Bab 10

KEDATANGAN Dayana di pasar mininya pada petang itu menggembirakan hati Akif. Dia terus menuju ke arah kereta Kelisa Dayana sebaik sahaja melihat gadis itu sudah memarkirkan keretanya.

“Assalamualaikum, Yana dah sihat?”soalnya mesra sebaik sahaja gadis itu keluar dari kereta.

“Alhamdulillah,” jawab Dayana sambil menatap Akif dengan pandangan yang jernih dan riang. Dia membuka boot kereta. Akif berdiri di sisinya.

“Kalau Yana telefon Akif beritahu semua kerepek dah siap, Akif pergi ambil di rumah pun tak apa,” kata Akif sambil membantu Dayana mengeluarkan kotak-kotak yang berisi kerepek dari boot kereta.

“Sepatutnya Yana berehat dulu,” ujar Akif lagi sambil tersenyum mesra. Hatinya semakin jinak dengan gadis itu. Walau bagaimanapun dia harus berwaspada. Begitulah kata akalnya. Pesona seorang perempuan kadangkala bisa menghumbankan seorang lelaki ke lembah sengsara sepanjang hidupnya.

“Sakitnya tiga hari, takkanlah berehatnya sampai tiga bulan,” jawab Dayana sambil ketawa. Akif turut ketawa. Perhubungan mereka kini semakin mesra. Apatah lagi keluarga kedua belah pihak sudah merestuinya.

“Tak apa, Akif. Alhamdulillah, Yana dah sihat. Lagipun, Yana rasa segan. Nanti menyusahkan Akif pulak,” sambung Dayana lagi, malu-malu.

“Apa susahnya?”soal Akif pula.

“Dahlah Akif tolong jualkan kerepek-kerepek ni,”jawab Dayana apabila melihat Akif seolah-olah menunggu jawapan daripadanya.

“Alahai! Yana, tolong-menolong tu bukankah perkara yang baik! Memang sudah menjadi tanggungjawab kita sebagai umat Islam ni, kena saling bantu-membantu tidak mengira lelaki atau perempuan,” balas Akif dengan nada mesra. “Tambahan membantu saudara seagama untuk mencapai cita-citanya. Sebangsa pulak tu! Kalau sesama Melayu tak bantu-membantu siapa pulak nak bantu bangsa kita supaya berjaya,”jelas Akif dengan panjang lebar cuba memotivasikan gadis itu. Bibir Dayana melukis senyuman tanda mengerti maksud ungkapan kata-kata pemuda itu.

“Ada berapa bungkus kerepek-kerepek ni, Yana?”soal Akif lagi sambil merenung kotak yang sedang diangkatnya.

“800 bungkus,” jawab Dayana.

“Insya-ALLAH, Akif sedang usahakan untuk membantu Yana luaskan pasaran kerepek ni melalui pembekal-pembekal yang selalu datang ke pasar mini Akif,” cerita Akif dengan nada riang.

“Di peringkat permulaan ini, kalau dapat jual 3000 bungkus sebulan pun dah baik, tapi kalau di musim perayaan, tak cukup 3000 bungkus, Yana. Akif rasa kalau buat 30,000 bungkus pun tak cukup! Dari sekarang lagi Yana kena fikirkan tentang cara bagaimana nak sediakan kerepek-kerepek ini jika permintaannya tiba-tiba melonjak,” jelas Akif lagi. Pemuda ini jika berbual tentang perniagaan memang tidak pernah berasa jemu.

“Yana usahakan sendiri atau ada pembantu?”tanya Akif dengan penuh minat. Kerja-kerja menyediakan kerepek dalam jumlah yang banyak itu bukannya kerja yang mudah untuk dilakukan sendiri, fikirnya.

“Yana buat sendiri, Akif. Tapi kalau banyak tempahan, Yana ada beberapa orang pembantu,” terang Dayana.

“Oh ya! Baguslah kalau begitu, Yana. Insya-ALLAH, perusahaan Yana ni akan maju. Asalkan Yana kekalkan kualitinya,” ujar Akif memberi peransang. Dayana tersenyum manis sewaktu mendengar kata-kata itu.

“Setahun lagi Yana boleh buka kilang kerepek ni.”

Senyuman Akif melebar sebaik menghabiskan kata-katanya. Dayana tidak pasti sama ada kata-kata itu serius atau sekadar gurauan.

“Tak lama lagi kayalahYana,” balas Dayana sambil tersengih. Gurauannya itu disambut Akif dengan ketawa.

“Hmm, mestilah kaya! Tapi yang pentingnya kaya jiwa! Tak ada orang nak rompak! He...he...” tukas Akif pula. Baginya kekayaan wang ringgit dan harta benda bukan menjamin kebahagiaan dan ketenangan jiwa.

“Betul tu, Akif! Pendapat Yana pun begitu jugak,” sampuk Dayana dengan ceria. Kadangkala wang ringgit dan harta benda melimpah ruah akan menjerumuskan manusia ke lembah sengsara.

“Tapi apa yang Akif beritahu tadi tu, serius, Yana. Kalau Yana terus berusaha begini dan kerepek-kerepek ni terus mendapat sambutan, insya-ALLAH, kalau Yana dah berkeyakinan, boleh buka kilang! Buat secara kecil-kecilan dulu! Insya-ALLAH, nanti Akif bantu,”janji Akif sambil meleretkan senyumannya.

“Terima kasih. Tapi Akif, bisnes yang ada sekarang ini pun Yana dah terasa sukar untuk mencari bekalan bahan mentahnya,”beritahu Dayana.

“Jika kita berusaha mesti ada jalannya nanti! Bila ada kesempatan cuba Yana pergi ronda-ronda ke kampung-kampung di persekitaran pekan ni, kalau-kalau penduduk kampung ada menanam pokok pisang atau ubi kayu, bolehlah Yana raih daripada mereka sahaja,” cadang Akif sambil menggaru-garu keningnya yang lebat dan hitam.

“Atau cipta kerepek lain yang tidak memerlukan ubi kayu atau pisang sebagai bahan utamanya,” nasihat Akif.

“Insya-ALLAH! Nanti Yana bincang dengan ayah, tentang cadangan Akif tu! Mana tahu kalau-kalau ayah sudi bantu Yana,” balas Yana sambil memaniskan wajahnya. Mustahil emak dan ayahnya mengizinkan dia untuk bersendirian mencari bekalan bahan mentah untuk perusahaan kerepeknya.

“He...he...Betul jugak tu! Takkan Pak Yusof nak izinkan anak gadisnya meredah ke kampung halaman orang pulak, ya?”sampuk Akif.

“Pandai Akif ni ya! Macam tahu-tahu aje apa yang sedang berlegar dalam fikiran Yana,” balas Dayana pula sambil ketawa kecil. Kemesraan di antara mereka semakin ketara dari sehari ke sehari.

“Tapi Akif, sebenarnya Yana ada buat kerepek lain jugak,tak menggunakan pisang atau ubi kayu. Nanti bila Yana buat, bolehlah Yana bawakan ke sini,” beritahunya pula.

“Abang Akif!”Tiba-tiba seorang perempuan meluru kepada Akif, belum sempat dia membalas kata-kata Dayana. Akif yang tersentak terus menoleh.

‘Rosnani,’bisik hatinya. Darahnya berderau apabila melihat lagak dan gaya marah Rosnani lain daripada biasa.

“Kenapa abang bertunang dengan orang lain?”tempik Rosnani seolah-olahhilang akal.

“Ros... kenapa ni? Jangan bertempik begitu, semua orang dengar! Malu!”nasihat Akif sambil berbisik.

“Ros tak peduli! Tak peduli! Tak peduli!”jerit Rosnani lagi sambil menerkam dan menumbuk dada Akif berkali-kali. Dayana yang berada di situ terpempan melihat adegan yang sedang berlaku di hadapan matanya.

“Istighfar, Ros! Jangan menjerit! Malu abang!”bisik Akif sambil cuba mengelakkan diri daripada terus dipukul oleh Rosnani yang naik hantu.

“Betul atau tak abang dah bertunang dengan...” Kata-kata Rosnani terhenti disitu. Barulah dia perasan yang Dayana berada di situ sejak tadi.

“Abang bertunang dengan budak ni, kan?”tempik Rosnani lagi.

Tangannya terus menampar-nampar tubuh Akif berulang kali dengan perasaan geram. Tidak cukup dengan tamparan, tubuh pemuda itu dicubit-cubit pula dengan sekuat hatinya.

“Buat apa kau rampas kekasih aku?Kautak tahu malu ke?Akif aku punya! Kenapa kau menggatal nakkan dia jugak? Kau tak tahu ke yang aku cinta pada dia! Dia pun cintakan aku!”jerit Rosnani kepada Dayana. Dia seolah-olahdirasuk.

“Dia mesti kahwin dengan aku! Kahwin dengan aku!”tempik Rosnani sambil menyepak kotak yang berisi kerepek yang diletakkan oleh Akif di atas aspal jalan tadi. Bungkusan kerepek yang bertaburan di atas jalan dipijak-pijaknya dengan perasaan geram dan marah yang teramat.

“Astaghfirullahilazim. Dia dah buat hal di sini pulak!”keluh Akif sambil cuba memujuk Rosnani supaya bertenang. Orang ramai yang lalu lalang mula berhimpun di situ.

“Ros...”kata Dayana, cuba bersuara untuk meredakan keadaan. Manalah tahu kalau-kalau dia dapat meleburkan amarah gadis itu.

“Diam! Perempuan tak malu! Perampas!”sanggah Rosnani sambil menerkam kepada Dayana pula. Spontan tangannya mencakar pipi gadis itu yang tidak tahu apa-apa. Topi keledar ditangannya juga dihayun ke tubuh Dayana sekuat hati.

Dayana tersentak dengan situasi itu dan tidak sanggup menunggu di situ lebih lama. Silap-silap hari bulan kepalanya pecah kerana dihempuk dengan topi keledar. Justeru, diasegera masuk ke dalam keretanya dengan tubuh yang menggeletar. Dayana benar-benar takut menghadapi peristiwa yang sedang terjadi. Terketar-ketar tangannya memasukkan kunci kereta dan menghidupkan enjinnya.

“Yana! Yana!”

Laungan Akif tidak dipedulikannya. Pipinya pedih kerana dicakar. Tengah belakangnya juga sakit kerana dihempuk dengan topi keledar. Dia mengundurkan keretanya dan segera berlalu dari situ. Matanya sempat menjeling Akif yang masih cuba memujuk dan menenangkan Rosnani yang terus meronta-ronta.

“Ros! Kenapalah Ros berkelakuan begini? Malu! Malu!”kata Akif lagi. Tubuhnya sudah dibasahi keringat kerana mententeramkan Rosnani yang meronta-ronta dalam pegangannya.

“Ros tak boleh terima abang bertunang dengan orang lain!”tempik Rosnani sambil menjegilkan matanya kepada Akif. Cukup sekali cintanya dipermainkan dan dirampas oleh wanita lain. Untuk kali kedua, cintanya yang ingin dipersembahkan kepada pujaan hati, tidak dapat tidak harus dinyatakan juga. Jika keadaan memaksa, cinta daripada hati sidia harus diragut dan direbut, jika tidak dia akan kecundang sekali lagi.

“Ros,cinta itu tak boleh dipaksa-paksa!”tegas Akif dengan suara separuh berbisik. Kesabarannya seolah berkecai dengan perlakuan Rosnani. Gadis itu yang kehilangan pertimbangan akalnya kerana getaran cinta yang tidak mendapat balasan.

“Jantan tak guna!”herdik Rosnani dengan perasaan marah lalu melempar topi keledar di tangannya ke muka Akif. Setelah itu dia terus mencapuk atas motosikalnya dan memecut laju meninggalkan tempat itu,tanpa peduli kenderaan lain, membawa hati yang lara bagaikan layang-layang terputus tali.

“Astaghfirullahalazim,” keluh Akif sambil menggeleng. Sungguh dia tidak menduga yang Rosnani akan berkelakuan seperti itu.

Belum lagi hilang bunyi enjin motosikal Rosnani, telinganya dikejutkan dengan bunyi dentuman dan ciutan kereta yang dibrek mengejut. Tempikan bunyi hon dari arah simpang yang letaknya beberapa meter sahaja dari situ mencemaskan hatinya. Akif terus berlari menuju ke simpang itu dengan debaran yang memuncak. Satu kemalangan telah berlaku. Antara sebuah motosikal dan lori. Orang ramai pun sedang berhimpun di situ untuk menyaksikan kejadian malang.

“Astaghfirrullahalazim!”

Bisikan Akif agak kuat apabila melihat mangsa kemalangan yang terlentang di atas aspal jalan. Kepalanya berlumuran darah. Dia pun menerpa sambil menolak tubuh orang ramai yang menghalang laluannya.

“Ros...”tangisnya lalu menerkam ke tubuh Rosnani yang terguling.

Previous: Bab 9
Next: Bab 11

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.