Bab 12

MALAM telah pun ke penghujungnya apabila fajar menyinsing dengan sinarnya yang halus dan lembut. Sehari lagi, hari yang baru, muncul pada alam ini. Hari semalam telahpun jadi kenangan yang tidak mungkin akan berulang, namun tetap terakam di dalam ingatan.

Hampirlenguh jejari Akif menekan butang-butang di telefon bimbitnya. Akhirnya hatinya dimamah kecewa. Dayana gagal dihubungi. Semalaman dia tidak lena tidur kerana mengenangkan gadis itu. Dayana yang diserang oleh Rosnani secara tiba-tiba. Pasti Dayana berkecil hati dan terasa malu. Rosnani pula terlibat dengan kemalangan jalanraya, tidak berapa saat setelah insiden itu. Kini, nama kedua-dua orang gadis itu kejar mengejar di dalam hatinya, lantas melontarkan dirinya ke jurang keresahan dan kegelisahan yang merimaskan.

“Awalnya Akif bersiap pagi ni?”tegur Mak Esah apabila susuk tubuh anak bujangnya itu muncul di dapur. Akif sudah berpakaian kemas. Baju kemeja lengan pendek warna biru berjalur halus dan berseluar hitam.

“Mak!Akif nak pergi tengok Ros, mak!”beritahu Akif dengan tergesa-gesa sambil meneguk Nescafe yang dihidangkan oleh emaknya.

“Pagi lagi ni! Baru 7.30. Akif tak pergi berniaga ke?”soal Mak Esah.

“Akif kena pergi awal pagi, mak. Hospital Taiping tu jauh. Lagipun kalau tengah hari nanti susah nak dapat tempat parkir,” jelas Akif.

“Pasar Mini tu biarlah Ali jaga sekejap. Akif dan beritahu pada dia, mak.”

Mi goreng yang disediakan oleh emaknya hanya dimakan dua sudu sahaja. Patah seleranya mengenangkan nasib Rosnani dan peristiwa tengah hari semalam.

Kenapa hantar Ros ke hospital Taiping pulak! Hospital Pulau Pinang, bukankah lebih dekat?”tanya Mak Esah seolah terkejut dengan cerita anaknya itu. Semalam Akif tiba di rumah hampir 1.00 pagi dan hanya sempat memberitahunya tentang kemalanganyang menimpa gadis itu.

“Tak tahulah, mak! Apa masalahnya. Semua tu pihak hospital yang uruskan! Bukannya ikut kehendak kita! Agaknya mereka dah berhubung dengan pihak Hospital Pulau Pinang dulu. Mungkin bilik ICU di Penang dah penuh dengan pesakit, lalu mereka hantar Ros ke Taiping,” terang Akif mengikut justifikasinya.

Kalau begitu, mak pun nak ikut! Ayah pun sama,”beritahu Mak Esah. Berita malang tentang Rosnani memanggil rasa sedihnya juga.

“Akif nak pergi sekarang,mak! Kita bawa Mak Timah dan Pak Kulub sekali,” cadang Akif. Rosnani dan keluarganya adalah jiran mereka. Kini keluarga itu ditimpa musibah. Mak Timah dan Pak Kulub mesti dilanda kesedihan kerana kejadian malang yang menimpa mereka.

Rosnani, selepas mengamuk-ngamuk di hadapan pasar mininya tengah hari semalam, terlibat pula dengan kemalangan. Motosikal yang dipecutnya telah berlanggar dengan sebuah lori di persimpangan berhampiran pasar mininya. Kini, Rosnani masih di wad hospital dan masih belum sedarkan diri.

“Yalah. Eloklah tu.Mereka pun tak ada siapa lagi yang nak diharapkan. Anak-anak yang lain semua dah merantau jauh,” setuju Mak Esah dengan cadangan anak sulungnya itu. Bukannya dia hendak memuji, Akif anaknya memang selalu mengambil berat kepada jiran-jiran mereka.

“Cepat mak dan ayah bersiap, cepat kita boleh bertolak,” ujar Akif sambil bangun dari kerusi. Dia meraba telefon bimbit di dalam kocek seluarnya untuk menghubungi emak dan ayah Rosnani. Hati Akif berasa rungsing kerana bimbangkan Rosnani. Dia memejamkan matanya cuba melenyapkan bayangan tubuh Rosnani yang

dilihatnya semalam. Tubuh yang terguling di atas jalanraya. Rosnani yang tidak bertopi keledar terhempas kepalanya di atas aspal jalan. Darah merah kehitaman membasahi tudungnya.

LANGIT kelihatan mendung di angkasa. Matahari seolah-olah bersembunyi dan menyepikan dirinya sejak pagi tadi. Cuaca kelihatan muram bagaikan hati setengah-setengah penghuni di dunia. Nisah yang sedari tadi asyik mengelamun di jendela menggaru-garu dagunya. Setelahitu tangannya berpindah ke atas kepala pula. Dia berasa sunyi. Ayah, emak dan Abang Akifnya pagi-pagi lagi sudah keluar dari rumah. Abang keduanya, Rais masih lagi bergulung di dalam selimut di dalam biliknya. Rais, baru balik semalam. Katanya cuti semester sudah bermula.

“Huah!!! Berangan aje anak dara ni!”sergah Rais secara tiba-tiba.

Nisah terkejut dan menjegilkan matanya kepada Rais. Tangannya laju menepuk abangnya itu. Selepas itu matanya singgah ke rambut Rais yang kusut masai.

“Angah ni, kalau ada di rumah aje, mesti nak kacau Nisah!”kata Nisah sambil menjeling. Rais hanya menyengih lalu membetulkan ikatan kain pelikatnya.

“Eleh! Usik sikit pun dah marah! Nisah ni cuba ubah perangai sikit! Awak tu perempuan. Mana boleh garang-garang, nanti tak laku tahu tak?”usik Rais lagi.

“Nisah tengah sedih-sedih, angah nak menyakat pulak!” kata Nisah sambil menangis.

“Pulak! Nanti banjir kat sini! Sedih pasal apa?”soal Rais lalu duduk di sebelah adik bongsunya itu. “Mak dan ayah pergimana? Senyap aje?”soal Rais lagi.

“Mak pergi hospital,”beritahu Nisah. Rasa sebak mulai memukul pantai hatinya.

“Pergi hospital buat apa? Tengok siapa?”soal Rais.

Matanya merenung Nisah. Adiknya yang sudah mencebir-cebirkan bibirnya. “Kak Ros...”jawab Nisah dengan tangisannya yang semakin kuat. Dia mengesat hingus yang mula meleleh dari hidungnya dengan belakang tapak tangannya. Rais yang melihat, genyi.

“Ros? Rosnani?”soal Rais pula sambil cuba mengingatkan wajah perempuan itu. Nisah mengangguk.

“Kenapa? Dia terjun dalam tali air ke?”tanya Rais dengan penuh minat. Yang dia tahu gadis yang bernama Rosnani itu otaknya mereng kerana kecewa cinta.

“Bukan terjun dalam tali air,” nafi Nisah.

“Dia dilanggar lori! Selepas mengamuk di depan pasar mini Abang Akif,” cerita Nisah pula.

“Kenapa pulak dia mengamuk?”soal Rais semakin teruja. Setahunya Rosnani itu seorang yang lemah lembut walaupun sewel sesekali.

“Dia nakkan Abang Akif! Dia dah jadi gila bayang,”cerita Nisah sambil tersedu. “Nisah beritahu dia, Abang Akif dah bertunang! Sebab itulah agaknya dia pergi mengamuk pada Abang Akif.”Nisah berhenti bercerita kerana melayani sedu sedannya.

“Sekarang ni Nisah rasa bersalah sangat. Kalau tak kerana mulut Nisah, takkan jadi perkara begini! Semalam, lepas Kak Ros kemalangan, Abang Akif balik ke rumah saja terus marah Nisah,” cerita Nisah sambil teresak.

“Nisah bersalah jugak kepada Kak Yana! Sebab tak pasal-pasal mengheret dia dalam permasalahan. Sedangkan dia tak tahu apa-apa pun,” sambungnya lagi.

“Kak Yana tu siapa pulak?”soal Rais. Dia semakin keliru dengan cerita adiknya itu. Baru dua tiga bulan tidak balik ke kampung bermacam hal pulak yang berlaku.

“Kak Yana tu... entah! Agaknya girlfriend Abang Akif. Atau Abang Akif baru nak bercinta dengan dia agaknya. Nisah tak tahu. Tapi kelmarin Abang Akif bawa mak dan Nisah pergi melawat Kak Yana di wad. Secara kebetulan dia dah discharged.Kami terus hantar dia balik. Kalau bukan teman istimewaAbang Akif takkan Abang Akif nak pergi melawat dan menghantarnya sampai ke rumah,” cerita Nisah dengan panjang lebar dan bersungguh-sungguh.

“Nisah pandai buat teori sendiri ya. Abang Akif tu dengan semua orang dia baik. Semua orang dia nak tolong,” balas Rais pula. Dia faham sangat dengan sikap abangnya itu. Orang yang selalu melakukan kebaikan akan disukai ALLAH. Kata-kata itulah yang selalu diulang-ulang oleh abangnya untuk menasihatinya dan Nisah.

“Seterusnya?”tanya Rais ingin mengetahui cerita selanjutnya.

“Waktu nak balik dari hospitallah kami bertembung dengan Kak Ros. Waktu itulah Nisah beritahu dia Abang Akif dah bertunang. Dan kenalkan Kak Yana sebagai tunang Abang Akif. Tak sangka pulak Kak Ros boleh jadi begitu. Sekarang ni Nisah rasa rungsing sangat,” rengek Nisah pula.

“Alah! Kenapa pulak Nisah nak fikir yang bukan-bukan. Ros tu memang otaknya dah tak betul,” pujuk Rais. Tidak tergamak pula Rais untuk memarahi Nisah pada waktu itu apabila melihat airmuka Nisah yang sugul.

“Tapi kasihanlah juga kepada dia. Abang nak ke hospital tengok dia,” kata Rais lalu bangun dari sofa.

“Kak Ros cedera teruk tak?”sempat lagi dia menyoal.

“Entah, kata Abang Akif, kepalanya retak!”beritahu Nisah sambil menangis.

“Retak? Parah tu,” komen Rais spontan.

Rosnani mungkin tak tertolongkan lagi.

Previous: Bab 11
Next: Bab 13

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.