KEDATANGAN Dayana di pasar mininya pada petang itu menggembirakan
hati Akif. Dia terus menuju ke arah kereta Kelisa Dayana sebaik sahaja melihat
gadis itu sudah memarkirkan keretanya.
“Assalamualaikum, Yana dah sihat?”soalnya mesra sebaik
sahaja gadis itu keluar dari kereta.
“Alhamdulillah,” jawab Dayana sambil menatap Akif dengan
pandangan yang jernih dan riang. Dia membuka boot kereta. Akif berdiri di sisinya.
“Kalau Yana telefon Akif beritahu semua kerepek dah siap,
Akif pergi ambil di rumah pun tak apa,” kata Akif sambil membantu Dayana
mengeluarkan kotak-kotak yang berisi kerepek dari boot kereta.
“Sepatutnya Yana berehat dulu,” ujar Akif lagi sambil
tersenyum mesra. Hatinya semakin jinak dengan gadis itu. Walau bagaimanapun dia
harus berwaspada. Begitulah kata akalnya. Pesona seorang perempuan kadangkala
bisa menghumbankan seorang lelaki ke lembah sengsara sepanjang hidupnya.
“Sakitnya tiga hari, takkanlah berehatnya sampai tiga bulan,”
jawab Dayana sambil ketawa. Akif turut ketawa. Perhubungan mereka kini semakin
mesra. Apatah lagi keluarga kedua belah pihak sudah merestuinya.
“Tak apa, Akif. Alhamdulillah, Yana dah sihat. Lagipun, Yana
rasa segan. Nanti menyusahkan Akif pulak,” sambung Dayana lagi, malu-malu.
“Apa susahnya?”soal Akif pula.
“Dahlah Akif tolong jualkan kerepek-kerepek ni,”jawab
Dayana apabila melihat Akif seolah-olah menunggu jawapan daripadanya.
“Alahai! Yana, tolong-menolong tu bukankah perkara yang
baik! Memang sudah menjadi tanggungjawab kita sebagai umat Islam ni, kena
saling bantu-membantu tidak mengira lelaki atau perempuan,” balas Akif dengan
nada mesra. “Tambahan membantu saudara seagama untuk mencapai cita-citanya. Sebangsa
pulak tu! Kalau sesama Melayu tak bantu-membantu siapa pulak nak bantu bangsa
kita supaya berjaya,”jelas Akif dengan panjang lebar cuba memotivasikan gadis
itu. Bibir Dayana melukis senyuman tanda mengerti maksud ungkapan kata-kata
pemuda itu.
“Ada berapa bungkus kerepek-kerepek ni, Yana?”soal Akif lagi
sambil merenung kotak yang sedang diangkatnya.
“800 bungkus,” jawab Dayana.
“Insya-ALLAH, Akif sedang usahakan untuk membantu Yana
luaskan pasaran kerepek ni melalui pembekal-pembekal yang selalu datang ke pasar
mini Akif,” cerita Akif dengan nada riang.
“Di peringkat permulaan ini, kalau dapat jual 3000
bungkus sebulan pun dah baik, tapi kalau di musim perayaan, tak cukup 3000
bungkus, Yana. Akif rasa kalau buat 30,000 bungkus pun tak cukup! Dari sekarang
lagi Yana kena fikirkan tentang cara bagaimana nak sediakan kerepek-kerepek ini
jika permintaannya tiba-tiba melonjak,” jelas Akif lagi. Pemuda ini jika
berbual tentang perniagaan memang tidak pernah berasa jemu.
“Yana usahakan sendiri atau ada pembantu?”tanya Akif
dengan penuh minat. Kerja-kerja menyediakan kerepek dalam jumlah yang banyak
itu bukannya kerja yang mudah untuk dilakukan sendiri, fikirnya.
“Yana buat sendiri, Akif. Tapi kalau banyak tempahan, Yana
ada beberapa orang pembantu,” terang Dayana.
“Oh ya! Baguslah kalau begitu, Yana. Insya-ALLAH, perusahaan
Yana ni akan maju. Asalkan Yana kekalkan kualitinya,” ujar Akif memberi
peransang. Dayana tersenyum manis sewaktu mendengar kata-kata itu.
“Setahun lagi Yana boleh buka kilang kerepek ni.”
Senyuman Akif melebar sebaik menghabiskan kata-katanya. Dayana
tidak pasti sama ada kata-kata itu serius atau sekadar gurauan.
“Tak lama lagi kayalahYana,” balas Dayana sambil
tersengih. Gurauannya itu disambut Akif dengan ketawa.
“Hmm, mestilah kaya! Tapi yang pentingnya kaya jiwa! Tak
ada orang nak rompak! He...he...” tukas Akif pula. Baginya kekayaan wang
ringgit dan harta benda bukan menjamin kebahagiaan dan ketenangan jiwa.
“Betul tu, Akif! Pendapat Yana pun begitu jugak,” sampuk
Dayana dengan ceria. Kadangkala wang ringgit dan harta benda melimpah ruah akan
menjerumuskan manusia ke lembah sengsara.
“Tapi apa yang Akif beritahu tadi tu, serius, Yana. Kalau
Yana terus berusaha begini dan kerepek-kerepek ni terus mendapat sambutan, insya-ALLAH,
kalau Yana dah berkeyakinan, boleh buka kilang! Buat secara kecil-kecilan dulu!
Insya-ALLAH, nanti Akif bantu,”janji Akif sambil meleretkan senyumannya.
“Terima kasih. Tapi Akif, bisnes yang ada sekarang ini pun Yana dah terasa sukar
untuk mencari bekalan bahan mentahnya,”beritahu Dayana.
“Jika kita berusaha mesti ada jalannya nanti! Bila ada
kesempatan cuba Yana pergi ronda-ronda ke kampung-kampung di persekitaran pekan
ni, kalau-kalau penduduk kampung ada menanam pokok pisang atau ubi kayu, bolehlah
Yana raih daripada mereka sahaja,” cadang Akif sambil menggaru-garu keningnya
yang lebat dan hitam.
“Atau cipta kerepek lain yang tidak memerlukan ubi kayu
atau pisang sebagai bahan utamanya,” nasihat Akif.
“Insya-ALLAH! Nanti Yana bincang dengan ayah, tentang
cadangan Akif tu! Mana tahu kalau-kalau ayah sudi bantu Yana,” balas Yana
sambil memaniskan wajahnya. Mustahil emak dan ayahnya mengizinkan dia untuk
bersendirian mencari bekalan bahan mentah untuk perusahaan kerepeknya.
“He...he...Betul jugak tu! Takkan Pak Yusof nak izinkan
anak gadisnya meredah ke kampung halaman orang pulak, ya?”sampuk Akif.
“Pandai Akif ni ya! Macam tahu-tahu aje apa yang sedang
berlegar dalam fikiran Yana,” balas Dayana pula sambil ketawa kecil. Kemesraan
di antara mereka semakin ketara dari sehari ke sehari.
“Tapi Akif, sebenarnya Yana ada buat kerepek lain jugak,tak
menggunakan pisang atau ubi kayu. Nanti bila Yana buat, bolehlah Yana bawakan
ke sini,” beritahunya pula.
“Abang Akif!”Tiba-tiba seorang perempuan meluru kepada
Akif, belum sempat dia membalas kata-kata Dayana. Akif yang tersentak terus
menoleh.
‘Rosnani,’bisik hatinya. Darahnya berderau apabila
melihat lagak dan gaya marah Rosnani lain daripada biasa.
“Kenapa abang bertunang dengan orang lain?”tempik Rosnani
seolah-olahhilang akal.
“Ros... kenapa ni? Jangan bertempik begitu, semua orang
dengar! Malu!”nasihat Akif sambil berbisik.
“Ros tak peduli! Tak peduli! Tak peduli!”jerit Rosnani
lagi sambil menerkam dan menumbuk dada Akif berkali-kali. Dayana yang berada di
situ terpempan melihat adegan yang sedang berlaku di hadapan matanya.
“Istighfar, Ros! Jangan menjerit! Malu abang!”bisik Akif
sambil cuba mengelakkan diri daripada terus dipukul oleh Rosnani yang naik
hantu.
“Betul atau tak abang dah bertunang dengan...” Kata-kata
Rosnani terhenti disitu. Barulah dia perasan yang Dayana berada di situ sejak
tadi.
“Abang bertunang dengan budak ni, kan?”tempik Rosnani
lagi.
Tangannya terus menampar-nampar tubuh Akif berulang kali
dengan perasaan geram. Tidak cukup dengan tamparan, tubuh pemuda itu
dicubit-cubit pula dengan sekuat hatinya.
“Buat apa kau rampas kekasih aku?Kautak tahu malu ke?Akif
aku punya! Kenapa kau menggatal nakkan dia jugak? Kau tak tahu ke yang aku
cinta pada dia! Dia pun cintakan aku!”jerit Rosnani kepada Dayana. Dia seolah-olahdirasuk.
“Dia mesti kahwin dengan aku! Kahwin dengan aku!”tempik
Rosnani sambil menyepak kotak yang berisi kerepek yang diletakkan oleh Akif di
atas aspal jalan tadi. Bungkusan kerepek yang bertaburan di atas jalan
dipijak-pijaknya dengan perasaan geram dan marah yang teramat.
“Astaghfirullahilazim. Dia dah buat hal di sini pulak!”keluh
Akif sambil cuba memujuk Rosnani supaya bertenang. Orang ramai yang lalu lalang
mula berhimpun di situ.
“Ros...”kata Dayana, cuba bersuara untuk meredakan
keadaan. Manalah tahu kalau-kalau dia dapat meleburkan amarah gadis itu.
“Diam! Perempuan tak malu! Perampas!”sanggah Rosnani
sambil menerkam kepada Dayana pula. Spontan tangannya mencakar pipi gadis itu
yang tidak tahu apa-apa. Topi keledar ditangannya juga dihayun ke tubuh Dayana
sekuat hati.
Dayana tersentak dengan situasi itu dan tidak sanggup
menunggu di situ lebih lama. Silap-silap hari bulan kepalanya pecah kerana
dihempuk dengan topi keledar. Justeru, diasegera masuk ke dalam keretanya
dengan tubuh yang menggeletar. Dayana benar-benar takut menghadapi peristiwa
yang sedang terjadi. Terketar-ketar tangannya memasukkan kunci kereta dan
menghidupkan enjinnya.
“Yana! Yana!”
Laungan Akif tidak dipedulikannya. Pipinya pedih kerana
dicakar. Tengah belakangnya juga sakit kerana dihempuk dengan topi keledar. Dia
mengundurkan keretanya dan segera berlalu dari situ. Matanya sempat menjeling
Akif yang masih cuba memujuk dan menenangkan Rosnani yang terus meronta-ronta.
“Ros! Kenapalah Ros berkelakuan begini? Malu! Malu!”kata
Akif lagi. Tubuhnya sudah dibasahi keringat kerana mententeramkan Rosnani yang
meronta-ronta dalam pegangannya.
“Ros tak boleh terima abang bertunang dengan orang lain!”tempik
Rosnani sambil menjegilkan matanya kepada Akif. Cukup sekali cintanya
dipermainkan dan dirampas oleh wanita lain. Untuk kali kedua, cintanya yang
ingin dipersembahkan kepada pujaan hati, tidak dapat tidak harus dinyatakan
juga. Jika keadaan memaksa, cinta daripada hati sidia harus diragut dan direbut,
jika tidak dia akan kecundang sekali lagi.
“Ros,cinta itu tak boleh dipaksa-paksa!”tegas Akif dengan
suara separuh berbisik. Kesabarannya seolah berkecai dengan perlakuan Rosnani. Gadis
itu yang kehilangan pertimbangan akalnya kerana getaran cinta yang tidak
mendapat balasan.
“Jantan tak guna!”herdik Rosnani dengan perasaan marah
lalu melempar topi keledar di tangannya ke muka Akif. Setelah itu dia terus
mencapuk atas motosikalnya dan memecut laju meninggalkan tempat itu,tanpa
peduli kenderaan lain, membawa hati yang lara bagaikan layang-layang terputus
tali.
“Astaghfirullahalazim,” keluh Akif sambil menggeleng. Sungguh
dia tidak menduga yang Rosnani akan berkelakuan seperti itu.
Belum lagi hilang bunyi enjin motosikal Rosnani, telinganya
dikejutkan dengan bunyi dentuman dan ciutan kereta yang dibrek mengejut. Tempikan
bunyi hon dari arah simpang yang letaknya beberapa meter sahaja dari situ mencemaskan
hatinya. Akif terus berlari menuju ke simpang itu dengan debaran yang memuncak.
Satu kemalangan telah berlaku. Antara sebuah motosikal dan lori. Orang ramai
pun sedang berhimpun di situ untuk menyaksikan kejadian malang.
“Astaghfirrullahalazim!”
Bisikan Akif agak kuat apabila melihat mangsa kemalangan
yang terlentang di atas aspal jalan. Kepalanya berlumuran darah. Dia pun
menerpa sambil menolak tubuh orang ramai yang menghalang laluannya.
“Ros...”tangisnya lalu menerkam ke tubuh Rosnani yang terguling.