Bab 6

HEMBUSAN dingin angin malam ini bagaikan isyarat bumiakan dibasahi hujan. Semenjak matahari disembunyikan langit yang menghitam pada sore tadi, gerimis menggerigis bagai debu, namun berlarutan sehingga kini. Selepassolat Isyak Mak Esah sibuk menyediakan makan malam. Sebentar lagi suami dan anak sulungnya akan balik dari surau. Biasanya apabila seisi keluarga sudah berkumpul barulah mereka menikmati makan malam bersama.

“Nisah!!”laungnya kepada anak bongsu yang masih belum muncul di ruangan dapur.“Nisah!”panggilnya lagi dengan suara yang lebih kuat apabila Nisah tidak menjawab.

“Ya!”jerit Nisah dari biliknya. Setelah itu dia terkocoh-kocoh turun ke ruang dapur.

“Kamu dah sembahyang isyak ke belum?”soal Mak Esah sambil memerhati Nisah ke atas dan ke bawah. Herot senyuman di bibirnya apabila melihat kain batik yang dipakai Nisah.

“Astaghfirullahalazim! Apa halnya Nisah, ikat kain batik begitu? Kalau bergulung-gulung begitu, cara mengikat kain pelikat! Abang atau ayah kamu bolehlah buat begitu! Awak tu perempuan!”jerkah Mak Esah sambil ketawa mengekek.

“Habis tu, baru Nisah terkial-kial hendak mengikat kain batik, mak dah terpekik-pekik panggil Nisah! Nisah gulung-gulunglah,” jawab Nisah tidak mahu mengalah.

“Panaskan lauk-lauk tu. Lepas tu hidangkan,” suruh Mak Esah.

“Tapi pergi salin kain tu dulu. Kalau tak reti nak ikat kain batik, lain kali pakai seluar panjang! Nanti abang kamu balik tengok kamu ikat kain begitu, hmm... jenuhlah kamu kena perli! Tak malu?”kata Mak Esah sambil ketawa.

“Silap-silap abang tarik kain batik kamu tu sampai terburai,” sambung Mak Esah dalam tawanya yang mulai reda.

Akif anak sulungnya memang kaki menyakat adiknya itu. Kalau kedua-duanya ada di rumah, riuh rendahlah jadinya dengan suara jerit pekik Nisah kerana disakat oleh abangnya. Tambah-tambah lagi jika Rais balik bercuti. Rais anaknya yang kedua masih lagi menuntut di sebuah IPTA di ibu negara. Akif dan Rais sama-sama suka menyakat adik bongsu mereka itu.

Bunyi berdehem dari muka pintu dapur mengejutkan Mak Esah dan Nisah.

“Alamak! Abang dah balik!”kata Nisah terus berlari naik ke biliknya untuk menyalin kain. Tidak lama kemudian Nisah muncul kembali ke dapur sambil ketawa.

“Hai, abang!”sapa Nisah dengan suara riang.

Akif tidak menjawab dan berpura-pura tidak mendengar sapaan adiknya itu. Rasa geramnya kepada Nisah kerana peristiwa petang tadi masih tersisa.

“Dah telefon buah hati abang?”soal Nisah sengaja hendak mengusik. Akif buat tidak bena. Sebaliknya menolong emaknya menghidangkan lauk-pauk di atas meja. ‘Marahlah tu!’ rungut Nisah yang sakit hati kerana Akif tidak melayan kerenahnya.

“Alah, duduklah Akif! Rajin sangat. Nanti untunglah siapa yang jadi isteri anak mak ni! Rajin di dapur,” puji Mak Esah sambil menjeling Nisah yang sedang memuncung kerana geramkan abangnya yang tidak mahu bercakap dengannya.

“Memanglah, mak! Untung sangatlah mana-mana gadis yang pilih saya sebagai suaminya! Semua kerja dapur saya buatkan.Kain baju saya cuci... hee...hee...” balas Akif sambil ketawa.

“Mana-mana gadis yang jadi isteri saya, saya akan tatang dia macam minyak yang penuh! Layan macam permaisuri,”sambungnya lagi sambil merenung wajah emaknya yang sedang tersenyum.

“Hmm... dah lama ke Akif berkawan dengan Yana?” soalMak Esah spontan. Cuba mencungkil rahsia. Nisah yang mendengar pertanyaan emaknya bertepuk tangan.Tiba-tiba pula dia jadi girang.

“Haah! Padan muka abang! Dah kena tanya dengan mak pasal Kak Yana!”ejek Nisah sambil ketawa. Tak jadi dia hendak merajuk dengan abangnya itu.

“Kawan?Belum sempat nak berkawan pun mak,”terang Akif sambil tersengih. Matanya sempat menjeling Nisah. Nisah menyeringai. Faham yang abangnya itu sedang menahan geram kepada dia sejak dari tadi.

“Oh begitu! Mak sangka Akif dah lama berkawan dengan dia. Kalau dah lama berkawan, elok diikat saja dengan pernikahan! Tak elok berkawan dengan anak gadis orang lama-lama sangat! Nanti terjadi maksiat,” kata Mak Esah sambil menyorot ke wajah anak bujangnya itu.

“Nanti mak pakat dengan ayah kamu pergi meminang dia!Akif beritahu aje,” sambung Mak Esah dengan bersungguh-sungguh suaranya.

“Mak berkenan ke dengan dia tu?”soal Akif cuba menduga. Nisah yang berada di situ hanya memasang telinga mendengar perbualan emak dan abangnya.

“Berkenan sangat-sangat,” jawab Mak Esah sambil meletakkan pinggan nasi di depan Akif. Matanya sempat menoleh ke pintu melihat kalau ada suaminya balik dari surau.

“Saya pulak bimbang dia tak berkenan dengan saya,” balasAkif sambil ketawa kecil.

“Kenapa pulak tak berkenannya.Mak tengok Akif dengan dia padan sangat-sangat walaupun baru pertama kali mak jumpa dia. Maknya pun ramah dan cepat mesra. Ayahnya pun sama. Macam serasi aje dengan mak ni,” sambung Mak Esah lagi.

“Itu kata mak...saya pun tak tahu nak kata apa! Tak tahu sama ada berpeluang atau pun tidak.”

“Ni semua pasal budak ini!”kata Akif sambil menarik tangan Nisah dan menyepit kepala adiknya itu di celah lengannya untuk bergurau. Puas Nisah meronta.

“Alah, bang!Janganlah! Sakitlah! Dahlah siang tadi Nisah kena getu dengan mak banyak kali!”adu Nisah cuba bermanja.

“Padan muka! Ikutkan hati abang, nak suruhmak getu badan Nisah sampai hancur!”jawabAkif menggeram.

“Alah! Sepatutnya abang kena berterima kasih kepada Nisah! Sebab Nisah dah bukakan jalan pintas untuk abang!”balas Nisah sambil tercungap-cungap kerana Akif masih belum melepaskan kepalanya dari celah lengan.

“Jalan pintas apanya, Nisah? Suka sangat buat teori sendiri! Hisy, geram abang ni masih belum hilang lagi tau,” beritahu Akif lalu melepaskan Nisah kerana kasihan melihat adiknya tercungap-cungap cuba membebaskan diri.

“Abang ni! Sakitlah leher Nisah. Nasib baik kepala Nisah tak tercabut!”kata Nisah memasamkan wajahnya. Laju pula tangannya menampar belakang abangnya itu.

“Kalau kepala Nisah tercabut? Senang aje,”jawab Akif bersahaja.

Fikirannya terkisar-kisar ke sana dan ke sini memikirkan sesuatu untuk mengenakan adiknya itu. Biar kata-kata yang terungkap dari bibirnya merodok hati Nisah sehingga hati adiknya itu mengaduh kesakitan.

“Abang jolok buah kelapa tua kat pokoknya di belakang tu buat ganti! Sama aje, kan! Sekarang ni Nisah ada kepala yang TUHAN dah bagi otak, bukannya Nisah guna sebelum berkata sesuatu,” perli Akif.

“Alah,abang ni sampai hati kata Nisah begitu! Macam kepala Nisah ni sama taraf dengan buah kelapa pulak! Otak orang bergeligalah,” jawab Nisah memuji diri sendiri sambil ketawa. Petah menjawab sindiran daripada abangnya itu.

“Otak bergeliga? Hmm!” Sekali lagi Akif memerli sambil menjuihkan bibirnya untuk menyakat adiknya itu.

“Orang otak bergeliga tak tidur berdengkur bunyi macam kereta kebal!”sindir Akif lagi. Sindirannya yang kelakar itu menyebabkan Nisah ketawa mengekek.

“Ha...ha... ha! Itu namanya kreatif! Otak begeligalah tu, waktu tidur pun boleh berdengkur mengeluarkan macam-macam bunyi,”jawab Nisah nakal. Akif menjeling geram. Nisah kalau tidak menjawab percakapan orang, tak sahlah hidupnya pada hari itu!

“Hai, kenapa nak geram pada Nisah pulak? Bukankah Nisah dah nobatkan abang sebagai tunangan Kak Yana dan Kak Yana sebagai tunangan abang?”soal Nisah sambil ketawa lagi. Ketawa Nisah membuatkan Akif bertambah makan hati.

“Eleh! Nobatkan abang konon! Kalau Kak Yana langsung tak mahu berjumpa dengan abang, kenalah Nisah nanti!”gertak Akif.“Abang tak bagi duit belanja untuk Nisah lagi! Jangan haraplah,” ugutnya pula.

“Semua elaun Nisah, abang potong!”sambung Akif lagi dengan suara kuat.

“Alah,abang tu marah pura-pura aje! Tapi dalam hati suka! Nisah yakin, sekarang ini pun Kak Yana mesti sedang teringat pada abang, tunangannya! He...he!!”Nisah ketawa mengilai apabila melihat Akif merenung dia seolah-olah ingin menelannya.

Previous: Bab 5
Next: Bab 7

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.