimkan seorang gadis buatnya. Seseorang yang dapat menyirami hatinya dengan cinta dan kasih sayang setulus hati. Setiap hari dia berdoa kepada ALLAH semoga diketemukan dengan gadis yang baik sebagai jodohnya.

Tekadnya jika TUHAN menemukan dia dengan seseorang yang dapat menakluk hati dan seluruh cintanya, segera dia akan menikahi gadis itu. ‘Agaknya gadis bernama Dayana ini kiriman TUHAN buat aku,’bisik hati Akif. ‘ Tapi... kalau dia sudah ada teman istimewa? Sudah ada tunangan? Gadis cantik seperti itu mustahil tidak ada lagi yang menggoda hatinya.

Alamak! Kenapalah kau ni gelojoh sangat Akif? Tak sabar-sabar?Kalau dia tolak? Hmm...tak tahulah dimana hendak diletakkan muka! Tapi, belum cuba belum tahu,’pujuk hati kecilnya pula. Akif semakin resah dengan perasaannya. Tidak semena-mena dia mencapai telefon bimbitnya. Punat-punat ditelefon bimbit terus ditekan dengan pantas. Baru tiga kali bunyi nadanya, panggilannya telah dijawab.

“Helo! Akif. Dah pukul 3.00 pagi ni,” kata Dayana dengan suara serak-serak basah setelah menjawab salam pemuda itu.

“Yana, Akif tak boleh tidur.Temankan Akif berborak.”Lunak suara Akif melontarkan ungkapan itu. “Samalah. Yana pun tak boleh tidur malam ni, entah kenapa,” adu Dayana seolah berbisik. Luar biasa debaran hatinya pada waktu itu.

“Yana ingat pada buah hati ke?”usik Akif sambil ketawa kecil.

“Orang di sini ke atau orang yang di sana yang terkenang buah hati?”soal Dayana kembali sambil ketawa mesra. Kesempatan yang ada untuk mengenali pemuda itu dengan lebih dekat tidak dilepaskan begitu sahaja.

“Orang di sini memang lepas bermesra dengan buah hati. Baru selesai mengungkapkan ayat-ayat cinta padanya,” jawab Akif bersahaja. Kekasihnya yang paling utama ialah DIA yang telah menciptakannya dari tiada kepada ada.

Dayana terdiam.‘Dah ada buah hati?’tanya hatinya.Bibir Dayana melarik senyuman pahit. Baru bermukadimah, wajah kecewa menjenguk muka!

“Yana sudi tak berbual dengan Akif ni?”soal Akif lagi dengan suara bergetar apabila Dayana membisu agak lama. Agaknya gadis itu masih berasa malu dengannya. Tebak Akif sendiri.

“Kalau tak ada orang cemburu atau marah, insya-ALLAH, apa salahnya,” jawab Dayana perlahan. Dadanya tiba-tiba diasak oleh perasaan yang dia sendiri tidak tahu untuk mentafsirkannya.

“Siapa pulak nak cemburu?”tanya Akif sambil ketawa perlahan.

“Buah hati Akiflah,” kata Dayana seolah-olah merengek.

“Kan baru sebentar tadi Akif mengucapkan ayat-ayat cinta buatnya?”ujarnya lagi dengan nada perlahan dan gementar.

“He... he...”balas Akif ketawa kecil.Senang hatinya apabila mendengarkan suara gadis itu yang serak-serak basah dan bergetar.

“Nanti Akif kenalkan buah hati Akif kepada Yana,supaya satu hari nanti kita sama-sama bersyair cinta untuk-Nya,” gurau Akif lagi. Bibirnya semakin berani untuk mengungkapkan kata-kata.

“Syair cinta?”soal Dayana ingin tahu. Tidak diduganya pemuda itu pandai bersyair. Mesti orangnya romantik! Teka hatinya pula.

“Kalau nak berpuisi cinta pun boleh. Hmm... cinta jangan kau pergi, kerana kami sedang memerlukanmu untuk mengusir kesedihan, menyisihkan kesepian yang selama ini bertandang dikalbu,” bisik Akif lagi sambil ketawa.

“Amboi!”balas Dayana. Kata-kata puitis yang diungkapkan oleh pemuda itu bagaikan pernah dibacanya sebelum ini. Dalam derai ketawa yang belum reda Akif bangun dari katil dan membuka jendela. Desiran angin malam yang mendingin menyamankan tubuhnya. Derunya bagai melodi merdu menyanyikan dendangan hatinya yang tiba-tiba disinggahi rasa rindu kepada gadis itu.

“He... hee.. Yana, ada sambungannya lagi tau. Kata-katanya lebih kurang begini,tidak ada yang lebih menyakitkan daripada malam-malam yang penuh ketakutan, kerana ditinggal cinta!”sambung Akif sambil ketawa mesra.

“Itu kata-kata yang diungkapkan oleh Khalil Gibran,”beritahu Akif lagi. Dayana membalasnya dengan ketawa. Nampaknya mereka membaca puisi penyair yang sama.

“Akif,wah!Waktu dinihari begini, ilham datang menderu-deru ya! Sampaikan lidah Yana pun jadi kelu mendengar bait-bait indah yang Akif lafazkan itu,”balas Dayana dengan mesra.

Akif tidak segera menjawab. Dia sempat melihat ke angkasa. Langit yang terbentang. Bintang-bintang menari indah. Bulan tersenyum menawan. ‘Saat hati jatuh cinta segalanya nampak berwarna warni dan berseri,’kata hati kecilnya. Malam itu dia pasti terlena dibuai mimpi indah.

Previous: Bab 7
Next: Bab 9

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.