Bab 14

AKIF meraup wajahnya berkali setelah usai membaca surah Yasiin di atas pusara Rosnani. Haruman bunga kemboja yang menghiasi pusara di sebelah pusara Rosnani menerjah hidungnya. ‘Ya ALLAH, tempatkanlah rohnya dalam kalangan orang-orang beriman,’doanya di dalam hati.

Tanah pusara direnungnya dengan penuh keinsafan. Itulah tanah yang akan memusnahkan jasad manusia di dalam benamannya. Sementara menunggu hari kebangkitan dan pengiringan manusia ke hadapan Rabbul Alamin dan saatnya ditiupkan sangkakala. Seluruh penghuni kubur berada di bawah tanah. Tidak ada sesuatu pun yang mengetahui nasib mereka, kecuali Dzat yang Maha Mengetahui hal-hal yang tersembunyi.

Akif bertafakur agak lama dengan perasaan galau. Sampai ketikanya nanti, entah bagaimana cara matinya. Hati kecilnya terfikir sejenak. Salah satu bentuk keadilan ALLAH adalah, seorang hamba meninggal dengan cara sesuai dengan kebiasaan semasa hidupnya.

Orang yang menyibukkan diri selama hidupnya dengan zikir, solat, sedekahdan puasa biasanya akan meninggal dengan husnul khatimah. Manakala hamba ALLAH yang ingkar dan melakukan yang sebaliknya pula akan mati dalam keadaan su’ul khatimah. Justeru kerana perbezaan itulah orang-orang soleh selalu bersiap-siap menghadapi kematian dan berusaha sebaik-baik mungkin, menggunakan setiap nafas yang ia hirup dan waktu yang dimiliki menjadi bekal menghadapi kematian dan dapat mengangkat darjatnya di sisi ALLAH.

‘Ya ALLAH, golongkanlah aku, ibu bapaku, saudara maraku, para sahabatku di dalam golongan para solihin. Condongkanlah hati kami untuk berjihad, mengamal makruf dan menjauhi mungkar. Matikanlah kami di dalam keadaan husnul khatimah.’ Tak tersedar bibirnya menitip doa sambil matanya menoleh kepada Mak Timah yang baru selesai menutup buku Surah Yasiin.

“Jom, Mak Timah, kita balik. Esok-esok kita datang lagi,”kata Akif kepada Mak Timah yang bersama dengannya melawat pusara Rosnani.

“Yalah, Akif. Terima kasihlah kerana sudi menumpangkan Mak Timah,” jawab Mak Timah.

Tadi sewaktu dia berjalan kaki menuju ke tanah wakaf itu, dia bertembung dengan Akif. Pemuda itu yang secara kebetulan ingin singgah menziarahi kubur Rosnani sebelum pergi ke pasar mininya, menumpangkannya. Akif menghantar Mak Timah sehingga ke halaman rumahnya. Dia keluar dari kereta untuk membukakan pintu buat wanita itu.

“Akif ni! Tak payah susah-susah turun, bukakan pintu kereta untuk Mak Timah pulak,” kata Mak Timah. Akif hanya ketawa kecil sambil menyeluk saku seluarnya.

“Mak Timah, saya tak tahu nak bantu Mak Timah macam mana,” balas Akif sambil menyumbat sesuatu di dalam genggaman tangan orang tua itu.

“Ya ALLAH, apa lagi ni Akif?”tanya Mak Timah sambil membuka genggaman tangannya.

“Duit lagi? Akif dah banyak sangat yang Akif bagi kepada Mak Timah! Nanti marah pulak mak kamu! Kelmarin perbelanjaan urusan jenazah daripada hospital sehinggalah jenazah masuk ke liang lahad, semua Akif dah tanggung! Nak buat apa Akif buat semua itu?”tanya Mak Timahdengan perasaan terharu.

“Tak banyak mana pun. Rezeki daripadaALLAH. Kita kongsikan bersama,” jawab Akif dengan lembut dan tenang. Apa salahnya menghulurkan bantuan kepada orang yang sedang ditimpa musibah. Mudah-mudahan dengan bantuannya itu dapat menggembirakan sedikit hati wanita itu yang sudah dianggapnya macam ibu sendiri. Lagipun, bukankah segala amalan sedekah jariah itu akan menjadi bekalannya di hari akhirat nanti?

“Akif...”Terusik hati Mak Timah dengan kebaikan hati pemuda itu. Patutlah anak gadisnya terlalu mengharap dan mendambakan cinta pemuda itu sehingga menjadi gila bayang. Akif memang seorang pemuda yang terlalu baik di matanya.

“Mak Timah gunalah untuk buat majlis tahlil ke. Saya dah anggap Ros macam adik saya. Mak Timah macam ibu saya jugak! Saya bersimpati dengan Ros. Saya...”

Bicara Akif terputus di situ. Dia sebak mengenangkan nasib Rosnani yang memilukan. Terbayang dimatanya peristiwa malang yang menimpa gadis itu gara-gara perangai syaitan Karim. Rahsia peristiwa itu akan disimpannya sampai mati. Sebagaimana Rosnani menyembunyikannya walaupun batinnya terseksa.

“Mak Timah, saya beredar dulu. Pasar mini tu kalau hari Ahad macam ni, ramai orang,” beritahu Akif sambil tersenyum. Dengan perlahan dia menggerakkan keretanya melalui jalan kecil yang merintangi sawah yang luas terbentang. Urusannya dengan Rosnani sudahpun usai, kini dia harus bertemu dengan Dayana. Dia harus memberi penjelasan kepada gadis itu. Akif menekan butang-butang di telefon bimbitnya ‘Nombor yang anda dail tiada lagi di dalam perkhidmatan.’

‘Alah, dia tukar nombor telefon pulak!’keluh Akif. Bibirnya tersenyum pahit.

Haluan kereta dihalanya ke jalan yang akan membawanya ke rumah gadis itu. Matahari terus menyinari alam, sewaktu kereta yang dipandu Akif memasuki lorong masuk menuju ke rumah Dayana. Dia membuka skrin tingkap kereta untuk menikmati udara segar dari sawah yang luas terbentang. Pemandangan di kiri kanan jalan yang dipenuhi oleh petak-petak sawah yang padinya sedang subur dan menghijau menenangkan hatinya yang sugul dua tiga hari ini.

“Harap-harap Yana ada di rumah.”Akif berbicara sendiri sambil bibirnya mengukir senyuman.

Dari jauh lagi dia sudah dapat melihat rumah gadis itu yang dikelilingi oleh sawah padi. Rumah kayu berwarna kuning air dengan halaman rumahnya dipenuhi oleh tanaman bunga kertas dan pelbagai bunga lagi nampak berseri. Akif memperlahankan pemanduannya sebaik sahaja sampai di jalan berhadapan rumah gadis itu. Matanya melihat empat buah kereta yang sedang diparkirkan. ‘Nampaknya rumah itu sedang dihadiri tetamu,’kata hati kecilnya. Akif terus memerhati dari jauh. Seorang demi seorang keluar dari kereta dengan membawa dulang hantaran dan terus naik ke rumah gadis itu.

‘Alamak! Aku datang pada masa yang tidak tepat!,’rungutnya. Hatinya terbenam hampa. Menyakitkan!

Previous: Bab 13
Next: Bab 15

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.