TERIKNYAcahaya matahari tengah hari itu, bagaikan
menggigit kulit-kulit yang terdedah di bawah panahannya. Sudah beberapa minggu
cuaca berkeadaan begitu. Bumi kini benar-benar sedang kehausan. Hanya
mengharapkan belas ehsan dari TUHAN, semoga DIA menurunkan titisan air dari
langit buat menyegarkan semula tanah-tanah yang gersang.
“Panasnya cuaca hari ni,” rungut Dayana.
Bibir yang kering dijilatnya berkali. Tekaknya pun terasa
haus. Meskipun kereta yang sedang dipandu berhawa dingin, bahang mentari yang
garang tetap juga menembusi. Mata Dayana meliar kembali mencari pasar mini yang
dikatakan oleh emaknya.
‘Hah! Itupun dia...Pasar
Mini Akif! Tersorok pulak kedainya,’rungutnya lagi.Bola matanya terus bergerak
ke kiri dan ke kanan memerhati tempat parkir.
‘Macam inilah orang Melayu, asalkan ada tempat untuk
berniaga, tempat macam ni pun nak bukak pasar mini! Tak strategik langsung tempat ni! Laku ke?’ rungut
hati kecilnya lagi.
Di matanya terbayang kotak-kotak yang terisi kerepek di
dalam boot kereta. ‘Silap-silap hari
bulan kerepek aku tu, tak laku walaupun satu bungkus,’ kata hatinya pula.
‘Tapi bukankah ALLAH telah menetapkan rezeki kepada
setiap hamba-NYA?’ Hati kecilnya seolah-olah memujuknya pula. Matanya terus meliar.
“Alhamdulillah...”ucapnya sambil tersenyum.
Ada satu lagi ruang parkir yang masih kosong di bawah
pokok di hadapan pasar mini itu. Dayana lalu memarkirkan kereta Kelisanya. Setelah
itu, dia cepat-cepat keluar dari kereta dan berjalan laju menuju ke pasar mini
yang memang dicarinya itu.
Hari itu dia berseluar jeans dan berkemeja lengkap bertudung. Lantaran itu hayunan
langkahnya pun deras. Tidak seperti selalu, langkah kakinya terbatas kerana
berbaju kurung. Masuk sahaja ke dalam pasar mini dia terus menuju ke peti sejuk
yang ada di pasar itu. Sekotak minuman diambil buat menghilangkan kehausan.
Kelihatan seorang pemuda berbaju T hitam yang sedang
memikul kampit-kampit beras ke arah stor di belakang kedai. ‘Mungkin pembantu
kedai ini,’teka hati Dayana. Keyakinannya bertambah teguh apabila melihat
bahagian belakang baju T yang dipakai oleh pemuda itu tertera perkataan Pasar
Mini Akif.
“Nak cari apa, akak?”
Tiba-tiba ada suara yang menegur dari arah sisinya. Dayana
terkejut lantas menoleh. Seorang pemuda yang lain, berkulit cerah dan berwajah bujur
tersenyum lebar memandangnya. Apabila Dayana tidak menjawab pertanyaannya, pemuda
itu mengangkat sebuah kotak yang agak berat dan mengalihkannya dari situ. Setelah
itu dia kembali ke sisi Dayana.
“Tak jumpa ke barang yang akak nak? Biar saya tolong
carikan,” tawarnya sambil tersenyum lagi. Agak lama matanya menyorot ke wajah
gadis yang sedang asyik menyedut minuman itu.
“Hmm... saya cari tauke kedai ni! Dia ada tak? Saya nak
jumpa dengan dia sekejap. Ada hal nak runding,” beritahu Dayana sambil
tersenyum manis. Minuman di dalam kotak terus disedut tanpa mempelawa pemuda itu.
Pemuda itu hanya memerhatikannya sambil tersenyum.
“Haus ya?Cuaca panas sangat hari ni! Kalau tak cukup air tu, ambillah lagi dalam
peti tu,” ujar pemuda yang menegurnya tadi sambil berlalu dari situ.
Pertanyaan daripada Dayana tadi tidak berjawab. Beberapa
minit Dayana menunggu di celah rak yang terisi dengan pelbagai barangan
keperluan dapur, pengurus pasar mini itu tidak juga muncul. Pemuda yang
menegurnya tadi datang kembali di sisinya. Dia mengambil tin-tin susu di dalam
kotak dan menyusunnya di atas rak berhampiran Dayana.
“Encik,tauke tak ada ke?”soal Dayana. Dia seakan hilang
sabar.
Sepanjang dia berada di situ, tidak nampak pun lelaki
berumur yang boleh dianggap sebagai pengurus pasar mini yang agak besar dan
maju itu. Tidak sangka pula kedai yang tersorok itu ramai pelanggannya.
“Ada...kenapa akak nak jumpa dengan tauke?”soal pemuda
berwajah bujur itu sambil merenung Dayana. Gadis itu memakai kemeja lengan
panjang berwarna merah jambu berjalur putih jarang-jarang. Berseluar jeans biru muda dan berkasut sukan. Kepalanya
ditutupi tudung berwarna putih. Wajahnya yang cantik nampak bersahaja. Dayana
tidak menjawab pertanyaan pemuda itu. Puas meninjau hatinya diintip kecewa.
“Kalau tauke tak ada, saya baliklah! Esok saya datang
lagi,”kata Dayana lalu menuju ke kaunter untuk membayar air kotak yang telah
menghuni perutnya. “Saya ingat nak tumpang letak kerepek kat pasar mini ni,” beritahu Dayana sambil tersenyum manis.
“Kerepek? Mana kerepeknya?”soal pemuda itu sambil
mengekori Dayana menuju ke parkir kereta sebaik sahaja urusan di kaunter
selesai.
Dayana tidak menjawab. Sampai di kereta, dia pun
mengeluarkan sebuah kotak dari dalam boot
kereta lantas meletakkannya di atas aspal jalan.
“Ini, kerepek-kerepeknya! Ayah saya yang cadangkan supaya
tumpang letakkan di pasar mini ini. Sebab itulah saya nak jumpa dengan taukenya!
Sayang, dia tak ada pulak,” beritahu Dayana.
Sebuah lori menderu laju di belakang Dayana sewaktu dia
terbongkok-bongkok membuka kotak untuk menunjukkan kerepek kepada pemuda tadi.
“Astaghfirullahalazim!”
Yang kedengaran di telinga Dayana ialah suara pemuda itu
beristighfar panjang dan sederas itu telapak tangan pemuda itu menghinggapi
atas punggungnya. Dayana tersentak dan terus menjerit.
“Hei!”pekiknya kuat.
Bibirnya tidak sempat mengungkapkan kata-kata lagi kerana
teramat marah. Dia menjegilkan matanya kepada pemuda itu sebelum memasuki
kereta dan menghidupkan enjin dengan hati yang membengkak. Perasaan marahnya
meruap. Kotak yang penuh berisi dengan kerepek ditinggalkannya begitu sahaja.
“Akak! Akak!”
Pekikan kuat daripada pemuda itu yang memanggil serta
melaungnya tidak dipedulikan langsung. Dayana terus memecut meninggalkan tempat
itu dengan perasaan yang menggelegak.
“Kurang ajar punya jantan! Raba punggung aku pulak!”rungutnya
dengan perasaan geram yang semakin membuak bercampur malu.
Tidak pernah lagi dia menghadapi peristiwa yang amat
memalukan seperti itu sepanjang hidupnya. Hati Dayana terus menggelegak.Tangannya
yang sedang memegang stereng pun seolah-olah berpeluh. Dia terus memandu balik
ke rumah. Terbantut rancangannya untuk pergi ke Bagan Serai selepas selesai
urusannya di Pasar Mini Akif.
Sebaik sahaja sampai di halaman rumah, Dayana terus
membrek mengejut dan menarik brek tangan dengan perasaan geram.
“Hai! Cepatnya balik? Kata nak pergi beli kasut di Bagan
Serai?”tegur emaknya sebaik sahaja melihat Dayana keluar dari kereta Kelisa
kesayangannya dengan muka masam.
“Tak jadilah, mak! Tak apa, lagipun minggu depan Yana nak pergi Penang dengan Kak
Leha. Di Penang lagi banyak tempat shopping,”
jawab Dayana sambil masuk ke dalam rumah.
“Yana tak mahu pergi ke kedai yang ayah suruh tu lagi. Menyampah!
Benci!”beritahu Dayana hampir menangis.
“Kenapa Yana cakap begitu pula. Tak baik benci-membenci. Nanti
yang dibenci menjadi kesayangan pulak. Baru Yana tahu,” usik Mak Bedah.
“Tak ada nak sayang-sayang! Entah apa-apa! Perangai tak
senonoh!”Rungutan Dayana macam ikan keli di dalam bubu. Mak Bedah melihat
kepada anak tunggalnya itu dengan mata yang mengecil dan dahi berkerut. Wajah
Dayana masih lagi masam dan berona merah.
“Yana benci Pasar Mini Akif tu ke?”soal Mak Bedah kebingungan.
Namun, pertanyaannya itu tidak mendapat jawapan. “Perangai siapa pulak yang tak
senonoh ni?”soalnya lagi. Hairan Mak Bedah dengan perubahan sikap anak gadisnya
secara mendadak itu.
“Entah, Yana tak kenal dia!”jawab Dayana geram sambil
bernafas laju. Rasa bengang dan meradangnya masih menyala.
“Lelaki ke perempuan?”tanya emaknya lagi.
Pertanyaan Mak Bedah tidak mendapat jawapan. Dayana sudah
beredar tanpa sepatah kata. Mak Bedah menggaru-garu kepalanya yang tidak gatal.
‘Tidak pernah-pernah naik angin, tak pernah menyampah
atau benci pada orang, apa masalah Yana hari ni?’ soal hatinya pula. Mak Bedah
mengeluh panjang.
alamsudahlama dikelambui tabir
hitam. Saat rembulan mula
mengintai di sebalik awan dan suasana alam sudah hening dan menyepi barulah
Akif sampai di rumahnya. Akif memarkirkan kereta miliknya di dalam garaj yang
terletak di sebelah kanan rumah.
“Assalamualaikum,” ucap Akif lalu menolak daun pintu
rumahnya.
Di ruang tamu kelihatan
adiknya, Nisah dan emaknya, Mak Esah sedang menonton televisyen. Nisah
langsung tidak peduli kepada kepulangan abangnya itu. Matanya terfokus ke skrin
televisyen.
“Waalaikumussalam. Lewat balik hari ni Akif,” kata
emaknya.
Matanya melihat wajah Akif yang keletihan. Biasanya
paling lewat pun Akif akan pulang ke rumah jam 10. 00 malam. Mak Esah memerhati
jam di dinding. Jarum jam sudah menunjukkan angka 11.30 malam.
“Nisah, pergi ambilkan abang air.Buat teh tarik,” suruh Akif sambil menghenyakkan tubuhnya yang
keletihan di atas sofa. Sengaja dia duduk rapat dengan adik bongsunya itu.
“Amboi!Sampai-sampai aje terus mintak teh tarik? Ingat
kedai mamak ke?”bentak Nisah sambil bangun dari sisi Akif. Melarikan dirinya
daripada ditumbuk oleh abang sulungnya itu.
“Alaa... teh yang Nisah buat lagi sedap dari teh kedai
mamak! Pergilah buat cepat! Abang haus
ni,”gesa Akif lagi sambil menepuk mesra bahu adiknya itu.
“Hisy, abang ni, Nisah nak tengok cerita ni, lah,”jawab
Nisah tanpa mempedulikan suruhan Akif. Matanya masih terpaku pada skrin televisyen.
“Nisah!”jerit Mak Esah seolah-olah memberi amaran kepada
anak perempuannya yang masih berdegil.
“Yalah, orang buatkan!”sahut Nisah sambil menekan
suaranya.
Cepat-cepat dia bangun dari sofa. Terkilan benar hatinya kerana
tumpuan kepada sebuah drama bersiri di televisyen terganggu. Langkahnya
terhenti di pertengahan jalankeranaterasa
sayang pula hendak meninggalkan skrin televisyen. Matanya terus terpaku kepada
kaca televisyen, melihat imej pocong yang terlompat-lompat di dalam semak.
“Dahlah tu, Nisah! Asyik nak tengok cerita hantu aje!Tak
mendatangkan faedah. Mengarut!” kata Akif pula sambil tersenyum lebar.
‘Entah mengapa, kerap sangat stesen televisyen dalam
negara ini menayangkan cerita yang tidak membangunkan minda masyarakat,’bisik
hati Akif.‘Sepatutnya mengajar masyarakat supaya takutkan TUHAN, ini nak
mengajar masyarakat takutkan hantu pulak,’rungut hatinya dengan perasaan sesal.
“Cepatlah, Nisah sayang,”
kata Akif lagi. Nisah merenung abangnya dengan jelingan tajam lalu beredar dari
situ cepat-cepat kerana televisyen sedang menayangkan iklan.
“Kenapa balik lewat, Akif?”Mak Esah mengulangi
pertanyaannya yang masih belum dijawab. “Saya dah nak tutup pintu kedai tadi, mak!
Ada lori hantar barang pulak. Terpaksalah tunggu sampai mereka selesai
punggahkan barang-barang dan masukkan dalam kedai,” jawab Akif sambil menggeliat
beberapa kali.
“Aduh, penatnya, mak,” keluh Akif sambil menegang
kendurkan kaki dan tangannya, membetulkan urat-uratnya yang sengal.
“Hmm, itulah, mak suruh kahwin, banyak alasan. Sekarang
ni dah penat, lenguh, tanggunglah sendiri,” sindir Mak Esah. “Kalau tak, adalah
isteri tolong picitkan,” sambung Mak Esah lagi sambil menjeling anak sulungnya
itu.
“Picit? Hmm... kalau isteri picit takut jadi lebih penat.Hee...hee...”
gurau Akif.
“Siapa yang nak pada Akif ni, mak! Setiap hari Akif sibuk.
Nak pergi dating pun tak sempat,” katanya
lagi.
“Itulah! Kerjaya ini Akif yang pilih, kan? Kalau kerja di
pejabat bukan ke lebih baik! Tak payah penat-penat nak perah otak, perah keringat
untuk cari rezeki. Kerja dengan kerajaan, cukup bulan dapat gaji. Senang!”bidas
Mak Esah. “Rajin bekerja atau malas bekerja, gaji tetap ada,” sambung Mak Esah
lagi sambil tersenyum.
“Ni penat-penat belajar, tiba-tiba kerja sendiri pulak! Semua
nak buat sendiri. Jadi kuli. Jadi tauke!”keluh Mak Esah.
Akif, anak sulungnya itu memang berminat di dalam bidang
perniagaan. Selepas tamat belajar di universiti, dia terus membuka pasar
mininya sendiri. Secara kebetulan ada pula kedai yang hendak disewakan di Pekan
Parit Buntar.
“Alah! Kerja makan gaji tu biarlah orang lain yang buat! Akif
suka dengan kerjaya sekarang ni, mak! Lagipun 99% cabang rezeki tu, kan daripada
perniagaan. Nabi Muhamad SAW pun seorang peniaga yang berjaya!Apa salahnya Akif
contohi kerjaya junjungan besar kita
tu, mak!”jawab Akif dengan panjang lebar penuh bersemangat.
“Dengan ijazah yang Akif ada tu, kalau makan gaji mungkin
boleh dapat tiga empat ribu aje, mak,” sambungnya lagi sambil tersenyum penuh
makna. Pendapatan bersih yang diperolehinya kini lebih dari sepuluh ribu
ringgit sebulan.
“Kalau nak gaji lebih, kena tunggu masa untuk kenaikan
pangkat. Kadang-kadang kena tunggu hampir sepuluh tahun, mak,”terang Akif.
“Dengan kerjaya sekarang ini, insya-ALLAH, jika ada
rezeki, setiap bulan pendapatan Akif meningkat. Tambahan pula kalau musim
perayaan, semakin banyak orang berbelanja,” jelasnya lagi.
“Dapat jugak Akifsediakan
peluang pekerjaan kepada orang lain walaupun seorang berdua! Alhamdulillah.” Dia
sangat bersyukur dengan rezeki yang telah dikurniakan oleh ALLAH kepadanya.
“Tengok tu! Mak cakap dua tiga patah aje. Akif beralasan
berjela,” perli Mak Esah. Faham sangat dengan anak bujangnya itu. Akif hanya menyengih.
“Abang, teh dah siap!”jerit Nisah yang datang ke ruang
tamu sambil membawa dulang yang berisi teko dan cawan. Akif keluar dari rumah
seketika dan mengambil sesuatu dari dalam kereta.
“Nah, cuba rasa ni! Sedap tak?”kata Akif sambil
melambakkan dua tiga bungkusan kerepek di atas meja berhampiran dengan dulang
yang dibawa oleh Nisah tadi.
“Apa ni? Kerepek? Hisy! Nisah tak naklah! Bukannya sedap
pun! Kerepek! Dah jelaklah! Rasanya sama aje!”ejek Nisah apabila melihat
bungkusan kerepek yang dibawa oleh abangnya itu.
“Jangan-jangan dah tak laku, dijual kat kedai, baru abang
bawa balik,suruh Nisah makan,” perli Nisah pula. Akif tidak mempedulikan
kata-kata adiknya itu. Dia faham sangat dengan mulut becok Nisah,adik bongsunya
yang berada di tingkatan empat itu.
Sekeping demi sekeping kerepek menjadi penghuni perut
Akif. Akhirnya semua bungkusan kerepek yang dibawa, dibuka dan isinya yang
rangup serta rapuh itu menjadi habuan mulutnya. Nisah yang masih berada di situ
merenung gelagat Akif berkali-kali. Abangnya kelihatan ralit dan asyik sangat
dengan kerepek yang sedang dinikmatinya. Akif mengunyah kerepek sambil
membayangkan wajah gadis yang menghantar kerepek di pasar mininya pagi tadi. Seraut
wajah dan senyuman manisnya membuatkan hatinya tiba-tiba bergetar.
“Aii!! Tinggalkan sikit untuk Nisah!”pekik Nisah lalu
merentap bungkusan kerepek ditangan Akif, cuba untuk bergurau.
“Eh,tak payah makan! Tadi jual mahal! Dah jelaklah! Rasa
samalah!”ejek Akif lalu bangun dari sofa mengelakkan kerepek yang berbaki
direbut oleh Nisah.
“Abang nak mandi,” katanya sambil mencubit hidung Nisah
untuk menyakat.
“Janganlah!”pekik Nisah sambil menampar lengan abangnya
itu. Mereka bertepuk tampar pula. Akif sengaja mengusik. Yang Nisah pula
menjadi kepantangannya jika abangnya itu menyentuhnya! Riuhlah mulutnya tidak
peduli masa.
“Malam-malam buta pun terpekik-terpukau Nisah ni! Tak
laku pulak anak dara mak yang sorang ni!”giat Akif sambil ketawa.
“Yalah,biarlah tak laku! Nanti orang dah kerja besar, tak
payah kahwin pun tak apa,” rajuk Nisah kerana diperlekeh oleh abangnya itu.
“Eleh! Kerja besar konon! Belajar pun malas. Asyik nak
baca novel dan tengok cerita hantu aje! Duduk-duduk sambil mengunyah. Takkan
adanya nak kerja besar, Nisah oii! Yang abang tau sudahnya nanti Nisah berbadan
besar! Obesiti!” perli Akif sambil mengembungkan pipi dan mengepakkan lengannya.
“Hisy!!”Geram Nisah sambil menumbuk belakang abangnya itu.
Terkial-kial Akif mengelak.
“Oh ya, abang!Tadi buah hati abang datang! Dia hantar kek
coklat. Nisah tinggalkan sikit untuk abang, ada dalam peti sejuk. Yang lain
semua Nisah dah makan,” beritahu Nisah. Sempat lagi bercerita dalam rajuknya
itu.
“Makan semua sekali, Nisah! Abang tak minat,” jawab Akif
sambil berjalan menuju ke biliknya. Dia ingin mandi dengan segera kerana badannya
sudah melekit-lekit sejak tadi.
“Eh! Kek coklat tu pun abang dah tak minat?” soal Nisah
kehairanan. Setahunya, abang sulungnya itu memang gemar makan kek coklat, tetapi
kenapa pula hari itu abangnya itu berubah hati?
“Penat Kak Ros buatkan untuk abang,” komen Nisah. Matanya
terbayangkan wajah Rosnani yang bulat dan tembam tetapi nampak comel kalau dia
ketawa.
“Bukan setakat kek coklat!Orang yang buat kek!Yang hantar
kek,semuanya abang tak minat,” beritahu Akif dari jauh. “Lebih baik minat pada
kerepek tu,” sambung Akif lagi sambil ketawa kerana terkenangkan gadis yang
ingin menjual kerepek di kedainya pagi tadi.
Sejak mula gadis itu memasuki pasar mininya, dia telah
mengekori gadis itu dengan penjuru matanya. Berdebar jantungnya saat pertama
kali mendengar suara gadis itu yang serak-serak manja. Apatah lagi apabila dia
tersenyum manis, pintu kamar hatinya seakan digegar.
“Hee...hee...”
Ketawa Akif tiba-tiba kerana tidak dapat menahan rasa
gelihatinya. Dia teringatkan telatah gadis tadi yang tiba-tiba naik angin. Kotak yang penuh berisi
kerepek pisang dan ubi ditinggalkan begitu sahaja! Akif terus ketawa mengekek
seorang diri di dalam bilik air apabila terkenangkan wajah gadis itu yang merah
padam kerana amat marah. Kereta Kelisa merahnya
dipecut laju.